- Iklan -
Kolum

Budak Jelebu sesat di Seremban

Satu lagi cerita tentang Bukit Tangga yang menakutkan ialah 'Selekoh Cik Minah'. 

Hishamuddin Rais
12 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Bulan Mac 1968, radio dan akhbar Malaysia heboh. Heboh dengan berita  Piala Thomas yang dimenangi pada bulan Jun 1967 di Jakarta  akan dibawa pulang dari London. 

Aku bukan ahli sukan tapi heboh badminton bagaikan nak rak ini menyedut aku untuk membaca berita sukan.

Tahun 1968 siaran TV sudah wujud di Malaysia. Tetapi di Jelebu TV masih belum sampai.  Pancaran gelombang TV gagal menembus masuk kerana kedudukan Jelebu di gaung Banjaran Titiwangsa dan dihalang oleh Bukit Tangga.  

Berita Piala Thomas ini, aku hanya ikuti melalui akhbar.

Malaysia diumumkan Malaysia menjadi juara Piala Thomas 1967 mengalahkan Indonesia. 

Berita memberi aku tahu bahawa kali pertama Malaya jadi pemenang ialah pada tahun 1949, kali kedua tahun 1952 dan kali ketiga tahun 1955. 

Semua ketika Tanah Melayu di bawah jajahan Inggeris.

Kali ini Malaysia menang Piala Thomas atas nama Malaysia, bukan Malaya untuk kali keempat.

Heboh berita menang Piala Thomas ini macam cerita durian runtuh. Aku yang buta sukan ini tidak dapat tidak, mula membaca hal sukan.

Aku yang tak tahu sangat dan jarang menghafal nama ahli sukan dah mula pandai menyebut nama pemain dua beradik Tan Aik Mong dan Tan Aik Huang. Juga nama Ng Boon Bee dan Abdul Rahman Mohamad.

Ombak badminton mengampuh. Berita meledak lagi.

Pada Ahad 27 Mac 1968, dilaporkan seramai 5000 orang tua, muda, jantan, betina dan sida - warga Malaysia berkampung menunggu Piala Thomas di Lapangan Terbang Antarabangsa  Subang. Mereka menyambut Piala Thomas dibawa pulang dari London.

Pasukan Piala Thomas sampai ke Subang dari London bersama Mohamed Khir Johari, presiden Persatuan Badminton Malaysia merangkap menteri pelajaran. 

Di Subang pasukan Piala Thomas ini disambut oleh menteri penerangan pada ketika itu, Senu Abdul Rahman.

Esoknya 28 Mac 1968, sekolah di seluruh Malaysia diberi cuti umum.

Berita Piala Thomas terus menjadi perbualan nasional. 

Ribut taufan Piala Thomas sedang melanda Tanah Melayu dengan hebat.

Dengan serta-merta, di sana-sini kelihatan anak-anak dan budak-budak mula bermain badminton. Hebat. 

Cukup hebat pengaruh Piala Thomas ini. Kedai runcit di Kuala Klawang juga mula menjual raket dan bulu tangkis.

Tiba-tiba aku terbaca Khir mengumumkan Piala Thomas akan diarak dari negeri ke negeri sebelum disimpan di Muzium Negara.  

Mata aku terbuka bila membaca berita Piala Thomas ini akan sampai ke Negeri Sembilan. 

Piala dan pasukan badminton yang berjaya mengharumkan nama Malaysia akan disambut orang ramai  di Seremban.

Selama seminggu Piala Thomas akan diletakkan di Dewan Bandar Seremban. Orang ramai dijemput datang  melihat piala ini. Masuk ke dewan percuma.

Tahun 1968, ketika Malaysia menang Piala Thomas aku dalam tingkatan lima. Aku tinggal di asrama Sekolah Menengah Undang Jelebu.

Antara kawan baik seasrama ialah Mat Sham Yahya, pelajar dari Kampung Petasih, 20 batu dari Kuala Klawang. 

Dia pelajar tingkatan lima aliran Melayu di Sekolah Menengah Bandar Tinggi. Katil Mat Sham  di tepi tingkap di sebelah katil aku.

“Eh Mat Sham, mari kita gi Seremban Sabtu ni... nengok Piala Thomas.” Aku memberi cadangan.

“Kek mano?” Mat Sham bertanya.
 
“Dewan Soromban, baco ni berita ni. Semua dijemput datang, semua tu kitolaaa.” Aku menghulur akhbar Utusan Malaysia kepada Mat Sham.

“Kito berdua je ko?” Mat Sham bertanya.

“Sapo lagi? Ajak Kiak, ajak Mat Zin. Ompek orang cukup laa.” Aku memberi cadangan.

“Naik apo? Tiket bas 80 sen, pulang balik 1.60 sen. Belanjo lagi kau ado duit ko?” Mat Sham mengira bajet.

“Kito hitch hike, numpang kereta orang.” Aku beri cadangan.

Kemudian aku menemui Kiak dan Mat Zin. Kiak ini nama gelaran. 

Nama dia sebenarnya Haris. Kerana kepala dia agak besar, macam kepala anai-anai. Maka dalam budaya hostel si Haris mendapat gelaran Kiak.

Kiak dalam tingkatan dua aliran Inggeris. Manakala Mat Zin dalam tingkatan tiga dari aliran  Melayu.

“Hari Sabtu ni kita hitch hike. Buat dua tim. Empat orang susah nak dapat kereta, nanti drebar ingat kita nak menyamun. Aku dengan Kiak. Mat Zin dengan Mat Sham.” Aku memberi cadangan pada Kiak dan Mat Zin.

Berita kami nak ke Seremban ini tidak ramai yang tahu. 

Kalau rancangan gagal ianya tidak akan menjadi buah mulut. Ini juga budaya hostel hidup beramai-ramai. 

Warga hostel sentiasa merayakan kejayaan dan juga kegagalan kawan-kawan seasrama.

Pagi Sabtu sampai. Awal pagi selepas sarapan kami bergerak mengarah ke jalan besar ke Seremban.  

Kami menapak satu kumpulan. Kemudian kami berpecah untuk memudahkan dapat kereta.

Agak jauh juga kami berjalan. Aku dan Kiak di belakang. Kami berpakat sapa dapat kereta dulu akan cuba meminta tuan kereta mengangkut kami semua.

Nasib kami baik sebuah lori berhenti. Aku dan Kiak  naik dahulu. Kemudian aku nampak Mat Sham dan Mat Zin.

“Bang, itu kawan kita. Ambil sama.” Aku meminta pada abang pemandu lori. 

Lori ini kami tahu pemiliknya, orang kaya tempatan. Nama dia Kedah. Lori ini membawa pisang dan getah dari Jelebu ke Seremban.

Abang pemandu tanpa banyak cerita berhenti dan mengambil Mat Sham dan Mat Zin. Mereka duduk dalam lori manakala aku dan Kiak duduk di sebelah pemandu.

Kami berhenti di Ampangan, di simpang jalan ke Kuala Pilah.  

Kami menapak ke Gedung Lalang. Menuju ke kedai sepupu aku Hayati dan Zaiton. Mereka berdua membuka kedai runcit.

Kak Ton dan Kak Yati gembira menyambut kami. Pada masa yang sama mereka hairan bila aku terangkan tujuan kami ke Seremban.

“Kita yang duduk di Seremban tak tahu Piala Thomas dah sampai ke Seremban. Orang Jelebu lebih tahu.” Kak Ton memberi komen.

Lepas makan tengah hari kami beredar dari Gedung Lalang ke Seremban. 

Naik bas warna merah milik Syarikat Union. Harga tiket 10 sen seorang.

Dari perhentian bas kami menapak mencari Dewan Bandaran Seremban. Aku pernah bersyarah dan jadi Johan Syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1963. 

Ini lima tahun yang lalu. Aku sudah terlupa arah jalannya.

Kami menapak dalam bandar Seremban.  

Ini bandar terbesar di Negeri Sembilan. Maka untuk kami dari Jelebu melihat Seremban ini satu nikmat mata yang tidak perlu menggunakan duit.

Akhirnya kami bertanya abang polis arah ke Dewan Bandaran Seremban.

“Masuk ke jalan depan sampai  simpang. Jalan terus.

“Nak tengok Piala Thomas ke?” Abang polis memberi arahan. Malah abang polis tahu niat kami.

