- Iklan -
Kolum

Dari Jalan Kebun ke Kamunting

Berpuluh-puluh tembakan gas pemedih mata dilepaskan di persimpangan ke Jalan Kebun.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Geng reformis selalu bermesyuarat dan berbincang di pejabat Labour Resource Centre (LRC), pejabat Tian Chua di Bangsar. 

Kami berkumpul di sebelah petang sesudah pejabat ditutup. Waktu petang cukup selesa di Bangsar tanpa jalan raya yang sesak padat.

Kami bukan secara rasmi memanggil diri kami reformis. Tidak. Tidak ada siapa yang melantik kami. 

Tidak ada organisasi di belakang kami.

Kami bergerak mengikut perasaan dan bacaan politik. 

Kami anggap dan kami yakin Anwar Ibrahim mangsa konspirasi Dr Mahathir Mhamad.

Sebelum krisis Anwar bergaduh dengan Mahathir, aku menulis kolum “Analog” di Berita Minggu, edisi Ahad akhbar Berita Harian. 

Bila reformasi dan demo bermula kolum aku ditutup.

Satu petang Sivarasa Rasiah dan Premesh Chandran datang berjumpa aku di Bangsar. 

Mereka meminta aku memimpin Malaysiakini untuk beberapa bulan sahaja. Ketika itu Steven Gan masih bekerja degan akhbar The Nation di Bangkok, Thailand.

Aku menolak. 

Aku tidak mahu terikat dengan organisasi. Tetapi aku bersedia menulis. Bila Malaysiakini menemui pembaca pada 20 November 1999, muncul “Dot Mai”, kolum aku dalam portal berita ini.

Di era reformasi, ia adalah di permulaan zaman internet di Malaysia. 

Laman internet yang menjadi tulang belakang penyampai maklumat dan penyebar propaganda gerakan reformasi ialah Mahazalim dan Laman Reformasi.

Dua laman ini bergerak di bawah tanah.

Dalam masa awal Reformasi, wujud tulisan talian Sang Kancil yang di urus oleh MGG Pillai. 

Wartawan veteran ini memiliki banyak pengalaman dalam politik Malaysia dan penulisan.

Apabila Malaysiakini muncul, portal ini juga mengambil garis bersimpati dengan reformasi.  

Justeru reformasi kini ada penyokong yang bergerak secara gelap dan ada bergerak secara terang.

Aku menulis banyak tulisan yang menyanggah Mahathir, dan menyokong Anwar dalam kolum Dot Mai. 

Ini kerana pada ketika itu aku yakin Anwar tidak meliwat Azizan yang berbadan sado. 

Juga aku tidak percaya Anwar meliwat Sukma Darmawan yang cute dan jambu.

Ketika itu yang menyunting tulisan kolum Dot Mai aku adalah Fathi Aris Omar yang aku panggil, Wan Fathi. Sosok ini juga terlibat secara langsung dalam reformasi.

Jelas Gerakan Reformasi 98 kini memiliki media untuk menjalankan propaganda dan memberi pencerahan kepada orang ramai.

Perjumpaan di Pejabat LRC Tian bukan perjumpaan terbuka. 

Hanya yang dijemput datang. Tian yang menjadi tuan rumah.

Malek Husin, Pak Abu, Lat Koya dan aku diminta wajib hadir oleh Tian.  

Geng reformis seperti Pak Din, Tan, Nora dan Nasir akan muncul sekali sekala. 

Tapi semua mereka ini adalah pemain utama dan penting dalam gerakan anti Mahathir.  

Tanpa Pak Din, Nasir dan Nora, gerakan reformasi yang diatur oleh Tian tempang.

Bincang punya bincang Tian berkata “We must be back on the street.”

Justeru kami merancang Perhimpunan 100,000 Rakyat di Jalan Kebun, di Klang, Selangor. 

Tarikh di tetapkan pada 5 November 2000. Berhimpun jam 2.00 petang di tanah lapang milik SD Johari, penyokong Anwar juga ahli parti Parti Keadilan Nasional (PKN).

Tian Chua yang ketika itu menjadi naib presiden PKN memainkan peranan yang penting.

“Kita mesti jemput  semua pemimpin parti datang ke Jalan Kebun.” Pandangan Malek.

“Tian, lu kena jemput Wan Azizah, Kit Siang, Syed Husin. Lu orang parti, they must show their face. 

“Wan Azizah wajib hadir, Anwar suami dia anak dia Nurul Izzah tu jangan jadi penakut. Belajar turun ke jalan raya. Puteri reformasi tapi tak pernah kena tangkap nak jadi puteri raja ker?” Aku mengeluarkan pandangan.

“Orang politik takut turun jalan raya. Takut kena tangkap, tak dapat bertanding,” Malek memberi penerangan yang jelas.

Petang itu Lat Koya ada sama. Kehadiran Lat ini penting kerana dia peguam. Jika ditangkap peguam sudah sedia ada.

“Tema kita nyah Mahathir. Ini slogan yang wajib kita jual,” Aku memberi cadangan.

“Apa lagi? Pengisian apa?” Pak Abu yang kini menjadi pengerusi Himpunan 100,000 Rakyat bersuara.

“Macam biasa pemimpin berucap, Wan Azizah, Kit Siang, Ezam dan reformis berucap. Jemput juga Ustaz Fadzil dari PAS,” Malek bersuara.

“Aku nak buat kain layar atas pentas gambar nyah Mahathir,” Aku beri cadangan.

“Apa dia?” Pak Abu bertanya.

“Zunar boleh lukis gambar tangan penumbuk. Tolak Mahathir, gambar wajib besar biar semua melihat. Ini bahan seni,” Aku beri cadangan.

Petang itu semua tugasan diberi. Aku wajib menghubung Zunar untuk lukisan. Nyah Mahathir menjadi tema Himpunan 100,000 Rakyat.

Tiga hari kemudian aku terbaca dalam Utusan Malaysia berita Mahathir. 

Dia berucap menggunakan perkataan nyah. 

Mahathir mahu nyah Ezam. Mahathir menibai Ezam dengan ucapan, “Nyah Ezam”.

Aku terperanjat. Aku merasa intel dan polis rahsia Mahathir tercium bau tema Himpunan 100,000 Rakyat. 

Mahathir menggunakan perkataan nyah terlebih dahulu sebelum “Nyah Mahathir” aku sampai.

Aku tidak risau dengan berita Nyah Ezam ini. Apa yang wajib aku lakukan terus aku lakukan.

Zunar menyediakan lukisan penumbuk Nyah Mahathir. 

Aku meminta Hasmi Hashim, bekas pelajar seni dari UiTM untuk membesarkan lukisan Zunar. 

Hasmi datang dengan dua pelajar UiTM untuk membantu. Mereka membuat lukisan penumbuk Nyah Mahathir dalam pejabat aku di Bangsar Utama. Semua beres.

Laman Mahazalim dan Laman Reformasi menjadi suara reformasi. 

Dua laman ini mengiklankan setiap hari Himpunan 100,000 Rakyat. Pak Abu menggunakan internet untuk meluaskan pengaruh.

Hari Sabtu 4 November 2000, semua siap siaga. 

SD Johari menyediakan pentas. Kain layar Nyah Mahathir seluas 25 x 25 kaki dipasang.

Ahad 5 November 2000 ribuan rakyat mengambil alih Lebuhraya Kesas menuju ke Jalan Kebun.   

Aku mengambil jalan ini dari arah ke Kuala Lumpur. Jalan Kebun terletak antara Kuala Lumpur dan Klang.

Belum sampai jam dua, Lebuh Raya Kesas sesak. Dari apa yang aku diberitahu, pasukan FRU mula menembak gas pemedih mata di persimpangan jalan masuk ke Jalan Kebun.

Lebuhraya Kesas jadi sendat. Ribuan kereta tidak dapat bergerak. Semua kereta ini dalam perjalanan ke Jalan Kebun.

Aku diberitahu Wan Azizah, Lim Kit Siang, Dr Hatta Ramli dan ramai pemimpin politik meninggalkan kereta mereka dan berjalan menuju ke Jalan Kebun.

