- Iklan -
Kolum

Bulan Bahasa Kebangsaan

Aku belum pernah bersyarah di hadapan khalayak ramai.

Hishamuddin Rais
9 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Hishamuddin Rais sees himself as a creator of non-governmental individuals – NGIs – and a mass movement of one. A Negeri Sembilan-born Sakai from the Biduanda clan, he is into food, sex, travel, politics, culture and rock 'n roll, in that order.

Tahun 1963 aku dalam darjah enam atau “standard six” di Government English School (GES), Kuala Klawang.

Guru kelas Mister Christopher Martin, seorang Serani.

Guru bahasa Inggeris Mister Jai Singh dan Mister Paul Raj.

Guru muzik Miss Eng yang juga guru besar. Guru bahasa Melayu Cikgu Dahlan yang berasal dari Rembau.

Aku berasal dari sekolah Melayu.

Masuk sekolah Inggeris melalui peperiksaan dalam darjah empat.

Sistem peralihan darjah empat dipanggil Special Malay Class (SMC).

Untuk murid darjah enam dari aliran Melayu atau Cina disediakan “remove class”.

Setahun belajar Bahasa Inggeris sebelum masuk ke “form one” atau tingkatan satu dalam aliran Inggeris..

Lulus peperiksaan darjah empat aku diterima masuk ke SMC 1.

Sekali aku mengulang darjah empat yang kini menggunakan bahasa Inggeris.

Kami dipisahkan dari pelajar yang memulakan darjah satu mereka dalam aliran Inggeris.

Dua tahun ini, SMC 1 dan SMC 2, kami semua pelajar Melayu.

Kami diajar nahu dan tatabahasa Inggeris. Kami menghafal lagu, gurindam dan seloka atau “nursery rhyme” dalam bahasa Inggeris.

Tahun 1961 aku berkenalan dengan Jack and Jill:

Jack and Jill,
Went up the hill,
To fecth a pail of water,
Jack fell down and broke his crown,
Jill came tumbling down.

Aku berkenalan dengan Georgie:

Georgie Porgie pudding and pie,
Kissed the girls and made them cry,
When the boys come out to play,
Georgei Porgie ran away.

Aku berkenalan dengan Baa Baa Black Sheep:

Baa baa black sheep,
Have you any wool,
Yes sir yes sir,
Three bags full.

Sampai hari ini aku masih ingat lagi sajak Inggeris pertama yang aku dengar.

Masih tergambar akan tangan Mister Martin mengayakan sajak ini.

Juga suara garau Mister Martin membaca sajak ini dengan pengucapan yang terang dan jelas.

Pada tahun 1963 aku tidak tahu pun nama sajak ini dan siapa penulisnya.

The Fairies: William Allingham (1824-1889).
Up the airy mountain,
Down the rushy glen,
We daren’t go a-hunting
For fear of little men;
Wee folk, good folk,
Trooping all together;
Green jacket, red cap,
And white owl’s feather!

Pada hari Rabu kami akan pergi ke dewan besar.

Di atas pentas ada sebuah piano dan sebuah radio bateri kering jenama Grundig.

Miss Eng akan mengajar kami menyanyi melalui rancangan radio khusus untuk belajar bahasa Inggeris.

Juru hebah dari Radio Malaya ini bernama Aisah, seorang wanita yang aku hanya mendengar suaranya.

Miss Eng akan bermain piano mengikuti arahan dari radio.

Bila masuk standard six maka kami mula bercampur dengan pelajar bukan Melayu dan yang masuk darjah satu aliran Inggeris.

Kelas Miss Eng pada hari Rabu menjadi ramai.

Dari program radio sekolah kami juga diajar “folks dance”.

Aku tidak tahu dari mana asal usul tarian ini.

Yang menari hanya pelajar perempuan.

Biasanya pelajar perempuan dari pekan yang menari. Kami budak kampung hanya menjadi pemerhati.

Satu hari Cikgu Dahlan memberitahu kelas tentang pertandingan membaca sajak dan syarahan dalam bahasa Melayu. Ini untuk menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan.

