- Iklan -
Kolum

Dari Brickfields (Bahagian 3)

Lebih besar daripada besar. Ini  cara aku menjual drama 1MDB kepada Diqin dan kepada sesiapa saja.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Kisah yang aku kisahkan ini tidak berhujung. Cerita aku ini masih diteruskan. 

Kisah-kisah ini disambung dan bersambung.

Setiap cafe yang aku pernah singgah, setiap cawan kopi yang pernah aku pegang adalah penyambungan cerita.

Ketika aku duduk sendirian dalam cafe, aku akan menoleh ke kiri ke belakang ke hadapan. 

Mata aku pasti ternampak ada pelanggan yang tidak aku kenali duduk dalam cafe sama.

Kadangkala aku khayalkan siapa mereka? Rumah di mana? Berkeluarga, bujang atau duda? Atau sedang berkelana? 

Jika terlihat pasangan muda, maka aku tahu mereka sedang bercinta. 

Atau apakah sedang merancang untuk berumah tangga.

Jika ternampak dua mamat yang membawa fail, aku akan tersenyum.   

Dua mamat membuka fail ini pasti sedang berbincang hal perniagaan. 

Mungkin merancang untuk merasuah pegawai kerajaan agar projek diluluskan.

Setiap sosok yang bersantai di cafe pasti mereka ada cerita masing-masing. 

Sama seperti aku yang melayan secawan kopi sambil mengelamun tentang itu dan ini.

Pernah sekali di meja hadapan di Old Town White Coffee ketika aku sedang duduk dengan seorang kawan tiba-tiba melintas di hadapan aku seorang hamba Allah. 

Dia menoleh dan terus mengambil kerusi dari meja sebelah dan duduk di meja aku.

Aku cuba bersopan. Sebenarnya aku tidak suka jika ada orang lain yang tidak dalam perancangan datang duduk di meja aku. Untuk aku ini mengganggu.

Aku sendiri tidak pernah menarik kerusi datang ke meja sebelah walau pun di meja sebelah adalah kenalan. 

Untuk aku ini bukan dalam perancangan.

Kadang-kadang kita ke cafe untuk bersantai bersendirian. Jika aku tidak boleh bersendirian, maka aku gagal mencari bahagia.

“Dari mana bang?” Aku bersopan lagi.

“Sedang pasang kren nak buat bangunan.” Dengan bangga dia berkata.

Kemudian hamba Allah ini bercerita bahawa dia bekerja memasang kren. Memasang kren di atas bangunan. Ketika ini KL Sentral sedang dibina.

Aku pun hairan juga ada kren atas bangunan. Belum pernah aku lihat sebelum ini. Kerjanya pasti sulit.

Lalu dia bercerita yang dia pernah bekerja memasang kren di Dubai, Hong Kong dan di New York.   

Aku hanya mendengar. Sosok ini berkisah dengan pengalaman hebat membina bangunan pencakar langit.

Kemudian dia bertanya: “Kenal Shamsiah Fakeh?”  

Aku mengangguk kerana aku tahu siapa Shamsiah Fakeh ini.

Aku menunggu apa sambungan dari soalan yang dihamburkan.

“Saya ni, anak Shamsiah, anak yang ditinggalkan bila Shamsiah lari masuk hutan.”  

Mata aku terbuka. Bukan terperanjat kerana aku berhadapan dengan sejarah. 

Mata aku terbeliak kerana aku yakin mamat ini kaki temberang.

Mamat ini tidak tahu bahawa aku kenal dengan Jamal anak lelaki Shamsiah. 

Ketika Shamsiah wafat, aku turut sama mengangkat keranda jenazah untuk dimakamkan.

Malah kawan yang duduk sama di sebelah aku ketika mamat ini buka temberang adalah kenalan baik Jamaliah cucu kepada Shamsiah.

Sampai sekarang aku tidak tahu apa untungnya si mamat ini buka cerita anak Shamsiah Fakeh kepada aku, Hishamuddin Rais.

Ini satu kisah yang aku pungut dari Old Town White Coffee. Kisah yang mustahil aku lupakan.

Aku ingat lagi malam  had bulan Disember 2013, teater “Bilik Sulit” sedang dipentaskan di Temerloh. 

Aku lupa tarikh pementasan itu. Tapi aku tidak lupa bila mana selesai berteater aku dapat panggilan telefon daripada Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha agung PKR ini mahu berjumpa dengan aku esok, hari Isnin. Aku menolak kerana hari Isnin rutin aku menulis untuk kolum “Dari Brickfields”.

“Ini perkara lebih penting dari kolum, esok wajib jumpa.” Saifuddin mengasak.

Aku jadi hairan apa yang lebih penting dari aku menulis. 

Amat jarang aku gagal menghantar tulisan kerana ini media cetak. Ruang sudah disediakan. Bukan portal internet yang tidak memilik konsep ruang.

Isnin jam 11.30, kami bertemu di Old Town White Coffee.

“CC Lee akan letak jawatan dan Anwar Ibrahim akan bertanding sebagai ganti.” 

Berita meledak dari mulut Saifuddin.

Aku tidak menjawab kerana aku bukan orang parti. Aku hanya mendengar penerangan Saifuddin.

Dia melihat jam di tangan.

“Ketika kita bercakap ini, Anwar di Kajang. Dia sedang berurusan untuk menukar alamat. Tanding Dewan Undangan Negeri (DUN) wajib warga tempatan.

“Kalau Parlimen tak perlu, wajib ada alamat di Kajang. Dia pakai alamat Pak Ibrahim di Country Heights.” 

Saifuddin menerangkan bahawa semuanya sudah dirancang.

