- Iklan -
Kolum

Nama dan identiti diri

Saya ternampak papan tanda Lido Beach tidak jauh dari kota Venice.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Ada apa pada nama? William Shakespeare bertanya: “What's In A Name? That which we call a rose. By any other name would smell as sweet.”

Bunga mawar dipanggil apa pun masih wangi. Ini kata-kata Shakespeare dalam bangsawan Romeo dan Juliet.

Hishamuddin Rais tidak menyanggah ayat ini. Betul apa pun nama, bunga mawar baunya masih wangi. 

Tetapi untuk saya nama ini memiliki pertalian sejarah dan jati diri.  Nama melambangkan jati diri. Nama adalah identiti. Nama kita adalah siapa kita. 

Siapa kita adalah jumlah pengumpulan semua sejarah daripada seluruh kewujudan kita.

Nama walau pun singkat, pasti memberi tanda dan makna. Nama perakam sejarah bahawa kita wujud.

Sebut saja nama Tunku Abdul Rahman, kita akan tergambar lakaran sejarah tentang nama ini. 

Sebut saja nama Botak Chin atau Bentong Kali, kita akan tahu sejarah sosok ini.  

Sebut saja nama Hang Tuah dan Hang Jebat kita akan tahu siapa pro-raja dan siapa pro-keadilan.

Atau sebut saja nama Melaka, maka kita akan tergambar persejarahan kota ini. 

Daripada tentera Portugis, ke Belanda, ke Inggeris dan ke hari Tunku berlabuh di Melaka sepulang dari England berunding untuk kemerdekaan Tanah Melayu.

Justeru inilah yang dibawa oleh nama. Nama bukan satu perkara yang kecik anak. Nama juga melambangkan keluarga. Nama keluarga membawa ke kampung dan desa. 

Membawa ke mukim dan daerah. Dari mukim dan daerah lahirlah apa yang kita panggil tanah air. 

Tanah air kita kenali sebagai negara.  Tanah air kita adalah Tanah Melayu atau “land of the Malays”.

Nama Tanah Melayu ini dengan kasar lagi lucah ditukar menjadi Malaya dan kemudian Malaysia. 

Ini jenayah besar yang dilakukan oleh United Malays National Organisation (Umno).

Nama ini bukan perkara yang kecik anak. Kali pertama saya sampai ke Kota Bharu Kelantan ketika cuti panjang bulan Disember tahun 1973.  

Ini ketika Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) bergerak dengan bas miliknya ke Pantai Timur untuk menyebarkan akhbar Mahasiswa Negara.

Saya mengenali bandar Kota Bharu ini melalui penulisan. Saya selalu terbaca berita tentang Kota Bharu. Dari beberapa cerpen dan novel saya juga dikenalkan dengan Biarritz Park dan Pantai Cinta Berahi.  

Biarritz Park ini dari apa yang saya baca adalah taman hiburan yang moden dalam pekan Kota Bharu. 

Di Biarritz Park, “mek” dan “awe” sering berjumpa dan akhirnya memandu kasih bercengkerama di Pantai Cinta Berahi.

Mek yang bekerja sebagai pelayan di Biarritz Park melayan ramai pelanggan. Awe jadi cemburu. 

Terjadi pergaduhan di Pantai Cinta Berahi. Kapak kecil menjadi senjata pergaduhan.

Ini kisah Biarritz Park yang saya baca.

Pada tahun 1971, saya membuat khidmat sosial untuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM).

Saya dihantar ke kampung nelayan bernama Kampung Danga di Johor Bahru. Ketika di kampung ini, saya bertemu dengan Pantai Lido.

Nama Lido ini tidak pula asing untuk saya. Dari kecil lagi saya sudah mendengar nama Lido. 

Ini kerana di Seremban ada panggung wayang bernama Lido. Biarritz dan Lido, saya tidak tahu dari mana asal usul mereka. 

