- Iklan -
Kolum

Tokong Ular dan Bukit Bendera

Sebelum aku masuk sekolah lagi aku sudah mendengar cerita Tokong Ular dan Kereta Api Bukit Bendera.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Hishamuddin Rais sees himself as a creator of non-governmental individuals – NGIs – and a mass movement of one. A Negeri Sembilan-born Sakai from the Biduanda clan, he is into food, sex, travel, politics, culture and rock 'n roll, in that order.

Pagi itu aku bangun tidur di gereja di Pulau Pinang.

Lepas mandi aku keluar dari bilik stor, bilik tumpangan kami.

Di luar aku lihat kosong. Bukan hari Ahad.

Lee Keong dan aku merancang hendak melawat Tokong Ular.

Ini rancangan awal kami. Dari kampung lagi kami sudah memasang niat untuk melawat Tokong Ular dan Kereta Api Bukit Bendera.

Dua perkara ini sudah amat lama aku dengar.

Sebelum aku masuk sekolah lagi aku sudah mendengar cerita Tokong Ular dan Kereta Api Bukit Bendera.

Tokong Ular ini lebih mistik dan menakjubkan.

Kereta api ini menarik tetapi tidak menjadi satu tarikan yang misteri.

Kami budak-budak kampung yang di kelilingi oleh budaya mitos dan ilmu kebatinan Melayu akan membuka mata bila ada sesiapa sahaja yang bercerita tentang Tokong Ular di Pulau Pinang.

Malah apa pun kisah yang bersangkutan dengan ular pasti menarik.

Cerita seperti perempuan bersalin melahirkan ular.

Tok bomoh pelihara ular.

Atau kisah empangan batu di Amar Penghulu yang mengalirkan air ke sawah dikatakan ada ular besar sebagai penjaga empangan.

Sesekali ular ini memerlukan kambing sebagai habuan.

Tahun 1968, bukan ramai orang dari Jelebu yang pernah sampai ke Pulau Pinang.

Kisah Tokong Ular ini hanya datang dari mulut ke mulut.

Bayangkan hendak ke Seremban pun agak jarang.

Jika ada budak kampung yang sudah sampai ke Kuala Lumpur, budak ini dianggap amat hebat.

Aku sendiri pada 4 Februari, 1965 sampai ke Seremban menonton filem “Sitora Harimau Jadian”(1964) arahan P Ramlee.

Aku ingat hari Khamis ini kerana ianya Hari Raya kedua.

Aku berdiri naik bas Lim yang penuh sesak ke Seremban.

Aku menonton filem P Ramlee ini di Panggung Rex, Seremban. Hebat.

Bila aku dalam darjah empat dalam buku Canai Bacaan, aku temui karangan tentang Pulau Pinang. Ada disebut Bukit Bendera dan Tokong Ular.

“Kita kena naik bas.” Lee Keong mengingatkan aku.

Maklumat hendak ke Tokong sudah kami ketahui. James pembantu paderi memberitahu kami.

“Ya, bas kuning ke Air Itam.” Aku menjawab.

Kami menapak hingga sampai ke perhentian bas.

Untuk aku menunggu bas di perhentian bas ini satu budaya baru.

Di Jelebu tidak ada perhentian bas.

Di mana-mana di tepi jalan bas Lim boleh ditahan.

Nampak bas angkat tangan, bas akan berhenti. Nak turun tekan loceng.

Biasanya bas berhenti ambil atau menurunkan penumpang di depan kedai, tempat orang ramai.

Dalam bas aku minta bantuan kelindan bas untuk memberhentikan kami dekat Tokong Ular.

“Jangan takut, hang sampai kita kasi turun, tiket dua kupang lima duit satu orang.”

Aku kurang pasti kelindan ini Abang India atau Abang Melayu berkulit hitam.

Abang Itam ini menghulurkan tiket pada kami.

Awal dulu susah juga nak faham dua kupang lima duit. Setelah melintasi Ipoh dan Taiping kupang dan duit ini bukan satu yang asing.

“Tokong, dah sampai. Hang kena jalan sikit. Jaga-jaga jangan ulak patuk hang.”

Kelindan ini menggunakan “hang” dan loghat bahasa yang lain dari yang biasa aku dengar.

Ini pastilah loghat bahasa orang utara yang mula aku kenali.

Kami turun dan terus menapak.

Tokong ini dibina dalam reka bentuk yang belum pernah aku lihat. Atapnya ada naga.

Di Kuala Klawang ada tokong tetapi tidak sehebat ini.

Untuk aku tokong ini amat menarik. Ditambah pula dengan warna merah di sana sini, menjadikan tokong ini penuh mistik.

Sebelum naik tangga aku sudah tercium bau asap colok.

Bila aku hampiri aku lihat banyak colok sedang berasap.

Colok berasap dalam tempayan besi yang dililit oleh naga.

Ada juga tempayan tembikar kecil. Hakikatnya colok berasap di sana sini.

Ketika kami sampai tidak ada pelawat.