“Sapa tahu Bulan Bahasa Kebangsaan?” Mata Cikgu Dahlan memandang ke arah aku.

“Hisham… kamu wajib cuba bersyarah.” Cikgu Dahlan memberi pandangan.

“Ada siapa nak baca sajak?” Cikgu Dahlan bersuara lagi. Tidak ada suara jawapan.

Esoknya di waktu rehat aku dan Kamarudin Basir dipanggil ke bilik guru.

Bila kami sampai ke sana Tan Soo hadir sama. Tan Soo pelajar asal aliran Inggeris.

“Tan Soo dan Hisham bahagian syarahan dan Kamaruddin bahagian sajak.” Ini arahan dari Cikgu Dahlan.

“Sajak mana?” Kamaruddin bertanya.

“Kamu cari sendiri.”

“Syarahan nak cakap apa?” Aku bertanya.

Sajak aku tahu. Pernah ketika aku darjah tiga aku berkenalan dengan sajak “Aku” garapan Chairil Anwar.

Sajak ini aku baca untuk sambutan jamuan Hari Raya Sekolah Umum Batu Serambai.

Cikgu Dahlan kemudian menerangkan bahawa Bulan Bahasa Kebangsaan ini adalah program untuk menggalakkan pelajar dan orang ramai menggunakan bahasa Melayu.

Menggalakkan pelajar bukan Melayu menggunakan dan bercakap dalam bahasa Melayu.

Ini kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan oleh kerajaan.

“Sekolah kita ikut sama program ini.” Penerangan dari Cikgu Dahlan.

“Saya nak cakap apa cikgu?” Aku masih kurang jelas tentang apa yang wajib aku lakukan.

“Sajak apa pun boleh cikgu? Kamaruddin bertanya.

“Saya nak cakap apa?” Tan Soo juga bertanya.

“Syarahan untuk pelajar bukan Melayu bertajuk: Kenapa saya guna Bahasa Kebangsaan. Untuk pelajar Melayu: Peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Masa bersyarah lima minit. Sajak pun lima minit jangan panjang sangat. Tajuk sajak bebas.” Cikgu Dahlan memberikan penjelasan.

Perasaan aku ketika itu bercampur-campur. Bangga pun ada takut pun ada. Aku belum pernah bersyarah di hadapan khalayak ramai.

Pulang di rumah aku mula berfikir apa yang hendak aku syarahkan.

Takut datang kembali. Tapi takut ini aku padamkan.

Aku fikir kenapa Cikgu Dahlan memilih aku berbanding semua yang lain.

Aku rasa pasti dia melihat keupayaan aku. Mungkin juga dia selalu melihat aku paling lincah dan selalu bercakap dalam kelas.

Tan Soo dan Kamaruddin juga dua pelajar yang aktif. Yang selalu bersuara.

Yang banyak bercakap kalau cikgu tidak ada dalam kelas.

Tan Soo pelajar perempuan Cina ini amat fasih Bahasa Melayu.

Walau pun tidak sekelas dengan aku tapi aku tahu dia bercakap Melayu tidak pelat. Cikgu Dahlan membuat pilihan tepat.

Aku tidak mahu menggagalkan keyakinan Cikgu Dahlan terhadap diri aku. Aku bertekad untuk masuk pertandingan syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat sekolah.

“Mula-mula tulis isi syarahan, kemudian hafal, berlatih. Jangan baca kertas, masa jangan lebih daripada 5 minit. Bersyarah depan cermin muka, tengok muka sendiri.”

Ini ilmu yang diajarkan oleh Cikgu Dahlan.

Aku mula menulis isi ucapan. Cikgu Zaleha di dapur hanya mendengar bila aku mula bersuara lantang.

Emak aku ini tidak memberi apa-apa tambahan isi syarahan aku.

Cara aku menghafal amat mudah. Aku tulis ucapan macam karangan. Aku baca berkali-kali.

Kemudian aku bersyarah. Bila aku terlupa aku rujuk pada karangan.

Aku ada jam meja untuk memastikan aku bersyarah dalam masa lima minit.

