- Iklan -
Rencana

Pro bono bukan alasan menghalalkan nepotisme

Keadaan ini perlu dipandang berat jika ia terjadi dalam mana-mana kepimpinan tertinggi apalagi berkaitan negara, institusi mahupun organisasi.

Atriza Umar
4 minit bacaan
Kongsi
Badan pemikir memberi amaran bahawa tindakan Anwar Ibrahim melantik anaknya Nurul Izzah (kiri) menggambarkan nepotisme, dan mengecam Rafizi Ramli (kanan) kerana menunjukkan pemahaman yang lemah terhadap teori dan realiti ekonomi. Gambar: Facebook
Badan pemikir memberi amaran bahawa tindakan Anwar Ibrahim melantik anaknya Nurul Izzah (kiri) menggambarkan nepotisme, dan mengecam Rafizi Ramli (kanan) kerana menunjukkan pemahaman yang lemah terhadap teori dan realiti ekonomi. Gambar: Facebook

Ketika pihak lawan melantik kaum kerabat dalam organisasi yang dipimpin, secara jelasnya di pihak yang satu lagi tentunya tidak akan menyetujuinya, walau apa pun alasan yang dibentangkan. Namun, bagaimana jika diri sendiri pula yang melakukan sedemikian ketika menjadi pemimpin?

Keadaan ini perlu dipandang berat jika ia terjadi dalam mana-mana kepimpinan tertinggi apalagi berkaitan negara, institusi mahupun organisasi.

Dalam situasi ini dapat dilihat ia akan mencetuskan “conflict of interest” atau dengan bahasa mudahnya disebut Konflik kepentingan, tanpa sedar.

Konflik kepentingan ialah keadaan yang membolehkan organisasi atau seseorang itu mencapai kepentingan material atau moral dengan mengorbankan tugasnya. Kerajaan dan agensi berusaha untuk memeranginya dengan undang-undang dan dasar yang praktikal, untuk memelihara tadbir urus yang baik, reputasi pihak berkuasa, integriti pekerja, dan kepentingan orang lain.

Ia boleh ditakrifkan sebagai setiap tindakan atau situasi yang mencapai kepentingan material atau moral untuk organisasi atau wakil rasminya dalam apa jua cara, dan tidak konsisten dengan pelaksanaan tugasnya atau tugas wakil rasminya.

Hentikan nepotisme

Tahukah kita, konflik kepentingan tidak semestinya bererti melakukan kesilapan, akan tetapi ia boleh memudaratkan kerja dan integriti sesiapa sahaja dan apa yang diwakilinya, terutamanya kerana salah satu sebab iaitu yang paling penting adalah kecenderungan untuk mencapai kepentingan peribadi, atau pilih kasih dan nepotisme yang berpunca daripada hubungan persaudaraan, persahabatan atau perkongsian, atau dipengaruhi oleh hubungan permusuhan atau kebencian.

Realitinya, apa pun yang melibatkan kronisme dan nepotisme dalam organisasi kerajaan, ia perlulah dihindari agar tidak mencetuskan pelbagai konflik lainnya hingga mengganggu gugat kelancaran kepimpinan negara.

Sebagaimana, pada 3 Oktober 2004, apabila Parlimen di Itali meluluskan Undang-undang Konflik Kepentingan, untuk mengelakkan Perdana Menteri ketika itu Silvio Berlusconi daripada mengeksploitasi kuasa kedudukan kerajaannya untuk mempromosikan status empayar ekonominya yang besar.

Undang-undang memutuskan bahawa Berlusconi tidak dibenarkan menguruskan syarikatnya secara rasmi, termasuk rangkaian televisyen swasta terbesar di negara ini, rangkaian Mediaset, tetapi ia membenarkannya mengekalkan pemilikan dan tidak mewajibkan dia untuk meletakkan syarikatnya di tangan orang yang dipercayainya, seperti yang berlaku di negara lain.

Kata perlu dikota

Barangkali, akan ada yang mempersoalkan bahawa yang melantik itu punya strategi tersendiri. Namun, ia perlu kembali kepada persoalan utamanya, lantiklah siapa pun asal bukan dari kalangan anak, keluarga mahupun kerabat dekat.

Walaupun mungkin atas dasar pro bono, suatu ketika ia tetap akan memakan diri juga.

Dalam apa pun situasi, jika dirujuk kepada ayat Quran, setelah mengatakan sesuatu perlulah ia dilaksanakan. Allah berfirman dalam Surah As-Saff, ayat 2 dan 3.

