- Iklan -
Kolum

Sri Lanka dalam rebutan China-Amerika

Maka tidak hairanlah penulis fiksyen sains British, Arthur C Clarke memilih Sri Lanka untuk menjadi tempat kediamannya.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Apabila rakyat marah dan bangkit melalui demonstrasi serta rusuhan kerana kesempitan hidup akibat ketiadaan keperluan asas, maka adalah mudah untuk bersimpati dengan mereka. 

Lebih-lebih lagi kerajaan yang memerintah jelas melakukan salah tadbir urus hingga membawa negara itu menjadi muflis.

Orang ramai di Colombo sudah memasuki kediaman rasmi presiden atau “President's House” untuk mencari Gotabaya Rajapaksa dan menuntutnya meletak jawatan. 

Gotabaya pula keluar dari Sri Lanka dan berlepas ke Singapura sebelum meletak jawatan. 

Kini jawatan itu dipangku oleh Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe.

Rakyat marah bukan saja kepada presiden tetapi seluruh kerajaan Sri Lanka yang sebelum Mei lalu dipimpin oleh bekas perdana menteri, Mahindra Rajapaksa, abang Gotabaya. 

Beliau meletak jawatan atas desakan orang ramai. Rumah peribadinya dibakar oleh perusuh.

Mahindra pernah menjadi presiden dan Rajapaksa adalah keluarga berpengaruh yang menguasai Sri Lanka. 

Adik kepada Mahindra pula, Basil adalah menteri kewangan yang di dalam tangannya membawa Sri Lanka kepada muflis.

Maka tidak hairanlah kemarahan rakyat Sri Lanka ditujukan kepada seluruh keluarga Rajapaksa. 

Kehadiran tiga bersaudara dalam pemerintahan Sri Lanka adalah jelas suatu nepotisme dan kemewahan hidup keluarga ini memaparkan berlakunya korupsi. 

Lebih-lebih lagi mereka hidup di tengah-tengah kesusahan rakyat. 

Sejak beberapa tahun lalu, lama sebelum timbul Covid-19, ramai pengulas dunia memberi perhatian terhadap masalah yang bakal ditimpa oleh Sri Lanka, khususnya jalannya menuju bankrap ekoran pinjamannya daripada China untuk membina projek mega berbentuk pelabuhan.

Kedudukan strategik geografi Sri Lanka di Lautan Hindi menyebabkan ia menjadi penting bagi kuasa-kuasa besar dari zaman imperialisme hinggalah kini. 

Buat masa sekarang ia merupakan sebahagian daripada titik-titik dalam peta persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China.

Sri Lanka bukannya sebuah negara berjaya dan rakyatnya tidak menikmati kemajuan dan kemakmuran yang selayaknya. 

Mereka tidak berpuas hati dan banyak kali juga membuat bantahan. 

Tetapi bantahan secara besar-besaran hanya berlaku apabila rakyat berasa terjepit apabila Sri Lanka tidak dapat mengimport barangan keperluan asas termasuk minyak.

Melalui mata pelajaran geografi sekolah rendah pada tahun 1960-an, saya mengenali Sri Lanka sebagai Ceylon yang merupakan pengeluar teh terbesar dunia. 

Perusahaan teh dipelopori oleh kerajaan kolonial British supaya mereka tidak bergantung kepada China, yang berada di luar penguasaan mereka. 

Pasaran mewah teh timbul di Britain kerana golongan komersial memperkenalkan minuman berasal China itu untuk dijadikan sebahagian daripada budaya Inggeris berdarjat tinggi.

Maka Ceylon menjadi sebahagian daripada Empayar British dengan pelabuhannya merupakan pangkalan tentera laut yang membolehkan Britain mengalahkan Perancis dalam pesaingan mereka hendak menguasai dunia. 

Ceylon mrupkan titik strategik yang memudahkan pelayaran kapal British dari England ke Australia melalui jalur Gibraltar, Port Said, Aden, Colombo, Penang, Singapura dan Sydney.

Dalam mitos, di Ceylon terdapat gunung yang puncaknya bernama “Adam's Peak” dengan kisah tempat Nabi Adam turun di situ, ia menyebabkan Ceylon dianggap sebagai syurga di dunia. Pantai yang cantik dan suasana begitu nyaman.

Maka tidak hairanlah penulis fiksyen sains British, Arthur C Clarke memilih Sri Lanka untuk menjadi tempat kediamannya. 

Beliau berpindah pada tahun 1956 dan tinggal di situ hingga beliau meninggal dunia pada tahun 2008.

Mengapa beliau memilih Sri Lanka dan bukannya Singapura? 

Tentulah ada suatu keistimewaan pada Sri Lanka walaupun Singapura lebih maju dan menjadi tumpuan ahli perniagaan, usahawan serta jutawan.

Sebagai penulis fiksyen sains dan futuris itu, memilih tempat yang indah, nyaman, lebih tenang dan masih mengekalkan gaya hidup negara membangun adalah merupakan suatu keistimewaan.

Itulah sebab ramai pelancong Barat lebih menyukai Sri Lanka berbanding Singapura. 

Walaupun kini tentunya keadaan di Sri Lanka sudah menjadi lebih buruk untuk rakyatnya hingga kekurangan bekalan keperluan asas. 

Tiada pelancong mahu mengunjungi pada waktu ini.

Ada pihak yang menimbulkan persoalan mengapakah Sri Lanka tidak semaju Singapura. 

Sedangkan kedua-duanya mempunyai pelabuhan di laluan laut yang penting. 

Malah sebelum Perang Dunia Kedua, Colombo sebagai pelabuhan Empayar British dilihat lebih maju daripada Singapura. 

Banyak faktor yang menyebabkan Singapura lebih maju daripada Sri Lanka. 

Sebenarnya membandingkan antara keduanya adalah tidak sepadan. 

Walaupun Sri Lanka tidak mengalami penaklukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua, tetapi negara itu mengalami perang pemisah selama 26 tahun, dan sehingga hari ini, pertikaian kaum tidak juga selesai.

Satu lagi faktor paling penting ialah ketidakstabilan politik yang sering melanda negara itu. 

Walaupun ia merupakan sebuah republik demokratik yang mengadakan pilihan raya sejak kemerdekaannya pada tahun 1948, parti-parti politik tidak beroperasi secara stabil dalam hubungan antara pihak yang menang, dengan yang kalah.

Ini ditambah lagi pelakuan ahli-ahli politik seperti keluarga Rajapaksa yang mengamalkan nepotisme yang meluas dan ketara. 

Ditambah pula dengan korupsi dan hubungan mereka dengan kepentingan China.

Ahli-ahli politik dari keluarga Rajapaksa menang selesa dalam pilihan raya tahun 2019, maknanya mereka mendapat sokongan rakyat. 

Tetapi mereka mempunyai dana besar bagi kempen yang berjaya meyakinkan rakyat.

Tetapi terdapat tuduhan bahawa agensi kepentingan China turut campur tangan supaya Rajapaksa menang yang membolehkan projek-projek mereka tidak terjejas. 

Tentulah perkara ini diperhatikan oleh AS yang sejak pentadbiran Donald Trump dan Joe Biden mengambil pendirian tegas terhadap China.

AS yang disokong sekutu-sekutunya seperti Australia dan Jepun tidak akan membiarkan China bertapak di Lautan Hindi dan Pasifik. 

Sebelum menjadi parah, mereka fikir, wajar ia dicegah.

Keadaan ekonomi dan politik tidak stabil di Sri Lanka memberi sebab untuk tangan-tangan tersembunyi masuk bagi menghalang elit politik yang pro-China menguasai kerajaan. 

Kalau CIA boleh membantu kebangkitan Arab Spring di Libya dan Syria, maka tidak mustahil untuk melakukannya di Sri Lanka.

Hutang asing yang banyak bukan saja kepada China, tetapi lebih banyak adalah kepada negara-negara lain termasuk AS. 

Untuk bangkit semula, Sri Lanka memerlukan kerajaan yang tegas dan cekap. 

Demonstrasi yang walaupun menaikkan semangat dan menyeronokkan tetapi tugas menyelesaikan masalah perlu dipikul oleh ahli politik dn jentera kerajaan juga.

Dengan penyingkiran keluarga Rajapaksa, tanggungjawab menyelesaikan masalah Sri Lanka berada pada kerajaan dan Parlimen dari semua parti termasuk pembangkang. 

Ada jalan keluar bagi sesebuah negara muflis. Tetapi tentulah ia mengambil masa. Apa yang berlaku pada Greece akan dikenakan pada Sri Lanka.

Tabung Kewangan Dunia (IMF) akan menyuntik dana dengan syarat ketat. 

Rakyat yang terpaksa menanggung syarat ketat dengan mengikat perut mereka. 

Suatu keadaan yang hanya dapat dilihat dengan simpati oleh rakyat negara lain.

Banyak pelajaran yang boleh diperolehi daripada apa yang beraku di Sri Lanka. 

Tetapi hanya mereka yang mengikuti berita-berita antarabangsa dan berusaha memahaminya akan dapat meraih pelajaran daripadanya.