- Iklan -
Kolum

Dari Kuala Klawang ke Kuala Kangsar

Bila aku dijemput untuk mendaftar menyambung belajar ke tingkatan enam, aku sendiri terperanjat.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada bulan Mac 1969 ketika aku dapat tawaran untuk masuk ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK). 

Aku tidak tahu apa-apa pun tentang MCKK atau Kolej Melayu Kuala Kangsar.  

Hanya, aku pernah terbaca Kuala Kangsar ini sama seperti Sri Menanti, pekan diraja untuk Perak. 

Selain daripada itu sejarah MCKK aku tidak tahu.

Tidak ramai murid sekolah dari Jelebu yang tahu selepas tingkatan lima, rupa-rupanya ada   tingkatan enam.  

Ketika mengambil peperiksaan MCE/SC tidak terlintas dalam kepala aku untuk menyambung ke tingkatan enam.

Aku tahu wujudnya universiti. Aku ada terbaca juga berita tentang Universiti Malaya di “Pantai Valley” atau Lembah Pantai di Kuala Lumpur dan Universiti Singapura. 

Aku pernah dengar juga nama Ungku Aziz.  

Malah nama-nama pelajar yang dapat ijazah dari Universiti Malaya pernah aku lihat disiarkan dalam Utusan Melayu.

Emak aku beritahu sepupu sebelah tok wan aku, Bang Embong Zainal kini belajar di universiti di London. 

Tetapi aku tidak tahu cara nak masuk ke universiti ini wajib lulus tingkatan enam. Tingkatan enam ini perkara yang amat baru untuk aku.

Pada hemat aku sesudah tingkatan lima maka tamatlah zaman persekolahan. 

Pengetahuan budak kampung pada tahun 1969, kalau hendak sambung belajar boleh masuk Institut Teknologi Mara (ITM), masuk Kolej Serdang, masuk maktab perguruan, jadi polis atau askar, ini sahaja yang aku tahu.

Bila aku dijemput untuk mendaftar menyambung belajar ke tingkatan enam, aku sendiri terperanjat.  

Sesudah surat jemputan ke MCKK aku terima baru aku sedar bahawa di Negeri Sembilan hanya ada satu sekolah yang ada tingkatan enam, King George Ke Lima (KGV) di Seremban. 

Dari apa yang aku difahamkan tingkatan enam di KGV pun tidak ramai pelajar.

“Hisham, you are going to MCKK. Kuala Kangsar is my town.” 

Mister Gamma Khan, guru pengakap aku bersuara satu petang ketika kami berjumpa.

“There is a long pavement with tile roof in your school.” 

Mister Gamma bercerita apa yang dia tahu tentang MCKK.

“Kuala Kangsar is small town but bigger than Kuala Klawang. You would like it there.” 

Mister Gamma memberi aku semangat.

Aku memberi tahu Lee Keong yang aku akan ke Kuala Kangsar. 

Lee Keong gembira kerana aku dapat menyambung belajar.  

Lee Keong sendiri yang lulus MCE/SC mendapat gred dua tidak tahu apa nak buat.

Bila aku beritahu tentang Kuala Kangsar dia teringat yang kami pernah lalu di simpang jalan  ke Kuala Kangsar ketika kami “hitch hike” ke Taiping untuk singgah di rumah Mister Tay.

Satu petang aku berbasikal ke Kuala Klawang aku terserempak dengan Razak Nordin, rakan sekelas. 

Dia juga lulus MCE/SC tetapi tidak cemerlang. Si Razak ini budak pekan. 

Ayahnya pegawai di pejabat pegawai daerah. Justeru dia lebih arif dalam banyak perkara berbanding dari aku budak kampung.

“Wow Hisham, kau jadi budak MCKK.” Kenyataan dari Razak yang tidak faham maknanya.

Aku pergi ke Sin Chong Tukang Jahit untuk menempah dua pasang uniform sekolah dan juga sepasang baju Melayu putih.  

Aku mengikut arahan apa  yang wajib aku bawa dari rumah, kelambu, kain cadar, sarung bantal termasuk satu kaki payung kertas.

Tentang hidup di asrama aku tidak risau. 

Kehidupan di asrama bukan satu perkara yang baru untuk aku.  

Kini aku hanya beralih asrama dari SMUJ ke MCKK. Dari Kuala Klawang ke Kuala Kangsar.

Ketika aku sibuk bersedia untuk ke Kuala Kangsar kempen politik semakin hangat.  

Dari apa  yang aku difahamkan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi. 

Tarikh belum diumum tetapi kempen sudah bermula.  

Aku tidak lagi menyertai sepupu dan keluarga aku untuk membantu Aminuddin Manaf, bapak saudara aku untuk bertanding sekali lagi.

