- Iklan -
Kolum

13 Mei dan MCKK

Bila aku masuk ke dalam dewan aku terperanjat  kerana ternampak pegawai polis beruniform lengkap.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Bertandang ke Pavilion sebelum maghrib kini menjadi rutin aku. 

Selain daripada membaca akhbar tempatan sekali sekala ada juga terdapat majalah Times,  Newsweek dan Life. Di MCKK aku mula berkenalan dengan majalah dari luar negara.

Bulan April 1969, akhbar tempatan terutama Utusan Malaysia penuh dengan berita kempen politik. Daripada apa yang aku baca tarikh pilihan raya umum sudah ditetapkan.

Kempen sudah bermula dari bulan Mac lagi.

Berita melaporkan kemunculan Parti Gerakan di Pulau Pinang. Berita juga melaporkan Parti Buruh yang sudah renggang dengan Parti Rakyat Malaysia. 

Parti Buruh enggan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-3 (PRU3).

Ini kerana ramai kader dan pekerja Parti Buruh ditangkap dan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Aku ikuti juga berita luar negara tentang perang yang sedang berlaku di Vietnam. Aku hanya membaca dan tidak mengetahui hujung pangkal sejarah perang ini.  

Aku mula kenal nama Nixon (1913-1994), presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu. 

Aku juga kenal dengan seorang pakcik bersosok kurus berjanggut panjang. Nama pakcik ini ialah Ho Chi Minh (1890-1969).

Nixon dari AS dan Ho dari Vietnam bermusuh dan berperang.

Tapi paling menarik pada ketika itu dunia anak muda masih lagi dalam gelombang “pop yeah yeah”.

Di MCKK aku tidak lagi memiliki radio seperti aku di asrama Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ). Radio tidak dibenarkan untuk dibawa.

Maka secara tersendiri aku tidak lagi mendengar suara Mohamad Ismail Abdullah (MIS) dengan rancangan “Penyanyi Pujaan Minggu Ini”. 

Aku juga tidak lagi mendengar di pagi Ahad suara Tan Swee Leong, DJ “Top of The Pops”.

Aku tidak tahu lagi lagu apa baru keluar dan kugiran mana yang sedang naik.  

Apa lagu baru John Lennon, apa lagu baru The Swallows, apa terjadi dengan Siglap Five.

Hakikat  kehadiran aku di MCKK menjadikan zaman aku mengikuti rukun iman penyanyi pop makin mengendur. 

Tapi aku masih memakai nama Herman. Aku ambil daripada kugiran Herman Hermits kugiran dari UK.

Ruang kosong ini aku mula isi dengan membaca berita politik dari dalam dan luar negara. 

Berita politik luar negara seperti Perang Vietnam menjadi penting kerana dalam tingkatan enam ada mata pelajaran “general paper” atau kertas am.

Mata pelajaran ini bertujuan untuk membuka minda agar pelajar mengetahui perkara yang lebih luas. 

Perkara yang hangat dibincangkan dari segi politik, sosial, ekonomi atau budaya.

Kertas am ini menarik pelajar agar tercebur sama dalam perbualan nasional, dalam dan luar negara. Untuk aku ini mencabar.

Guru yang mengajar mata pelajar ini ialah Mister DJ Tate dan Mister Rodger Prior. 

Dua orang Mat Salleh. Sesekali Guru Besar Mister Aziz Ismail akan juga masuk mengajar. 

Aku rasa bila guru besar terluang masa, maka dia akan masuk untuk mengambil alih kuliah daripada DJ Tate.

DJ Tate ini aku difahamkan adalah bekas tentera Inggeris dalam bahagian semboyan ketika bertugas ketika zaman darurat di Malaya. 

Anak kelahiran kota London. Selesai bertugas melawan gerila Rashid Maidin dan Abdulah CD dia  balik kampung.

Daripada surah yang aku dengar, bila dia pulang ke kampung dia menjadi gelisah dan tidak selesa lagi dengan gaya hidup dan cuaca Eropah. 

Dia kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1956. Pada tahun 1969 dia menjadi guru di MCKK.

Manakala Rodger Prior pula datang dengan program Voluntary Service Overseas (VSO). 

Sebuah badan amal United Kingdom. Badan ini sama seperti Peace Corps, sukarelawan dari AS yang datang memberi khidmat bakti kepada negara baru merdeka.

Di Malaysia ramai VSO dan Peace Corps menjadi guru. Di MCKK pada tahun 1969 ada tiga guru Peace Corps: Arthur D Koch,  Michael L Siemon dan Bradley W Jessup, semua mengajar aliran sains.

Guru Mat Salleh dari AS ini bukan sesuatu yang baru untuk aku. 

Ketika aku di SMUJ ada juga  guru Peace Corps dari AS.