Dalam kelas Cikgu Dahlan hanya memberi bantuan cara nak memulakan syarahan.

“Mulakan dengan tuan, puan dan pendengar yang di hormati, terus masuk isi syarahan…tak boleh lambat kamu hanya ada lima minit. Tak banyak masa.” Cikgu Dahlan memberi panduan.

Hari pertandingan sampai. Ini peringkat sekolah.

Pertandingan di adakan di Sekolah Kuala Klawang B.

Kamaruddin, Tan Soo dan aku mewakili GES.

Ada pelajar dari Sekolah Cina dan Sekolah Umum Kuala Klawang. Para hakim petang itu terdiri daripada cikgu sekolah yang bukan dari sekolah aku.

Berdebar juga bila aku memulakan syarahan. Isi syarahan aku amat senang. Aku buat cerita rekaan.

Pada Malam 31 Ogos, 1957 malam sambutan Merdeka.

Pada malam itu semua orang kampung turun ke padang untuk merayakan Malam Merdeka.

Mak saudara aku pun ikut serta dalam perayaan malam itu itu.

Apa yang memeranjatkan bila mak saudara aku pulang ke rumah dia melihat api menjulang.

Rumah mak saudara aku terbakar. Ini peristiwa yang tidak dapat aku lupakan.

Pelajar lain juga menyampaikan syarahan. Aku rasa mereka juga memberikan persaingan hebat. Aku berdebar-debar menunggu keputusan.

Hampir jam enam baru keputusan dibacakan.

“Hishamuddin Rais dari GES.” Nama aku disebut sebagai pemenang. Tan Soo dan Kamaruddin juga menang sama.

Kemenangan kami bertiga menjadikan Cikgu Dahlan gembira. Satu minggu lagi pertandingan Bulan Bahasa Kebangsaan daerah Jelebu akan diadakan.

Kali ini Cikgu Dahlan memberi perhatian yang lebih rapi tentang isi kandungan syarahan aku dan Tan Soo.

Dia membetulkan isi kandungan syarahan kami. Manakala Kamaruddin masih dengan sajak “Pembangunan”.

Pagi Sabtu itu di Dewan Besar Kuala Klawang, sekolah-sekolah dari daerah Jelebu menghantar wakil.

Syarahan untuk bukan Melayu dewasa lelaki dan perempuan, untuk murid sekolah, Melayu dan bukan Melayu.

Pembacaan sajak hanya untuk murid sekolah.

Pagi Sabtu aku bersedia awal pagi. Sesudah sarapan aku memakai pakaian sekolah, seluar pendek biru dan baju putih, kasut getah putih dan stoking putih.

Aku menaiki bas seperti aku nak ke sekolah. Jam 10 pagi aku sampai ke dewan.

Setengah jam sebelum program bermula orang sudah ramai datang. Makcik dan pakcik masuk ke dalam dewan.

Aku perhatikan ramai cikgu dan murid dari sekolah luar Kuala Klawang. Pasti mereka juga akan turut sama bertanding.

Tuan pegawai daerah dan beberapa orang buapak kepala adat menjadi tetamu.

Yang lain pegawai kerajaan dan guru-guru. Pada hemat aku, kempen Bahasa Kebangsaan ini, guru-guru memainkan peranan penting.

Satu demi satu naik ke pentas bersyarah dan bersajak. Aku ingat lagi wakil dari Sekolah Umum Kampai seorang murid perempuan naik untuk bersyarah. Mulutnya masih mengunyah.

“Makan apa tu?” Aku menanya Kamaruddin yang duduk di sebelah.

“Itu sirih pengeras, lawan rasa gemuruh agar jangan takut di hadapan orang ramai.” Kamaruddin menerangkan.

Aku percaya kerana ayah Kamaruddin ini bernama Basir seorang guru silat. Pasti anak tok guru silat ini tahu serba sedikit ilmu dan petua Melayu.

Pasukan dari Sekolah Agama Kuala Klawang menampilkan saingan yang kuat.