Saya tidak tahu kenapa Biarritz Park ada di Kota Bharu. Kenapa Pantai Lido ada di Johor Bahru.

Pada tahun 1987 saya menaiki bas dari Brussels, Belgium menuju ke San Sebastian, kota Basque di utara Sepanyol. Perjalanan melintas kota Paris.

Sebelum memasuki sempadan Sepanyol, saya ternampak papan iklan di lebuh raya. 

Papan tanda terpampang mengarah ke Biarritz dan Saint Jean de Luz.

Oh! Baru saya sedar rupa-rupanya dari sini asal usul nama Biarritz. 

Dari apa yang saya baca Biarritz ini kota pantai yang lumayan di mana sosok-sosok warga Eropah yang kaya-raya lagi ternama berfoya-foya dan bercanda-canda di tepi pantai Atlantik.

Tahun 1988, saya dengan kawan-kawan pelajar Malaysia di kota London merayau ke tanah besar Eropah. 

Dari Belgium kami berkereta hingga ke ke Itali. Di Itali kami sampai ke Venice. Ketika ini musim panas. Saya ternampak papan tanda Lido Beach tidak jauh dari kota Venice.

Oh! Baru saya sedar dari sini asal usul nama Lido. Bagaimana nama pantai ini tersangkut dengan panggung wayang di Seremban agak membingungkan.

Maka saya membuat rumusan pastilah nama Pantai Lido dan Biarritz Park ini diberi nama oleh penjajah Inggeris ketika mereka menjajah Tanah Melayu. 

Nama-nama ini adalah dari tempat dan wilayah mereka. Nama-nama import dari Eropah.

Bila Orang Putih sudah balik kampung maka kita wajib menobatkan Lido Beach sebagai Pantai Tanjung Puteri. 

Manakala Biarritz Park yang pernah dinobat sebagai “Paris of Malaya” sudah wafat. 

Pada hemat saya kita perlu dirikan batu nisan, papan tanda untuk memperingati sejarahnya.

Apa yang menjadi pelik sekarang ini ialah wujudnya nama-nama pekan dan wilayah yang masih menggunakan nama yang tidak ada bersangkutan dengan sejarah tempatan. 

Semua ini nama peninggalan penjajah. Masih ada lagi nama seperti Butterworth, Pulau Carey, Cameron Highlands, Bukit Fraser, Bukit Maxwell, semua ini nama peninggalan penjajah.  

Nama-nama ini tidak ada pertalian dengan anak watan warga asli tempat itu.

Tidak tersangkut dengan sejarah Bani Melayu dan amat jauh sekali dari sejarah Orang Asli.

Pada hemat saya setelah penjajah balik kampung, maka sampai masanya nama Tanjung menggantikan nama Georgetown.    

Munculkan pencerahan sejarah bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah. 

Sama seperti Singapura sebahagian daripada bumi Johor dan sebahagian dari Tanah Melayu.

Ini bukan kerana saya anak Kedah atau saya Melayu maka saya mahu Georgetown dipanggil Tanjung. Bukan, bukan, bukan.  

Orang Melayu di utara semua memanggil Georgetown sebagai Tanjung. 

Ini nama asal sebelum penjajah menobatkan bandar ini sebagai milik King George.

Justeru nama ini bukan perkara kecik anak. Siapa tidak tahu sejarah akan tidak tahu asal usul mereka. 

Tidak tahu dari mana mereka datang maka pasti mereka tidak tahu ke mana mereka hendak pergi. 

Jangan lupa percubaan untuk melupuskan nama daerah Jelebu daripada sejarah penduduk asal.  

Ada ustaz yang memberi ceramah karut bagaimana Jelebu diterokai oleh seorang sahabat Nabi.

Mengaitkan Jelebu dengan sahabat Nabi sama seperti penjajah Inggeris menamakan Tanjung sebagai Georgetown. 