Aku ingat lagi Mister Norman Immermann dari New York, dia juga mengajar ilmu sains. 

Aku kenal baik kerana Mister Norman ada mengikuti “camping” kami di Bukit Tangga pada tahun 1968.

Di Pavilion aku terbaca berita kempen PRU3 yang semakin  tegang. 

Perdana menteri pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman bertelagah dengan Asri dari PMIP Pan Muslim Islamic Party (PMIP). 

Manakala Democratic Action Party (DAP) menyambung slogan Malaysian Malaysia. 

Slogan politik ini berasal usul dari slogan People’s Action Party (PAP) dari Singapura. 

PAP ini dikepalai oleh Lee Kuan Yew yang membawa Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965.

Berita-berita politik seperti ini aku baca dalam Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Pada hemat aku di MCKK tidak ramai pelajar yang tahu  apa yang belaku dalam kempen politik tahun 1969. 

Kami tidak keluar ke mana-mana. 

Kami hanya bercampur dengan rakan sekelas. 

Justeru maklumat pun apa yang sempat kami baca adalah daripada akhbar.

Tiba-tiba aku terbaca seorang ahli United Malays National Organization (Umno) cedera kena pukul di Pulau Pinang ketika dia sedang memasang poster parti. 

Esoknya berita lanjut melaporkan sosok ini meninggal dunia.

Kemudian aku terbaca berita seorang pemuda Cina mati ditembak oleh mata-mata.  

Kejadian ini berlaku di Kuala Lumpur. Di hari pengebumian pemuda Cina ini aku baca ada perarakan.

Semua ini aku anggap berita biasa saja yang tidak ada sangkut paut dengan kehidupan kami sebagai “budak koleq” di MCKK.

Hari Sabtu 10 Mei, 1969  di MCKK adalah hari inspection. 

Lepas inspection aku dengan Ghani keluar ke pekan.  

Aku tidak nampak apa-apa yang istimewa walaupun hari ini hari mengundi.

Kami makan mee rebus di Restoran Pak Kassim di bazar di tepi jambatan arah jalan ke Bukit Chandan.  

Aku nampak kereta berbendera kapal layar melintas beberapa kali. Sesudah makan aku dan Ghani merayau-rayau dalam pekan sebelum pulang ke asrama.

Sabtu malam Ahad, Kelab Cinema akan menayangkan filem di Hargreaves Hall. Biasanya filem Inggeris. Dewan ini menjadi panggung.

Aturan duduk: kelas paling rendah duduk di balkoni, kiri dan kanan dewan.  

Pelajar tingkatan empat, lima dan enam dalam perut dewan. Paling jauh dari layar putih dan paling hampir dengan projector adalah pelajar tingkatan enam.

Kalau dalam panggung kami para senior duduk di kerusi kelas pertama.

Susunan duduk ketika menonton wayang ini sama dengan susunan ketika perhimpunan rasmi hari Isnin. Kami boleh beralih kerusi tetapi dalam wilayah yang sama.

Duduk dalam dewan Hargreaves ini tidak seperti duduk dalam dewan makan. Di dewan makan kerusi dan wilayah tidak boleh beralih-alih.

Ahad 10 Mei, 1969 sekali lagi aku mengajak Ghani berjalan ke pekan Kuala. 

Kali ini kami berniat untuk menonton wayang di Panggung Capitol.  

Adalah biasa seminggu menonton dua filem. Satu di Hargreaves Hall dan satu di Kuala. 

Di Kuala ada tiga panggung wayang, Cathay, Rex dan Capitol. Hujung minggu panggung ini akan menjadi tumpuan budak koleq
 
Isnin 11 Mei, 1969 seperti biasa perhimpunan rasmi. Guru besar memberi ucapan. Kelas berjalan seperti biasa.

Petang Isnin seperti biasa aku pergi membaca akhbar. Gambar Tunku yang menang. Berita kemenangan Perikatan di sana sini.

Tiba-tiba pada Jumaat 16 Mei, selepas minum pagi pengawas mengarahkan semua pelajar masuk ke Dewan Hargreaves. 

Aku merasa pelik. Kenapa ada perhimpunan rasmi walhal hari Jumaat dan kami tidak memakai tali leher.

Bila aku masuk ke dalam dewan aku terperanjat  kerana ternampak pegawai polis beruniform lengkap. Juga yang berada di atas pentas bukan guru-guru.

Kami berpandangan sesama sendiri. Kami hairan apa yang telah berlaku. Tidak ada siapa yang tahu apa tujuan perhimpunan ini.

Aku lihat di atas pentas Pengerusi MCKK Megat Khas, Dr Underwood, tuan pegawai daerah dan tuan OCPD. Beberapa orang guru duduk di belakang mereka.

Guru berucap: “Berlaku kekacauan di Kuala Lumpur.” 

