- Iklan -
Wacana

Wujudkan Lembaga Pengampunan khas pengguna dadah sebagai peluang kedua

Pemberian pengampunan automatik ini ialah sebagai usaha memberi peluang kedua kepada mereka mencari rezeki untuk keluarga, mencari nafkah untuk diri sendiri dengan lebih selesa tanpa didiskriminasi oleh majikan.

Raja Azizan Suhaimi
4 minit bacaan
Kongsi
Hampir 100 bekas penagih dan keluarga penagih dadah yang sedang menjalani pemulihan hadir pada majlis berbuka puasa anjuran Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac) di Kuala Lumpur, 8 April.
Hampir 100 bekas penagih dan keluarga penagih dadah yang sedang menjalani pemulihan hadir pada majlis berbuka puasa anjuran Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac) di Kuala Lumpur, 8 April.

Perkembangan semasa mengenai Lembaga Pengampunan membawa sinar dan harapan baru kepada reformasi sistem hukuman kepada pengguna dadah di negara ini.

Malaysia mempunyai jumlah bekas pengguna bahan terlarang termasuk dadah yang ramai, berjumlah puluhan ribu sejak penggunaan dadah dijadikan satu kesalahan di Malaysia.

Mereka yang pernah terlibat dengan masalah pengambilan dadah ini, rata-ratanya insaf apabila dihukum kerana mempunyai sokongan rakan pemulih seperti bergaul bersama rakan-rakan yang pulih juga sebagai usaha kumpulan sokongan rakan sebaya agar mereka kekal pulih dan tidak kembali kepada pengambilan dadah.

Mereka ini sungguhpun telah cekal dan menguatkan hati untuk tidak kembali ke kancah dadah akibat hukuman undang-undang negara, bekas pengguna dadah ini amat sukar mendapat peluang pekerjaan kerana mempunyai rekod sebagai bekas pengguna dadah yang pernah dihukum penjara atau denda.

Sehubungan dengan perkembangan kerajaan kini dan ihsan perdana menteri membantu pesalah yang pernah dihukum melalui Lembaga Pengampunan, Masac ingin memohon jasa baik Anwar Ibrahim untuk dijadikan satu arahan pentadbirannya.

Ini membolehkan semua bekas penagih dadah yang menjalani hukuman selepas 5 tahun termasuk memiliki bahan terlarang itu untuk kegunaan sendiri dengan jumlah yang amat kecil untuk dijadikan sebagai automatik boleh diberi pengampunan penuh dan data mereka bebas dari rekod pernah dihukum.

Pemberian pengampunan automatik ini ialah sebagai usaha memberi peluang kedua kepada mereka mencari rezeki untuk keluarga, mencari nafkah untuk diri sendiri dengan lebih selesa tanpa didiskriminasi oleh majikan bagi membolehkan mereka juga hidup selesa di samping keluarga dengan pendapatan yang tinggi sejajar dengan kelayakan dan pengalaman mereka.

Pengguna dadah yang pernah dihukum kerana mengambil dadah atau ada dadah bersama mereka untuk penggunaan sendiri dengan jumlah kecil terus punah kehidupan mereka dari sudut kerjaya kerana tersilap langkah berkait dadah, sedangkan mereka ini juga mempunyai potensi luas membangunkan bersama ekonomi negara termasuk bidang yang lain juga.

Kurangnya timbang tara apabila rekod pekerja asing yang mungkin tidak selengkap negara ini yang memberikan mereka peluang pekerjaan di pelbagai bidang yang stabil dan berpendapatan tinggi di sini hanya kerana tiada rekod yang lengkap berkait permasalahan dadah mereka.

Keadaan memberi pengampunan penuh tanpa rekod kepada bekas pengguna dadah yang telah bebas ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta negara mampu tingkatkan jumlah tenaga kerja dalam negara.

Selain itu, boleh juga diberi peluang kepada bekas pengguna dadah yang bebas untuk sertai pekerjaan yang sering kurang mendapat minat ramai kerana kesusahan kerja seperti untuk masuk ke Angkatan Tentera Malaysia walau ada rekod pernah dihukum berkait dadah, dengan syarat bebas dadah, mereka ini akan amat patuh pada arahan kerana disiplin bebas dadah itu lebih pedih dari mengikut arahan semasa ketenteraan.

Masac juga sekali lagi ingin perdana menteri bersama barisan NGO berkait permasalahan sosial seperti dadah untuk bersama berbuka puasa pada tahun ini agar golongan ini tidak disishkan dari kepimpinan semasa pada hari ini.

