- Iklan -
Rencana

PH-BN tidak mampu tawan Kedah, Kelantan atau Terengganu

Ini kerana rakyat masih belum nampak perancangan jelas kerajaan PH-BN untuk mengatasi masalah ekonomi yang membelenggu rakyat dan negara pada masa ini.

Marzuki Mohamad
3 minit bacaan
Kongsi

Anwar Ibrahim membuat ramalan bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bakal merampas dua negeri pembangkang dalam PRN akan datang.

Negeri-negeri pembangkang ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu. Yang mana dua itu tidak dinyatakan.

Biasanya dalam membuat ramalan keputusan pilihan raya kita lihat “baseline” undi bagi setiap parti, iaitu jumlah undi yang diperoleh Perikatan Nasional (PN), BN dan PH dalam pilihan raya yang terdekat, iaitu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lepas. 

Cuma oleh kerana PH dan BN sudah bergabung, ada dua situasi yang bakal terjadi.

Pertama, situasi di mana berlaku pemindahan undi secara penuh antara PH dan BN, iaitu 100% pengundi BN dalam PRU 15 akan mengundi calon-calon PH dan begitulah juga sebaliknya 100% pengundi PH akan mengundi calon PN. 

Dalam situasi ini “baseline” PH-BN ialah jumlah undi PH campur jumlah undi BN yang diperoleh dalam PRU15.

Kedua, tidak berlaku full-vote transferability antara PH dan BN, iaitu pengundi BN tidak semestinya mengundi calon PH dan begitulah juga sebaliknya. 

Dalam situasi ini “baseline” gabungan PH-BN agak sukar untuk diramal melainkan ada kajian khusus mengenai vote transferability di ketiga-tiga negeri ini. 

Yang pasti, jika inilah keadaannya, “baseline” gabungan PH-BN akan menjadi lebih rendah daripada jumlah keseluruhan undi yang diperoleh oleh kedua-dua parti tersebut.

Saya tidak membuat kajian di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Jadi, saya tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan mengenainya. 

Namun, sekadar untuk rujukan, kajian saya di Selangor dan Negeri Sembilan menunjukkan tidak berlaku “full vote transferability” antara PH dan BN.

Untuk tujuan penulisan ini, saya andaikan berlaku “full-vote transferability” antara PH dan BN supaya mudah kita buat kiraan.

“Vote transferability” tidak menjadi isu bagi PN kerana PN tidak membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik lain. Jadi kita terima jumlah undi PN dalam PRU 15 sebagai “baseline” undi parti itu.

Jadi, mari kita lihat apa “baseline” undi parti-parti ini.

Di Kedah, jumlah undi yang diperolehi PN dalam PRU 15 ialah 664,720 (56%). Manakala undi yang diterima BN ialah 235,353 (20%) dan PH 281,523 (24%). 

Jumlah undi PH campur BN ialah 516, 876, iaitu kurang 147, 844 undi berbanding jumlah undi yang diterima PN. Ini bermakna, jika berlaku “full vote transferability” pun, gabungan PH-BN masih belum dapat tawan Kedah.

Untuk tawan Kedah, tanpa mengira peratusan keluar mengundi dan pertambahan pengundi baharu, gabungan PH-BN perlu memastikan berlaku swing lebih kurang 75,000 pengundi PN yang beralih menyokong PH-BN, di samping memujuk 100% pengundi BN supaya mengundi PH dan 100% pengundi PH mengundi BN.

Dalam PRK Padang Serai baru-baru ini, hal ini tidak berlaku. Yang terjadi ialah pengundi-pengundi BN mengundi calon PN menyebabkan PN menang kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti besar 16,260 undi menewaskan calon PH. Untuk rekod, Padang Serai adalah antara kubu kuat PH. 

Di Kelantan, jumlah undi yang diterima PN ialah 631,201 (64%), BN 265,666 (27%) dan PH 87,293 (9%). Di Terengganu pula, jumlah undi yang diterima PN ialah 461,509 (62%), BN 234,392 (32%) dan PH 40,645 (5%).

Tuan-tuan boleh kira sendiri jumlah undi gabungan PH-BN dan berapa jumlah “swing vote” yang diperlukan untuk mereka tawan Kelantan dan Terengganu.

Soalnya, jika berlaku sekalipun “full-vote transferability” antara PH dan BN (yang saya sangsi), adakah akan berlaku “swing” pengundi PN kepada PH-BN?

Yang kita dengar ialah ramai orang Umno tidak puas hati dengan kepimpinan parti mereka sendiri membentuk kerjasama dengan PH yang di dalamnya ada DAP. Kemungkinan berlaku undi protes dalam kalangan penyokong UMNO dalam PRN nanti tidak boleh ditolak.

Selain itu, tidak ada apa-apa “feel good factor” yang boleh menjadi sebab “swing” pengundi PN kepada PH. 

Masalah kenaikan harga barang dan inflasi, kenaikan tarif elektrik, kenaikan OPR, kejatuhan nilai ringgit dan lain-lain yang berkaitan dengan ekonomi dan kos sara hidup rakyat masih tidak dapat ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PH-BN.

Rakyat masih belum nampak perancangan jelas kerajaan PH-BN untuk mengatasi masalah ekonomi yang membelenggu rakyat dan negara pada masa ini. Ini liabiliti paling besar PH-BN.

Justeru, apa pun yang diramal oleh Perdana Menteri, saya sangsi ada “swing” besar pengundi PN kepada PH-BN yang membolehkan gabungan parti itu menawan Kedah, Kelantan atau Terengganu dalam PRN nanti.

Marzuki Mohamad merupakan bekas ketua setiausaha sulit kepada PM8.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.