- Iklan -
Dunia

Trump dakwa FBI serbu rumah, buka peti besinya di Florida

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan mengapa serbuan itu dijalankan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas presiden AS Donald Trump. Gambar: AFP
Bekas presiden AS Donald Trump. Gambar: AFP

Bekas presiden AS Donald Trump berkata agen FBI menyerbu dan membuka peti besinya di kediaman kelab Mar-a-Lago, Florida, ketika Jabatan Kehakiman AS memulakan siasatan mengenai isu penyingkiran rekod rasmi pejabat presiden oleh beliau.

Jabatan Kehakiman enggan mengulas mengenai serbuan yang disifatkan Trump membabitkan "sekumpulan besar agen FBI." 

Ibu pejabat FBI di Washington dan pejabat lapangannya di Miami turut enggan mengulas mengenai serbuan yang dijalankan.

Serbuan itu dilihat sebagai sebahagian usaha mencari sebuah kotak dokumen yang dibawa keluar oleh Trump dari White House ke kelab Florida, lapor New York Times, memetik dua sumber yang rapat dengan siasatan itu.

Trump berkata kediamannya "kini sedang dikepung, diserbu, dan penuh (dengan agen FBI).” 

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan mengapa serbuan itu dijalankan.

"Selepas bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan, serbuan yang dibuat tanpa sebarang makluman di rumah saya ini adalah tidak perlu dan tidak wajar," kata Trump sambil menambah: "Mereka malah membuka peti besi saya!"

CNN melaporkan Trump tidak berada di kediamannya semasa serbuan dan FBI telah mendapat waran geledah bagi memasuki premis itu. 

Memetik sumber, laporan CNN itu juga mengatakan pencarian tersebut adalah berkait dengan beberapa dokumen sulit.

Trump menjadikan rumah kelab di Palm Beach itu sebagai kediamannya selepas meninggalkan Rumah Putih pada Januari 2021.

Kebiasaannya, beliau menghabiskan musim panas di kelab golf yang terletak di Bedminster, New Jersey, kerana Mar-a-Lago ditutup pada bulan Mei bagi musim panas.

Jabatan Kehakiman turut melancarkan siasatan peringkat awal berhubung pemindahan rekod Trump ke Florida, kata sumber pada April.

Siasatan itu dibuat selepas Pentadbiran Arkib dan Rekod Kebangsaan AS pada Februari memaklumkan Kongres bahawa pihaknya telah menemui kira-kira 15 kotak dokumen Rumah Putih dari rumah Trump di Florida, di mana beberapa dokumen itu mengandungi bahan sulit.

Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan AS pada masa itu mengumumkan ia meningkatkan siasatan berhubung tindakan Trump itu dan meminta pihak arkib menyerahkan maklumat tambahan.

Sebelum ini, Trump mengesahkan bahawa beliau bersetuju untuk memulangkan rekod tertentu kepada arkib, menyifatkannya sebagai “proses rutin yang biasa."

Serbuan itu dilihat akan menambah masalah undang-undang yang dihadapi bekas presiden AS itu, ia termasuk siasatan Kongres terhadap serangan penyokong Trump pada 6 Januari 2021 ke atas bangunan Capitol AS selain tuduhan Trump cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya Georgia 2020.

Di samping itu, pendakwa raya AS di Washington, DC juga kini sedang melakukan siasatan mengenai penipuan oleh sekutu Trump dalam mengemukakan senarai daftar pemilih palsu bagi membatalkan pilihan raya presiden 2020.