Guru Besar Mister Aziz Ismail menggunakan istilah kekacauan. Sapa kacau siapa aku tidak tahu.

Megat berucap memperkenalkan para jemputan yang ada di pentas. Pengerusi MCKK itu berkata dia akan bekerjasama dengan tuan OCPD untuk memastikan 500 orang budak koleq selamat.

Perkataan selamat ini agak menakutkan. 

Apakah kami akan diserang kerana itu tuan OCPD datang masuk ke Dewan Hargreaves. Ini belum pernah berlaku.

Megat memberi nasihat agar kami berhati-hati apabila ke pekan. Malah jika boleh tidak perlu keluar daripada kawasan sekolah.

Kami berpandangan sesama sendiri. Tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Kemudian guru besar berucap kembali kali ini ucapan lebih terang dan lebih menakutkan.

“Jika Ipoh dan jika Taiping curfew, saya akan usahakan untuk memastikan bahan makan cukup.”

Apakah kekacauan di Kuala Lumpur merebak ke Ipoh dan Taiping? Aku bertanya kepada diri aku sendiri.

“Kita akan beli sardin dan telur sebanyak  mungkin. Kita akan pastikan gula dan beras mencukupi. I hope this situation will not arrive. But we must be prepared, we hope everyhting will be normal soon.” 

Guru besar memandang ke arah tuan OCPD.

Tuan OCPD bangun dan berucap: “Kami daripada PDRM memastikan semua pelajar di MCKK dalam keadaan selamat. Polis Kuala Kangsar akan menjamin keselamatan semua. Kami berharap semua berjaga-jaga. Kita berharap semua akan kembali seperti sedia kala. Please don’t listen to rumours, khabar angin merebak dengan senang. Jangan dengar.”

Aku perhatikan pelajar tingkatan enam atas berbisik-bisik sesama sendiri.

Aku rasa pagi itu bila kami bersurai budak koleq tak tahu apa yang sedang berlaku di Kuala Lumpur. Apa yang kami diberitahu ada kekacauan berlaku.

Dalam kelas kami bersembang sesama sendiri.

“Cina bunuh Melayu.”

“Melayu Kampung Baru mengamuk.”

“Cina dah melampau, nak ambil Selangor.”

Semua ini aku dengar. Maka semenjak pagi itu agenda Melayu-Cina ini terus menjadi perbualan sesama kami.  

Aku sendiri tidak tahu daripada mana kawan-kawan sedarjah pungut cerita ini.

Petang itu aku pergi ke Pavilion untuk mencari berita.  

Semua akhbar dari Kuala Lumpur tidak sampai.

Hari Sabtu 17 Mei sesudah inspection  aku bersama Ghani masuk ke Kuala. 

Aku lihat sebuah trak askar berhenti dalam pekan di hadapan Restoran Double Lion. Pekan Kuala Kangsar aku lihat seperti sedia kala.

Sebelah petang, awal sebelum maghrib aku pergi ke Pavilion. Akhbar tidak sampai. Aku tidak tahu tidak sampai kerana tidak ada pengangkutan atau tidak dicetak.

Bila ini berlaku aku merasakan ada sesuatu yang besar berlaku di Kuala Lumpur.

Betul seperti ramalan guru besar, makan malan Sabtu 17 Mei, 1969 gulai ikan sardin. Esoknya  hari Ahad sardin dan telur. Amat jelas talian makanan putus.

Ayam yang biasanya datang dari Ipoh sudah tidak sampai. Apakah ada curfew di Ipoh? Soalan tanpa jawapan.

Pagi Isnin ketika Perhimpunan aku memasang telinga. Mana tahu jika ada berita baru. Tidak ada. Perhimpuanan biasa.

Dalam kelas pada hari Isnin itu Ghani menerangkan bahawa ada senior upper six yang ada radio kecil berkata mendengar Radio Australia.

“Mana kau tau?” Aku cepat bertanya.

“Ramai Cina mati di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur terbakar.” Ghani menyambung cerita.

“Mana kau tau? Sapa cerita?” Aku bertanya.

“Senior kat Pavilion ada radio. Dia dengar Radio Australia.” Ghani menerangkan.

“Sapa dengar?”

“Aku dengar cerita daripada Ariff. Pavilion ada radio.” Ghani memandang muka aku yang tak puas hati.

Cerita atas cerita. Apa yang sahih ialah seminggu budak koleq makan gulai sardin dan telur.

Pembekal ayam dan ikan dari Ipoh dan Taiping tidak sampai.

Punca maklumat aku di Pavilion juga terputus. Akhbar dari Kuala Lumpur tidak sampai.

Perbincangan politik Cina-Melayu dan pilihan raya antara sesama kami makin membakar. 

Suasana berubah.