- Iklan -
Kolum

Lepas Parlimen dibubar, Ismail cuma naib presiden Umno

Ini kerana realitinya, setelah Parlimen dibubarkan, Ismail akan hilang kuasa sebagai perdana menteri.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lambat diadakan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan kalah.

Mengapa?

Jika PRU15 diadakan secepat mungkin, mengapa pula Zahid terasa Umno-BN akan menang?

Menang dalam kata Zahid, apakah ini bermaksud PRU15 ini Umno-BN akan dapat memenangi 112 kerusi secara sendiri jika diawalkan?

Umno-BN tidak mungkin akan memenangi melebihi 112 kerusi Parlimen pada PRU15, meskipun diawalkan ataupun dilewatkan.

Umno-BN mungkin memenangi kerusi terbanyak, tak kiralah bila PRU15 diadakan.

Umno-BN hanya akan membentuk kerajaan dengan mewujudkan pakatan politik baru selepas PRU15 jika mereka bertegas bertanding bersendirian.

Siapa yang bakal menjadi kawan Umno-BN masih tidak diketahui. 

Pada pandangan Umno-BN, keyakinan membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15 mungkin berdasarkan dominasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak. 

Akan tetapi, apakah GPS akan sudi bekerjasama dengan Umno-BN yang kuat seperti dulu, dan kembali ke zaman dahulu di mana mereka hanya menjadi “pak angguk”?

Jika Zahid melahirkan kebimbangan terhadap nasib Umno-BN jika PRU15 dilambatkan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula menzahirkan kebimbangan sekiranya tiada parti yang mendominasi kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 nanti.

Perkara ini menyebabkan Zahid terus menyampuk dengan memberikan amaran kepada pihak yang cuba menggunakan alasan takut Parlimen tergantung bagi menghalang PRU15.

Apa untungnya Parlimen tergantung bagi Umno-BN? 

Peliknya, mengapa Zahid tidak pula risau perkara ini terjadi? 

Mungkin beliau sudah ada pelan seterusnya. 

Ismail semestinya risau kerana Parlimen tergantung itu mungkin adalah titik noktah kepada jawatan perdana menteri yang disandangnya.

Ini kerana realitinya, setelah Parlimen dibubarkan, Ismail akan hilang kuasa sebagai perdana menteri. 

Beliau cumalah seorang naib presiden Umno dan pemangku perdana menteri. 

Yang berkuasa ketika itu adalah presiden Umno. 

Zahid akan berkuasa sepenuhnya menentukan watikah calon mana yang perlu ditandatangani.

Semakin awal Parlimen dibubarkan, semakin awal Ismail akan kehilangan kuasa - segala kuasa termasuk kuasa rundingan.

Bila PRU15 perlu diadakan? 

Ia hanya akan diadakan apabila Ismail merasa yakin beliau dapat kembali menjadi perdana menteri. 

Beliau sedar, bila pun PRU15, Umno-BN akan kekal mendapat kerusi terbesar tapi tidak dapat membentuk kerajaan persekutuan secara bersendirian. 

Umno-BN memerlukan parti politik lain. 

Dan percaturan ini perlu diselesaikan jika Ismail ingin kekal menjadi perdana menteri.

Situasi beliau amat berbeza dengan Zahid. 

Ketidaktentuan selepas PRU15 adalah satu peluang untuk berunding bagi mendapatkan apa yang dihajat.