- Iklan -
Kolum

Mencari Kelab Sosialis

Ketika aku membaca poster Kelab Sosialis ini minggu orientasi sudah tamat.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Ketika aku masuk menjadi pelajar tahun pertama di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1971, tidak banyak yang aku tahu tentang sosialisme.

Aku tahu wujudnya Parti Rakyat Malaysia (PRM). 

Aku tahu wujudnya Parti Buruh. 

Aku pernah membaca novel garapan Ahmad Boestamam pemimpin Parti Rakyat. Aku pernah membaca novel Ishak Haji Muhamad, pemimpin Parti Buruh.

Aku pernah terbaca tentang penglibatan PRM dan Parti Buruh pada Pilihan Raya Umum tahun 1964. 

Dua parti ini bergabung dalam Barisan Sosialis.

Aku tahu wujudnya Parti Komunis Malaya (PKM). 

Mustahil ada yang tidak pernah mendengar nama Chin Peng dan Rashid Maidin.

Abah aku, Rais  Manaf pernah menjadi Special Constable. 

Mustahil aku tidak tahu Shamsiah Fakeh. 

Shamsiah belajar sama dengan Rais Manaf di Sekolah Pondok Lebai Maadah di Pelangai. 

Lebai Maadah ialah datuk sebelah Wan Rahmah aku.

Apa yang aku tahu tentang sosialisme pada tahun 1971 hanya tempias. 

Aku belum pernah membaca buku tentang teori dan falsafah sosialis.

Aku tahu Rusia dan China itu negara sosialis.

Semua pengetahuan ini tidak mendalam. Bernilai rendah malah lebih rendah daripada labun kedai kopi.

Sebelum masuk UM aku tahu tentang wujudnya Kelab Sosialis di universiti itu. 

Aku tahu selepas membaca Mahasiswa Negara, akhbar rasmi Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). 

Tapi ini pun pendengaran dari jarak jauh.

Justeru bila aku terlihat poster forum anjuran Kelab Sosialis, “Pengalaman Tahanan ISA: Karim Singh dan Tajuddin Kahar di Dewan Kuliah F, aku berniat untuk menghadirinya.

Aku pernah terbaca nama Karam dari Utusan Malaysia ketika aku di Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ) pada tahun 1968.  

Karam seorang peguam yang menyusun pekerja estet di Asahan Melaka.

Dari apa yang aku baca, pekerja estet dari Melaka berjalan kaki ke Kuala Lumpur. 

Apa perjuangan mereka aku tidak tahu.  

Dalam akhbar yang aku lihat hanya muka Karam.

Nama Karam ini melekat kerana “karam” dalam bahasa Melayu bermakna tenggelam.

Aku tidak tahu siapa Tajuddin.

Aku pernah mendengar tentang tahanan politik. 

Tapi aku tidak tahu apa itu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Keinginan aku mendadak. Aku ingin tahu. 

Aku ingin mendalami fikrah dengan perkara yang mencabar minda. 

Cabaran inilah yang aku cari dalam universiti.

Perkara lemau basi dan “banal” aku tinggalkan.  

Aku mencari satu yang baru dan segar yang boleh aku lakukan.

Aku ingat lagi poster dalam kertas A4 ini ditulis dengan warna merah. 

Poster yang aku nampak terlekat di pokok kayu di tepi jalan arah dari Dataran Sastera ke Dewan Tunku Canselor (DTC).

Ketika aku membaca poster Kelab Sosialis ini minggu orientasi sudah tamat. 

Tapi aku masih merasakan diri aku sebagai budak baru. Masih belajar. Masih memerhati. 

Masih mendengar apa kata senior walau pun orientasi sudah selesai.

Forum Kelab Sosialis di Dewan Kuliah F, Dataran Sastera pada Rabu malam.  

Petangnya ketika duduk santai di bilik bacaan bawah Dewan Makan Kolej Kelima aku terserempak dengan Shah pelajar tahun dua Fakulti Sastera. Shah ini “mahasitua”.

Mahasitua ini terminologi untuk pelajar yang masuk universiti bukan dari tingkatan enam. 

Mereka sudah berumur kerana sudah bekerja dahulu. Kebanyakan mahasitua adalah bekas guru yang menyambung belajar ke universiti.

“Freshie, dah selesai semua? Kau ambil paper apa?” Shah bertanya.

“Malay, history satu paper English, Chinese.” Aku menjawab.

“Dah masuk Dewan Kuliah F? Paling besar dalam kampus.” Shah bertanya.

“Dah, malam ni pun nak gi sana.” Aku menjawab,

“Malam pun ada kelas.”

“Nak gi forum.” Aku menerangkan.

“Forum apa?” Shah memandang muka aku.

“Forum Kelab Sosialis.”

“Hei hei, gila kau, dewan tu nanti penuh dengan SB. Nak cari apa?” Shah menghalang.

Aku senyap kemudian berkata: “Nak dengar pengalaman tahanan politik.”

“Jangan pergi, bahaya SB ramai.” Shah terus menakutkan aku.

Ini kali pertama aku dengar maklumat SB ada masuk dengar forum  dalam kampus. 

Aku bukan takut SB. Tapi aku tidak mahu dilihat degil di mata senior.  

Malam itu aku tak ke forum. Niat aku gagal.

Program pertama Kelab Sosialis tahun 1971 tidak aku hadiri.

Kuliah aku bermula. Kini aku mahasiswa Fakulti Sastera residen Kolej Kelima.

Kuliah jam 8.00 pagi, aku cukup liat. Kuliah ini menjemput ponteng. Begitu juga kuliah jam 2.00 petang. Lepas makan mengantuk nak tidur.  

