- Iklan -
Dunia

Mogok pekerja tuntut gaji setimpal jejaskan sistem pengangkutan di UK

Kesatuan pekerja memberi amaran mogok boleh berterusan sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pegawai polis berkawal di Stesen Waterloo, London pada 18 Ogos selepas rangkaian tren antara bandar itu terjejas akibat mogok pekerja. Gambar: AFP
Pegawai polis berkawal di Stesen Waterloo, London pada 18 Ogos selepas rangkaian tren antara bandar itu terjejas akibat mogok pekerja. Gambar: AFP

Rangkaian perkhidmatan pengangkutan United Kingdom sekali lagi melancarkan mogok baru bermula Khamis, dengan ketua kesatuan memberi amaran bahawa mogok boleh berterusan "selama-lamanya" melainkan tuntutan mereka dipenuhi.

Beribu-ribu pekerja di seluruh UK memulakan mogok empat hari berikutan pertikaian mengenai suasana kerja dan gaji tidak setimpal, lapor Agensi Anadolu.

Para penumpang di seluruh negara, termasuk ibu kota London, dinasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan menggunakan perkhidmatan itu melainkan perlu berbuat demikian.

Pekerja yang mengambil bahagian dalam mogok itu sebahagian besarnya daripada Network Rail, Transport for London, London Buses dan perkhidmatan pengangkutan lain termasuk beberapa ahli kesatuan sekerja.

Setiausaha Agung Kesatuan Kereta Api, Maritim dan Pengangkutan (RMT), Mick Lynch, menuduh kerajaan melaksanakan "dasar sengaja melengahkan pertikaian itu atas kepentingan politik."

Dalam surat kepada Setiausaha Pengangkutan Grant Shapps, beliau berkata kerajaan menggunakan "wang pembayar cukai untuk menyelamatkan syarikat kereta api swasta," setelah menderma lebih £120 juta (AS$143 juta) setakat ini, mengikut pengiraan kesatuan itu.

Terdahulu, ketua RMT berkata Network Rail "tidak membuat sebarang penambahbaikan terhadap tawaran gaji mereka sebelum ini dan syarikat pengendali kereta api juga tidak memberi sebarang tawaran baru kepada kami."

Ahli kesatuan RMT dan Unite juga akan meninggalkan stesen tiub London Underground dan depoh bas pada Jumaat dalam pertikaian berasingan mengenai gaji.

Pada Sabtu, pekerja kereta api termasuk pemandu kereta api, konduktor dan kakitangan platform, bersama-sama kesatuan bas London United, akan melakukan "walkout" yang akan menjejaskan rancangan perjalanan ramai orang pada hujung minggu.

Kesatuan itu mendakwa pekerja mereka terjejas teruk akibat krisis kos sara hidup, dengan inflasi mencecah 10%, paras tertinggi sejak 40 tahun manakala gaji sebenar menyaksikan penurunan mendadak.

Pada Jun, tindakan "walkout" beramai-ramai oleh ahli kesatuan RMT telah menjadi antara mogok perkhidmatan pengangkutan terbesar di UK dalam tempoh 30 tahun.