- Iklan -
Dunia

Imran beri amaran Pakistan berdepan krisis jika parti diharamkan

Bekas perdana menteri itu berkata jika Pakistan Tehreek-e-Insaf tidak dibenarkan berpolitik, rakyat akan protes di jalan raya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan berucap di hadapan penyokongnya dalam tunjuk perasaan di Lahore pada 21 April. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan berucap di hadapan penyokongnya dalam tunjuk perasaan di Lahore pada 21 April. Gambar: AFP

Bekas perdana menteri Pakistan memberi amaran negara bakal berdepan krisis serupa seperti Sri Lanka jika tindakan keras dikenakan terhadap partinya Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

Amaran itu dibuat ketika perhimpunan besar-besaran di bandar Rawalpindi pada petang Ahad ketika parti itu dan Imran menghadapi tekanan yang semakin meningkat daripada pentadbiran Islamabad.

"Jika anda mahu menghancurkan PTI, keadaan akan menjadi seperti di Sri Lanka," kata Imran dalam ucapannya di Liaqat Bagh di Rawalpindi.

Beliau berkata jika parti popular negara itu tidak dibenarkan berpolitik, rakyat akan turun melakukan protes di jalan raya.

Pihak Berkuasa Kawalselia Media Elektronik Pakistan (PEMRA) pada Sabtu melarang ucapan bekas perdana menteri disiarkan secara langsung di saluran televisyen satelit.

Larangan itu dibuat selepas Imran berkata beliau akan memfailkan kes terhadap ketua polis Islamabad dan hakim berhubung dakwaan penyeksaan tahanan dan penderaan seksual terhadap penasihatnya Shahbaz Gill, ketika perhimpunan di Islamabad.

Pengguna media sosial mengadu tentang gangguan di platform YouTube semasa ucapan Imran.

"Tinjauan metrik menyokong laporan tentang gangguan di platform YouTube di Pakistan pada pelbagai penyedia internet," kumpulan pemantau Internet NetBlocks mengesahkan hal berkenaan dalam ciapan di Twitter.

Imran menerusi komen di media sosial mengecam tindakan keras itu.

"Ini bukan sahaja pencabulan terhadap kebebasan bersuara tetapi juga memberi kesan negatif kepada industri media digital dan mata pencarian ramai. 

“Apa yang perlu mereka fahami adalah walau apa pun yang mereka lakukan, mereka tidak boleh menghalang hak rakyat iaitu Haqeeqi Azadi (kebebasan sebenar)," katanya.

"Ini hanya menzahirkan perbuatan yang terdesak demi kepentingan diri sendiri hingga sanggup mendorong Pakistan ke arah ketidaktentuan politik dan ekonomi," kata Imran.

Bekas perdana menteri itu telah mengadakan perhimpunan besar-besaran sejak kerajaannya digulingkan pada April melalui usul undi tidak percaya di Parlimen, yang didakwa Imran sebagai hasil pertukaran rejim yang disokong anasir luar.

Bekas perdana menteri itu merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran di beberapa bandar utama dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Spekulasi ditahan

Sementara itu, kes telah difailkan terhadap Imran di bawah undang-undang antikeganasan berhubung kenyataannya di perhimpunan di Islamabad, mencetuskan spekulasi pada malam Ahad bahawa kerajaan merancang untuk menahan pemimpin politik itu.

Para pemimpin PTI mengeluarkan seruan supaya penyokong bersedia untuk mengadakan protes jalanan di seluruh Pakistan dan penyokong telah berkumpul di Bani Gala iaitu tempat tinggal Imran.

Naib pengerusi parti Shah Mahmood Qureshi dalam temu bual di televisyen memberi amaran kepada kerajaan Perdana Menteri Shehbaz Sharif bahawa pihaknya bakal berdepan akibat yang serius jika Imran ditangkap.

"Orang ramai sedang marah. Fikir seratus kali sebelum menyentuh Imran," kata pemimpin kanan Hammad Azhar.

"Jika Imran ditangkap oleh 'kerajaan import', kami akan 'mengambil alih' Islamabad dan mesej saya kepada polis ialah jangan terlibat dengan perang politik ini lagi," kata Ali Amin Khan Gandapur, seorang lagi ahli politik terkemuka.

Orang ramai berkumpul di kediaman Imran dan mengadakan demonstrasi di kebanyakan bandar.

"Terdapat seakan-akan suasana sambutan di Bani Gala pada pukul tiga. Wanita, keluarga dan ribuan pekerja turut hadir. Orang ramai turun di jalanan sekitar bandar-bandar utama, termasuk Lahore dan Faisalabad," kata pemimpin terkemuka PTI Fawad Chaudhry.

Beliau berkata beribu-ribu orang dari seluruh Pakistan sedang menuju ke Islamabad.