- Iklan -
Dunia

Nelayan Taiwan tangkap jerung spesies prasejarah

Spesies jerung yang mempunyai enam insang itu hidup pada kedalaman 200-1,000 meter di bawah paras laut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Spesies jerung prasejarah ditangkap nelayan Taiwan dan akan dilelong pada Isnin depan. Gambar: Facebook
Spesies jerung prasejarah ditangkap nelayan Taiwan dan akan dilelong pada Isnin depan. Gambar: Facebook

Jerung enam insang hidung tumpul (bluntnose sixgill shark) yang jarang ditemui, spesies yang dipercayai telah berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur, ditangkap nelayan Taiwan dari daerah Taitung pada Ahad.

Jerung itu adalah spesies yang jarang ditemui kerana ia hidup pada kedalaman 200-1,000 meter di bawah paras laut, pembantu penyelidik di Pusat Biologi Marin Pantai Timur Institut Penyelidikan Perikanan, Wu Jui-hsien memberitahu Agensi Berita Central (CNA).

Meskipun kebanyakan spesies jerung moden telah berevolusi dan memiliki lima insang, jerung bluntnose masih mempunyai enam insang seperti nenek moyang mereka, jelas Wu.

Menurut Wu, ikan seberat 420kg itu ditangkap di Lautan Pasifik oleh bot nelayan yang berpangkalan di Taitung dan dibawa ke pelabuhan di daerah timur Taiwan, Xingang.

Hasil tangkapan berukuran kira-kira 395 sentimeter panjang itu akan dilelong pada Isnin.

Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), jerung bluntnose disenaraikan sebagai "hampir terancam" kerana jangka hayatnya yang panjang yang menjadikanya buruan serta terdedah kepada eksploitasi.

Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman web Muzium Florida, jerung bluntnose hampir menyerupai fosil berusia kira-kira 200 juta tahun dahulu.