- Iklan -
Kolum

Hubungan Rusia-China jadi mercu tanda keadaan politik dunia masa depan

Para diplomat China juga sedang bersemangat untuk mencari perdamaian di Ukraine setelah mereka berjaya memulihkan hubungan diplomatik antara Iran dengan Arab Saudi.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Lawatan Presiden Xi Jinping ke Moscow minggu lalu merupakan mercu tanda bagi kedudukan politik dunia bagi masa depan. 

Ia memberi kesan bukan saja terhadap Perang Ukraine yang berlangsung tetapi juga persaingan untuk dominasi dunia, antara Amerika Syarikat (AS) dengan negara-negara penentangnya.

Pertemuan Xi dengan Presiden Vladimir Putin itu akan juga memberi kesan kepada Malaysia secara langsung atau tidak langsung, sebagai sebuah negara strategik di Asia Tenggara.

Dalam pertemuan itu, kelihatannya dari gaya bahasa badan dan sambutan yang diberikan, Putin mengharapkan sokongan China dalam peperangannya dengan Ukraine dan kedudukannya menghadapi AS dan Eropah. 

Xi kelihatannya lebih besar daripada Putin. Dalam pertemuan itu, yang sudah tentu persiapan teliti dilakukan oleh para pegawainya, China tidak menyatakan ia memihak kepada Rusia atau Ukraine. 

"Itu masalah antara kedua negara untuk diselesaikan," katanya dengan membayangkan bahawa pihak lain tidak patut masuk campur. 

Pihak lain itu merujuk kepada AS dan Eropah. 

Eropah itu pula merujuk kepada Kesatuan Eropah (EU). AS bersama Eropah pula merujuk kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Tetapi Xi datang dengan suatu rancangan damai untuk menamatkan Perang Ukraine serta-merta. Rancangan ini tidak diumumkan. 

Kalau China hendak menjadi orang tengah, maka ia perlu bertemu juga dengan pihak Ukraine. 

Dalam reaksi segera, AS menolak gencatan senjata serta merta kerana bagi mereka, Ukraine sedang berada di pihak yang menang. 

Walaupun sebelum itu, Washington mendesak Beijing supaya mengorak langkah menawarkan rancangan damai.

Para diplomat China juga sedang bersemangat untuk mencari perdamaian di Ukraine setelah mereka berjaya memulihkan hubungan diplomatik antara Iran dengan Arab Saudi, sesuatu yang hampir mustahil tercapai sebelum ini. 

Sebenarnya kejayaan Beijing itu adalah kerana terdapat perubahan besar pada sikap Riyadh yang sudah mengurangkan hubungannya dengan Washington. 

Minggu lalu, perbincangan dilakukan antara Arab Saudi dengan Syria, sebuah sekutu Iran untuk menubuhkan perkhidmatan konsul.

Tetapi dalam pertemuan dengan Putin, Xi menyebut sesuatu yang lebih besar daripada persoalan di Ukraine. 

Menurutnya hubungan China dengan Rusia melangkaui sesuatu daripada keadaan biasa antara kedua buah negara berdaulat. 

Sememangnya pertemuan ini bersejarah. Inilah waktunya hubungan Moscow-Beijing yang paling erat walaupun mereka tidak memiliki pakatan tentera.

Apabila menyebut mengenai hubungan China-Rusia, seringkali akan disebut ketika mana Soviet Union dan Republik Rakyat China berada dalam blok komunis yang sama semasa Perang Dingin dahulu. 

Tetapi pada masa itu, Moscow mendominasi blok komunis dan seringkali menekan China, yang tidak dapat diterima oleh Beijing. 

Akhirnya China keluar dari blok Soviet, malah berlaku pertempuran di sempadan kedua negara. 

China merintis kepada perpecahan blok komunis yang dari segi jangka panjang menyumbangkan pada kejatuhan Soviet Union.

Kini keadaan berbeza. Ternyata sistem komunis China berjaya berbanding sistem kapitalis Persekutuan Rusia. 

Hubungan kepentingan nasional lebih kuat berbanding ideologi. 

Kedua-dua China dan Rusia saling memerlukan satu sama lain bukan saja kerana berkongsi sempadan yang panjang tetapi mereka menghadapi ancaman sama iaitu AS.

Andai kata China dipencilkan atau terkepung seperti apa yang berlaku pada awal penubuhan Republik Rakyat China dahulu, maka ia hanya mengharapkan Rusia untuk menjadi pasaran dan pembekal barangannya. 

Apa sahaja yang dilakukan oleh China akan memberi kesan kepada negara-negara Asia Tenggara. 

Asean berkongsi laut dengan China di Laut China Selatan, malah China pun sudah menduduki kawasan yang turut dituntut oleh banyak negara Asua Tenggara.

Bukan saja Laut China Selatan tetapi lebih-lebih lagi Selat Melaka adalah amat strategik bagi AS. 

Ia menjadi laluan hayat bukan saja bagi China tetapi juga bagi Taiwan, Jepun, Australia, New Zealand dan AS sendiri. 

