- Iklan -
Kolum

Menengok anak bulan

Islam Budaya ialah Islam Budaya Melayu bukan Islam Budaya Arab.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Bila bulan Ramadan bermula, penganut agama Islam akan berpuasa. 

Bila bulan Syawal bermula, tanda kita berhari raya.   

Bila dua detik ini sampai, kita akan mula sibuk membincangkan bila anak bulan akan ditengok. 

Menengok anak bulan ini sudah menjadi sebahagian daripada budaya kita.

Anak bulan muncul menandakan bulan bertukar. Dari bulan Ramadan masuk ke bulan Syawal.

Menengok anak bulan ini mengembalikan ke zaman aku mula dididik oleh alam sekeliling untuk belajar menghayati Islam Budaya.

Hari ini aku menjadi penganut Islam Budaya yang tegar. 

Menengok anak bulan ini menjadi ciri-ciri Islam Budaya.   

Budaya yang aku maksudkan ini budaya Melayu bukan budaya Arab.  

Islam Budaya ialah Islam Budaya Melayu bukan Islam Budaya Arab.

Zaman aku membesar tidak adalah hari yang paling dinanti-nantikan melainkan Hari Raya. 

Ini adalah hari pesta-pestaan yang ditunggu dengan sabar.

Bila akan sampai masa untuk berpesta ini semuanya bermula daripada melihat anak bulan. 

Ketika membesar aku tidak faham pun bagaimana cara melihat anak bulan itu. 

Malah hingga ke hari ini aku masih lagi bebal dalam hal ini.

Arwah emak aku seorang guru pernah bersurah bagaimana akan ada Pak Lebai dan Pak Haji akan pergi ke Teluk Kemang, Port Dickson untuk meneropong anak bulan. 

Dikatakan cahaya anak bulan ini akan melintas beberapa saat dalam bayangan air laut. 

Jika terlihat maka puasa akan bermula hari esoknya.

Ini ilmu pengetahuan yang aku terima ketika aku membesar.

Untuk aku melihat, menanti atau menunggu apakah anak bulan akan muncul menjadikan aku penuh “suspends” dengan debaran.

Hati berdebar menunggu bukan kerana aku hendak berpuasa. Tidak.  

Aku menunggu berita anak bulan dan bila mula berpuasa kerana ini menjadi tarikh permulaan sebulan yang penuh dengan makanan yang enak. 

Bulan puasa bulan di mana orang dewasa berlapar pada siang hari dan satu keluarga menjamu selera bila matahari terbenam.

Segala jenis kuih muih akan muncul. Segala lepat dan pengat akan dihidangkan. 

“Janda Pulang” dan “Puteri Mandi” akan hadir kembali. Kuih kelepong gula kabung menjadi tarikan.

Di rumah aku gulai ikan sawah akan menjadi hidangan istimewa. 

Paling istimewa jika gulai umbut kelapa atau umbut bayas datang menjelma, Hakikatnya sebulan Ramadan adalah sebulan kami kanak-kanak akan berpesta.

Puasa?

Aku tidak berpuasa di zaman kanak-kanak.  

Di zaman itu ada  pantun seloka untuk kanak-kanak menyambut bulan puasa. 

Setiap kali ditanya oleh orang dewasa apakah aku berpuasa maka jawapan:

Puasa mesti puasa,
Puasa yang yuk,
Pagi pagi buka periuk.

Aku masih ingat lagi ketika aku membesar di Kampung Tengkek kami tiada jam dan radio. 

Aku menunggu hari petang. Menunggu matahari turun untuk berbuka puasa.

Di kampung tanda berbuka puasa bila bunyi beduk di masjid kedengaran dipukul. 

Untuk kampung aku kami mendengar beduk dari Masjid Majau. 

Beduk masjid ini macam rebana. 

Kayu balak yang telah dikelompongkan isi dalamnya dan ditutup dengan kulit lembut. 

Bila diketuk bunyinya bergenang ke seluruh kampung.

“Wan dah boleh berbuka atau belum?” 

Aku melaung bertanya kepada Wan Rahmah yang amalan agamanya tidak pernah tinggal.

“Tengok bulu roma, kalau tak nampak baru boleh berbuka.” Wan Rahmah aku memberi fatwa.

Bila aku melihat bulu roma di lengan aku, matahari dah condong tapi belum gelap.  

Aku masih dapat melihat bulu roma di lengan aku.

Untuk mempercepatkan waktu berbuka aku berlari ke bawah pokok nangka untuk melihat bulu roma.

“Wan, dah tak nampak bulu roma.” Aku cuba membuat konspirasi agar dapat berbuka awal.

“Duduk bawah pokok tak achi.” Wan Rahmah aku berfatwa lagi.

Bila keluarga kami berpindah ke Kuala Klawang, Jelebu suasana berubah. 

Dari orang kampung kini kami menjadi orang pekan. 

Tetapi melihat anak bulan masih sesuatu yang akan aku beri perhatian rapi.

Di Kuala Klawang kami duduk di pinggir pekan. 

Daerah Jelebu ada Datuk Undang sebagai kepala adat. Di hadapan balai undang ini ada meriam.

