- Iklan -
Kolum

Hamas akan musnah?

Jika pun semua gerila Hamas dibunuh, semua pemimpin Hamas dihapuskan, dan Hamas musnah lebur, idea Palestin yang bebas merdeka masih wujud.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Ketika ini, Gaza masih dikepung ribuan bala tentera Zionis-Israel.

Askar Israel menunggu masa masuk ke Gaza dengan tujuan membunuh warga Palestin.

Arahan masuk menyerang dibuat oleh Netanyahu dengan sokongan Biden, Macron, Sunak dan Olaf Scholz. 

Jeneral, komander dan para tok sarjan hanya jadi tukang sampai. Ini perang geopolitik yang dikemudi oleh politikus.

Perang geopolitik satu projek kaum globalis. Ia projek yang dipasak oleh industri senjata dan kaum pemodal. Ia membuka peluang perniagaan. Justeru Hamas wajib dihapuskan.

Pengepungan dan pengeboman ini bukan satu yang baru. Semenanjung Gaza yang panjangnya 41km dan lebarnya antara 6 hingga 12km adalah penjara terbesar dunia.

Sekatan bermula di Gaza pada tahun 2007. Pada tahun itu, parti Hamas menang pilihan raya Palestin, mengalahkan parti Fatah di Gaza. 

Semenjak 2007 Gaza terus menjadi penjara dengan sekatan ekonomi, politik dan pergerakan rakyat.

Seramai lebih dua juta warga Palestin di Gaza dipenjarakan Zionis Israel. Manakala lebih dua juta warga Palestin lagi tinggal di Tebing Barat. Mereka inilah penunggu dan penduduk asal bumi Palestin.

Dalam masa sama, menurut statistik 2022, jumlah warga Israel ialah 9,656,000. Seramai 7 juta lebih adalah Bani Yahudi, selebihnya dua juta Arab Palestin.

Pada Julai tahun lalu, Biro Statistik Palestin mengeluarkan data bahawa dalam dunia hari ini, ada 14.3 juta sosok yang mengakui diri mereka Bani Arab Palestin, yang antara lain tersebar di Jordan, Mesir, Syria dan Lubnan.

Zionis Israel dan Zionis tempatan selalu berkata: "Israel memiliki hak mempertahankan diri untuk keselamatan."

Kita selalu dengar "hak mempertahankan diri" keluar dari mulut Biden atau Sunak.

Ini mantera dan ratib penyokong Zionis.

Zionis tempatan adalah Zionis bukan Yahudi seperti Biden dan Macron. Zionis tempatan menyokong wujudnya negara Zionis Israel.

Demi keselamatan Israel, Zionis Israel perlu membunuh 14 juta Arab Palestin.

Keselamatan ini dimulai dengan mengebom Gaza hingga hancur lumat.

Tujuan menghancur lumat Gaza amat jelas. Pertama, untuk mengurangkan penduduk Palestin di Gaza. Kedua, mengecilkan Gaza dengan merampas tanah dan wilayah, kebun dan dusun yang ditinggalkan. Wilayah ini kemudian akan diberikan kepada imigran Yahudi yang baru sampai.

Sayugia diingatkan, salah satu rukun Zionisme ialah: Yahudi di mana sahaja mereka berada adalah warganegara Israel.

Justeru untuk menyediakan tanah dan rumah kepada Yahudi di seluruh dunia, bumi Palestin wajib dijajah. Projek kolonial Palestin yang bermula dengan Nakba 1948, kini disambung dengan memusnahkan Hamas.

Bolehkah pemusnahan Hamas ini berjaya dilakukan pada 2023?

Untuk menjawab soalan ini, kita wajib melihat sejarah dan latar belakang Israel. Ada kejulingan pandangan tentang pertelingkahan antara Arab Palestin dengan Yahudi Zionis.

Untuk saya, perjuangan Palestin ini adalah perjuangan anti kolonial. Perjuangan anti penjajahan. Perjuangan untuk mengambil tanah air yang dirampas dan dijajah oleh Zionis Yahudi.

