- Iklan -
Berita

Skandal kapal tempur: Jangan biarkan petualang terlepas

Skandal LCS mengulangi skandal kapal ronda generasi baru TLDM 22 tahun dulu.

Mikail Firdaus
4 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein ketika pelancaran KD Maharajalela pada 2017. Projek kapal tempur pesisir bagi kegunaan tentera laut yang tidak siap kini hangat dibahaskan. Gambar: Facebook
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein ketika pelancaran KD Maharajalela pada 2017. Projek kapal tempur pesisir bagi kegunaan tentera laut yang tidak siap kini hangat dibahaskan. Gambar: Facebook

Ketika ini, Malaysia sedang gegak-gempita selepas terlondehnya skandal kapal tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) susulan laporan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan pelbagai pihak mula saling tuduh-menuduh, menuding-jari antara satu sama lain hingga terjadilah episod bangau oh bangau.

Saya sendiri sudah membaca dan meneliti laporan PAC jilid 1 setebal 247 muka surat itu. Laporan itu mempunyai asas yang amat kukuh – jadi tak hairanlah mengapa watak-watak tertentu jadi macam cacing kepanasan.

Sebenarnya masalah projek pembinaan kapal LCS ini bukan baru, bau busuknya sudah dihidu seawal 2017 lagi selepas timbulnya beberapa isu teknikal, tetapi pada masa itu, pihak berkepentingan optimis masalah tersebut dapat diselesaikan, sehinggalah ia tidak boleh lagi dilindungi kerana mana mungkin bangkai gajah hendak ditutup dengan daun nyiru.

Apa yang menyedihkan, skandal LCS ini mengulangi skandal kapal ronda generasi baru (NGPV) TLDM 22 tahun dulu.

Syarikat yang dilantik PSC-Naval Dockyard bukan sahaja gagal memenuhi kontrak RM5.4 bilion untuk membekalkan enam buah kapal tetapi turut gagal memenuhi spesifikasi ditetapkan dari sudut teknikal dan operasi.

PSC-Naval Dockyard kemudiannya diberi wajah baru, dengan pengurusan baru dan dinamakan semula sebagai Boustead Naval Shipyard (BNS) tetapi rupa-rupanya di Malaysia ini, sekadar tukar nama atau tukar pengurusan - tidak menjanjikan apa-apa, kerana perangai buruk tetap juga menjadi darah daging.

Sudahnya, apa yang terjadi telah pun terjadi. Selepas skandal 1MDB, Malaysia sekali lagi jadi bahan ketawa dunia kerana kapal LCS berteknologi halimunan rupanya ghaib terus dan tidak siap-siap sampai sekarang walaupun RM6.083 bilion daripada keseluruhan nilai projek RM9.1 bilion sudah dibayar kerajaan kepada BNS.

Ironinya, ketika Malaysia terjerat dengan isu rasuah dan penyelewengan, jiran di sebarang tambak sudah memiliki lapan buah kapal Littoral Mission Vessel (LMV), yang projek pembinaan kapal tersebut dibuat pada 2013, iaitu lewat dua tahun daripada projek LCS TLDM – tetapi mengapa Singapura boleh siapkan lapan buah kapal namun Malaysia habuk pun tiada?

Kesemua kapal tersebut dibina anak syarikat ST Engineering iaitu ST Marine, berasaskan reka bentuk yang dibangunkan hasil kerjasama Saab Kockums AB dari Sweden, dengan kapal pertama RSS Independence dilancarkan pada 2015, diikuti kapal RSS Sovereignty, RSS Unity, RSS Justice, RSS Indomitable, RSS Fortitude, RSS Dauntless dan akhir sekali RSS Fearless.

Projek LMV itu juga tidak dapat lari daripada masalah teknikal tetapi disebabkan tiadanya elemen rasuah serta penyelewengan sebagaimana kes LCS Malaysia, Kapal LMV dengan berat 1,250 tan dan dilengkapi meriam utama Oto Melara 76mm, meriam sekunder Rafeal Typhoon 25mm, mesingan berat 12.7mm serta 12 berpeluru berpandu pertahanan udara VL Mica, dapat diserahkan mengikut jadual.