“Isham, Kak Wan datang. Kaki dia berbalut,” Malek memberi maklum.

“Alamak, kesian. Dia naik kerusi roda ke? Datang tetap datang.” Aku menjawab.

Aku sendiri menapak hampir tiga batu masih tidak sampai ke persimpangan jalan untuk masuk ke Jalan Kebun.

Aku paling senang hati bila melihat kereta tersadai. 

Pemandu dan penumpang keluar berjalan, lebuh raya sesak dan sendat. 

Semua ini menunjukkan kejayaan propaganda kami menjemput orang ramai ke program reformasi berjaya.

Hakikatnya Pak Abu dan Tian berjaya menyusun Perhimpunan 100,000 Rakyat.

Aku tidak tahu di mana Tian dan Pak Abu. Mungkin mereka sudah sampai ke pentas ceramah. Aku bersama Malek masih di atas jalan.

Kami hampir ke persimpangan jalan nak masuk ke Jalan Kebun tiba-tiba gas pemedih mata dilancar ke arah kami. 

Kami bertempiaran lari.

Gas pemedih mata terus ditembak. Di hadapan kami ialah ladang sawit. Gas ini masuk ke ladang sawit. Suasana menjadi lucu bila aku melihat ayam-ayam liar dalam kebun sawit bertempiaran terbang lari dari tembakan gas pemedih mata.

Tiba-tiba di ruang udara sebuah helikopter terbang rendah. Aku mendongak ke atas. Apakah kami akan dibom dengan gas pemedih mata dari udara. Aku memerhatikan dengan rapi akan tindakan helikopter ini.

Aku tahu ini taktik untuk menakut-nakutkan para penunjuk perasaan. Ini taktik lama yang kami semua sudah faham.

Berpuluh-puluh tembakan gas pemedih mata dilepaskan di persimpangan ke Jalan Kebun.  

Kami digagalkan untuk menuju tempat program. Gas pemedih mata berjaya menghalang kami.

Hari lewat petang. Akhirnya aku dan Malek mengundur pulang. 

Di tengah jalan aku ternampak Johari Abdul memandu van menyamar sebagai penjaja minuman.

“Malek, betul kau cakap, politikus ni takut nak turun berdemo. Mereka sayang kerusi daripada nak menegak keadilan,” aku berkata pada Malek sambil menapak untuk kembali ke kereta yang ditinggalkan tiga batu di belakang.

Isnin, 6 November 2000 RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian dan media milik United Malays National Organisation (Umno) yang lain heboh mengutuk kami yang menjadikan lebuh raya sesak dan sendat.  

Tetapi aku tak risau, gerakan reformasi ada Mahazalim, Sang Kancil dan Malaysiakini untuk memberi laporan dari sudut kami yang berdemo.

“What is next Tian? 100,000 Rakyat berjaya.” 

Satu petang aku bertanya ada Tian ketika kami berjumpa kembali di pejabat LRC.

“We must go to the street again. Jalan Kebun berjaya, we must do it in KL,” Tian memberikan pandangan.
 
“Bulan 12 ada Krismas, tahun baru, bulan dua Chinese New Year. Semua dah selesai, ni bulan tiga masuk bulan April kita ada  Black 14.” Aku  menghitung kalendar.

Petang itu kami buat keputusan untuk berhimpun mengingati hari Anwar dijatuhkan hukuman pada 14 April.

“Nak buat di mana?” Nora bertanya.

“Dataran Merdeka.” Aku mencelah.

“Kita buat di hadapan pejabat Suhakam, tak jauh dari Dataran Merdeka,” Tian beri cadangan.

“Woit, cun, cun 10 April hari Sabtu.” Aku berkata sambil ketawa.

Pada petang itu Pak Din, Nasir, Tan dan Nora ada bersama. 

Nora datang dengan dua kawan perempuan yang juga reformis.  

Bersama mereka ialah Pak Din, Malek, Pak Abu, Tian dan aku.

Petang itu kami dengan bersemangat mahu mengadakan demo yang lebih besar.

Himpunan 100,000 Rakyat yang membawa kejayaan menaikkan semangat kami.

Pak Abu dan Tian menjadi pemimpin. 

Aku ditugaskan untuk melakukan propaganda. Semua bergerak. 

Dalam masa lebih sebulan kami yakin kami akan berjaya membawa lebih dari 100,000 rakyat ke hadapan pejabat Suhakam di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Demo Black 14 diumumkan. Poster dan selebaran mula kami taburkan. 

Laman Mahazalim memainkan peranan yang penting. 

Aku menggunakan laman ini untuk mempropagandakan demo Black 14 pada 14 April 2001.

Semua berjalan lancar.

“Semua okay ke?” Aku tanya Tian dan Malek seminggu sebelum Sabtu 14 April.

“Ramai akan turun.” Tian menjawab.  

“Lebih besar dari Jalan Kebun.” Malek mencelah.

Aku merasa hairan kerana polis dan Mahathir senyap tidak membuat apa-apa larangan terhadap Black 14. 

Polis tidak heboh melarang orang ramai jangan turun ke perhimpunan haram.

Kami semua menunggu Sabtu 14 April 2001 sampai.

Pada Selasa 10 April 2001, hampir jam 5.00 petang pintu pejabat aku diketuk dengan kasar. 

Bila aku buka  dua orang pegawai  polis yang beruniform dan seorang tidak beruniform meluru masuk.

“Encik Hishamuddin Rais kamu ditahan.” Polis beruniform berkata.

“Kes apa?” Aku bertanya.

“ISA,” Jawapan polis.

Aku berselipar berbaju T dan berseluar pendek masuk ke dalam Proton berwarna hijau tua untuk dibawa dari pejabat aku di Jalan Kemuja di Bangsar ke rumah pasung.

Epilog 1:

ISA digunakan untuk menangkap para reformis dan penyokong Anwar Ibrahim. Gobala, Ezam, Lokman Adam, Raja Petra, Ghani Haron, Pak Din, Pak Abu, Ustaz Badrul, Tian dan aku ditahan.

Malek menghilangkan diri. Sepuluh orang reformis ditangkap.

Epilog 2:

Dari rumah pasung Sentul aku dibawa ke bilik sulit untuk disiasat. 

Mata kami sentiasa ditutup ketika kami keluar masuk sel.

Aku ada dengar suara Pak Abu. Aku ada dengar suara Tian. Ada satu petang, ketika penutup mata aku terbuka aku ternampak Raja Petra.

Epilog 3:

Satelah dua bulan dikurung bersendirian, satu malam aku dibawa keluar ke jalan. Sebuah van penjara menunggu.

Aku masuk. Dalamnya Pak Abu, Ezam, Lokman Adam dan Ustaz Badrul sudah sedia ada. Kemudian Tian sampai.

Kami akan dihantar ke Kem Kamunting untuk menjadi tahanan ISA.

Epilog 4:

Untuk aku Tian adalah penjana reformis. 

Ketika Anwar dalam penjara sosok yang bernama Tian Chua inilah yang menyusun gerakan reformasi. Dialah yang berjuang menghidupkan politik jalanan untuk membebaskan Anwar. 

Ketika Tian ditangkap di bawah ISA, dia adalah naib presiden Parti Keadilan Nasional.

Tian bertanggungjawab merapatkan banyak kumpulan NGO dalam usaha melebarkan pengaruh Parti Keadilan Nasional.

Epilog 5:

Tian adalah penaja gabungan PKN dengan Parti Rakyat Malaysia untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Hari ini Tian dipinggirkan PKR.

Epilog 6:

Chua Tian Chang tidak menjadi calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Batu. Tian sudah menjadi wakil rakyat Batu selama dua penggal atas kerusi PKR. Kini Tian diketepikan.

Kini, Tian menjadi calon bebas. Tian membawa lambang “Kerusi Rakyat”.

Epilog 7:

Aku bersetiakawan dengan Tian. Aku datang membantu kempen Tian. Mustahil aku akan melupakan siapa sebenarnya Tian Chua.

Jika aku pengundi Batu, aku akan memilih Chua Tian Chang. Simbol kerusi rakyat.