- Iklan -
Kolum

Berdepan dengan suasana tidak terduga 2023

Tetapi selepas PRU15, mereka dapati yang bekerjasama dengan Umno bukannya PAS tetapi Amanah.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Apabila melihat kembali 10 tahun lalu iaitu pada 1 Januari 2013, maka dapat dirasakan betapa wajarnya seseorang sentiasa berfikiran terbuka khususnya berhubung dengan politik. 

Masa yang berjalan dengan perkembangan yang di luar dugaan mengingatkan seseorang supaya usah obses atau taksub terhadap sesuatu fahaman, tokoh ataupun parti politik.

Ini kerana ada para penyokong politik yang memberi pelaburan emosinya kepada sesuatu fahaman, seseorang tokoh atau sesebuah parti. 

Maksud dengan pelaburan emosi ialah seseorang itu bukan sekadar memberi undi atau menyatakan pendapatnya tetapi menjadi obses atau taksub hingga dia mudah berasa sensitif berhubung pendirian politiknya. 

Ia terserlah dalam pergaulan atau aktiviti media sosial hingga menjejaskan emosi kehidupannya.

Keadaan politik sentiasa berubah walaupun zaman yang diperuntukkan terhadap sesuatu suasana memakan masa. 

Maka apabila berlaku perubahan, mereka yang obses dan taksub itu bukan saja akan kecewa tetapi juga adakalanya merasa diperalatkan oleh tokoh-tokoh atau parti-parti yang disokongnya 

Maka antara pengajaran politik tahun 2022 yang boleh dibawa ke 2023 adalah seseorang penyokong parti seeloknya berfikiran terbuka dan tidak obses atau taksub kepada sesuatu fahaman, tokoh atau parti. 

Maknanya walaupun seseorang itu boleh mengikuti sesuatu perkembangan dan memperoleh maklumat, tetapi biarlah ia diamati dari jauh dan bukan dikaitkan dengan emosinya.

Sebagai contoh, pada Januari 2013, pentas politik negara sedang bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Perdana menteri ketika itu ialah Najib Razak dan timbalannya ialah Muhyiddin Yassin dengan ketua pembangkang ialah Anwar Ibrahim.

Kerajaan adalah Barisan Nasional (BN) yang memegang mandat jelas dari rakyat. 

Pihak pembangkang utama ialah Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Mereka memerintah negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Berbanding pada masa ini di mana negara baru selesai mengadakan PRU15. Perdana menteri ialah Anwar Ibrahim dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi dengan ketua pembangkang ialah Hamzah Zainudin.

Kerajaan pula merupakan gabungan Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mana tiada parti memperoleh mandat penuh rakyat. 

Pihak pembangkang ialah Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan.

Mereka memerintah Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Kalau seseorang pada Januari 2013 itu adalah penyokong Umno, tentulah ia menganggap PKR, DAP dan PAS sebagai musuh politiknya. 

Tetapi dia kini mendapati bahawa partinya bekerjasama dengan PKR dan DAP. 

Sementara penyokong PAS pada tahun 2013 yang dapat menerima partinya bekerjasama dengan PKR dan DAP tetapi kini ia pula dengan tajam menentang kedua-dua parti anggota PH itu.

Dalam 10 tahun, politik dan parti turut mengalami perubahan. 

Begitu juga bagi seseorang penyokong semua parti. 

Umno melahirkan pecahannya, Bersatu sementara PAS pula ada Amanah.

Maka tentulah ada penyokong Umno pada tahun 2013 yang kini merupakan penyokong Bersatu. 

Begitu juga ada penyokong PAS pada tahun 2013 yang kini merupakan penyokong Amanah.

Umno dan PAS adalah musuh tradisi sejak negara belum merdeka lagi. 

Keduanya berbaik-baik hanya dari tahun 1974 hingga 1978 dalam BN dan dari tahun 2018 hingga 2022 melalui gagasan Muafakat Nasional (MN).

Dari sejak merdeka, generasi penyokong PAS dan Umno sudah bergantian. 

Tetapi antara 2013 dan 2022, terdapat penyokong-penyokong parti dari generasi yang sama. 

Maka pada tahun 2013, Bersatu dan Amanah belum ada dan mereka masing-masing berada dalam Umno dan PAS, yang bermusuh di antara satu sama lain.

