- Iklan -
Rencana

Kerajaan perlu bertegas dalam isu peta China, pertahan kedaulatan negara

Menteri Luar Zambry Abdul Kadir sepatutnya perlu memanggil Duta Besar China untuk menyatakan bantahan rasmi ke atas pengeluaran ‘Peta Standard China Edisi 2023’ ini.

Mohd Fuad Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Wisma Putra berkata Malaysia menyatakan 'komitmen secara tegas dan tegas' untuk melindungi sempadan, hak kedaulatan dan kepentingan negara di kawasan maritimnya di Laut China Selatan. Gambar: Bernama
Wisma Putra berkata Malaysia menyatakan 'komitmen secara tegas dan tegas' untuk melindungi sempadan, hak kedaulatan dan kepentingan negara di kawasan maritimnya di Laut China Selatan. Gambar: Bernama

Isnin lalu Kementerian Sumber Asli China dalam satu langkah yang mengejutkan mengeluarkan “Peta Standard China Edisi 2023” sempena sambutan Hari Publisiti Ukur dan Pemetaan dan Minggu Publisiti Kesedaran Pemetaan Kebangsaan China.

Peta ini memasukkan kawasan yang dipertikaikan, termasuk Arunachal Pradesh dan Aksai Chin di India selain sebahagian besar perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia di Laut China Selatan berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Dalam kenyataan segeranya, jurucakap Kementerian Luar India, Arindam Bagchi, memaklumkan bahawa Kementerian Luar India terus mengemukakan bantahan keras melalui saluran diplomatik kepada Kerajaan China kerana ia tidak mempunyai asas dan merumitkan lagi penyelesaian.

Kementerian Luar Malaysia juga mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China. Tegas jurucakapnya, peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Selain itu, Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir, juga berkata Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada China susulan tuntutan negara berkenaan di Laut China Selatan seperti digariskan dalam peta yang meliputi kawasan maritim Malaysia ini.

Tindakan Kementerian Luar ini boleh dipuji tetapi kerajaan perpaduan seharusnya lebih bertegas dari segi mempertahankan kedaulatan Malaysia selaras dengan amalan biasa yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negara lain dalam menghadapi isu sebegini. 

Sewaktu Saifuddin Abdullah menjadi menteri luar contohnya, beliau memanggil duta besar China untuk menyatakan bantahan terhadap keberadaan dan aktiviti kapal China di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Malangnya, sejak Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri pada akhir 2022 tiada lagi suara keras daripada pemimpin tinggi kerajaan membantah pencerobohan kapal-kapal China, membuat nota bantahan atau memanggil duta besar China untuk menyatakan bantahan.

Soalan-soalan membabitkan isu hak kedaulatan Malaysia di Parlimen hanya dijawab oleh Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin, atau Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, bukan oleh menteri luar, menteri pertahanan atau perdana menteri sendiri.

Jawapan yang diberikan pula amat lembut sekali seperti jawapan Alamin pada 23 Februari lalu bahawa semua pihak perlu mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu pencerobohan kapal China di perairan Malaysia bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Hal ini pula dikaitkan dengan kenyataan Anwar di Parlimen ketika menjawab soalan Takiyuddin Hassan pada 4 April lalu yang menyatakan kesediaan untuk berunding dengan China sehubungan tuntutannya di Laut China Selatan melalui kenyataan beliau sebelum ini.

Kenyataan Anwar di Parlimen ini dilaporkan oleh banyak media antarabangsa termasuk oleh South China Morning Post dengan tajuk “South China Sea: Malaysia ‘ready to negotiate’ with Beijing over disputed waterway, PM says” yang memberi indikasi Malaysia sedia berunding.

Dalam kenyataan tersebut Anwar berkata kepada Perdana Menteri China, Li Qiang, dan juga Presiden China, Xi Jinping: “Kalau negara China merasakan (perairan) ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan. Akan tetapi sementara itu, usaha kita untuk cari gali akan kita teruskan.” 

Kenyataan ini amat jelas menunjukkan kelemahan beliau mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam soal pencerobohan kapal China, Anwar berkata: “Tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China, itu perairan antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran akan mengeluarkan bantahan.”

Sebab itulah ramai yang bersetuju dengan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin, bahawa kenyataan sedemikian adalah cuai dan ia secara tidak langsung memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.

Apa lagi bila pencerobohan kapal China terus berlaku selepas itu, termasuk oleh kapal Haiyang Dizhi 8 yang diiringi oleh 3 kapal tentera China dan China Coast Guard 5202 di ZEE Malaysia pada Jun lalu tetapi tiada sebarang bantahan keras daripada pemimpin tinggi kerajaan.

Semua ini, selain publisiti berlebihan ke atas kejayaan Malaysia meraih komitmen pelaburan yang tertinggi bernilai RM170 bilion dari China hasil daripada 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia sewaktu lawatan Anrwar ke sana, menjadikan China naik lemak.

Kita tidak boleh menyalahkan pemimpin China dalam soal ini kerana untuk berjaya dalam tuntutan ke atas sesuatu kawasan ia perlu melakukan tentangan berterusan dan menunjukkan pendudukan efektif ke atas kawasan tersebut dengan menghantar tentera, nelayan dan mengeluarkan peta baharu.

Inilah yang dilakukan oleh pemimpin China tetapi tidak dilakukan oleh pemimpin Malaysia yang lebih banyak berdiam diri semata-mata untuk menjaga hati atau mengelakkan insiden tidak diingini atau mengeluarkan kenyataan lembut yang menggambarkan cubaan untuk mengakomodasi.

Untuk menunjukkan ketegasan kerajaan dalam mempertahankan hak kedaulatan di dalam perairan negara, Menteri Luar sepatutnya perlu memanggil Duta Besar China untuk menyatakan bantahan rasmi ke atas pengeluaran “Peta Standard China Edisi 2023” ini.

Lebih utama lagi, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) juga perlu diarahkan untuk segera mengeluarkan peta terkini Malaysia, yang menunjukkan persempadanan negara, termasuk hak ke atas perairan di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan peta lama negara yang terakhir dibuat pada 1979 selaras dengan peta baru China ini dan peta baru Indonesia pada 2017.

Kerajaan tidak perlu takut kepada China kerana sempadan Maritim China yang dikatakan berada dalam kawasan “nine-dashed-lines” (kini dijadikan “ten-dashed-lines”) adalah tidak sah dan bertentangan dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Mohd Fuad Mohd Salleh adalah ketua pegawai eksekutif Yayasan Strategik Lestari.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.