- Iklan -
Dunia

AS pertimbang semua pilihan halang tindakan ganas junta Myanmar

Jabatan Negara AS berkata urusan negara itu dengan Myanmar tidak akan berjalan seperti biasa selepas tindakan junta gantung sampai mati aktivis demokrasi.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Perarakan tentera dalam Hari Angkatan Bersenjata di Naypytaw, Myanmar pada 27 Mac 2021. Gambar: Reuters
Perarakan tentera dalam Hari Angkatan Bersenjata di Naypytaw, Myanmar pada 27 Mac 2021. Gambar: Reuters

Amerika Syarikat berkata hubungan antara negara itu dan Myanmar tidak akan berjalan seperti biasa selepas junta tentera melaksanakan hukuman mati terhadap empat aktivis demokrasi, mempertimbangkan langkah-langkah yang bakal diambilnya terhadap kerajaan tentera di negara itu.

Bercakap pada sidang media, Jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price menggesa supaya penjualan senjata kepada Myanmar diharamkan dan semua negara perlu mengelak daripada sebarang tindakan yang menyebabkan junta Myanmar mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Ditanya sama ada pentadbiran Presiden Joe Biden sedang mempertimbangkan sekatan terhadap industri gas Myanmar, sektor yang terkecuali dalam sekatan AS sebelum ini, Price menjawab dalam perbincangan mereka mengenai langkah selanjutnya, semua pilihan akan dipertimbangkan.

"Dengan kekejaman yang dilakukan oleh junta tentera, tidak mungkin urusan (AS) dengan rejim ini akan berjalan seperti biasa," kata Price.

Dijatuhi hukuman mati dalam perbicaraan tertutup pada Januari dan April lalu, empat aktivis itu dituduh membantu gerakan penentangan orang awam terhadap tentera sejak rampasan kuasa tahun lalu.

Ia merupakan pelaksanaan hukuman mati pertama dijalankan Myanmar sejak beberapa dekad lalu menyebabkan negara lain, aktivis dan badan hak asasi antarabangsa mengecam keras tindakan junta tersebut.

Mengulas mengenai kecaman tersebut, Price  menyeru negara Asean serantau untuk  menghalang wakil junta daripada menghadiri mesyuarat serantau.