“Pagi tadi sambutan, ramai orang, potang ni dah kurang.” Abang polis buka cerita.

Akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju. Maklumat abang polis betul. 

Sambutan ketibaan Piala Thomas berjalan awal pagi. Kami sampai lewat tapi orang masih ada masuk untuk melihat Piala Thomas.

Piala Thomas ini diletakan di atas meja dalam peti kaca. 

Pelawat boleh melihat piala ini dari semua penjuru.

Aku hampiri Piala Thomas berwarna putih dibuat dari logam perak. Mungkin dua kaki tingginya. 

Aku baca nama pemenang yang dipahat pada badan piala ini. Nama Malaya untuk tahun 1949, 1952, 1955 dan kemudian nama Indonesia untuk tahun 1958, 1961, 1964 dan ruang kosong tahun 1967 untuk Malaysia.

Dari tarikh ini aku faham bahawa perlawanan merebut Thomas Cup ini berjalan tiga tahun sekali.

Aku pusing dua kali untuk puas-puas melihat piala ini.  

Orang tidak ramai jadi aku mengambil masa. Aku lihat Kiak dan Mat Zin sudah lama menunggu di gigi pintu. Mereka pasti sudah berpuas hati melihat Piala Thomas.

“Sham lepas ni nak kito nak ke mano?” Mat Sham bertanya.

“Mari jalan-jalan ke Lake Garden.” Aku memberi cadangan.

“Ekau tau jalan ko?” Mat Zin bersuara.

“Balik jalan tadi sampai bas stand. Aku rasa Lake Garden dekat bas stand.” Aku memberi jawapan walau pun aku tidak pasti arah yang tepat.

Jauh juga kami menapak. Melintas pasar besar mengikut jalan dan akhirnya sampai juga kami ke Lake Garden.

Awalnya kami merayau tepi tasik dan melihat beberapa orang budak Cina memancing menggunakan umpan lipas. 

Ini menarik kerana aku biasa memancing pakai umpan cacing. Tidak pernah aku menggunakan umpan lipas.

Kemudian kami masuk ke kawasan rumah kaca di mana pelbagai jenis bunga sedang berkembang. Semua ini menarik. Semua menjadi nikmat mata.

“Kito nak balik pukul berapo?” Mat Sham bertanya.

“Kito ambil last bus... pukul onam. Bas Lim dari Soromban last pukul onam.” Aku memberi penjelasan.

“Ni dah pukul berapa?” Mat Zin bertanya.

“Pukul ompek.” Aku memberi pendapat tanpa memiliki asas kerana tidak seorang pun daripada kami yang ada jam tangan.

Kami merayau dalam taman bunga ini. Hampir satu jam kami bercanda-canda.

“Jom balik.” Mat Sham memberi arahan.

Kami menapak menuju ke perhentian bas. Kami ikuti jalan yang kami lalui tadi. 

Kami sampai ke pasar besar. Kami menapak ke hadapan. Kedai makin berubah bentuk. 

Jelas bukan dalam pusat bandar. Kami menapak ke hadapan dengan harapan akan berjumpa stesen bas. Gagal.

Kami menapak ke hadapan hingga sampai di hadapan panggung wayang. Sah kami sesat. 

Panggung wayang ini tidak pernah aku lihat ketika aku dalam bas pulang ke Jelebu dari Seremban.

Kemudian aku nampak papan tanda: “Penjara Temiang”.

“Kito dah sesat, pusing balik... ini arah ke Temiang.” Aku memberi arahan dalam keadaan  gelabah.

Aku merasa takut. Aku takut bas terakhir jam 6.00 sudah berlepas. Kami menapak dengan cepat.

“Bus stand kek mano? Arah ke mano?” Aku bertanya pada abang Melayu di tepi jalan.

“Tak jauh dopan sikit, sobolah kiri jang ooi. Ekau dari mano ni? Abang Melayu bertanya.

“Dari Klawang.” Kiak menjawab.

“Laa patut la  sosek di Soromban ni.” Abang Melayu beri jawapan sambil ketawa.

Kami menapak deras.  

Arahan abang Melayu tepat. 

Aku menarik nafas panjang. Kami selamat. Akhirnya kami sampai juga ke tempat yang dituju.