Hari Khamis, aku, emak dan abah turun ke pekan Kuala Klawang. 

Lee Keong dan Verapan, anak muda India kenalan aku yang bekerja sebagai tambi di Sekolah Yuk Hua, Kuala Klawang ada menunggu aku di Stesen Bas Lim.  

Aku masih ingat lagi petang itu Lee Keong dan Verapan mengucapkan selamat jalan kepada aku. Aku meninggalkan Kuala Klawang ke Kuala Kangsar.

Kami naik teksi menuju ke Seremban dan kemudian ke Kuala Lumpur.  

Di Kuala Lumpur kami singgah bermalam di rumah kakak aku di Sungai Besi. 

Suami kakak aku bertugas sebagai pegawai TUDM.  

Esoknya Pakcik Jalal, pemilik Restoran Amjal, adik abah aku membawa kami ke Ipoh. 

Di Tambun Ipoh kami bermalam di rumah kakak ngah, kakak sulung aku yang tinggal di Kem Askar Melayu Tambun. 

Suami kakak aku pegawai pasukan renjer.

Ahad dari Ipoh kami menuju ke Kuala Kangsar. Mengikut sama ialah dua anak buah aku Norita dan Hazlan.  

Kami menyeberang Sungai Perak sebelum masuk ke Kuala Kangsar. 

Tidak susah untuk menemui bangunan MCKK. Kami melintas di hadapan sekolah dan terus masuk ke pekan. Kami mencari kedai makan untuk makan tengah hari.

Aku ingat lagi kami sekeluarga makan di warung Melayu di hadapan Sungai Perak.

Mata aku melayari pekan ini yang akan menjadi pekan aku tidak lama lagi.

Sesudah makan tengah hari kami mengarah ke sekolah. 

Pakcik Jalal memberhentikan kereta betul-betul di hadapan jam besar sekolah.  

Dari jauh mata aku melintasi padang yang luas, aku ternampak bangunan klasik lama.

Lalu aku ternampak “long pavement with tile roof” jalan menapak beratap genting yang dikesahkan oleh Mister Gamma Khan. Oh! ini rupanya MCKK.

Beg aku diturunkan. Emak aku memasukan duit ke dalam poket baju aku.   

Kami bersalaman. Aku memeluk anak buah aku. Aku mengucap selamat jalan. Mereka mengucap salam tinggal.

“Belajar baik-baik.” Dari Pakcik Jalal.

“Rajin membaca.” Cikgu Zaleha beri nasihat.

Abah aku seperti biasa tidak banyak cakap.  

Kereta  berwarna hijau Pakcik Jalal meluncur pulang ke Ipoh. Aku tercegat sendirian tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

Aku heret beg aku ke arah bangunan. Dari tingkap kaca aku tahu bangunan yang aku tuju ialah bilik darjah.

Aku memandang ke arah padang yang maha luas. 

Aku perhatikan bangunan klasik yang belum pernah aku lihat. 

Bangunan yang tidak wujud di Kuala Klawang mahu pun di Seremban. Aku kagum melihat sekolah baru aku.

Sedang aku mengelamun tiba-tiba seorang anak muda datang. Rupa bentuknya  Melayu tapi kulitnya agak hitam. Dia memerhati ke arah beg aku.

“New student? Baru sampai?”  Dia membuka suara.

“Ya, Isham.” Aku menghulur tangan. Kami berjabat salam.

“Nama kawan Ghani, dari Batu Pahat.” Dia memperkenalkan diri.

“Dari Jelebu, Negeri Sembilan.. Form six apa? Arts ke Science?” Aku bertanya.

“Kawan Arts.” Ghani menjelaskan.

“Kita satu kelas.” Aku tersenyum gembira. 

Ghani Osman ialah kawan pertama aku kenali di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Kami sama-sama bersalaman di bawah jam besar.

“Apa nak buat? Register pukul berapa?” Ghani bertanya.

“Tak pasti, tapi aku nampak dah ada student. Depan tu hostel ke?” Aku bertanya.

“Kawan belum makan lagi, kawan sampai dengan bas dari Ipoh tadi...kawan dari rumah pak saudara kawan.” Ghani bercerita.

“Mari gi town, aku dah makan. Aku tahu kedai makan, beg kita letak mana?” Aku merelakan diri untuk menjadi pemandu pelancong.

“Aku rasa letak kat rumah sana tu. Aku nampak banyak beg.” Aku menjawab soalan aku sendiri.

Kami membawa masuk beg kami dan meletakan di bangunan jalan beratap genting.  

Aku rasa selamat kerana awalnya aku ternampak beg terletak di sana.