Jadi untuk mengumumkan bila masa berbuka, meriam Datuk Undang akan berbunyi. 

Ini hanya adat Jelebu kerana tidak mungkin seluruh Jelebu akan dapat mendengar bunyi meriam Datuk Undang.

Tapi untuk aku ini adalah ciri Islam Budaya. 

Budaya adat istiadat Melayu yang berjumpa dengan agama Arab untuk melahirkan Islam Budaya.

Pernah satu tahun di Kuala Klawang ketika itu aku masih belum masuk ke sekolah. 

Petang Khamis itu aku difahamkan Pak Haji dan Pak Lebai akan meneropong anak bulan di Teluk Kemang.

Untuk menyeramkan cerita pada petang itu, langit mendung dan hujan renyai mula turun. 

Aku memandang ke langit dan melihat awan yang makin gelap. 

Bayangkan betapa kecewanya hati aku. 

Melihat cuaca di Jelebu aku merasa cuaca yang sama juga terjadi di Teluk Kemang.

Ketika kami berbuka aku terus memasang telinga untuk mendengar Warta Berita dari Radio Malaya.

Aku nak tahu Hari Raya jatuh pada hari Jumaat atau hari Sabtu.

“Pemegang Mohor Besar Raja-Raja Melayu, mengumumkan anak bulan tidak kelihatan di Teluk Kemang.

“Maka hari raya jatuh pada hari Sabtu.” Juruhebah membacakan berita yang aku tunggu-tunggu.

“Port Dickson hujan, sini hujan tu pasal bulan tak nampak.” Kata-kata aku yang tidak berasakan ilmu cuaca.  

Waktu bersahur juga menarik. 

Bersahur berpandukan kokok ayam jantan. 

Bila Subuh nak sampai lepas tengah malam dinihari ayam di kampung akan berkokok.

Kokok ayam juga menjadi penanda waktu bila akan tamatnya waktu bersahur.

Awas! Walaupun zaman berubah sudah ada radio dan jam tangan tapi bila hari nak raya, ini masih menjadi kontroversi. 

Melihat anak bulan ini masih menjadi agenda utama setiap tahun.

Aku ingat lagi ada satu kali aku dengar bagaimana Perak beraya hari Jumaat manakala Negeri Sembilan beraya hari Sabtu.

Pernah juga aku terdengar bagaimana orang Tampin beraya sehari lebih awal daripada Orang Jelebu.  

Apa yang aku difahamkan perselisihan ini berlaku kerana ada yang mengikut kiraan matahari dan bulan mengikut Ilmu Falak. Untuk aku pengamal Islam Budaya, aku setia mengikut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu.

Sekarang di zaman internet  masih ada lagi kontroversi tentang bila tarikh hari raya. 

Kalau dulu yang aku dengar hanya Perak raya awal daripada Negeri Sembilan. 

Kali ini melalui internet, aku juga boleh membaca  tahun lalu Indonesia dan Arab Saudi beraya lebih awal daripada kita di Malaysia.

Internet sudah memungkinkan kita mengetahui apa yang sedang berlaku ratusan ribu batu dari kampung kita.

Teknologi dan modeniti juga mengubah dan menambah ciri-ciri baru Islam Budaya.

Di Jelebu tidak perlu lagi meriam Datuk Undang. 

Azan masjid berkumandang menandakan bila masuk waktu berbuka puasa.  

Saat dan waktu dijaga oleh arloji dalam poket sendiri. 

Telefon bimbit akan memberikan waktu yang tepat.

Teknologi membolehkan kita mengetahui jam berapa kita wajib berhenti makan sesudah bersahur.

Teknologi juga memberikan kita peluang untuk melihat bagaimana warga di Beirut atau di Karachi berbuka puasa.

Budaya berpuasa dan beraya juga ada penambahan. 

Dari budaya “angpau Cina” bersampul merah kita alihkan dengan duit raya bersampul hijau.  

Ini penambahan ciri Islam Budaya yang tidak ada dalam al-Quran atau hadis. Ini budaya Melayu-Islam.

Dulu tidak ada Bazar Ramadan, tidak ada Bufet Berbuka di hotel. 

Kini ciri dan pola budaya berpuasa kita menjadi lebih kosmopolitan. 

Kuasa pasaran memunculkan ciri budaya baru.

Hari ini mungkin amat susah untuk ditemui gulai umbut bayas atau Janda Pulang, tetapi berbuka puasa tahun 2023 ini boleh disulam dengan Takoyaki masakan Jepun atau Kimchi sambal pedas dari Korea.

Aku sebagai penganut Islam Budaya merayakan semua yang baru ini.  

Dalam merayakan yang baru kita jangan lupa pada asas budaya, menengok anak bulan di Teluk Kemang.

Aku tidak ada masalah tarikh puasa dan raya tidak pernah ditentukan. 

Untuk aku hari raya tahun ini Jumaat atau Sabtu bukan satu masalah. 

Ini tanda kita masih merayakan budaya menengok anak bulan. 

Teluk Kemang, Port Dickson masih lagi menjadi tanda Islam Budaya.