Syarahan mereka ada diselang-seli dengan kata-kata bijak.

Tan Soo naik dan bersyarah. Kemudian aku bersyarah.

Kemudian Sekolah Agama Kuala Klawang menampilkan pembaca sajak. Akhir sekali Kamaruddin membaca sajak.

Aku kagum dan akui cara Kamaruddin Basir membaca sajak ini amat hebat. Lebih hebat daripada semua pembaca sajak pagi Sabtu itu.

Sebelum jam 1.00 tengah hari keputusan diumumkan.

Yang mempengerusikan program pagi itu ialah Cikgu Asli. Aku kenal cikgu ini. Dia guru bahasa Melayu untuk pelajar sekolah menengah.

Cikgu Asli ini juga mengumumkan kemenangan kami bertiga. Kami akan menjadi wakil Jelebu untuk bertanding di peringkat negeri di Seremban.

Dalam masa dua minggu kami akan ke Seremban pula untuk bertanding.

Pagi Isnin di sekolah kami tersenyum besar dan aku terus pergi berjumpa Cikgu Dahlan.

“Tahniah, tahniah untuk kamu bertiga. Tapi sayang baca sajak hanya ke peringkat daerah… syarahan ada peringkat negeri.” Berita tidak baik untuk Kamaruddin.

Kali ini tajuk syarahan bertukar. Aku bersyarah: “Apa Ertinya Merdeka”.

Tan Soo: “Bahasa itu Jiwa Bangsa”.

Kali ini Cikgu Dahlan memberi isi kandungan untuk aku dan Tan Soo mengarang.

Dia juga memastikan kami siap siaga.

Lawan kami pelajar dari Kuala Pilih, Sungai Ujung, Tampin, Rembau, Port Dickson.

Semua ada sekolah yang bukan kecik anak. KGV dari Seremban amat hebat.

Tengku Muhamad School dari Tampin juga terkenal. Semua ini akan menjadi saingan aku dan Tan Soo.

GES Jelebu agak kampung dan ulu tidak sehebat St Paul dalam bandar Seremban atau GES, Port Dickson.

Hari yang ditunggu sampai. Petang Jumaat itu aku dan Tan Soo diminta datang ke pejabat daerah jam 5.00 petang.

Bila kami sampai aku nampak Cikgu Asli sudah sedia menunggu.

“Kamu berdua naik Land Rover ini, saya dan yang lain naik kereta.” Cikgu Asli memberi arahan.

Petang Jumaat itu kali pertama aku naik Land Rover milik pejabat daerah.

Aku merasa bangga kerana ini pengalaman baru melintas Bukit Tangga naik Land Rover dan bukan naik bas atau kereta.

Tan Soo dan aku duduk di belakang menghadap satu sama lain. Kami berdua memakai pakaian seragam sekolah. Land Rover kami mengekori dua kereta lagi yang berjalan di hadapan.

Sampai ke bandar Seremban kami terus singgah di kedai Malbari untuk makan malam.

Baru aku sedar selain dari Cik Gu asli, tuan penolong pegawai daerah (ADO) ada juga datang bersama.

Sesudah makan kami terus menuju Dewan Majlis Bandaran Seremban.

Di atas pentas empat pemuda Melayu dari kugiran The Twilight sedang beraksi dengan muzik ringan sebelum program bermula.

Dewan hampir penuh. Banting “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bulan Bahasa Kebangsaan” tergantung di pintu masuk.

Di atas pentas tulisan latar ialah Bahasa Jiwa Bangsa.

Aku tidak tahu sangat siapa menjadi tetamu kehormat pada malam itu. Yang aku pasti Cikgu Asli dan ADO dari Jelebu duduk di barisan hadapan.

Satu demi satu wakil daerah naik bersyarah. Tan Soo naik. Diikuti oleh pelajar dari Rembau, Kuala Pilah dan kemudian aku bersyarah.

“Jangan pandang penonton.” Kata-kata nasihat dari Cikgu Dahlan. Ini rahsia berucap di hadapan orang ramai, agar jangan gelabah.