Aku tahu di bahagian mana dalam stesen bas ini Bas Lim akan berhenti. 

Aku mengarah ke sana. Betul sebuah Bas Lim berwarna hijau sedia menunggu penumpang.

Hati aku merasa lega seperti sudah siap kerja rumah yang diberi oleh cikgu.

“Bas ni balik Klawang? Bila nak jalan?” Aku bertanya pada penjual tiket yang berdiri di tangga bas.

“Last bus ke Klawang dan Titi baru lepas. Yang ini ke Pantai.” Penjual tiket memberikan jawapan yang menakutkan aku.

“Bas kito dah abis. Setengah jalan, bas ni sampai Pantai.” Aku membuat kenyataan.

Semua memandang dengan muka kecewa. Letih berjalan tadi terasa datang kembali bersama berita ditinggal bas terakhir.

Aku berfikir sebentar dan membuat keputusan. 

“Kita naik sampai Pantai, kemudian kita sambung jalan kaki.”

Kami tidak ada pilihan. Kami tidak mahu tidur dalam pekan Seremban.  

Ini adalah pilihan terbaik.

Bas bergerak. Harga tiket hanya 25 sen seorang. Tambang penuh dari Seremban ke Kuala Klawang  80 sen.

“Kek mano bas ni boronti?” Mat Sham memandang muka aku.

“Aku rasa kampung akhir kek kaki Bukit Tangga. Rumah last, aku rasa kek situ.” Aku memberi jawapan rambang.

Dalam bas kami tak banyak cakap. Matahari dah lama hilang. Senja sudah sampai. Aku merasa takut nak melintas hutan Bukit Tangga di waktu malam.

Bukit Tangga ini hutan tebal tropika. Jalan dibuat di lereng bukit dan bengkang-bengkok. 

Empat batu mendaki naik dan empat batu menurun. Antara naik dan turun ada setengah batu jalan lurus.

Apa yang menakutkan kami ialah di atas bukit ini ada sebuah Tok Pekong, betul-betul letaknya  di tepi jalan. Ini Tok Pekong untuk Cina sembahyang dan Tok Pekong minta nombor ekor.

Satu lagi cerita tentang Bukit Tangga yang menakutkan ialah “Selekoh Cik Minah”. 

Ini “kawasan keras”. Banyak kisah mulut orang yang lalu di waktu siang ternampak seorang perempuan Melayu di selekoh tepi jalan di tengah hutan Bukit Tangga.

Selekoh Cik Minah ini juga pernah menjadi tempat gerila Parti Komunis Malaya membedil empat orang tentera Gurkha dan tiga Inggeris.  

Di mana letaknya Selekoh Cik Minah ini aku pun tidak pasti. Tetapi semua warga Jelebu tahu akan lagenda Cik Minah ini.

Bas meluncur. Penumpang tidak ramai. Kami berempat dan satu keluarga dengan tiga anak dan empat lelaki Cina.

Lelaki Cina turun di Lam Seng. Ini kilang getah terletak di tepi jalan. Mungkin mereka pekerja di kilang ini.

Bas masuk  semakin jauh ke perkampungan Melayu. Aku nampak pelita sudah mula dipasang. Maghrib sudah berlalu.  

Keluarga Melayu berhenti sebelum masuk ke pekan Pantai. 

Ini bukan pekan moden hanya beberapa deretan kedai papan dan sebuah masjid.  

Pekan kecil ini tidak ada api elektrik. Kami berempat penumpang akhir.

“Mana nak pergi?” Penjual tiket bertanya.

“Last stop, Bukit Tangga.” Kiak bersuara.

“Hantar kami ke Klawang lagi baik.” Mat Zin membuat lawak untuk menceriakan suasana yang aku rasa makin tegang.  

Makin dekat ke tepi hutan debaran jantung aku makin kuat.

Aku rasa perasan sama juga dirasakan oleh Mat Sham, Kiak dan Mat Zin. 

Tetapi kami tidak menyatakan ketakutan ini secara terbuka.

“Ok, sudah sampai last stop. Jaga-jaga, jalan baik-baik.” Penjual tiket memberi nasihat.

Kami turun. Di kaki bukit aku mendongak melihat ke atas Bukit Tangga.  

