- Iklan -
Kolum

Mampukah Zahid memaksa Parlimen dibubarkan?

Jika Zahid mengulangi taktik yang sama, apakah PH kali ini akan membiarkan Ismail jatuh terpelanting?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi boleh cuba memaksa Parlimen dibubarkan dengan serta-merta.

Caranya mudah iaitu dengan menulis surat.

Beliau dan segmen ahli parlimen Umno yang bersekutu dengannya menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka tidak lagi menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Teknik yang sama ini pernah digunakan oleh Zahid sehingga bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dijatuhkan.

Ketika Zahid menggunakan cara ini, Pakatan Harapan (PH) membiarkan Muhyiddin jatuh terpelanting.

Perjanjian persefahaman (MoU) yang cuba dicadangkan Muhyiddin ditolak oleh PH.

Penolakan itu mungkin kerana PH merasakan Anwar Ibrahim mampu mencuri ruang dengan adanya surat dari Zahid dan Najib Razak kepada Agong yang menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Surat tersebut sehingga hari ini belum dinafikan kewujudannya.

Yang mendapat untung akhirnya ialah Ismail. Tanpa disangka-sangka beliau diangkat menjadi perdana menteri.

Jika Zahid mengulangi taktik yang sama, apakah PH kali ini akan membiarkan Ismail jatuh terpelanting?

Perlu diingat, situasi kali ini berbeza.

PH mempunyai MoU dengan kerajaan Ismail yang ingin ditamatkan oleh Umno pada penghujung Julai ini.

Matlamat PH juga berlainan daripada matlamat Zahid.

Zahid pula mahu menuntut Parlimen segera dibubarkan, tapi PH tidak.

Jika Zahid mengulangi taktiknya, PH pasti memilih untuk mengelak Parlimen daripada dibubarkan.

PH boleh memilih untuk mengekalkan Ismail melalui MoU untuk mengelakkan Parlimen terbubar jika tidak cukup sokongan untuk melantik perdana menteri yang baru.

Atau menggantikan Ismail dengan orang lain tapi mengekalkan kerajaan dengan MoU jika mendapat sokongan untuk menggantikan perdana menteri.

Ini akan memberikan nafas baru dan memanjangkan masa untuk melakukan persediaan ke arah PRU15.

Kejatuhan Ismail tanpa Parlimen dibubarkan akan menyebabkan Umno di dalam keadaan kucar-kacir.

Ini bakal menguntungkan semua pihak, terutamanya PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Itu sebabnya Zahid tidak dapat memaksa Parlimen dibubarkan tanpa persetujuan Ismail.

Tapi desakan demi desakan Zahid kini mula mendatangkan persepsi baru terhadap Umno.

Di media, Umno dilihat seolah-olah “mengarahkan” Ismail untuk membuat itu dan ini.

Persepsi ini tidak baik untuk Ismail.

Sebagai perdana menteri, Ismail memerlukan masa untuk memasuki PRU15 dalam keadaan persepsi rakyat terhadapnya baik, mood rakyat terhadap kerajaannya positif dan ekonomi negara stabil agar rakyat menerimanya semula sebagai perdana menteri supaya Umno tiada pilihan selain melantiknya semula.

Jika tidak, tradisi presiden Umno mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sejurus menang PRU15 akan berulang.

Masalahnya, Ismail bukanlah presiden Umno.