Ini sama seperti perjuangan Dr Burhanuddin al-Helmy, Pak Sako, Ibrahim Yaacob, Chin Peng, Shamsiah Fakeh melawan Inggeris untuk memerdekakan Tanah Melayu. 

Mereka berjuang untuk merampas kembali bumi Melayu yang dijajah Inggeris.

Perjuangan Palestin bukan perjuangan agama, bukan perlawanan Islam membunuh Yahudi atau Yahudi membunuh Islam.

Dari pandangan sepintas lalu memang betul dilihat seperti perbalahan agama. Para politikus dengan bantuan media kaum kapitalis sengaja tidak memunculkan naratif penjajahan Palestin oleh Zionis Israel.

Perjuangan kebangsaan pembebasan bumi Palestin sengaja dijulingkan oleh media arus perdana untuk menghalalkan penjajahan Palestin oleh kaum Zionis.

Mengalih perjuangan pembebasan kebangsaan ini sebagai perjuangan agama agak mudah. Ini kerana fakta sejarah. Untuk penganut Islam, bumi Palestin suci kerana Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah.

Masjid Al-Aqsa terletak dalam kota Baitul Maqdis, atau Jerusalem.

Di sana juga terletaknya sinagog Raja Daud dan Raja Sulaiman, dua kiblat sembahyang untuk penganut Yahudi.

Baitul Maqdis turut menjadi wilayah dan kota suci penganut Kristian. Di sinilah permulaan Nabi Isa berdakwah. Di Golgotha di pinggir Baitul Maqdis, adalah tempat di mana mereka percaya Nabi Isa mati disalib.

Tiga agama ini semuanya berpunca dari Nabi Ibrahim yang berpangkalan di Palestin.

Fakta sejarah ini menjadikan ia mudah untuk menimbulkan persepsi bahawa perjuangan rakyat Palestin ini perjuangan agama. Ini tidak tepat. Ini pandangan juling.

Perjuangan rakyat Palestin bukan perjuangan Islam lawan Yahudi. Bukan semua Arab Palestin beragama Islam. Arab Palestin adalah umat awal yang menerima agama Kristian. Nabi Isa berdakwah di Palestin. 

Hari ini, 15% Arab Palestin beragama Kristian.

Dunia baru saja diberitahu tentang gereja Saint Porpyrius di Gaza yang dibedil Zionis Israel. Gereja ini yang dianggap suci oleh penganut Kristian dan Islam, adalah gereja ketiga tertua dalam dunia.

Maka kita kembali kepada persoalan asas. Bolehkah Hamas dihapuskan? Bolehkah Hamas diledak musnah?

Kemerdekaan adalah konsep. Merdeka adalah roh manusia. Kebebasan adalah konsep. Bebas adalah roh manusia.

Semua manusia mahu merdeka. Semua manusia mahu bebas. Semua yang hidup bergerak mahu bebas. Ini hukum alam. Ini hukum azali. Hukum ini mustahil boleh diubah oleh Biden, Netanyahu atau Zionis.

Arab Palestin mahu merdeka dan mahu kebebasan dari penjajah.

Israel diwujudkan pada 1947/48. Ini projek kolonial kaum Zionis yang bermula dengan Deklarasi Balfour 1917. 

Kerajaan Britain, kuasa besar dunia ketika itu, telah memasyhurkan Deklarasi Balfour. Deklarasi ini menjanjikan kepada kaum Zionis sebuah negara Yahudi.

Awalnya, kaum Zionis tercari-cari tanah jajahan yang wajib ditakluki. Dari Uganda hingga ke Rusia, kaum Zionis mencari wilayah. 

Ketika itu memang wujud satu komuniti kecil kaum Yahudi hidup aman damai dengan majoriti penduduk Arab di Palestin.

Palestin akhirnya dipilih olek kaum Zionis untuk didirikan sebuah negara Yahudi. Dari segi fakta persejarahan, Bani Yahudi tidak memiliki negara.

Pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi di Eropah oleh Hitler dalam Perang Dunia Kedua memudahkan sokongan dunia akan perlunya Yahudi diberikan negara sendiri.

Pada 15 Mei 1948, Israel didirikan atas bumi Palestin. Tanah, pekan dan kampung Arab Palestin dirampas. 

Kumpulan pengganas seperti Irgun dan Haganah membelasah dan membunuh demi menakutkan Arab Palestin. Ramai lari meninggalkan bumi Palestin dan menjadi pelarian.

Tarikh 15 Mei ini dipanggil Nakba, atau Malapetaka.

Semenjak Mei 1948 hingga Oktober 2023, sejarah pembantaian Arab Palestin tidak pernah berhenti. Jika dulu keganasan kumpulan Yahudi hanya menggunakan pistol dan senapang, kini kapal terbang, dron, bom, roket dan bom fosforus telah digunakan.

Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich berkata, projek pembersihan Arab Palestin 1948 belum selesai.

Ini bermakna penjajahan bumi Palestin belum selesai. Arab Palestin wajib semuanya dihalau atau dibunuh agar Israel menjadi negara suci khusus untuk Bani Yahudi sahaja.

Justeru Gaza dibom. Hamas wajib dimusnah. Sesudah Gaza, Tebing Barat pasti menjadi sasaran. Penaklukan bumi Arab ini belum selesai. 

Dalam rukun Zionis, negara Israel turut diliputi Lubnan dan Jordan.

Bolehkah Hamas dimusnahkan?

Jawabnya mustahil. Hamas ialah parti politik yang membawa ideologi Islam. Hamas berjuang untuk mendirikan negara Palestin yang merdeka.

Mendirikan negara yang merdeka ini satu idea. Idea tidak dapat dimusnah. Ia sama seperti keadilan, sama seperti kebebasan – semuanya tidak dapat dihapuskan.

Hakikatnya, Palestin yang bebas merdeka adalah idea yang mendapat sokongan semua Arab Palestin.

Jika pun semua gerila Hamas dibunuh, semua pemimpin Hamas dihapuskan, dan Hamas musnah lebur, idea Palestin yang bebas merdeka masih wujud. 

Idea tidak dapat dimusnahkan. Patah tumbuh hilang berganti.

Hari ini terbukti sokongan terhadap perjuangan adil rakyat Palestin semakin mengampuh di seluruh dunia. Dari kota ke kota – dari London, New York, Melbourne ke New Delhi – penyokong Palestin turun ke jalan raya. Semua seirama melaungkan "Free Palestine".

Atas nama keselamatan, atas nama tak mahu kacau bilau, Perancis dan Jerman melarang tunjuk perasaan menyokong Palestin.

Tetapi ribuan tetap turun berdemo di Paris dan Berlin. Idea keadilan melawan kezaliman tidak dapat dipagari dengan hukum dan undang-undang.

Dalam negara majoriti Islam seperti Malaysia, sokongan teguh terhadap Palestin sedang mengampuh. 

Di Karachi, Tehran, Damsyik, Algiers, Baghdad, Istanbul, Kaherah, Tunis – ribuan rakyat turun bersetia kawan dengan Palestin.

Ketika tulisan ini habis digarap askar Israel masih belum masuk ke Gaza. Hamas, Hizbullah, Islamic Jihad, semua siap siaga menunggu soldadu Israel masuk ke Gaza.

Turki dan Mesir telah bersedia untuk menjadi orang tengah berunding untuk gencatan senjata. China Merah dan Rusia juga mahu gencatan senjata untuk mengelak perang.

Manakala Iran penyokong Hamas, Hizbullah dan Islamic Jihad telah memberi amaran kepada Amerika jika Israel masuk ke Gaza berkemungkinan perang akan merebak.

Apakah projek menghapuskan Hamas ini akan membuka panggung Perang Timur Tengah dan pentas Perang Dunia Ketiga?