Itulah bezanya Malaysia dengan Singapura. Bukan sahaja dari segi ketenteraan negara Lion City itu lebih moden dan canggih, tetapi dalam soal integriti pun mereka jauh lebih bersih berbanding pemimpin kita - yang setiap kali tampil di khalayak bukan main bercakap soal agama, bangsa dan negara.

Apa pun dalam skandal LCS ini, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Najib Razak perlu bertanggungjawab. Zahid tak perlu menegakkan benang basah dengan kata tidak wajar salahkan dia.

Hishammuddin juga usah mengelat, kononnya skandal itu bukan semasa dia menteri pertahanan. Najib, sama sebagaimana Zahid, namanya disebut dalam laporan PAC. 

Suka atau tidak, Zahid perlu mengakui masalah berpunca daripada dia – kerana Zahid orang yang mengubah keputusan awal daripada kapal jenis Sigma yg dipilih TLDM kepada kapal jenis Gowind dan mengabaikan lima pucuk surat bantahan panglima TLDM kepadanya. Ikut arah mana sekali pun Zahid cuba pusing, tangan dia jelas awal-awal sudah kotor. 

Najib juga kena pikul tanggungjawab kerana dua pucuk surat bantahan oleh Abdul Aziz Jaafar kepadanya yang dihantar pada 2011, diabaikan begitu sahaja. Padahal selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu Najib berkuasa untuk bertindak. 

Kepada Hishammuddin, janganlah cuci tangan. Kita kenallah watak anda yang akan sentiasa cuba bermain selamat sepanjang masa - tetapi kontrak LCS ini dimeterai pada 2014 ketika anda menjadi menteri pertahanan.

Mungkin ramai yang nak tahu bagaimana penyelewengan dan rasuah dalam projek kapal LCS ini berlaku. Sebenarnya proses itu telah disusun dari awal dengan pertukaran jenis kapal selepas lobi oleh BNS hinggalah kepada bagaimana keanggotaan panel penilai disusun.

Sebab itu, dalam laporan PAC di muka surat 133, jelas memberitahu bahawa BNS seringkali "overruled" keputusan panel penilai atau dengan kata lain, seakan ia tidak wujud. Objektifnya cuma satu, iaitu BNS yang mengawal projek bukan Kementerian Pertahanan atau TLDM.

Selepas itu, ditubuhkan pula dua entiti anak syarikat yang meragukan iaitu Contraves Advanced Device Sdn. Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn. Bhd (CED) bagi membolehkan tuntutan bayaran pada kos yang berkali-kali ganda lebih mahal dibuat ke atas kerajaan.

Sesudah dapat duit, ia disalah guna bagi tujuan lain pula. RM400 juta digunakan BNS untuk membayar hutang lapuk sewaktu kegagalan projek NGPV 22 tahun dahulu, manakala, RM305 juta lagi digunakan untuk membayar kos fasiliti integrasi BNS di Cyberjaya dan bukannya digunakan untuk projek LCS.

Paling misteri, hampir RM1bilion hilang tanpa jejak dan ke mana wang tersebut  hilang, mungkin hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasatnya tetapi dengar-dengar, banyak sudah yang dipindahkan ke akaun individu tertentu di Singapura.

Hakikatnya, sudah lima menteri pertahanan bertukar tangan, bermula dengan Zahid, kemudian Hishammudin, seterusnya Mohamad Sabu, selepas itu Ismail Sabri Yaakob dan sekarang kembali kepada Hishammudin tetapi skandal ini tidak juga kunjung selesai kerana masih belum ada sesiapa didakwa sehingga kini.

Kepada Ismail, inilah peluang dan ruang terbaik untuk dia membuktikan kepada rakyat bahawa dia bukanlah perdana menteri yang dikawal oleh kluster mahkamah, sebagaimana persepsi umum dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat secara terperinci dalang di sebalik skandal ini dan seterusnya diheret ke mahkamah.

Ingat, rakyat sedang memerhati dengan rasa jijik yang membuak-buak dek kerana episod skandal demi skandal ini dan tidak berapa lama lagi, kuasa perlu dikembalikan kepada rakyat – ketika itu, kita lihat siapa yang kena.

Mikail Firdaus adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow