- Iklan -
Dunia

Singapura bakal mansuh undang-undang jenayah seks antara lelaki

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata masyarakat Singapura kini semakin menerima golongan tersebut.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki melintas jambatan di pusat bandar Singapura. Gambar: Reuters
Seorang lelaki melintas jambatan di pusat bandar Singapura. Gambar: Reuters

Singapura akan memansuhkan jenayah seks antara lelaki namun tidak berhasrat mengubah takrifan perkahwinan antara lelaki dan wanita di negara itu, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan akan memansuhkan Seksyen 377A kanun keseksaan, sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki.

"Saya percaya ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan sesuatu yang kini diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura," katanya ketika berucap pada himpunan tahunan sempena Hari Kebangsaan Singapura.

"Biarpun kami memansuhkan Seksyen 377A, kami akan menegakkan dan melindungi institusi perkahwinan.

"Di bawah undang-undang, hanya perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita yang diiktiraf di Singapura," katanya.

Bagaimanapun, masih belum jelas bilakan seksyen itu akan dimansuhkan.

Menurut Lee, masyarakat Singapura terutama golongan muda di republik itu semakin menerima golongan gay.

Singapura menjadi negara terbaru di Asia yang mengambil langkah menamatkan diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ.

Pada 2018, mahkamah India memansuhkan larangan perlakuan seks golongan gay, sementara Thailand baru-baru ini juga turut mula mengambil langkah membenarkan perkahwinan sejenis.

Di bawah Seksyen 377A Singapura, pesalah boleh dipenjarakan sehingga dua tahun di bawah undang-undang tersebut, namun ketika ini ia tidak dikuatkuasakan secara aktif. 

Tidak ada sabitan dilakukan bagi perlakuan seks antara lelaki dewasa dengan persetujuan besama sejak beberapa dekad lalu dan undang-undang itu tidak termasuk seks sesama wanita atau jantina lain.