- Iklan -
Kolum

Budak koleq dan Pop Yeah Yeah

M Osman juga mengubah dunia pop dan dunia muzik Melayu.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada bulan Oktober 1962, empat anak muda dari Liverpool menerbitkan lagu “Love Me Do” dan “P/S I love You”. 

Anak muda yang memanggil diri mereka The Beatles ini mengubah dunia pop dan dunia muzik.

Malah The Beatles mengubah politik dunia.

Di Malaysia pada tahun 1964, seorang anak muda bernama M Osman dari Johor Bahru muncul dengan lagu “Suzana” diiringi oleh kumpulan muzik Les Fentones.

M Osman juga mengubah dunia pop dan dunia muzik Melayu. 

Malah M Osman mengubah budaya politik  Melayu.

Sesudah Suzana, muncul A Ramlie dengan The Rhythm Boys, Jeffrydin dengan The Siglap Five, The Clans, The Mods, A Rahman Hassan dengan Orkes Nirwana, S Mariam, A Wahid, Kassim Selamat dengan The Swallows dan S Jibeng.

M Osman mengubah landskap muzik anak muda di Malaysia dan Singapura. 

Manakala Muhamad Ismail Abdullah (MIA) pengacara rancangan “Penyanyi Pujaan Minggu Ini” dari Radio Singapura memperkenalkan perkataan “kugiran”, kumpulan gitar rancak.

Aku sendiri terpesona dengan lagu “Oh Fatimah” nyanyian A Ramlie dan The Rhythm Boys, garapan Salmah Basiron pada tahun 1966.

Muzik mengubah hidup muda aku. Pada tahun 1968, aku yang belum melintasi 17 tahun turut sama dalam gelombang muzik Melayu dan muzik Orang Putih dari United Kingdom.  

Aku sebenarnya membesar dan mendewasa berlatarbelakangkan Pop Yeah Yeah Melayu dan Brits Pop.

Mustahil pada tahun 1968 ada anak muda di Malaysia yang berumur antara 17 hingga 20 tahun tidak pernah mendengar lagu A Ramlie dan Rhythm Boys atau Jeffrydin dengan The Singlap Five. 

Atau tidak pernah mendengar nama The Beatles, John Lennon atau Rolling Stones dan Mick Jagger.

Aku mengikuti konsert Pop Yeah Yeah yang datang membuat persembahan di “fun fair” di tanah lapang di tepi pekan Kuala Klawang di sebelah Panggung Ruby.

Tiket masuk ke fun fair 40 sen pada hari biasa. 

Jika ada penyanyi pop jemputan, tiket akan naik harga sampai 80 sen. 

Jika penyanyi jemputan yang hebat seperti A Ramlie  atau Jeffrydin tiket di pintu masuk melintas ke 1.50  hingga 2.00 ringgit untuk satu kepala.

Aku sempat mendengar A Ramlie, M Ishak, Jeffrydin, M Osman, Eddie Ahmad dan S Mariam.

Ini antara penyanyi Pop Yeah Yeah yang datang ke Kuala Klawang pada tahun 1967/68.

Pada tahun 1969 aku menjadi budak koleq di Kuala Kangsar. Aku tidak lagi bebas untuk keluar merayau masuk ke fun fair. 

Aku kini di terima masuk ke sebuah sekolah yang kaya dengan sejarah dan tradisi.

Di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) aku tidak mempunyai radio.  

“Rukun Iman” aku pada malam Sabtu tidak lagi mendengar suara Muhamad Ismail Abdullah dari Radio Singapura. 

Tidak lagi mendengar suara Tan Swee Leong dalam rancangan “Top of the  Pop” dari Radio Malaya.

Pada awalnya aku merasakan MCKK ini wilayah gersang dan kering tanpa muzik, tanpa budaya, tanpa konsert atau tanpa pesta-pestaan.   

Sebenarnya ini anggapan salah.

Di MCKK kamilah menyanyi, kamilah berkonsert, kamilah berkugiran, kami berteater, kami berbangsawan dan kami bersandiwara sesama kami sendiri.

Budak koleq seramai 500 anak muda lelaki yang  memiliki seribu jenis kepandaian dan bakat. 

Dari memetik gitar, menyanyi menari dan berlakon.

Aku tidak akan melupakan kemunculan Mustapha Noor sebagai penyanyi pembukaan Talentime tahun 1969.

Aku masih ingat lagi Malam Talentime. 