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

Pelbagai perspektif dapat dilihat dalam situasi yang tidak disangkakan ini. Namun jika ia tidak dipandang dengan sebaiknya, boleh jadi benarlah apa yang diperkatakan oleh  Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Jayum Jawan.

“Pelantikan Nurul Izzah ini mungkin menjadi 'peluru' kepada lawan untuk mewajarkan tindakan mereka mengkritik keputusan dan tindakan dibuat Anwar.”

Menurutnya lagi, Kerajaan Perpaduan berdiri hari ini boleh dianggap tidak begitu untuk berdiri 'sendiri' kerana tiada parti dalam gabungan itu memiliki kerusi Parlimen mencukupi untuk menjadi majoriti mudah.

“Kritikan, serangan dan mengganyang kerajaan ini semata-mata mahu meruntuhkannya boleh mengulangi episod tumbangnya dua kerajaan sebelum ini pasca PRU14,” ujarnya dalam ruangan rencana akhbar tempatan yang bertajuk Pelantikan Nurul Izzah jadi peluru lawan goncang kerajaan.

Keputusan yang salah

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berpendapat langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik anaknya sebagai penasihat ekonomi dan kewangan menghantar isyarat yang salah.

Menurutnya, langkah diambil perdana menteri itu akan ditafsirkan sebagai kembalinya amalan kronisme dan nepotisme di negara ini.

“Pada pandangan kami, ia memberi isyarat yang salah dan saya khuatir jika tidak diperbetulkan, ia akan diambil kira dalam persepsi umum di negara ini.”

Terdahulu, perdana menteri ini banyak bercakap mengenai keburukan amalan kronisme dan nepotisme, namun itu pula yang dilaksanakannya kini.

Memetik komentar yang diberikan mantan penjawat awam Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, menerusi Facebooknya, pro bono boleh dilaksanakan untuk kerja-kerja “one off” bersifat jangka masa pendek. Bukan pada tahap pembuat keputusan dasar kepada tata kelola negara.

“Terus terang saya kurang gemar dengan kerja-kerja pro bono terutama apabila ia melibatkan kedudukan yang menentukan atau mempengaruhi keputusan dasar dan hala tuju negara. Setiap jawatan itu datang dengan pertanggungjawaban yang besar dan berpanjangan sebelum, semasa dan selepas tanggungjawab itu digalas. Tanpa bayaran yang setimpal, seseorang itu boleh dengan mudah melepaskan pertanggungjawabannya atas keputusan yang dibuat dengan alasan ia tidak dibayar gaji.”

Menurutnya lagi, risiko berlakunya “conflict of interest” dan fitnah sangat tinggi apatah lagi dalam urusan membuat keputusan kepada masa depan negara. Tentunya, mencegah lebih baik daripada mengubati. 

“Saya percaya, jika dibuka peluang yang sama kepada pakar-pakar ekonomi negara untuk berada di posisi beliau sebagai penasihat, ramai tokoh korporat lain juga bersedia untuk menyumbang secara pro bono,” ujarnya.

Dalam situasi yang hangat diperkatakan oleh rakyat kini, sama ada seseorang itu dilantik itu menerima gaji atau tidak, mempunyai latar belakang yang baik daripada sudut ekonomi atau kewangan, itu bukan persoalannya, tetapi ialah kerana anaknya sendiri.

“Pro bono (tiada bayaran) bukan alasan untuk menghalalkan nepotisme,” kata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin juga menolak penjelasan Perdana Menteri bahawa lantikan anaknya itu tidak melibatkan sebarang bayaran.

Selain itu, beliau berkata amalan nepotisme yang melantik anaknya sendiri, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri adalah pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

Apa yang pasti, jika pada posisi itu bukan anaknya, suara-suara seperti ini barangkali tidak kedengaran. Seharusnya, beliau patut ambil peduli dengan segala teguran dan nasihat daripada rakyat yang ingin melihat terealisasinya Malaysia Madani, ini.

Terdahulu, pada 29 Januari lalu, media melaporkan Perdana Menteri telah melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan kewangan dan ekonomi hingga mencetuskan pelbagai persepsi mahupun komentar di kalangan rakyat.

Maka, harapan rakyat tentunya, mengharapkan Perdana Menteri perlulah mengotakan apa yang diperkatakannya.

Atriza Umar adalah timbalan setiausaha Pertubuhan Ilmuwan dan Cendiakawan Islam Malaysia (Ilman).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow