- Iklan -
Kolum

Buku hitam

Tingkah laku dan perangai yang dirakam ketika menjadi anak murid kini berubah menjadi baik berjurus ketika mendewasa.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Semua pelajar di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) tahu akan wujudnya “black book” atau buku hitam. Buku hitam ini tersimpan dalam bilik guru besar.

Nama buku ini muncul kerana dua perkara. Pertama kulit pembungkus buku ini berwarna hitam. 

Kedua perkara yang ditulis dalam buku hitam ini hanya “perkara yang dianggap hitam” di MCKK.

Hanya guru besar yang akan menulis dan merakamkan apa-apa perkara hitam yang berlaku.

Buku hitam ini boleh menjadi rujukan sejarah. 

Si Polan yang ini membuat kerja hitam itu akan dirakam. 

Hari berubah tahun berganti. Kini Si Polan yang nama dirakam dalam buku hitam menjadi sosok yang berjaya menjadi pemimpin masyarakat.

Semua berubah. Buku hitam menjadi rujukan sejarah.

Buku hitam ini juga akan menjadi rekod perkembangan seseorang anak murid. 

Tingkah laku dan perangai yang dirakam ketika menjadi anak murid kini berubah menjadi baik berjurus ketika mendewasa.

Membesar menjadi sosok yang bertanggungjawab. Ketika di sekolah nakal kini mendewasa sosok itu tegak berdiri dalam masyarakat.

Hingga sekarang lebih 100 tahun buku hitam ini wujud. Ini tradisi pengurusan, cara pentadbiran di MCKK.

Herman, Hatta Shahrom, Mahmud, Anwar Rahim atau Wabbit dan Yok atau Ibrahim Salleh dilihat oleh pengawas minum beer dan menghisap rokok.

Kami “kantoi” ditemui oleh dua pengawas, Jamil dan Abu Bakar Che Man ketika merayakan Tahun Baru Cina di rumah tukang jahit Yuk Keong.

Kami berlima semuanya duduk dalam dorm yang kami panggil “kapal haji”.  

Setiakawan kami rapat. Kami semua masuk ke MCKK semasa tingkatan enam. 

Kami diorientasi oleh para senior bersama-sama kecuali Yok yang masuk awal semasa tingkatan empat.

Kami kini diiktiraf sebagai budak koleq tetapi bukan daripada “prep school”, bukan sejak tingkatan satu.

Petang Ahad, 8 Februari, 1970 aku ingat lagi kami berlima berbincang apa yang akan terjadi. 

Esok Isnin, 9 Februari, akan ada perhimpunan rasmi.

Persoalan dalam kepala kami ialah apakah nama kami akan naik dibacakan oleh guru bertugas.

Apakah kami akan masuk ke Detention Class (DC), dikurung tanpa boleh keluar ke pekan Kuala Kangsar.

Apakah agaknya yang akan dilakukan oleh guru besar ke atas kami yang merokok dan minum beer.

“HM akan tulis surat ke rumah, beritahu emak ayah kita.” Wabbit membuat andaian.

“Lepas tu apa jadi?” Aku bertanya.

“Surat boleh blok.” Yok memberi cadangan.

“Mungkin kita akan digantung.” Wabbit menjadi juru cakap sekolah tak rasmi.

“Gantung berapa lama?” Mahmud bersuara.

“Seminggu? Dua minggu?” Wabbit memberi penjelasan.

“Kalau parent kita tahu kita kena gantung, susah juga.” Hatta menyampuk.

“Tak perlu balik kampung, kita gi Penang. Duduk youth hostel.” Yok memberi cadangan.

“Penang YMCA kat mana?” Mahmud bertanya.

“Tak jauh dari Penang Road.” Yok menjawab sambil dia menunjukkan ibu jari tanda baik.

“Kau ingat Jamil akan lapor kepada HM ke?” Aku bertanya.

“Kalau Jamil tak nak report, Bakar Che Man pasti lapor. Ini tugas prefect, tu pasal dia jadi prefect.” Wabbit menjelaskan.

