- Iklan -
Rencana

Pendekatan holistik perlu diambil tangani pertumbuhan terbantut kanak-kanak

Bilangan kanak-kanak terbantut di bawah umur lima tahun meningkat dari 17.7% pada 2015, kepada 21.8% pada 2019.

Mohideen Abdul Kader
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak bermain dengan arnab peliharaan di Pantai Klebang, Melaka.
Seorang kanak-kanak bermain dengan arnab peliharaan di Pantai Klebang, Melaka.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan langkah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk membanteras pelbagai masalah pemakanan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya masalah bantut.

Kanak-kanak terbantut akibat kekurangan pemakanan yang kronik adalah berita yang amat membimbangkan di negara kita, yang mendakwa menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat, pembangunan,peningkatan dalam status sosioekonomi dan sistem penjagaan kesihatan.

Menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2016, kadar terbantut di Malaysia adalah kira-kira 21%. Ini adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada keseluruhan kelaziman 7% tahun itu di negara berpendapatan sederhana di mana Malaysia adalah satu daripadanya.

Menurut kajian itu, bilangan kanak-kanak terbantut di bawah umur lima tahun telah meningkat dari 17.7% pada 2015, kepada 21.8% pada 2019.

Keadaan sekarang boleh menjadi lebih teruk kerana keluarga berpendapatan rendah yang terjejas oleh krisis Covid-19 tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan apa lagi makanan berkhasiat untuk anak-anak mereka.

Menurut laporan daripada Families on the Edge Project yang dikendalikan bersama oleh Unicef dan UNFPA mendapati terdapat kemerosotan kualiti pemakanan dalam keluarga berpendapatan rendah.

Bantut, merupakan kegagalan tumbesaran yang biasa berlaku pada kanak-kanak kecil,  disebabkan oleh pemakanan dan jangkitan yang lemah dan bukannya faktor genetik.

Kegagalan pertumbuhan ini berkait rapat dengan kemiskinan yang menyekat akses kepada kuantiti dan kualiti makanan yang mencukupi, air bersih dan sanitasi serta penjagaan kesihatan utama yang berkualiti.

Kemiskinan dan bantut adalah dua faktor yang boleh menjejaskan  perkembangan minda kanak-kanak  termasuk fungsi kognitif.

Malaysia telah meratifikasi Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) oleh itu keselamatan makanan dan kesihatan kanak-kanak adalah tanggungjawab negara.

Kerajaan perlu membangunkan pendekatan holistik terhadap pemakanan, dan tidak hanya melihat dari sektor kesihatan sahaja.

Program pemberian makanan sekolah boleh membantu kanak-kanak yang kekurangan zat untuk pulih daripada terbantut, seperti program pemakanan sekolah kebangsaan India yang membantu kanak-kanak pulih daripada penurunan pertumbuhan.

Di Peru, program pemakanan kebangsaan, seperti "Qali Warma" dan "Vaso de Leche" (Segelas Susu) membantu kanak-kanak yang terbantut akibat krisis makanan untuk pulih.

Program pemindahan tunai bersyarat yang menyediakan insentif kewangan kepada isi rumah miskin untuk melabur dalam kesihatan kanak-kanak boleh membantu memerangi kanak-kanak kekurangan pemakanan.

Contoh program seperti itu di Peru ialah "Juntos" (Bersama) yang memerlukan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dalam keluarga yang menerima sokongan mesti menghadiri kemudahan kesihatan untuk penjagaan kesihatan dan pemakanan yang komprehensif.

Di mana melibatkan Malaysia, kerajaan juga harus meletakkan dasar untuk meningkatkan akses keluarga kepada sumber makanan yang berkhasiat dan berpatutan.

Satu kempen komunikasi massa di seluruh negara mengenai bantut dan pemakanan perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan pengetahuan penduduk Malaysia tentang kesihatan adalah rendah dan masaalah bantut  tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Pada masa ini terdapat banyak kempen awam seperti inisiatif Pinggan Sihat Malaysia dan program Pemakanan Sihat melalui Beli-Belah Sihat.

Pendidikan pemakanan untuk ibu mengandung dan menyusu dijalankan di klinik dan hospital, manakala pendidikan mengenai amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak diintegrasikan ke dalam program kesihatan awam di klinik. Ini termasuk penyebaran bahan bertulis, ceramah untuk ibu-ibu selepas bersalin, seminar dan juga demonstrasi masakan.

Walaupun terdapat program-program ini, capaian nya terhad disebabkasn penyertaan awam yang rendah.

Kempen pemakanan semasa tidak menjelaskan masalah bantut, kesannya terhadap kesihatan dan perkembangan kanak-kanak, mahupun tempoh kritikal 1000 hari. Sebaliknya,  tumpuannya ialah terhadap obesiti dan penyakit tidak berjangkit.

Walaupun terdapat sebuah dokumentari mengenai masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak yang disiarkan oleh saluran televisyen nasional namun ia tidak menjelaskan dengan panjang lebar kesan buruk bantut kepada masa depan rakyat Malaysia. Ramai yang tidak memahami mesej dalam program tersebut.

Memandangkan situasi sekarang CAP menyeru pihak berkuasa untuk:

· Jadikan makanan berkhasiat mampu untuk diperolehi.

· Menjalankan penyelidikan untuk menjadikan setiap kanak-kanak diberikan perhatian.

· Menganjurkan dan menyokong perubahan dasar yang mesra kanak-kanak.

· Menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada setiap kanak-kanak.

· Menjalankan kempen untuk mengubah minda dan persepsi mengenai bantut.

· Memperkasakan golongan muda untuk menjadi agen perubahan dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow