- Iklan -
Rencana

Soalan yang Apandi perlu jawab

Apakah jenis hubungan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dengan Jho Low semasa ia memutuskan bahawa tidak ada apa-apa kesalahan yang dibuat oleh Najib.

Dr Mahathir Mohamad
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: AFP
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: AFP

Mohamed Apandi Ali ingin tahu asas dan sebab keputusan dibuat untuk tidak teruskan cadangan menuntut semula Batu Puteh sebagai milik Malaysia.

Saya telah jelaskan perkara ini berkali-kali. Yang perlu dijelas ialah bagaimana Apandi mencadang penyelesaian kes Jho Low dengan tawaran Jho Low untuk bayar kepada kerajaan Malaysia sebanyak RM1.5 bilion.

Apandi telah mendakwa dahulu bahawa tidak ada kesalahan yang dibuat oleh Najib Razak dalam kes 1MDB. Ini bermakna Jho Low juga tidak bersalah.

Jikalau tidak bersalah apa sebabnya Jho Low bercadang bayar RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia. Cara orang yang tidak bersalah ialah dengan kembali ke Malaysia dan sanggup dibicara di mahkamah.

Tetapi Jho Low masih tidak sanggup kembali ke Malaysia walaupun sanggup menghubungi Apandi. Kesanggupan Apandi menerima tawaran Jho Low tentulah kerana Apandi sekarang akui yang Jho Low bersalah.

Lagi pun Najib didapati bersalah dengan kesemua tuduhan di mahkamah apabila dibicara. Sekaligus keputusan Apandi bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan, ditolak oleh mahkamah apabila Najib dibicara. Ini bemakna Apandi cuai dalam menjalankan amanah sebagai peguam negara.

Yang menjadi soalan ialah apakah jenis hubungan Apandi dengan Jho Low semasa ia memutuskan bahawa tidak ada apa-apa kesalahan yang dibuat oleh Najib.

Jika ada hubungan maka "conflict of interest" berlaku. Keputusan Apandi ini telah menghalang mahkamah daripada membicarakan kes Najib dan juga melindungi Jho Low.

Adalah penting siasatan dibuat berkenaan hubungan Apandi dengan Jho Low. 

Dr Mahathir Mohamad adalah bekas perdana menteri Malaysia.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow