- Iklan -
Rencana

Masih relevankah kahwin di usia muda?

Ilmu rumah tangga yang tidak mencukupi boleh menyebabkan perkahwinan yang didirikan pada usia muda goyah dan berakhir perceraian.

Aisah Jumfrizal
3 minit bacaan
Kongsi
Perkahwinan di usia muda boleh mengganggu emosi jika ia gagal diurus dengan baik akibat masalah yang melanda hubungan. Gambar: Pexels
Perkahwinan di usia muda boleh mengganggu emosi jika ia gagal diurus dengan baik akibat masalah yang melanda hubungan. Gambar: Pexels

Kahwin pada usia yang muda bukanlah sesuatu yang janggal di Malaysia. Hal ini seolah-olah menjadi trend yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu.

Dalam Islam, perkahwinan bukan sesuatu yang mudah berlandaskan nafsu semata-mata tetapi memerlukan tanggungjawab dan komitmen yang besar untuk dipikul.

Jika perkahwinan itu hanya berpandukan nafsu, sudah tentu ia tidak akan bertahan lama.

Pada hari ini, ramai pasangan muda yang membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga terutamanya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Fenomena ini dapat dilihat setelah mereka berkongsi foto dan video di media sosial seperti Facebook, Tiktok, Twitter dan Instagram. 

Persoalannya, adakah mereka bersedia dengan status perkahwinan pada usia muda? Atau hanya mengikut trend selepas melihat ramai rakan-rakan dan kenalan sebaya yang berkahwin pada usia muda? 

Pasangan kahwin muda juga antara penyumbang kepada statistik penceraian yang berlaku di Malaysia.

Menurut kenyataan media bagi perangkaan perkahwinan dan perceraian di Malaysia, pada 2021, kadar perceraian am bagi lelaki Islam adalah 8.3 bagi setiap 1000 penduduk lelaki Islam berumur 18 tahun dan lebih.

Manakala, kadar perceraian bagi perempuan Islam mencatatkan 8.7 bagi setiap 1000 penduduk perempuan Islam berumur 16 tahun dan lebih yang berkahwin.

Mengapa hal ini boleh berlaku? Adakah perkahwinan yang berakhir dengan penceraian itu yang diimpikan oleh anak muda sekarang? 

Penulis sebagai seorang pelajar di sebuah universiti tempatan sendiri merasakan perkahwinan pada usia yang muda bukanlah sesuatu yang wajar.

Waktu yang seharusnya digunakan untuk belajar, membuat tugasan, atau dengan erti kata lain, waktu untuk pelajar menikmati zaman universiti itu sendiri akan terikat dengan komitmen perkahwinan. 

Kewangan yang belum kukuh

Mereka yang berkahwin pada usia muda terutamanya bagi pelajar IPT yang masih belum memiliki kerja tetap berisiko untuk mengalami masalah kewangan selepas berkahwin.

Bagaimana pasangan ini boleh terfikir untuk mendirikan rumah tangga sedangkan majlis perkahwinan mereka sendiri ditanggung oleh ibu bapa?

Duit bukan segalanya tetapi segalanya memerlukan duit. Hatta masuk ke tandas awam juga memerlukan duit.

Inikan pula dengan perbelanjaan selepas berkahwin, komitmen akan menjadi lebih tinggi berbanding ketika zaman bujang. 

Sudah semestinya sang suami perlu menyediakan kehidupan yang selesa untuk anak dan isteri sebagaimana mereka dibesarkan oleh keluarga mereka.

Kegagalan sang suami menyediakan kehendak isteri akan menjurus kepada runtuhnya rumah tangga yang dibina. 

Perkahwinan bukan keindahan semata-mata seperti yang diceritakan di dalam novel atau di kaca televisyen, tetapi setiap pasangan perlu menghadapi cabaran dan dugaaan dalam berumahtangga walaupun hanya sekecil zarah. 

Ilmu rumah tangga yang cetek

Dalam Islam, perkahwinan sangat dianjurkan untuk membentuk institusi kekeluargaan. Oleh itu, pasangan harus bersedia dari segala aspek terutama ilmu berumahtangga agar pasangan lebih bersedia menjalani kehidupan selepas bergelar suami isteri. 

Jika pasangan ini berkahwin dalam usia yang terlampau muda, sempatkah mereka mempelajari segala ilmu tersebut? Mereka hanya sekadar berkahwin dengan tergesa-gesa tanpa ilmu di dada. 

Penulis sendiri mempunyai seorang kenalan yang berkahwin pada usia yang muda.

Namun, perkahwinan mereka tidak kekal lama dek kurangnya persefahaman antara suami dan isteri. Akhirnya, perkahwinan mereka terhenti sekerat jalan dengan seorang cahaya mata yang menjadi tanggungjawab mereka.

Kasihan anak ini perlu dibesarkan dengan keadaan ibu bapa yang terpisah kerana penceraian yang mereka lafazkan sendiri. Sebab itu pentingnya ilmu rumah tangga untuk dipelajari supaya sesebuah perkahwinan dapat dibina dengan kasih sayang, kebahagiaan, pengorbanan dan keikhlasan. 

Tidak dinafikan, ada pasangan yang berkahwin pada usia yang muda tetapi dapat mengharungi bahtera perkahwinan mereka dengan jayanya.

Tidak semua perkahwinan pasangan muda berakhir dengan penceraian. Namun, alangkah baiknya jika setiap pasangan dapat menyediakan payung sebelum hujan, bersedia untuk sebarang kemungkinan. 

Buat anak muda, kejar cita-cita sebelum memasang niat untuk berumahtangga. Penuhkan ilmu di dada supaya lebih bersedia.

Jika sudah jodoh, tidak akan ke mana. Jangan terlampau tergesa kerana bimbang badan akan binasa. 

Aisah Jumfrizal adalah pembaca MalaysiaNow.