- Iklan -
Dunia

Singapura tidak lulus permohonan suaka presiden Sri Lanka, masuk atas lawatan peribadi

Gotabaya Rajapaksa mendarat di negara itu malam semalam selepas keluar dari Sri Lanka ekoran kebuntuan politik akibat krisis ekonomi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pesawat Boeing 787 Saudia Airline yang dipercayai membawa presiden Sri Lanka dilihat mendarat di Lapangan Terbang Changi, SIngapura. Gambar: AFP
Pesawat Boeing 787 Saudia Airline yang dipercayai membawa presiden Sri Lanka dilihat mendarat di Lapangan Terbang Changi, SIngapura. Gambar: AFP

Kementerian Luar Singapura (MFA) mengesahkan Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa dibenarkan masuk ke Singapura atas kapasiti lawatan peribadi.

“Beliau tidak meminta suaka mahupun diberikan suaka. Singapura secara amnya tidak meluluskan permintaan bagi mendapatkan suaka,” kata jurucakap MFA menjawab pertanyaan media.

Rajapaksa dilaporkan berlepas ke Singapura dari Maldives pada petang Khamis (14 Julai), selepas melarikan diri dari Sri Lanka.

Beliau tiba dengan penerbangan Saudia dan mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 7.17 malam, lapor sebuah media tempatan.

Sri Lanka menghadapi kebuntuan politik akibat krisis ekonomi terburuk yang melanda negara itu sejak mencapai kemerdekaan pada 1948.

Dalam tunjuk perasaan antikerajaan yang memuncak pada Sabtu, aktivis di Colombo menguasai kediaman presiden dan perdana menteri, menuntut mereka meletak jawatan.

Rajapaksa, yang meninggalkan negara itu lewat Selasa, melantik Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe sebagai presiden sementara.

Wickremesinghe telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung di Colombo.

Parlimen akan mengadakan pilihan raya presiden pada 20 Julai dan melantik kerajaan sementara yang akan berkuasa sehingga pilihan raya umum akan datang.