Kugiran dari Tingkatan Lima dengan penyanyi seperti Ahmad Fauzi.  

Aku ingat lagi Kugiran Fifth Form memainkan kan lagu “Proud Mary” dari Creedence Clearwater Revival (CCR).

Aku masih ingat Tengku Amash dengan kumpulannya naik ke pentas menyanyi dengan baju putih berambu-rambu di leher ala Sepanyol dengan seluar hitam. 

Mustahil aku melupakan lagu “In The Year 2525” oleh Zager and Evans. 

Di MCKK lagu ini dinyanyikan oleh Husin Malboro dan Akhbar.

Aku juga tidak dapat melupakan Akhbar dan Husin Malboro.

Mereka berdua ini masuk ke tingkatan enam sama macam aku. Masuk pada tahun 1969. 

Mereka berdua ini dari Pulau Pinang.

Husin kurus tinggi dan Akhbar rendah kecil. 

Satu tinggi satu rendah dengan lagu In The Year 2525. 

Selain dari bentuk badan tinggi kurus dengan pendek kecil ialah kulit mereka.

Aku yang datang dari Jelebu tidak pernah melihat orang Melayu yang berkulit hitam macam Husin dan Akhbar. 

Ghani Osman kawan baik aku dari Batu Pahat hitam, tapi tidak sehitam Akhbar dan Husin.

Awalnya aku pelik bagaimana dua budak India masuk MCKK. 

Kemudian aku diberi kefahaman konsep Mamak atau India Muslim. 

Di Jelebu tahun 1969 tidak ada Mamak. 

Di Jelebu yang ada India Hindu atau Keling Malabari yang membuka kedai makan No 8 dalam pekan Kuala Klawang.

Mamak untuk kami di Jelebu dan Negeri Sembilan ialah “bapak saudara”.

Talentime di MCKK ini disusun dan diatur oleh pelajar. 

Apa yang “special” tentang Talentime ini ialah kami membuka penonton kepada warga Kuala Kangsar. Tiket masuk 1.60 sen. 

Ini untuk dana persatuan, Fifth Form Union.

Fifth Form Union juga pernah menjemput datang A Halim dari Muar. 

Aku ingat lagi malam itu A Halim dengan De' Fictions menyampaikan lagu “Kisah dan Tauladan”.

Kumpulan Alleycats dari Pulau Pinang juga pernah membuat pertunjukan dalam Dewan Hargreaves. 

Malam konsert yang disusun oleh Sixth Form Union.

Hakikatnya Pop Yeah Yeah diteruskan walaupun kami tidak dibenarkan keluar malam bertandang  ke pesta fun fair. Pop Yeah Yeah datang kepada kami.

Wow! Pada malam Talentime atau konsert yang dibuka untuk orang luar, kerja sukarela yang paling dicari ialah bertugas ialah menjadi penyambut tetamu. 

Berdiri di pintu besar dengan jaket dan blazer untuk membawa tamu masuk ke Dewan Hargreaves.

Sebagai penyambut tetamu inilah peluang dapat bertemu dengan “minah cun” dari Kuala. 

Untuk Minah Kuala, mereka juga tahu acara tahunan di MCKK.  

Mereka datang untuk membolehkan bertemu, berkenalan dan mungkin jatuh cinta dengan budak koleq.

Aku ingat lagi Talentime tahun 1970 yang menjadi tetamu khas ialah Dotty, Puteri Sultan Idris yang ketika itu belajar di Tengku Khursiah College (TKC), Seremban. 

Malam itu Dotty datang dengan mini skirt berwarna merah. 

Cun bergetah dan mengancam 500 jantan di MCKK.

Dotty puteri kepada Sultan Perak ini menyampaikan hadiah pada malam itu.

Kolej juga ada mengadakan “School Concert” sebelum cuti akhir tahun. 

Ini bukan untuk mengutip derma. Ini budak koleq merayakan budak koleq.  

Setiap kelas atau dormitory akan membuat persembahan.

Biasanya yang menjadi tarikan ialah “interlude”. Interlude ini amat popular.  

Interlude  memerlukan kreativiti yang tajam. 

Interlude adalah sketsa pendek yang membawa lawak dan komedi.

School Concert tahun 1969 aku di minta oleh Mister M Nadarajah untuk mengarahkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan tiga.

Dua pelajar yang aku latih ialah Azizul Rahman dan Mat Poin atau Malik Maulud. 

Mereka menjadi pelakon dalam taridra.

Ini pertama kali aku terlibat dalam konsert MCKK. 

Aku ada pengalaman. Dari darjah lima di sekolah rendah aku sudah mula naik  ke pentas. 

Ketika dalam tingkatan tiga, empat dan lima di Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ) setiap tahun aku berlakon di konsert akhir tahun sekolah.

Pada konsert MCKK tahun 1970 ada satu drama komedi dari tingkatan lima yang tidak akan dapat aku lupakan. 

Ini kerja geng Kelly atau Khalid Ahmad, Chonot atau Aziz Hasan dan Tawail Mat Som.

Pada 1968 dunia heboh dengan berita “My Lai Massacre” di Vietnam. 

Tentera Amerika membunuh orang kampung di My Lai.

Pada tahun 1970 berita pecah rupa-rupanya di Tanah Melayu juga ada pembunuhan orang kampung di Batang Kali oleh tentera kolonial Inggeris. Ini terjadi pada Disember 1948.

Pelajar tingkatan lima MCKK mementaskan drama pembunuhan di Batang Kali dalam bentuk komedi.

Sixth Form Union juga mahu mengumpul dana. 

Persatuan mahu mengadakan “Malam Sandiwara”.  

Tiket satu ringgit untuk pelajar dan juga warga Kuala Kangsar yang dijemput datang.

Aku menulis skrip dan mengarah. Satu teater purbawara. 

Satu drama cinta pada satu zaman di alam kerajaan Kesultanan Melaka. Temanya amat klise. 

Jantan jahat ingin merampas  kekasih orang. Perebutan kekasih tema purbawara Melayu yang selalu kita tonton. 

Babak akhirnya pastilah pertarungan untuk menentukan siapa yang akan dapat gadis rebutan ini.

Purbawara ini menggunakan bahasa bangsawan. Aku tidak terlatih dalam penulisan skrip tetapi aku belajar perang dengan berperang. Untuk persatuan aku akan lakukan.

Aku ingat lagi wiranya Hatta Shahrom. 

Jantan jahat Wan Muhamad Wan Embong. 

Gadis rebutan Yan. Ketika-tiga pelakon utama adalah pelajar dari aliran sains. 

Jalil dan Ghani menjadi pak pacak.

Penjaga prop dan pereka set ialah Wan Magataruddin aliran sains dari Dorm 20.

Kami berlatih. Pelakon menghafal skrip. Aku mengarah. Wahid mengajar silat.

Kami semua lelaki. Untuk watak gadis kami  menyewa rambut dari salun di Kuala Kangsar. 

Untuk “make-up” kami ada dua orang kawan gadis Kuala Kangsar yang sedia membantu.

Latih punya latih. Silat punya silat semua menunggu hari pementasan.  

Wan Magata membeli atap rumbia dari Sayung untuk rekaan set.

Tiba-tiba lima hari sebelum pementasan Yan menarik diri. Yan enggan jadi gadis rebutan.  

Yan tidak mahu berlakon. Aku cuba memujuk. Gagal.

“The show must go on”.

Tidak ada jalan lain. Tiket sudah dijual. Publisiti sudah terpapar. Untuk mencari pelakon baru dan melatih dialog dalam lima hari adalah mustahil.

Jawabnya: Hishamuddin Rais menjadi gadis rebutan.

Ini kerana hanya aku, penulis skrip dan pengarah yang hafal skrip. 

Maka aku mengambil alih dari Yan. 

Malam itu di MCKK untuk pertama kalinya aku berlakon menjadi anak gadis.

Aku memakai rambut palsu. Bergincu, berkebaya labuh dan berselendang kuning. Pakaian yang kami pinjam dari kawan Orang Kuala.

Aku ingat lagi di babak akhir ketika pertarungan terjadi. 

Sita mahu dirampas oleh Rawana.  

Pertarungan silat berlaku antara Rawana dengan Rama.  

Keris Rawana sedia terhunus menuju Rama tetapi Sita datang menghalang lalu tertikam.

“Aaahhh.” Aku melaung kuat ketika keris menusuk ke dada aku.

Aku melaung sakit sebelum jatuh ke bumi. Aku melaung dengan suara jantan. 

Aku lupa suara Sita yang lembut.

Satu Dewan Hargreaves terbarai ketawa. 

Purbawara tragedi yang aku tulis berakhir dengan komedi.