Kemudian kami keluar dari pintu sekolah dan menapak ke pekan Kuala  Kangar. Kami berselisih dengan dua tiga kumpulan anak muda yang aku lihat ceria. 

Aku rasa mereka pastilah murid MCKK yang pulang dari bercuti panjang.

Kami lalu depan masjid yang aku lihat indah terbuka. Kami menapak menurun bukit lalu depan tugu simpang tiga dan masuk ke dalam pekan.

Di hadapan kami bazar. Kami menapak terus mengarah ke  kedai-kedai makan depan yang tadinya aku sampai.

Sambil berjalan kami bersembang. Aku merasa agak pelik kerana si Ghani ini membahasakan dirinya “kawan”. Bukan aku atau saya. 

Aku dari Jelebu belum pernah mendengar perkataan kawan sebagai ganti kepada aku atau saya.

Di Negeri Sembilan ada perkataan “den” dan “doyan” untuk aku atau saya. 

Ini loghat “nogori” yang amat pekat. 

Di Jelebu ada yang menggunakannya tetapi tidak meluas seperti di Kuala Pilah atau Rembau.

Ghani makan aku hanya minum teh.

Perkenalan pertama biasanya agak susah juga. Tidak tahu apa yang nak dibualkan. 

Tidak tahu babak apa yang menarik. Tidak tahu yang mana wajib diceritakan dan yang mana wajib terus disimpan.  

Aku juga tidak tahu apa yang perlu aku tanya. 

Di saat ini aku bergantung pada rasa hati. 

Rasa hati aku menyatakan bahawa sosok bernama Ghani Osman yang sedang makan di depan aku ini sosok baik.

Jatuh menjadi sosok baik kerana sosok yang pertama menyapa aku di wilayah yang begitu asing untuk aku. Di wilayah yang aku tidak kenal sesiapa pun.

“Seringgit tujuh kupang, semua.” Tuan empunya kedai mengira..

“Berapa? Berapa harga?” Ghani menyoal kembali.

“Seringgit tujuh kupang.” Tuan kedai mengulang.

“Seringgit tujuh puluh sen.” Aku menerangkan kepada Ghani.

“Sini tak pakai sen, pakai kupang.” 

Aku berlagak seperti pemandu pelancong yang bijak. 

Perkataan kupang ini pun aku dengar ketika kali pertama hitch hiking dengan Lee Keong ke Taiping.

Sesudah makan kami merayau ke dalam pekan. 

Kemudian Ghani ingin menggunakan tandas.

Ha! Satu masalah dalam pekan yang kami baru sampai kami tidak tahu hulu hilir. 

Akhirnya kami bertanya.

“Kome masuk sane, nanti kome nampak.” Abang Kuala Kangsar dengan loghat Perak pekat.

Kami terjumpa tandas awam tidak jauh dari tempat makan.

Kemudian kami menapak pulang ke sekolah. 

Ketika ini semakin ramai pelajar membawa beg menuju ke bilik masing-masing. Pulang dari bercuti atau mungkin seperti kami, pelajar baru masuk.

Kami hanya mengekor. Kami tak tahu arah mana.

Sampai ke dormitori kami tercegat berdiri.

“Woit budak baru, new student. Hang naik atas.”

Suara dari seorang yang kami tidak kenali tetapi arahan yang membantu.

Kami naik tangga dengan beg. 

Kami ikut pelajar yang bersuara masuk ke dorm. 

Aku lihat ramai pelajar, pasti yang “senior”. Ada yang duduk di atas katil bersembang, ada    yang terbaring.

Aku nampak mereka ceria gembira penuh “confidence” tidak cuak dan takut seperti aku. 

Takut kerana tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

“Hangpa budak baru masuk dorm twenty, down under.” 

Suara kuat terdengar. Aku tidak tahu suara siapa.

Ghani dan aku ikut arahan dan masuk ke dorm di bawah. Dalam dorm ini sudah ramai pelajar.  

Tiba-tiba Ghani ketawa dia terjumpa kawan sekelas dari sekolah yang sama, High  School Batu Pahat.

“Hisham, ini Rashid.” Kami bersalaman.

“Ambil katil, pasang kelambu. Sebelah sini semua yang baru masuk.”  

Rashid yang dah sampai lebih awal sudah tahu apa yang perlu dibuat.

Aku mengambil katil tepi tingkap.   

Jarak satu dari bilik kecil. Ghani di katil hadapan aku di sebelah katil Rashid.

Aku menyediakan tempat tidur. 

Bantal dan tilam ada disediakan. 

Kain cadar sarung bantal dan kelambu aku bawa dari rumah.

Malam ini untuk pertama kalinya aku akan tidur dalam “dorm twenty” dengan kawan-kawan yang belum pernah aku kenali.