- Iklan -
Rencana

Amalkan prinsip ‘tanggungjawab bersama’ bagi capai CPI lebih baik

Dalam kalangan negara Asean Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekodkan tangga kelima daripada 180 negara bagi CPI 2022.

Mohd Hafaz Nazar
4 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 30 Januari. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 30 Januari. Gambar: Bernama

Malaysia berada di kedudukan ke-61 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) daripada keseluruhan 180 buah negara yang dinilai berbanding tangga ke-62 pada 2021.

Dalam kalangan negara Asean pula, CPI 2022 menyaksikan Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekodkan tangga kelima daripada 180 negara iaitu peralihan satu tangga dan dua skor berbanding pencapaian 2021.

Bagaimanapun, kedudukan skor Malaysia dalam CPI 2022 ini berganjak satu mata daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022.

Skor Malaysia mencatatkan peralihan sebanyak enam mata secara kumulatif sejak tiga tahun yang lalu bermula pada 2020 hingga kini. 

Dalam tempoh tujuh tahun yang lalu, Malaysia mencatatkan skor tertinggi pada 2019 dengan 53 mata yang menempatkan Malaysia pada kedudukan terbaiknya setakat ini di tangga ke-51.

Berdasarkan kepada kenyataan Presiden TI-Malaysia, Muhammad Mohan  pada majlis pengumuman keputusan Indeks Persepsi Rasuah 2022 bertempat di Royal Selangor Club, Kuala Lumpur, terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada skor yang lemah ini.

Pertama adalah kurangnya kesungguhan dalam iltizam politik bagi memerangi rasuah berdasarkan kepada pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang perlahan.

Kegagalan tata kelola berulang kali biarpun pendedahan berterusan dibuat oleh Ketua Audit Negara, kurangnya tindakan ke atas penjawat awam yang menyalahgunakan jawatan.

Selain itu, pelancaran pakej rangsangan Covid-19 tanpa melalui proses perbahasan dan penelitian di Parlimen, isu lebihan kos dalam perolehan berskala mega serta isu pelantikan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan(GLIC) yang kurang berkelayakan.

Faktor utama kedua pula melibatkan kelewatan reformasi institusi sebagaimana terlihat dalam aspek pembangunan Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik,  RUU Perolehan Kerajaan, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta kurangnya kemahuan politik untuk memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai institusi anti rasuah yang bebas dan berkesan.

TI-Malaysia juga menyentuh tentang kekurangan ketelusan maklumat dalam hal kepentingan awam seperti projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) berjumlah RM9 bilion oleh Kementerian Pertahanan, serta persepsi seolah-olah tiada tindakan undang-undang terhadap penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa.

SPRM menerima pandangan-pandangan tersebut dengan minda terbuka yang menyentuh aspek pentadbiran awam, pemerkasaan undang-undang tata kelola dan pemerkasaan serta kebebasan suruhanjaya itu dari segi kewangan, keanggotaan dan mandat.

Akan tetapi, SPRM ingin menekankan bahawa sepanjang tahun 2022, tindakan diambil terhadap kes-kes besar yang berkepentingan awam seperti kes LCS. 

Disebabkan siasatan masih dijalankan yang melibatkan negara asing, maklumat siasatan tidak boleh didedahkan kerana ia akan menjejaskan siasatan. 

Kekurangan ketelusan maklumat ini mungkin menimbulkan persepsi negatif terhadap siasatan SPRM dan komitmen kerajaan seolah-olah tiada tindakan dijalankan.

Ulasan TI-Malaysia juga tidak mengambil kira kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang berjaya disiasat dan diambil tindakan undang-undang, termasuk yang membabitkan penjawat awam.

Antaranya ialah kejayaan kes SRC International yang membawa kepada hukuman penjara bekas perdana menteri Najib Razak dan kes pembekalan solar elektrik kepada sekolah di pedalaman Sarawak yang berjaya mensabitkan Rosmah Mansor pada 2022.

Pada tahun yang sama, Op Power, iaitu operasi yang melumpuhkan sindiket mencuri elektrik untuk pelombongan mata wang Bitcoin berjaya dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Op Mitra 2.0 yang membabitkan penyelewengan berjuta-juta dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) serta Op Hire berkaitan penyelewengan dana Penjana Kerjaya di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga berjaya memberkas suspek terlibat.

Sehubungan itu, tahun ini menyaksikan berpuluh-puluh pertuduhan dilakukan terhadap mereka yang disyaki terlibat menyeleweng dana Penjana yang diperuntukkan untuk menjana ekonomi sewaktu pandemik Covid-19 itu.

Selain itu, saranan penambahbaikan ini sebahagiannya melibatkan inisiatif NACP yang sedang diterajui dan dilaksanakan oleh pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dengan proses libat urus berterusan membabitkan pelbagai pemegang taruh dalaman serta luaran.

SPRM berpandangan NACP perlu diberi ruang untuk dinilai semula supaya dapat memberi penekanan kepada inisiatif berimpak tinggi yang boleh membawa perubahan ketara dan pantas kepada tahap tata kelola, ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban yang boleh menyokong dengan jitu usaha berterusan memerangi rasuah serta salah guna kuasa. 

Secara tidak langsung, ini menyokong komitmen kerajaan dalam mendepani isu-isu rakyat khususnya usaha memulihkan, menstabilkan dan memperkasakan ekonomi negara.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan turut menerima CPI sebagai asas pengukuran tata kelola baik sesebuah negara dan menetapkan sasaran penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam CPI 2025. 

Jika sasaran ini dijadikan indeks prestasi utama (KPI) di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi secara `tanggungjawab bersama’, saya percaya Malaysia boleh mencapai kedudukan CPI yang jauh lebih baik. 

Untuk tujuan ini, kerajaan turut berusaha membangunkan indeks tata kelola nasional seperti Malaysian Governans Indeks (MGI) yang bersifat "berasaskan bukti dan hasil" bagi mengukur tata kelola negara.

Selain itu, SPRM juga sedang mengusahakan suatu kajian komprehensif nasional antirasuah (Malaysian Corruption Survey atau MaCoS) berdasarkan kajian Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai dadah dan jenayah (UNODC) yang menekankan pengukuran pengalaman rasuah berbanding persepsi dengan memanfaatkan data primer dan data pentadbiran.

Kajian berdasarkan pengalaman dan bukti mampu melengkapi kajian indeks CPI yang berasaskan persepsi agar memberikan gambaran yang lebih jelas, jitu dan menyeluruh tentang tahap dan faktor rasuah di Malaysia.

Mohd Hafaz Nazar adalah pengarah Dasar, Perancangan dan Penyelidikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow