- Iklan -
Kolum

Kesedaran Melayu adalah 3R?

Saya timbulkan tentang mengapa nama Tanah Melayu ini ditukar menjadi Malaya dan kemudiannya Malaysia.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah diumumkan. 

Pengundi di enam negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan memilih kerajaan baru pada Sabtu 12 Ogos 2023.

Kempen sedang rancak berjalan. Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan 15 isi kempen ialah kisah Najib Razak mencuri duit melalui 1MDB. 

Rosmah Mansor menjadi bola tanggung yang membawa kemenangan. Lawan kleptokrasi dan tangkap Najib menjadi slogan.

Hasilnya kita lihat United Malays National Organisation (Umno) terduduk kalah. 

Hasilnya Najib dimasukkan ke dalam penjara. Rosmah dihukum 10 tahun penjara. 

Dan belasan lagi “pencuri dan  kleptokrat” ditangkap, dibicarakan dan menunggu hukuman.
 
Kali ini kleptokrat yang diwakili oleh sosok Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi masih dalam kerajaan.

Agenda melawan kleptokrasi agak kendur malah kurang didengar.

Kempen PRN kali ini yang dimunculkan adalah persoalan dan kesedaran Melayu.

Saya sendiri sudah menulis beberapa persoalan Melayu. 

Saya timbulkan tentang mengapa nama Tanah Melayu ini ditukar menjadi Malaya dan kemudiannya Malaysia. 

Saya juga menimbulkan mengapa nama Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi ditukar menjadi Bangsar South.

Perkara-perkara ini sudah saya tulis lebih awal sebelum kempen bermula. 

Saya bukan nak menumpang semangkuk dalam PRN kali ini. 

Tulisan saya muncul berbulan lebih awal lagi. 

Ini penerusan wadah perbincangan yang saya rakam dalam buku Persoalan Nasional.  

Buku ini diterbitkan sebelum “Virus Wuhan” atau Covid-19 sampai.

Saya menulis dalam kerangka untuk menimbulkan kesedaran tentang jati diri dan identiti diri. 

Tulisan saya bertujuan untuk melahirkan satu negara bangsa.

Malah tesis yang saya ajukan adalah betapa perlunya ada satu Tunjang Bangsa yang menjadi rujukan kepada negara kita ini. 

Saya penuh yakin bahawa Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak ini milik anak semua bangsa dan bangsa semua agama.

Pada masa yang sama, perlu ada satu bangsa yang menjadi tunjung sebagai rujukan dalam usaha membina negara bangsa.

Dari DNA sejarah bangsa atau tunjang bangsa itu pastilah Bani Melayu.

Saya menggunakan rujukan empirikal untuk memperkuatkan hujah. 

DNA United Kingdom

Saya melihat dan mengalami hidup di United Kingdom (UK).  

Memang benar di UK ketika ini ada pelbagai DNA bangsa yang menjadi warga negara.

Bancian tahun 2021 mendapati 18% warga UK bukan berkulit putih. Bukan penduduk asal. 

Mereka adalah pendatang dari pelbagai pelusuk, ada hitam, coklat, kuning dan ada sawo matang.

Malah untuk pertama kalinya sosok yang berkulit bukan putih menjadi perdana menteri UK.

Majoriti pendatang ini anak bangsa dari negara bekas jajahan Inggeris.

Tetapi tunjang budaya kepada UK masih lagi Anglo Saxon. 

Land dalam bahasa Melayu bermakna tanah.  

England bermakna tanah bumi milik English. Scotland tanah bumi milik Scott. Ireland tanah bumi milik Irish.

Pendatang lama dan baru wajib terima “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. 

Tidak ada “heek” tidak ada “hook”, semua pendatang tunduk kepada Bumiputera pemilik asal bumi UK.

Di UK tidak ada larangan untuk pendatang India, pendatang China atau pendatang Afrika untuk mengamalkan budaya dan adat resam masing-masing.

Homosexual, lesbian, gay dan transgender (LGBT), bukan satu jenayah di UK malah dirayakan. 

Jika imigran Tok Arab atau mullah atau pak lebai dari Pakistan atau sesiapa yang tak suka LGBT boleh berambus dan nyah dari UK.

Tempat makan jangan jadikan tempat terberak. Jangan lupa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Ini tidak berlaku di Tanah Melayu. Negara bangsa kita hari ini masih caca merba dan kacau bilau.  

Ini hasil daripada dasar siasah United Malays National Organisation (Umno).  

Parti yang mendakwa mengajukan konsep “ketuanan Melayu” bersekongkol dengan British untuk memadamkan semangat nasionalisme Melayu.

Jangan lupa sejarah Perlembagaan Rakyat 1947 di mana sesiapa sahaja yang lahir di bumi Tanah Melayu ini termasuk Singapura akan ditakrif sebagai Melayu.

Ini perlembagaan yang ditulis oleh anak watan iaitu Bani Melayu. 

Ini kerjasama Putera dengan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA). 

Ini bukan perlembagaan yang di gubal oleh Lord William Reid pada tahun 1956.

Projek Melayu dalam Perlembagaan Rakyat 1947 ini dijawab oleh British dan pembantunya Umnodengan Darurat 1948. 

Umno bersekongkol dengan British

Kaum nasionalis dan kaum kiri ditangkap, dipenjara, dibuang negeri dan dibunuh.

Projek mendirikan negara bangsa digagalkan oleh kolonial Inggeris dengan kerjasama Umno.

Apabila British meninggalkan Tanah Melayu, parti Ketuanan Melayu yang dikepalai oleh kaum feudal Melayu bersekongkol dengan  tauke Cina dan kelas mandur India.  

Mereka menubuhkan gabungan parti berasaskan kaum, apa yang dikenali sebagai Perikatan.

