- Iklan -
Rencana

Tenang bersara dengan surat penyelesaian cukai

Surat penyelesaian cukai adalah penting bagi pekerja yang berhenti kerja, bersara dan mereka yang mahu meninggalkan Malaysia.

Lembaga Hasil Dalam Negeri
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki masuk ke ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di Cyberjaya. Gambar: Bernama
Seorang lelaki masuk ke ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di Cyberjaya. Gambar: Bernama

Ramai pekerja yang kurang cakna atau tidak tahu akan kepentingan surat penyelesaian cukai (SPC) sekiranya mereka akan berhenti kerja atau bersara kelak.  

Sebagai pekerja yang bertanggungjawab, kita seharusnya tahu tindakan yang perlu diambil supaya amaun ganjaran dan manfaat yang akan dinikmati selepas bersara atau berhenti kerja diperoleh dengan segera dan amaun tersebut tidak dipotong untuk menjelaskan apa-apa cukai tertunggak akibat kegagalan melaporkan pendapatan  terdahulu sebelum berhenti kerja.

Mungkin ramai tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan khususnya berkaitan percukaian sekiranya ingin menamatkan perkhidmatan bersama majikan sekarang. 

Justeru itu, artikel kali ini akan menjawab persoalan yang sering ditanya mengenai  perkara ini.  

Apa yang dimaksudkan dengan surat penyelesaian cukai (SPC)?  

SPC merupakan perakuan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada majikan berkaitan hal ehwal cukai pendapatan pekerja yang akan berhenti kerja, bersara, yang hendak meninggalkan Malaysia ataupun yang meninggal dunia. 

Adalah menjadi tanggungjawab majikan tidak kira sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta, kedua-duanya bertanggungjawab di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi memaklumkan kepada LHDN  dalam tempoh yang ditetapkan sekiranya berlaku penamatan perkhidmatan. 

Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh majikan sekiranya berlaku penamatan pekerjaan atas pekerja?  

Sebagai majikan yang bertanggungjawab, mereka perlu memaklumkan  kepada LHDN tidak kurang 30 hari sebelum tarikh  pemberhentian pekerja yang akan berhenti kerja, bersara atau yang akan  meninggalkan Malaysia melebihi tiga bulan.

Bagi kes pekerja yang meninggal dunia, pemakluman perlu dibuat tidak lebih  tiga puluh (30) hari selepas dimaklumkan kematian pekerja berkenaan.

Ada tiga jenis borang perlu dihantar kepada LHDN mengikut situasi  pekerja iaitu: 

i. CP21 : Borang Pemberitahuan oleh Majikan Bagi Pekerja Yang  Hendak Meninggalkan Malaysia;  

ii. CP22A : Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja (Swasta)

iii. CP22B : Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja (Agensi  Kerajaan). 

Bagi memberi kemudahan kepada majikan, LHDN telah menyediakan  perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B yang boleh diakses di https://mytax.hasil.gov.my/. Pilih Perkhidmatan ezHasil seterusnya ke e SPC. 

Permohonan SPC akan diproses selepas semua dokumen dan maklumat  lengkap diterima. 

Selain itu, majikan perlu menahan apa-apa bahagian wang yang akan atau  boleh dibayar kepada pekerja dan tidak membayar apa-apa bahagian wang  tersebut tanpa kebenaran LHDN sehingga tempoh 90 hari dari tarikh borang diterima oleh LHDN.

Majikan juga perlu membayar semua atau sebahagian amaun wang yang  ditahan kepada LHDN apabila diarahkan pada bila-bila masa dalam tempoh  tersebut. 

Walau bagaimanapun, majikan diberi pengecualian untuk tidak  mengemukakan Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja kepada LHDN sekiranya pendapatan seseorang pekerja tertakluk kepada potongan cukai bulanan (PCB) atau jika saraan bulanan pekerja adalah di bawah amaun minimum yang layak dikenakan PCB, dengan syarat pekerja berkenaan akan  terus bekerja atau tidak bersara daripada mana-mana penggajian di Malaysia. 

Borang pemberitahuan oleh majikan bagi pekerja yang hendak meninggalkan Malaysia pula tidak perlu dikemukakan sekiranya LHDN berpuas hati bahawa seseorang pekerja tersebut dikehendaki meninggalkan Malaysia secara kerap  berhubung dengan penggajian yang dilakukannya. 

Apa kaitan SPC ini kepada pekerja-pekerja dan majikan di luar sana?  

Tujuan SPC adalah untuk memastikan rekod percukaian pekerja berada  dalam keadaan teratur. 

Apabila permohonan SPC diterima, cawangan yang menguruskan fail akan  menyemak rekod percukaian pekerja bagi tahun-tahun sebelumnya sama ada  audit perlu dilakukan atau tidak. Sekiranya perlu, cawangan akan meminta dokumen tersebut daripada pihak pekerja. 

Secara tidak langsung akan memastikan rekod percukaian pekerja berada dalam keadaan teratur.

Sekiranya terdapat amaun cukai yang perlu diselesaikan hasil daripada  semakan, amaun tersebut perlu dibayar oleh pihak majikan kepada LHDN daripada amaun wang yang ditahan. 

Adakah LHDN akan mengenakan apa-apa tindakan undang-undang  terhadap majikan yang gagal mendapatkan SPC bagi pekerja yang terlibat?  

Jika majikan gagal menjalankan tanggungjawab, majikan boleh disabitkan  kesalahan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. 

Kelewatan atau kegagalan mengemukakan borang tersebut tanpa alasan  yang munasabah merupakan suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 atau tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di  bawah subsekyen 120(1) ACP 1967. 

Majikan juga bertanggungjawab untuk membayar amaun penuh cukai yang perlu dibayar oleh pekerjanya. Amaun kena dibayar oleh majikan merupakan suatu hutang kepada kerajaan dan boleh dituntut melalui tindakan sivil.

Setelah permohonan SPC dihantar oleh majikan, apakah tindakan yang  perlu diambil oleh LHDN? 

Permohonan SPC individu yang lengkap diterima oleh LHDN akan diproses  mengikut Piagam Pelanggan kami, iaitu empat belas hari bekerja  daripada tarikh dokumen lengkap diterima. 

SPC individu yang telah selesai diproses akan dihantar kepada majikan dan disalin kepada pekerja untuk makluman serta rekod pekerja.

Pegawai perhubungan awam atau customer care officer (CCO) cawangan boleh  dihubungi sekiranya menghadapi masalah dalam pengeluaran SPC individu.  

Senarai nama CCO boleh diperolehi menerusi portal LHDN di www.hasil.gov.my dengan klik pada tab "Hubungi Kami" dan seterusnya klik panggilan. Anda perlu memilih CCO  untuk melihat senarai pegawai mengikut cawangan yang dikehendaki. 

Kami amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh majikan dan pekerja dalam permohonan SPC ini bagi membolehkan LHDN dapat memproses  permohonan tersebut dengan lancar.

Diharap perkongsian artikel ini dapat menjadi panduan dan dimanfaatkan sewajarnya oleh para majikan dan pekerja di luar sana yang masih ragu-ragu mengenai perkara ini.

Semoga kelestarian hasil cukai akan dimanfaatkan bersama demi membina  #KeluargaMalaysia yang lebih makmur dan sejahtera. Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh dimajukan kepada HASiL melalui: 

1. Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar  Negara); 

2. HASiL Live Chat; dan  

3. Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas: https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/