Pokok-pokok dan belukar kelihatan semakin gelap. 

Kami wajib berjalan 12 batu sebelum menghampiri ke rumah pertama di kaki Bukit Tangga, ini Kampung Empang Batu Amar Penghulu.

Sebelum menapak mendaki bukit aku memberi ingatan: “Kalau dengar apa-apa, jangan tegur. Senyap aja, kalau terbau wangi jangan cakap. Jalan terus, tahan kencing. Jangan kencing tepi  jalan, tak tahu sapa punya kawasan.” 

Ini petua yang aku dapat daripada Chu Solat ketika aku masuk hutan mencari kancil.

Mat Sham, Kiak dan Mat Zin hanya mendengar petua yang aku berikan. 

Aku tahu perasaan mereka sama seperti perasaan takut yang sedang aku rasai.

Tahun 1968, di waktu malam amat jarang kereta pulang dari Seremban ke Kuala Klawang.  

Hampir tidak wujud kereta dari Kuala Klawang ke Seremban.

Kemudian aku teringat akan petua mantra dari Arwah Wan Rahmah. Tok Wan aku selalu mengajar aku berbudi bahasa ke wilayah dan tempat-tempat yang dianggap keras.

“Tabik oo tok,
Anak cucu tumpang lalu,
Bukan anak cucu baru,
Anak cucu lama jua.”

Selesai aku bermantra itu kami menapak. Kami mendaki Bukit tangga. Kami berjalan berbaris.  Aku di hadapan.

Kami tidak bercakap. Aku boleh mendengar nafas aku sendiri. Aku boleh terdengar nafas Mat Sham di belakang aku.

Gelap. Tapi jalan aspal ini memberi sedikit cahaya untuk kami berjalan ke hadapan. Bulan tidak kelihatan.

Kami menapak. Aku terdengar deramun air. 

Ini air terjun yang jatuhnya betul-betul di tepi jalan. Biasanya ketika dalam bas aku akan  memberi perhatian kepada air terjun ini. 

Kali ini ketika  melintas aku memandang ke hadapan cuba mengelak memberi pandangan pada air terjun.

Dalam kepala aku terbayang Cik Minah berambut panjang sedang berkemban mandi air terjun. Aku mempercepatkan jalan.

Kemudian dari jauh aku nampak  Tok Pekong. Kami wajib melintasi Tok Pekong yang betul-betul letaknya di gigi jalan. Kami tiada pilihan melainkan lalu di hadapannya.

Aku tidak berani memandang ke dalam Tok Pekong kecil ini. 

Aku merasa gerun. Pernah aku dengar cerita Tok Pekong ini ada harimau menjadi penunggu.

Aku tidak tahu apa yang sedang berada dalam Tok Pekong ini.

Kami selamat melintas Tok Pekong.  

Kami selamat dari dugaan besar yang sudah kami lalui. Bunyi hutan dan bunyi malam menjadikan suasana lagi menakutkan. 

Sesekali dalam gelap  aku terdengar bunyi cengkerik, suara  katak dan bunyi-bunyi entah apa-apa yang menyeramkan. 

Bunyi cengkerik ini berterusan. Kemudian berhenti, kemudian bersuara kembali. 

Bila kami hampiri kawasan cengkerik ini mereka berhenti bersuara. Cengkerik ini seolah-olah tahu ada manusia dalam ketakutan sedang menapak.

Akhirnya kami sampai ke jalan lurus yang agak terang. 

Kiri kanan jalan terang berumput, bukan tepi bukit atau tepi gaung.  

Aku menarik nafas panjang. Kami berjaya menyeberang setengah perjalanan. 

Lagi lima batu kami akan sampai ke kawasan kampung.

Dari lagenda yang aku dengar Selekoh Cik Minah ini terletak antara Tok Pekong dengan jalan lurus. 

Kini dua-dua wilayah itu selamat kami lalui.  Aku merasa bertambah lega.

Tidak ada sebuah kereta pun melintas.

Setelah jalan lurus kami berjalan menurun bukit. Kaki agak ringan sedikit.

“Ok semua tak lama lagi  Jeram Toi.” Aku bersuara memberi harapan dan semangat untuk membunuh takut. Kami kini berjaya selamat dari Tok Pekong Cina.