Parti Perikatan ini adalah boneka Inggeris. Mereka mendapat kuasa daripada Inggeris. 

Mereka mengamalkan budaya buah kelapa, “hitam di luar, putih di dalam”.

Mengapa ini berlaku? Mengapa sejarah ini terjadi?

Sejarah membuktikan bagaimana para nasionalis Melayu telah dihambat dan dimusnahkan. Parti mereka di haramkan. Gerakan mereka di halang.  

Pasca Perang Dunia Kedua, gerakan melawan British memuncak. 

Ada setia kawan yang terjalin antara Bani Melayu dengan pendatang asing dari China dan India, yang mahu menganggap Tanah Melayu sebagai negara mereka.

Kaum nasionalis Melayulah yang melaungkan slogan “Merdeka!” 

Kaum nasionalis Melayu yang bersedia untuk menerima kaum imigran sebagai Melayu.

Nasionalis Melayu melaungkan Merdeka ini kerana Tanah Melayu adalah tanah tumpah darah mereka. 

Melayu bukan Cina yang ada Tanah Besar dan Taiwan. Melayu bukan India yang ada Tamil Nadu dan Ceylon.

Bani Melayu hanya ada Tanah Melayu. Justeru mati atau merdeka.

Kaum nasionalis Melayu ini dianggap bahaya dan ditakrif sebagai musuh utama oleh British. 

Nama seperti Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestamam dan Shamsiah Fakeh sedang mengancam kuasa kolonial Inggeris.  

Justeru nasionalis Melayu wajib dihapus dan dimusnahkan.

Kuasa kolonial Inggeris terdesak hasil gerakan para nasionalis maka pada 20 Jun 1948 Darurat diisytiharkan. 

Nasionalis ditangkap dan diburu. Mana yang sempat lari masuk ke hutan dan mengangkat senjata.

Perjuangan bersenjata melawan British di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM) dimulakan.

Mengapa saya menimbulkan fakta sejarah lama ini?

Untuk saya  mengenali sejarah itu wajib. Dari DNA sejarah kita tahu asal usul kita. 

Meneliti sejarah maka kita tahu DNA siasah kita hari ini adalah hasil DNA persejarahan lampau.

Mengenal Kampung Kerinchi, Pantai Dalam adalah mengenal sejarah bangsa. 

Menamakan Pantai Dalam sebagai Bangsar South adalah jenayah.

Rohingya dinafikan nama dan tanah air mereka. Dan sejarah dipadam akhirnya mereka dibunuh beramai-ramai.

Di Palestin, tanah air mereka dirampas. 

Nama negara, nama jalan, nama kampung mereka dimansuhkan. 

Mereka dilayan seperti menjadi pendatang di tanah air sendiri.

Apakah Bani Melayu akan menjadi Rohingya? Apakah Tanah Melayu akan menjadi Palestin?

Soalan saya ini mungkin dibaca agak keterlaluan.  

Soalan saya ini dianggap “over the top”. 

Mungkin pada tahap ini saya tidak betul. Mungkin saya silap besar.

Menteri ceroboh kastam

Tetapi saya ingin bertanya bagaimana dengan kes menteri yang menceroboh ke kawasan kastam di KLIA dan melepaskan warga dari China yang dilarang masuk?

Apakah saya rasis apabila saya bertanya hal ini?

Bagaimana pula jika saya bertanya ke mana hilangnya 1.2 juta warga China yang masuk sebagai pelancong kemudian hilang di Tanah Melayu.

Apakah ada kemungkinan warga China ini akan mengubah demografi Tanah Melayu?

Apakah perkara yang saya tanya ini dianggap rasis?

Bila saya bertanya hal-hal ini saya teringat apa yang berlaku di Paris tiga minggu dulu. 

Warga kota Paris dan beberapa kota lain keluar mengamuk.

Mereka membakar bangunan, kereta, bas dan memecahkah pintu kedai. 

Mereka bertempur dengan polis. Keadaan darurat berlaku. 

Beberapa wilayah dalam kota Paris ditutup. Malah Presiden Macron terpaksa membatalkan lawatan rasmi ke Jerman.

Warga Paris mengamuk kerana seorang anak muda berumur 17 tahun dari keturunan Arab mati ditembak polis yang berkulit putih. 

Kesalahan lalu lintas  memandu tanpa lesen.

Lalu dihebohkan bahawa yang mengamuk ini adalah generasi kedua atau ketiga imigran yang berasal dari luar Perancis. 

Mereka keturunan Arab atau Afrika.  

Mereka dikatakan tercicir dari segi ekonomi. Mereka tidak mendapat bantuan kerana mereka memiliki nama yang ganjil dan tidak berkulit putih.

Warga Perancis yang berkulit putih dituduh rasis terhadap imigran yang berkulit tidak putih.

Apa kena mengena apa yang berlaku di Paris dengan siasah kita di Malaysia? 

Apa sangkut paut orang tidak berkulit putih di Perancis dengan kesedaran Melayu.

Di Perancis yang menuduh penduduk asal Perancis rasis ialah pendatang yang tercorot ekonomi mereka.

Di Malaysia yang menuduh Melayu rasis juga adalah pendatang yang bukan berasal dari Tanah Melayu.

Tapi ada bezanya. 

Di Perancis pendatang yang melaungkan rasis, rasis, rasis ini adalah warga miskin. 

Manakala di Tanah Melayu yang melaungkan rasis, rasis, rasis ini adalah juga pendatang tapi mereka yang memiliki punca kekayaan ekonomi negara ini.

Apakah pertanyaan dan kesedaran Melayu yang saya timbulkan ini jatuh ke dalam rangka 3R? 

Apakah semua ini soalan rasis dari Hishamuddin Rais?

Sila tunggu pencerahan pada minggu hadapan.