Tapi pada penghujung 2022 dan memasuki tahun 2023 ini, mereka dapati kedudukan politik menjadi berbeza. 

Penyokong Bersatu mendapati mereka berkawan dengan PAS dalam PN sementara penyokong Amanah pula bersama dengan Umno dalam kerajaan perpaduan PH-BN.

Ironi paling besar ialah pada Amanah. 

Parti ini ditubuhkan oleh golongan yang dilabel sebagai Anwarista atau Anwarisnas, iaitu penyokong Anwar dalam PAS. 

Mereka ini mula menyokong Anwar ketika PAS di bawah pimpinan Fadzil Nor turut menyokong gerakan reformasi tahun 1998. 

Ia merupakan sikap yang konsisten. 

Anwar menentang Dr Mahathir Mohamad yang memecatnya. 

Ia juga bererti menentang Umno. 

Kebanyakan Anwarista ini menyertai PAS pada awal 1980-an ketika parti itu dengan semangat baru bangkit menentang Umno.

Maka apabila pada tahun 2013 PAS menolak PKR dan DAP serta mula berbaik-baik dengan Umno, golongan ini tidak dapat menerimanya. 

Keadaan ini membawa kepada penubuhan Amanah.

Tetapi selepas PRU15, mereka dapati yang bekerjasama dengan Umno bukannya PAS tetapi Amanah.

Manusia berubah walaupun setiap orang mungkin ada pegangan teras masing-masing. 

Apabila manusia berubah, parti juga berubah. 

Nama dan perlembagaan parti boleh kekal sejak penubuhannya. 

Tetapi Umno dan PAS tahun 1960-an pasti tidak serupa dengan parti itu pada waktu ini. 

Sebab itu seseorang tidak boleh mengungkit-ungkit pendirian lama parti dengan pegangannya sekarang. 

Parti sudah berbeza. Apa yang perlu dibincangkan ialah pendirian parti itu pada waktu ini, iaitu tahun 2023.

Tetapi perubahan pada parti terletak pada pemimpin-pemimpin dan akar umbi. 

Mereka berubah dan parti berubah walaupun lambang-lambangnya tidak berubah. 

Manusia perlu berubah keraba ia belajar dari pengalamannya. 

Kalau seseorang mengikuti perkembangan politik selama 40 tahun, maka sudah tentu banyak pengalaman yang dilaluinya yang memberikan kematangan. 

Sama ada perubahan itu mendatangkan kebaikan atau sebaliknya, ia adalah soal lain.

Satu lagi perbezaan penting antara tahun 2013 dengan 2023 ialah mengenai kebanjiran maklumat. 

Pada tahun 2013 sudah ada telefon pintar dan media sosial. 

Tetapi ia tidaklah seluas dan mendalam seperti pada hari ini.

Suasana pasca Covid-19 pada tahun 2022 menyaksikan penggunaan telefon pintar yang universal. 

Maksudnya, hampir semua warga negara menggunakannya.  

Media sosial juga sudah meluas. 

Kalau pada tahun 2013 hanya ada Twitter dan Facebook tetapi tahun 2023 menyaksikan wujudnya aplikasi Tiktok, Instagram dan lain-lain.

Tentulah kebanjiran maklumat ini memberi kesan dan pengaruh kepada semua orang. 

Manusia tidak akan tahu semua perkara tetapi maklumat yang diperoleh sudah cukup untuk seseorang mengubah pendapat terhadap sesuatu perkara. 

Namun begitu, dari sudut lain pula, jika seseorang tidak dapat memproses maklumat yang diperoleh, minda boleh jadi beku dan sebarang tindakan tidak dapat dilakukan.

Melihat 10 tahun lalu, pasti dapat disedari bahawa banyak perkara berlaku di luar dugaan. 

Maka begitu juga bagi 10 tahun akan datang iaitu 2043. 

Justeru, minda harus bersedia menerima sebarang peristiwa yang tidak terduga.

Imaginasi dan kreativiti manusia dalam karya seni fiksyen baik berbentuk novel atau filem boleh menyumbang kepada usaha penyediaan minda menerima perkara-perkara yang tidak terduga itu.

Walaupun apa yang akan berlaku tidaklah benar-benar dapat digambarkan oleh fiksyen tetapi sastera dan perfileman boleh mendorong manusia untuk berfikir senario-senario alternatif dan membuka minda untuk bersedia menghadapi keadaan-keadaan tidak terduga.