Kelas tutorial boleh pilih waktu dan masa yang sesuai.  

Mengikuti kuliah satu tanggungjawab. Kuliah wajib tapi nama tidak dicatat seperti tutorial.

Dalam tahun pertama kuliah sejarah paling popular. Lebih dari 500 pelajar maka kuliah di adakan dalam DTC.

Ketua Jabatan Sejarah Khoo Kay Kim (1937-2019). 

Sejarah Eropah gurunya Krishen Jit (1939-2005). 

Sejarah Malaysia gurunya Bonnie. Jabatan Sejarah ada pensyarah jemputan dari Jakarta untuk mata pelajaran Sejarah Indonesia.

Kuliah H101, H102 dan H103, juga amat popular. Ramai yang mendaftar. H ini tanda mata pelajaran Pengajian Melayu.

Pengajian Melayu aku rasa lemau. 

Seolah-olah aku mengulangi apa yang aku lalui semasa tingkatan enam. Tidak mencabar minda aku. Tidak membuka fikrah.

Prof Taib Osman (1934-2017) dengan pola-pola dan ciri ciri yang membosankan.  

Maka prof ini dikenali sebagai “Profesor Pola-Pola” oleh pelajar UM tahun 70-an.

Aku mendaftar mengikuti kuliah Chinese Study untuk mengetahui sejarah dan budaya China. Ini bukan sejarah Cina Malaysia. Ini sejarah China di Tanah Besar.

Tahun 1971 aku kagum dengan Tanah Besar China yang mengamalkan sistem ekonomi sosialis. 

Ini juga menjadi sebab aku mengikuti sejarah China.

Aku juga ada menyimpan niat untuk mempelajari Bahasa Mandarin.  
 
Paling kecil ialah kuliahm C150 iaitu Sastera Inggeris. Tidak sampai 10 orang pelajar. 

Maka kuliah diadakan dalam bilik kecil. Pensyarah Fadzilah Amin.

Kuliah dan tutorial sekali harung. Dua jam seminggu aku membuka minda dengan Sastera Inggeris.

Aku paling berminat dengan kuliah C150. Aku mula berkenal dengan dramatis Rusia Anton Chekov (1860-1909). 

Aku membaca drama Henrik Ibsen (1828-1906 ) dari Norway.  

Aku mula membaca cerpen Leo Tolstoy (1828 -1910) dari Rusia.  

Fadzillah memperkenalkan aku dengan penulis penulis cerpen Perancis Guy De Maupassant (1959-1893).

Aku juga mempelajari teater absurd, “Six Character in Search of an Author”, garapan Luigi Pirandello (1867-1934).

Kuliah C150 tidak pernah aku ponteng. Malah aku terus mendapat A untuk esei dan lulus cemerlang dalam peperiksaan.

Aku rasa kuliah  C150 ini terus menjadi ingatan. Ini kerana seni sastera Eropah dan falsafah dari watak-watak yang aku pelajari dalam kuliah C150 ini terus menjadi guru dan pemandu pendewasaan hidup aku.

Mustahil aku akan melupakan watak Willy Loman dalam “Death of a Salesman” drama garapan Arthur Miller (1915 – 2005).

Kuliah aku ikuti tapi dalam masa yang sama aku terus mencari siapa pemimpin Kelab Sosialis.

Satu petang aku menapak ke Rumah Persatuan. Rumah Persatuan atau Union House di bawah bukit  tidak jauh dari Pejabat Canselor dan berhadapan dengan Fakulti Pertanian.

Jalan kereta ke Union House cukup menarik. 

Kiri kanan jalan ada pohon sawit. Manakala jalan potong dari Union House ke DTC akan naik bukit melalui serimbun pohon buluh.

Letak Union House ini tidak jauh dari tasik universiti. Dalam bangunan Union House ada dua kafeteria. Satu menghala ke tasik.

Aku memberanikan hati. Naik tangga dan masuk ke pejabat. Semua amat asing untuk aku. 

Aku nampak  lelaki dan perempuan duduk di belakang meja. Ada yang menghadapi mesin taip. Dari umur dan pakaian aku yakin meraka bukan mahasiswa.

Aku macam rusa masuk kampung.

“Woit freshie what do you want?”

 Suara anak muda  Cina muncul dari belakang aku. Dari pemerhatian aku rasa dia ni pasti mahasiswa.

“Looking for Kelab Sosialis.” Aku menjawab.

“Not here, this is UMSU.” Jawapan yang aku terima.

“Tak ada opis?” Soalan dari aku.

“Wait here, go to reading room downstairs, look for Lee Chee Keong.” Aku mendapat bantuan.

Aku terperanjat bila mendengar nama ini. Nama Lee Chee Keong ini sama seperti nama kawan baik aku Lee Keong di Jelebu.

Aku turun tangga dan masuk ke dalam bilik bacaan.  

Tak ramai siswa dalam bilik ini. Ada dua siswa Cina dan seorang Melayu.

“Chee Keong.” Aku memanggil.

Tiga  kepala menoleh.

“Yes? What?” Jawapan kasar.

“Are you Chee Keong?” Aku bertanya.

“Not me, him.” Jarinya mengarahkan mata aku ke siswa yang sedang duduk.

Aku merapati Lee Chee Keong yang sedang duduk dan terus menghulur tangan

“Isham from Fitfth College, are you from Socialist Club?” Aku bertanya sambil bersalam.

“Yes, why?” Lee Chee Keong menjawab.

“Saya nak jadi ahli kelab.” Jawapan ringkas daripada aku.

Lee Chee Keong berdiri dan memandang tepat muka aku.