Maklumat ingin berbuka bersama perdana menteri ini diperolehi semasa Majlis Berbuka Puasa menyantuni seramai hampir 100 orang bekas penagih dadah dan keluarga penagih dadah yang sedang menjalani pemulihan di pusat pemulihan oleh Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diadakan di Koptown EDC Hotel Kuala Lumpur pada 8 April lalu.

Tujuan program ini dijalankan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan komuniti bekas penagih dadah yang telah pulih dari ketagihan dan keluarga penagih dadah yang masih sedang menunggu ahli keluarga dalam proses pemulihan dari dadah ketika menjalani ibadah di bulan Ramadan. 

Majlis ini memberikan ruang kepada mereka untuk bertukar-tukar ilmu serta pengalaman bagi menghadapi serta memahami personaliti bekas penagih yang akan keluar dari pusat pemulihan untuk memastikan mereka akan terus jauhi dadah dengan sokongan ahli keluarga.

Pada majlis itu juga, presiden Masac memberikan sumbangan peribadi sebanyak RM300 kepada 10 NGO Gabungan Masac berjumlah keseluruhan sebanyak RM3,000 untuk menjalankan aktiviti berbuka puasa bersama klien mereka di rumah pemulihan masing-masing pada bulan ini.

Majlis dimulakan dengan tahlil ringkas bagi menghormati pemergian Timbalan Presiden Masac dan juga Presiden Pengasih, Ramli Abd Samad yang meninggal dunia pada jam 6 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat sakit “neuron disease”.

Majlis berbuka puasa ini turut dihadiri seramai 5 Pegawai MAIWP untuk bersama memeriahkan majlis berbuka puasa bersama bekas penagih dadah dan keluarga penagih dadah dalam rawatan pemulihan ini.

Rata-rata dari mereka tidak pernah berbuka puasa di mana-mana hotel seumur hidup dan peluang yang diberikan ini menjadi pembakar semangat untuk kekal bebas dadah dan bagi keluarga penagih dadah yang sedang menjalani rawatan.

Mereka amat berterima kasih kerana masih ada insan yang mempedulikan mereka dengan membawa mereka makan berbuka puasa di hotel dan pengalaman ini merupakan suatu yang amat berharga buat mereka yang akan dikenang sepanjang hidup mereka.

Pada majlis ini juga komuniti ini mengharapkan terma bekas penagih dadah yang sering digunakan kini, diubah kepada terma bekas pengguna dadah di seluruh negara bagi memberikan makna lebih baik usaha komuniti ini terus kekal pulih dari dadah dan jauhi stigma serta persepsi buruk bahawa pengguna dadah tidak boleh berubah kembali ke normal tanpa pengambilan dadah dalam diri mereka.

Masac turut mengharapkan satu Maahad Tahfiz Al Anwar Ibrahim diwujudkan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur dengan kerjasama dan bimbingan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT), Boustead, Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Ini bagi memberi peluang kepada bekas tentera yang terlibat dengan dadah yang kembali pulih untuk datang ke maahad ini dan mendalami ilmu agama serta menjadi tahfiz al-Quran untuk boleh balik dan mengajar komuniti di kampung halaman mereka.

Malah, boleh juga dibuka peluang ini kepada anak-anak bekas tentera yang dibuang kerana permasalahan dadah, termasuk anak-anak yang telah menjadi yatim atau pasangan tentera mereka bercerai akibat dadah.

Masac amat mengagumi pelbagai usaha YLTAT yang komited sebagai institusi yang berfokus kepada pendidikan dan kebajikan warga ATM.

YLTAT amat komited dalam  merangka inisiatif yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan kebajikan perwira negara serta ahli keluarga mereka dengan bekerjasama bersama pihak-pihak berkepentingan. 

Masac turut mempelawa mana-mana organisasi yang berminat mengadakan kerjasama sebegini untuk memberikan pelbagai peluang kepada golongan sasar bukan hanya bekas penagih dadah namun termasuk juga keluarga penagih dadah.

Ia sebagai sokongan mental dari masyarakat untuk memberikan para mereka yang berjaya pulih dari masalah penagihan dadah untuk terus pulih dan tidak merasa disisihkan masyarakat untuk kembali bersemangat baru membantu mereka yang memerlukan bantuan nasihat dan bimbingan berkait dadah.

Raja Azizan Suhaimi adalah setiausaha agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.