Aku menyokong Langkah Kajang ini. Pada hemat aku ketika itu Anwar yang gagal menjadi perdana menteri boleh menjadi menteri besar Selangor.

Justeru Universiti Bangsar Utama (UBU) mengadakan forum pada Januari, 2014. 

Klip forum ini muncul dalam YouTube pada 31 Januari, 2014.

Aku ingat lagi bagaimana Rafizi Ramli membocorkan berita ladang lembu Shahrizat Jalil. 

Heboh berita lembu hingga Shahrizat, suami dan anak beranak  sesak nafas.

Rafizi menelefon untuk  berjumpa. Kami berjumpa di Old Town White Coffee. Ketika ini kisah lembu Shahrizat dah mengendur.

“Aku fikir cara nak teruskan kempen lembu ni, aku rasa kena buat filem.” Rafizi menerangkan tujuan bertemu.

Perkara filem lembu ini lebih awal aku baca di media sebelum kami bertemu di Old Town White Coffee.

“Boleh, kena buat skrip, dan buat cerita.” Jawapan aku pada malam itu.

Cerita lembu Shahrizat ini aku panjangkan kepada Ah Chong pelajar Aswara dan minta dia menulis skrip. Aku hantar skrip pada Rafizi. Tapi Shahrizat sudah tidak jadi menteri lagi.

Aku ingat lagi bulan Mac 2014, aku bertemu Louise Story. Wanita 30-an ini wartawan penyiasat dari akhbar The New York Times (NYT).

Pertemuan kali ini tidak di Old Town White Coffee tetapi di sebuah restoran Cina di sebelah Stadium Negara. Lebih tersorok dari tempat biasa aku membuat janji temu.

Ketika aku dan Story bertemu 1MDB masih dalam “tahun sifar”. Berita 1MDB belum meledak. 

1MDB masih kisah terpendam.

Story sedang mengumpul data untuk satu artikel tentang 1MDB dalam NYT.

Aku bertanya bila berita ini akan keluar di akhbar NYT.

“Sometime in autumn, October or November.” Story menjawab.

Aku terfikir kenapa begitu lambat baru tulisan dan berita  1MDB ini meledak. Aku yang tidak terlatih dalam bidang kewartawanan tidak faham cara kerja wartawan penyiasat dari Barat.

Cara mencari fakta. Menemubual si anu dan si anu. Semua sumber maklumat diperiksa, dirujuk dan diperiksa berkali-kali. 

Ini untuk memastikan berita ini tepat kukuh dan sahih. Tidak akan muncul dakwa dakwi setelah berita diterbitkan.

Untuk aku yang tidak faham dunia kewartawanan yang penting ada laporan media Barat ini keluar. 

Laporan ini akan aku gunakan untuk membuat propaganda menibai Najib Razak.

Sebelum aku bertemu dengan wartawan NYT ini aku tidak menahu siapa Jho Low. 

Malah nama 1MDB belum menjadi buah mulut. Story berkisah sedikit tentang Jho Low. Aku pasang telinga.

Kali kedua kami bertemu lagi. Kali ini waktu malam di Old Town White Coffee. Story meminta apakah aku ada cara untuk dia menemubual Azman Mokhtar.

Aku kenal si Azman ini. Kami dari sekolah yang sama. Untuk “budak koleq” kami panggil dia “Amok”.

Azman sebelum kes 1MDB meledak ialah pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad. Sosok korporat pemain ekonomi yang penting di Malaysia.

“A bit hard, might be impossible.” Aku mengelak diri.
 
Story bertandang di Malaysia lebih sebulan.

Satu malam sesudah Story pulang ke New York, aku bertemu dengan Sidiqin Omar di Old Town Cafe White Coffee.

Anak muda  ini bekerja sebagai pemberita untuk Suara Keadilan.  

Dia kenalan baik aku, aktivis dari UBU. Malah kadang kala dia menyunting kolum “Dari Brickfields” aku.

“Mari sini aku nak bocorkan cerita pada kau.” Mukadimah drama 1MDB aku.

“Apa dia, cerita apa?” Diqin bertanya.

“Ini bigger than big.” Inilah istilah yang aku gunakan bila aku menyebarkan propaganda 1MDB sebelum nama 1MDB diketahui umum.

“Kau wajib kumpulkan segala maklumat tentang Najib, something big is coming, bigger than big.”

Lebih besar daripada besar. Ini  cara aku menjual drama 1MDB kepada Diqin dan kepada sesiapa saja.

Lebih besar dari besar ini aku gunakan untuk menunjukkan betapa besarnya berita yang akan meledak dari siasatan Louise Story.

“Kau tunggulah, sebelum Krismas. Bulan 10 atau bulan 11 akan ada berita dari media luar negara tentang Malaysia.”  

Aku tidak memberi maklumat penuh pada Diqin kerana aku sendiri tidak tahu apa yang akan muncul.

Sabtu malam ketika aku dan Diqin di Old Town White Coffee, Jalan Thambipillay amat sibuk.

Aku ternampak anak muda Melayu mungkin dari kampus sekitar KL yang ingin melihat tubuh wanita terbaring di atas katil. 

Sekawan anak-anak muda sedang berjalan keluar masuk dari satu pintu kedai ke satu pintu kedai.

Buruh asing, Mat Myanmar, Mat Indon dan Mat Bangla sama sibuk. 

Mereka berkawan-kawan naik tangga rumah merah untuk  mencari kasih sayang di Jalan Thambipillay.

Aku bersama Diqin menghidup teh yang sudah sejuk degan mata memandang malam dan hati menunggu ledakan berita dari New York. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.