Negara-negara itu pula adalah sekutu AS.

Ketika Xi melawat Moscow, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida melawat Kyiv, Ukraine dengan menaiki keretapi dari Poland. 

Pertemuannya dengan Presiden Volodymyr Zelenskyy menegaskan sokongannya terhadap Ukraine dan menentang Rusia.

Sejak tamat Perang Dunia Kedua, Jepun seperti Jerman (dulu Jerman Barat) adalah sekutu AS. 

Maka Tokyo adalah konsisten dan memihak kepada Ukraine. Maka China dan Jepun akan sentiasa bersaing walaupun kedua-dua negara itu saling memerlukan satu sama lain dari segi ekonomi. 

Mereka juga berkongsi sempadan laut iaitu di Laut China Timur.

Begitu juga Jepun adalah jiran pada Rusia dengan berkongsi laut dengannya di Laut Jepun. 

Tetapi lebih hampir dengan Jepun ialah Korea Selatan dan Korea Utara yang juga berkongsi laut dengannya di Laut Jepun.

Kesemua pemimpin di rantau itu, Jepun, China, Korea Selatan dan Korea Utara dan Rusia akan berusaha mengelak perang. 

Washington terletak jauh dari situ. Tetapi wilayahnya, Alaska adakah berjiran dengan Rusia. Peluru berpandu dari Korea Utara boleh sampai ke situ.

Peperangan hanya menyusahkan satu dunia. Tetapi cara untuk mengelak peperangan ialah persediaan untuknya. 

Pada minggu lalu, Taiwan melakukan latihan ketenteraan di Taiyuan, sebuah bandar di utara pulau itu, dan di laut berhampiran dengan sempadan laut China. 

Kapal-kapal pembawa pesawat AS pula sentiasa berada hampir dengan Taiwan. Bagi China, kesemua ini adalah provokasi. 

Bulan lalu, pegawai-pegawai Parti Kuomintang, parti pembangkang Taiwan mengadakan pertemuan dengan Parti Komunis China. 

Beijing menegaskan ia akan mengambil semula Taiwan pada hari tarikh yang disebut-sebut ialah 2040, tidak sampai 20 tahun lagi. 

Masa itu presiden bukan lagi Xi. Seboleh-bolehnya Beijing mahu mengambil Taiwan secara aman dengan pengiktirafan AS. Beijing tidak akan mahu Taiwan menjadi Ukraine 

Ramai pihak menyamakan Ukraine dengan Taiwan. Tetapi ia tidak serupa. Ukraine adalah negara merdeka dan berdaulat. 

Taiwan adalah sebahagian daripada China tetapi tidak dikuasainya. Taiwan dianggap amat strategik bagi AS dan Jepun. 

Maka tidak hairan jika satu hari AS mengiktirafnya sebagai negara merdeka dan berdaulat. 

Maka tentu China sudah bersedia untuk menghadapi senario ini.

Malah China bersedia menghadapi keadaan jika ia dikepung oleh AS dan sekutu-sekutunya di Asia Timur dan Asia Tenggara. 

Dalam senario itulah hubungannya dengan Rusia adalah penting. 

Kini, Rusia pun sedang dikepung oleh AS dan sekutu-sekutunya di Eropah. Sebab itu Xi menyebut bahawa hubungan China dengan Rusia adalah melangkaui keadaan sedia ada.

Kini media Barat menggambarkan bahawa Rusia sudah tertekan dan terdesak hinggakan ia perlu pertolongan China. 

Dalam keadaan ini, China lebih dominan daripada Rusia. 

Sememangnya Rusia merupakan negara terbesar dunia, dan China mempunyai penduduk paling ramai. 

Gabungan Rusia-China menjadi suatu kuasa lebih besar. 

Tetapi realitinya, keduanya tidak mampu menghadapi AS. Cumanya kedua-duanya mempunyai senjata nuklear yang boleh merosakkan bukan saja AS tetapi juga dunia.

AS meletakkan kebebasan, hak asasi manusia dan demokrasi sebab mengapa mereka menentang Rusia dan China. 

Maknanya mereka menegaskan bahawa cara hidup Barat adalah lebih baik daripada Rusia dan China. 

Maka Rusia dan China patut mengikut cara hidup Barat. 

Bukan sahaja Barat merasakan diri mereka berkedudukan tinggi (superior) tetapi juga mahu terus menguasai dunia. 

Jika akhirnya Rusia dan China mengikut cara hidup Barat, AS tetap tidak puas hati. 

Sekarang pun Rusia sudah meninggalkan komunisme dan China merangkul sistem ekonomi pasaran bebas, AS tetap tidak puas hati kerana isunya bukan kebebasan, hak asasi dan demokrasi tetapi adalah dominasi.

Walaupun mereka berkuasa tetapi Barat adalah minoriti di dunia yang mana negara-negara lain mempunyai cara hidup masing-masing untuk mereka ikuti. 

Tafsiran mengenai kebebasan, hak asasi dan demokrasi tentulah berbeza.