Kini aku tidak gentar lagi. Aku sudah naik ke pentas dua kali sebelum ini.

Keyakinan dalam diri aku sudah kuat. Ini dicampur pula oleh bantuan Cikgu Dahlan yang memperbaiki isi syarahan aku untuk malam itu.

Jam 11.00 malam program malam pertama tamat. Malam kedua esok pada Sabtu malam.

Malam penutup dan upacara penyampaian hadiah.

Sebelum pulang Cikgu Asli membawa kami ke kedai India untuk menikmati sup kambing. Aku merasa bernasib baik. Makan kedai Malbari dan kini menikmati sup kambing pula.

“Malam esok kamu wajib datang.” Ini kata ADO. Aku kurang mengerti apa maksudnya.

“Ajak emak dan abah kamu datang juga.” Ini seperti arahan.

Dari kata-kata ini aku merasakan bahawa ada kemungkinan aku akan menang.

Esoknya di rumah aku bercerita apa yang berlaku di Seremban kepada emak dan abah aku.

Aku nyatakan bahawa ADO merasakan aku akan menang.

Sabtu malam di Dewan Bandaran Seremban empat pemuda Melayu masih di atas pentas.

Kini kugiran mereka bertukar nama dari The Twilight menjadi Lambaian Senja.

Ini pasti ada orang bantah nama kugiran ini tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Baru aku sedar tamu malam penutup Bulan Bahasa Kebangsaan di Negeri Sembilan tahun 1963 ialah h Yang Di Pertuan Besar Tuanku Munawir. Maka The Twilight menjadi Lambaian Senja.

Malam itu aku dan Tan Soo juga menjadi tetamu. Kami tidak bersyarah.

Masa yang ditunggu tiba. Aku diumumkan sebagai Johan Syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1963. Tan Soo tidak menang.

Baru aku sedar bahawa ADO itu pasti sudah tahu yang aku akan menang. Justeru memastikan aku hadir pada malam ini. Malah ajak emak dan abah aku datang sama.

Aku naik ke pentas dan menerima hadiah daripada Yang di-Pertuan Besar. Aku mendapat buku tebal, “Kamus Bahasa Indonesia”.

Aku juga menerima sebuah lencana dari plastik.

Sebelum pulang sekali Cikgu Asli membawa kami ke kedai sup kambing. Kali ini ADO juga ikut sama untuk merayakan Jelebu yang menang di Seremban.

Hampir jam 1.00 pagi aku sampai ke rumah. Aku terperanjat kerana orang di rumah belum tidur.

“Kami sampai tadi, lambek sikit. Tapi sompek nengok kau dapat hadiah dari Yam Tuan.” Emak aku bercerita dan aku terperanjat,

Rupa-rupanya emak dan abah aku ada dalam dewan. Emak aku membuat keputusan lewat untuk datang bersama ke Seremban. Emak dan abah aku datang dengan kereta Uda Budin

Malam itu ketika aku meletakkan kepala di atas bantal aku merasa amat gembira.

Emak dan abah aku juga melihat kejayaan aku menerima hadiah dari Yang di-Pertuan Besar.

Sebelum aku melelapkan mata aku berterima kasih kepada Cikgu Dahlan yang membimbing aku untuk berani bersyarah di hadapan khalayak ramai.

Aku tidak sabar menunggu pagi Isnin untuk memberitahu akan kemenangan aku kepada Cikgu Dahlan.

Epilog 1: Tan Soo dan aku masih berhubung. Semenjak berpisah tahun 1968, aku belum lagi dapat bersua dengan Tan Soo. Hanya bercakap melalui telefon. Tan Soo kini sudah berumah tangga dan tinggal di Pulau Pinang..

Tan Soo menjadi rujukan aku untuk tulisan ini.

Epilog 2: Buku kamus hadiah itu aku tinggalkan di Kolej ke-7 Universiti Malaya ketika aku melarikan diri dari polis dan tentera pada subuh hari Ahad, 8 Disember, 1974.

Epilog 3: Lencana Johan Negeri Sembilan 1963, masih aku simpan dengan baik.