Akhirnya kami menyeberang jambatan Jeram. Toi. Aku merasa semakin lega. 

Kerana dua batu dari Jeram Toi ialah jalan lurus menurun bukit dan masuk  ke wilayah perkampungan.

“Kita dah dekat.” Mat Sham bersuara.

“Kiak, Mat Zin kito dah dokat nak sampai. Nak koncing ko? Pogi topi jalan tu koncing mencangkung jangan berdiri.” Aku makin berani bersuara dan membuat lawak.

“Klawang lagi berapa batu? Jauh lagi ni.” Mat Zin membuka mulut.

“Tak jauh, bawah ni dulu aku pernah camping.” Aku membuka kisah lama.

Tiba-tiba ketika menurun bukit aku terdengar bunyi enjin. Lampu kereta mula bersinar.  

Cahaya yang kami tunggu-tunggu. Kami dah berjalan lebih dari tiga jam. 

Sebuah lori turun dari bukit. Kami mengangkat tangan.

Lori ini berhenti.

“Ke mana?” Kelindan lori bertanya.

“Klawang.” Empat  mulut menjawab serentak.

“Naik, naik.” Kelindan lori seorang anak muda Cina menghulurkan tangan. Kami naik ke atas lori. 

Lori ini membawa tayar dan getah.

“Dari mana?” Kelindan bertanya.

“Dari Soromban.” Mat Zin menjawab.

“Lu orang manyak berani, malam-malam gelap gelap lu lalu hutan Bukit Tangga. Wa ada nampak harimau wooo, lu tak da takut?” Kelindan lori bercerita.

“Mana ada? Kami ok je.. tak jumpa apa-apa.” Aku menjawab kerana merasa selesa dan berani. Gembira kerana selamat dari sesat di bandar Seremban.

Hampir jam 12.00 tengah malam kami diberhentikan di tepi padang pekan Kuala Klawang. Lori ini dalam perjalanan ke Titi.

Malam itu kami tidak makan. Tapi tidak merasa lapar kerana kami merasa kami sudah selamat pulang.

Epilog 1: Sampai ke hari ini kisah empat budak melintas Bukit Tangga masih jadi cerita lagenda orang Jelebu. Ini kerana tidak ada orang yang siuman akal akan berjalan kaki melintas Bukit Tangga di waktu malam.

“Isham tu jangan ikut, dia gilo. Malam-malam buto naik Bukit Tangga.” Ini pernah diceritakan kepada aku.

Aku dijadikan watak sempadan dan watak tauladan.

Epilog 2: Kiak a.k.a Haris Razak kini duduk berkeluarga di Kajang, Selangor.

Mat Zin Daud sudah meninggal dunia. Sepulang dari 20 tahun berkelana aku sempat berjumpa Mat Zin di Bangsar. Dia botak ketika kami bertemu.

Mat Sham Yahya tinggal di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Kami selalu berhubung dan berjumpa. Dia sakit buah pinggang. Tiga kali seminggu wajib didialisis.

Mat Sham membantu aku mengingatkan kembali kisah Piala Thomas ini.

Epilog 3: Air terjun tepi jalan masih wujud. Tok Pekong masih wujud di tepi jalan. Hanya beralih tempat.

Jeram Toi kini ada jalan khas. Jeram Toi makin menjadi tempat berkelah popular di Jelebu.

Epilog 4: Setiap kali aku pulang ke Jelebu aku akan melalui Bukit Tangga. Maka aku akan teringat kisah Piala Thomas dan sesat di Seremban.

Epilog 5: Aku masih ingin mengenal pasti di mana Selekoh Cik Minah. Arwah abah aku pernah menunjukkan selekoh ini. Tapi aku terlupa, semua selekoh dilihat sama.

Epilog 6: Tahun 1989 ketika dalam perjalanan ke Gloucester kereta api yang aku naik berhenti di satu stesen. Aku pandang keluar aku nampak tertulis: “Badminton”.

Cilaka! Rupa-rupanya dari kampung ini asal usulnya permainan badminton.  
 
Epilog 7: Jalan lurus dan kampung pertama di kaki Bukit Tangga aku abadikan dalam filem “Dari Jemapoh ke Manchestee” (2001).