- Iklan -
Dunia

Vaksin Covid buatan Bangladesh dapat kelulusan diuji pada manusia

Vaksin Bangavax dibangunkan oleh Globe Biotech itu akan mula diberikan kepada 60 sukarelawan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas kesihatan Bangladesh memberikan suntikan vaksin kepada pelajar perubatan di Dhaka. Gambar: AFP
Seorang petugas kesihatan Bangladesh memberikan suntikan vaksin kepada pelajar perubatan di Dhaka. Gambar: AFP

Vaksin Covid-19 buatan Bangladesh telah mendapat kelulusan bagi fasa pertama ujian ke atas manusia, lapor Xinhua.

Vaksin Bangavax, yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal tempatan Globe Biotech, menerima kelulusan daripada Direktorat Jeneral Pentadbiran Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga Bangladesh pada Ahad selepas pihak berkuasa berkaitan menyemak semua ujian klinikal yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Kami telah mendapat kelulusan untuk ujian klinikal fasa pertama Bangavax," kata Pegawai Kanan Globe Biotech, Mohammad Mohiuddin kepada pemberita.

Beliau berkata ujian vaksin Covid-19 ke atas 60 sukarelawan yang sihat tubuh badan akan dijalankan di hospital Universiti Perubatan Sheikh Mujib Bangabandhu di Dhaka.

Pada November lepas, Bangavax, vaksin satu dos Covid-19, mendapat kelulusan daripada Majlis Penyelidikan Perubatan Bangladesh untuk diuji ke atas 64 peserta dewasa yang sihat.

Sebelum ini, Globe Biotech memohon kelulusan untuk menjalankan ujian terhadap manusia pada 1 November lepas dan ujian ke atas monyet sebelum ini mendapati vaksin itu memberi "keputusan yang memberangsangkan".

Vaksin itu dilaporkan boleh disimpan pada suhu 4 darjah Celsius untuk tempoh sebulan dan mampu bertahan hingga enam bulan jika disimpan pada suhu -20 darjah Celsius.