Penjajah dan sang ustaz memiliki niat jahat untuk melupuskan identiti dan sejarah tempat itu.

Melupuskan identiti adalah langkah pertama untuk mengubah hak pemilik tanah atau tempat tersebut.  

Tanah Melayu menjadi Malaya.  Ini membuktikan bahawa Malayland ini sudah jadi Malaya milik Inggeris. Ini taktik penjajah. 

Pada masa yang sama kita juga wajib menilai identiti kita sendiri. Kita juga wajib mengenal siapa kita.  

Ada nama-nama daerah dan tempat yang asalnya asli tetapi kita ubah namanya. 

Pada hemat saya ini adalah bukti kejulingan fikrah kita sendiri.

Kalau penjajah mengubah nama, ini boleh difahami. Ini kerana mereka mahu menjadikan sesuatu wilayah itu hak miliki mereka. 

Kalau pemaju “buah kelapa” menukar nama Pantai Dalam menjadi Bangsar South saya sedar.  

Fikrah saya tercabar. Mereka mahu mengenepikan sejarah Melayu tempat itu. 

Kalau penjajah kita halau mereka keluar dari negara.  Kalau pemaju “buah kelapa” warga tempatan apakah wajib kita pelangkung mereka.

Pemaju “buah kelapa” ini ialah  konsep diperkenalkan saya, Hishamuddin Rais. 

Pemaju buah kelapa ini bontotnya hitam tetapi dalam kepala otaknya berlagak macam Orang Putih. 

Selain daripada budaya buah kelapa ini ada lagi satu jenis warga tempatan yang tidak  tahu sejarah dan jati diri. 

Mereka tidak tahu pergi atau datang. Duduk atau berdiri. Tidak tahu siapa diri mereka sendiri.

Fikrah mereka juling, lucah dan kotor. Saya buktikan wujudiah mereka ini melalui Batang Berjuntai yang diubah nama untuk menjadi Bestari Jaya. 

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa aliran sungai itu juga boleh dipanggil batang.

Batang Kali ialah laluan sungai. Kali dalam bahasa Jawa ialah sungai.  

Di tempat asal usul saya Kampung Tengkek ada Batang Muar. Ini cabang dari Sungai Muar. 

Justeru Batang Berjuntai di sini tidak ada sangkut paut dengan alat kemaluan lelaki.  

Hanya fikrah yang juling lucah lagi kotor yang berupaya menggambarkan Batang Berjuntai sebagai kemaluan lelaki yang terkeluar daripada seluarnya yang koyak.

Sepulang daripada 20 tahun berkelana, saya merasa agak sedih apabila saya mendapat tahu Pantai Cinta Berahi sudah menjadi Pantai Cahaya Bulan.

Ini bukan hasil fikrah pemaju jenis buah kelapa. Ini fikrah lucah lagi kacau. 

Bila melihat ombak laut dan pantai pasir terhampar, dalam otak yang dilihat hanya kemaluan lelaki dan kemaluan perempuan. 

Menukar Pantai Cinta Berahi ke Pantai Cahaya Bulan adalah manifestasi hilang identiti diri. 

Konon menyucikan diri. Mereka ingin jadi Arab. Mereka mahu menjadikan Melayu ini seperti Taliban. 

Dalam kepala pak lebai, nak jadi Arab ini tidak ada yang lain melainkan seksual dan bersenggama. 

Saya bersetuju dengan pandangan sasterawan Milan Kundera dari Republik Czech yang berkata “forgetting is a crime, melupakan ialah satu jenayah.”

Jika melupakan satu jenayah bagaimana pula dengan segala usaha dan tenaga untuk melupus dan memadamkan.  

Batang Berjuntai, Pantai Cinta Berahi atau Tanjung?

Pasti ada yang boleh kita sama-sama lakukan dalam usaha untuk membina negara bangsa untuk anak semua bangsa. 

Tunggu minggu hadapan.