“Yang tak minum pun dia lapor ke? Aku isap rokok aja.” Hatta memberi penjelasan.

“Aku rasa dua orang tu tak tahu pun sapa minum, sapa isap rokok. Dia tangkap muat je. Ini kerja prefect, kita tak tahu apa yang dilapor pada HM.” Yok memberi penjelasan.

Kami berlima duduk di bawah pokok manggis berhampiran dengan blok bilik sains. 

Kerisauan kami ialah tidak tahu apa yang akan terjadi esok hari Isnin.

Menunggu ini menjadi satu penantian yang mendebarkan.

Lalu aku tergambar duduk tepi laut di Pulau Pinang menyewa bilik YMCA. 

Aku tersenyum sendiri. Seminggu di tepi pantai pasti menarik.  

“Berapa semalam sewa katil di YMCA?” Aku mahukan penjelasan.

“Dua ringgit lima kupang semalam. Aku rasa tak mahal, kau ada duit ke?” Yok memberi penjelasan.

“Kurang-kurang kita perlu 20 ringgit, makan tidur.” Mahmud memberi penjelasan.

“Lebih murah duduk di Penang dari aku pulang ke KB.” Mahmud menambah.

“Kalau HM hantar surat pada keluarga, ni agak susah. Aku risau.” Hatta menyampuk.

Kami juga merasa risau. Jika apa yang berlaku diketahui oleh ibu bapa. 

Kami risau juga jika kami akan digantung dari masuk belajar untuk beberapa ketika.

Semua ini andaian kami. Petang itu kami tak tahu apa yang akan berlaku pada esok pagi Isnin.

Berapa kawan rapat dah tahu kes kami. 

Abdul Ghani Osman atau Abdga, kawan baik aku, aku beritahu. Yusuf Selit bekas pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), pun tahu sama.

“Jangan risau, kalau di SDAR hanya kena gantung. Lepas habis gantung masuk kelas balik, tak jadi apa-apa.” Yusuf Selit memberi nasihat percuma, pengalamannya di SDAR.

Kawan-kawan di Dorm Kapal Haji merasa simpati.  

Sulaiman anak Kuala Lumpur yang katilnya sebaris dengan katil aku, hanya mendengar apa yang berlaku.

Kemarahan kawan-kawan di Dorm Kapal Haji ditujukan kepada pengawas. Semua anggap pengawas ini kaki bodek.

“We are Five Samurai from Kapal Haji.” Aku membuat lawak mengambil sempena nama filem Seven Samurai.

Semua ketawa. Dalam ketawa mini, kerisauan masih ada.

Pagi Isnin 9 Februari sampai.  

Lepas  minum pagi Five Samurai pergi ke kelas masing-masing.  

Semua daripada aliran sains kecuali aku. 

Kami menunggu loceng berbunyi tanda semua wajib masuk ke Dewan Hargreaves untuk perhimpunan mingguan.

Kami daripada kelas tingkatan enam atas duduk di wilayah belakang sekali. Guru-guru semua duduk di pentas menunggu ucapan guru besar.

Mata aku memandang pada Wabbit dan Hatta yang duduk agak jauh dari aku. 

Aku juga mencari Yok dan Mahmud.  

Aku memerhatikan muka-muka Five Samurai dan bertanya pada diri aku sendiri: “Apa akan terjadi?”

Guru besar berucap tentang ini dan itu. 

Kemudian nama murid-murid yang kena DC di bacakan oleh guru bertugas. 

Aku berdebar menunggu akan nama Five Samurai akan dibacakan sama.

Tidak. Nama kami tidak naik.  

Wabbit di kerusi hadapan memandang aku. Aku geleng kepala. Yok kelihatan tersenyum.

Perhimpunan Isnin tamat. Kami bersurai dan pulang ke kelas masing-masing.

“Nanti kau tengok, mesti ada prefect datang. Kita kena panggil pergi jumpa HM, mustahil prefect tak report.” Wabbit membuat ramalan sebelum kami berpisah.

