- Iklan -
Kolum

Tiada parti akan dapat 112 kerusi pada PRU15

Apakah GPS mahu membentuk kerajaan bersama Umno yang bersikap 'abang besar'?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tiada sebuah parti yang boleh memenangi 112 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan persekutuan tanpa parti lain.

Sehebat-hebat Umno, ia tetap tidak akan dapat membentuk kerajaan persekutuan tanpa sokongan ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.

Jika Umno mendominasi Semenanjung Malaysia, apakah kerajaan Sarawak dan Sabah mahu bekerjasama dengannya dan pulang ke zaman dahulu kala di mana parti Melayu itu sentiasa menjadi “abang besar”?

Hari ini di bawah Premier Abang Johari Openg, sangat berbeza dengan Sarawak yang dulu. 

Sarawak hari ini cukup berdikari. 

Sarawak menjadi lebih maju dan menguasai rundingan dengan peringkat pusat kebelakangan ini kerana tiada parti dominan yang menguasai politik di Semenanjung Malaysia.

Hakikatnya, bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS), kerjasama dengan parti-parti serpihan Semenanjung adalah jauh lebih menguntungkan daripada kerjasama seperti dahulu dengan parti dominan Umno di dalam Barisan Nasional (BN).

Hidup lebih mudah jika parti Semenanjung Malaysia bergantung hidup pada sokongan Sarawak daripada Sarawak bergantung hidup dengan mereka. 

Yakni, perkara yang sama turut dirasai di Sabah.

Oleh itu, jika di PRU15, parti-parti di Sabah dan Sarawak akan menjadi penentu siapa yang menerajui kerajaan persekutuan. 

Jika parti-parti serpihan yang tewas di Semenanjung Malaysia dapat bergabung dengan Sabah dan Sarawak memenuhi 112 kerusi, kemungkinan besar merekalah yang akan membentuk kerajaan persekutuan meskipun masing-masing tewas di tangan Umno.

Masalah yang berdepan dengan Umno hari ini ialah sikap abang besarnya yang tidak dapat dikikis. 

Ini menyebabkan Umno kemungkinan besar sukar mencari rakan untuk bekerjasama membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15 melainkan MCA dan MIC dan juga parti baru Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang semakin hari semakin kelihatan sebagai parti komponen BN apabila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob enggan membuang Zuraida Kamaruddin daripada jawatan menterinya selepas keluar Bersatu.

Semua kini sedang menunggu keputusan apakah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan meluluskan permohonan pindaan perlembagaan parti Umno.  

Jika Umno terpaksa mengadakan pemilihan parti terlebih dahulu, peluang untuk Ismail kekal sebagai perdana menteri akan menjadi cerah.

Jika tidak, calon perdana menteri Umno yang sebenar akan jatuh pada Timbalan Presiden Mohamad Hasan. 

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini, politik Malaysia lagi tidak menentu. 

Nasiblah rakyat Malaysia.