Aku masuk ke bilik darjah. 

Kelas Ilmu Alam Mister Goh bermula. Satu kelas selama 45 minit.  

Belum pun habis 45 minit, aku nampak Jamil datang ke arah kelas aku.

Aku tahu Jamil datang untuk memanggil aku pergi ke bilik guru besar.

Sebelum Jamil mengetuk pintu aku sendiri, bangun bersedia untuk keluar.

Aku sampai depan pintu pejabat guru besar. Hanya aku seorang yang lain tidak kelihatan.

Aku masuk. Syed Bakar Barakhbah duduk di meja.

“Yes, Hishamuddin. I had a report on what took place last Saturday.” Mukadimah guru besar.

Aku tunduk dan tahu bersalah.

“You know MCKK. An important institution. Do you know almost all the state secetaries, top civil servants are all from MCKK. After Merdeka MCKK was very important, building the nation.” Tambah Syed Bakar.

Aku faham apa yang dimaksudkan oleh guru besar. 

Aku sedar bahawa aku sudah melakukan satu yang “hitam” ke atas sekolah yang mendidik bakal  pemimpin negara bangsa.

“What you did was wrong, masuk dalam rekod buku hitam. It would be your history, beer is not allowed. Not your time yet.” Syed Bakar terus bersurah.

Aku tidak berkata apa-apa. Mata aku memerhati di dinding. 

Aku ternampak ada tergantung beberapa kerat rotan, yang besar dan yang halus sebesar rotan penyapu bulu ayam.

Aku berfikir rotan yang mana yang akan hinggap ke punggung aku. Pasti aku akan kena sebat oleh salah satu rotan itu.

“As head master, my duty to write something in this black book.”

Mata aku ternampak buku hitam yang terletak di atas meja Syed Bakar. Buku ini tebal dan lebarnya dua kali ganda daripada buku latihan biasa.

“I have to punish you, It must be on record.”

Bila aku dengar perkataan “punish you”, aku rasa punggung aku akan kena sebat. 

Mata aku sekali lagi memandang kepada kerat-kerat rotan yang tersangkut di dinding.

“But I will write, smoking only. Nothing more, caught smoking. I will cane you for smoking.”  Guru besar bergerak ke arah dinding dan mengambil rotan.

Aku hanya memerhatikan tangan guru besar mencapai rotan. Syed Bakar mengambil sebilah rotan kecil sepanjang tiga kaki.

“Your hand, tapak tangan. Sorry I’ve to do it.” Guru besar memberi arahan.

Aku memberikan tangan kiri aku untuk dirotan. Aku terasa usikan rotan mengena ke tapak tangan aku. Satu, dua dan tiga kali rotan hinggap dengan lembut ke tapak tangan aku.

“Thank you Sir.” Aku berkata sambil meramas tapak tangan aku.

Aku keluar dari bilik guru besar. 

Dari jauh aku nampak Wabbit dalam perjalanan ke bilik yang sama. 

Pasti yang lain mengikut sama. 

Five Samurai kena rotan.

Aku hampir tak percaya apa yang berlaku. Kata-kata nasihat guru besar kepada aku menjadi ingatan. 

Rotan yang dikenakan pada pagi 9 Februari, 1970 hanyalah formaliti.

Lepas makan Five Samurai bertemu di Dorm Kapal Haji. Semua kami tersenyum. Gembira kes sudah selesai.

“Herman berapa kau kena?” Yok bertanya.

“Tiga.” Aku menjawab.

“Mahmud berapa?” Lagi pertanyaan.

“Sama.” Mahmud menjawab ringkas.

“Semua kena tiga rotan, ini Tuan Syed bakar Barakhbah. Orang berilmu, hanya ditulis kita isap rokok dalam black book. 

“Hatta kau tak minum kan?” Wabbit bertanya kepada Hatta.

“Dia isap rokok je.” Aku menjawab.

Minum beer atau tidak minum, semua kena tiga rotan daripada guru besar. 

Ditulis dalam buku hitam atas kesalahan merokok.