Jadi amat senang kami nak menengok ular yang sedang bersalai di atas ranting-ranting kayu. Aku lihat empat lima ekor.

Semuanya bersalai tidur. Aku perhatikan semua ular dari jenis yang sama.

Apa yang pasti ini bukan ular lidi. Aku kenal ular lidi, malah aku pernah membunuh ular lidi yang sedang menggonggong katak.

Ular di tokong ini besar sedikit daripada ular lidi. Warna hitam putih. Tapi tidak sepanjang ular lidi, Aku nampak juga kelongsong kering ular ini tersangkut di ranting.

Ketika aku memerhati ular, mata aku tertarik dengan tiga keping gambar besar hitam putih.

Gambar dalam bingkai kaca ini tergantung di dinding tokong.

Aku kenal wajah dalam gambar ini. Aku membaca berita sosok ini dari akhbar.

Ini gambar Shah Iran dan Permaisuri Farah Diba.

Pada awal tahun 1968, Shah Iran ini melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

Berita lawatan mereka mendapat banyak laporan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Aku tak sangka Shah Iran dan Farah Diba (1938-1980) juga datang melawat Tokong Ular ketika mereka singgah di Pulau Pinang.

Dari apa yang aku baca Shah Iran juga singgah di Kuala Kangsar untuk menjadi tamu kepada Sultan Idris (1924-1984).

Aku merasa bangga dapat melawat tempat yang baru sahaja dilawati oleh Raja Dari Segala Raja-Raja, ini gelaran Mohammad Reza Pahlavi (1925-1981).

Menapak turun dari tangga keluar dari tokong aku merasa berjaya melihat ular dan tokong yang selama ini aku dengar dengan penuh misteri.

Kemudian kami mengambil bas sekali lagi. Kali ini kami ingin ke Bukit Bendera.

Ini bukit yang wajib kami naiki.

Stesen kereta api di bawah bukit. Tambang naik 40 sen.

Aku rasa agak mahal juga tetapi untuk pengalaman naik kereta api bukit, 40 sen sanggup dibayar.

Kereta api ini hanya ada dua gerabak. Satu gerabak naik dan satu turun.

Kereta api ini ditarik dengan kabel besi, yang turun menarik yang naik.

Tapi ianya juga dibantu oleh enjin.

Di stesen ada papan tanda merakamkan sejarah kereta api ini.

Dirasmikan perjalanan pada tahun 1923.

Sama seperti “cable-car” yang ditemui di Switzerland.

Sama seperti Tokong Ular, Kereta Api Bukit Bendera ini juga tidak ramai orang, hanya ada tiga penumpang, lima penumpang termasuk kami.

Apa yang menarik di tengah perjalanan, betul-betul di tengah tengah bukit kereta api ini berselisih.

Ada dua landasan yang dibuat khas untuk perselisihan ini.

Tak sampai 30 minit, kami sampai ke puncak.

Di puncak ada bangku simen untuk duduk berehat.

Boleh melihat panorama Pulau Pinang dari atas Bukit Bendera.

Aku nampak juga bahagian bukit yang menjadi kebun sayur.

Aku juga ternampak rumah-rumah banglo tersorok dalam bukit-bukit berhutan tebal.

Dalam kepala aku bagaimana susahnya penghuni banglo-banglo ini jika pelita padam dan mancis api tak ada.

Rumah bersendirian di atas bukit.

Jika ini berlaku di rumah aku dengan cepat akan ke rumah mak long di baruh untuk meminjam mancis api.

Ha! Aku terlupa, rumah orang kaya atas bukit tidak menggunakan pelita minyak.

Mereka ada generator sendiri untuk bekalan elektrik.

Setelah menikmati suasana puncak Bukit Bendera kami mahu turun pulang.

Nak pulang wajib keluar 40 sen sekali lagi. Aku ternampak lorong dalam belukar tidak jauh dari stesen.

“Mari kita turun ikut jalan bukit.” Aku memberi cadangan kepada Lee Keong.

“Boleh ke ni?” Lee Keong merasa was-was.

“Kalau sesat kita balik ke sini.”

Kami mengikut lorong dan denai hutan. Aku menjadi selesa kerana ada papan tanda arah jalan.

Ertinya ini memang jalan rasmi untuk mereka yang berminat mendaki Bukit Bendera.

Atau untuk budak kampung macam aku yang nak selamatkan 40 sen.

Aku tak merasa takut dalam hutan ini. Untuk aku ini perkara biasa.

Cuaca baik dan jalan menurun bukit tidak lecah.

Hampir satu jam kemudian kami tiba-tiba sampai ke kawasan padang tanah lapang.

Denai sudah berakhir.

Di atas padang aku nampak banyak monyet, kera dan cikah.

Juga aku ternampak beberapa pelancong lelaki Mat Salleh sedang mengambil gambar cikah dan kera.

Kami keluar dari kawasan lapang ini.

Menapak dan mengambil bas untuk pulang ke gereja.

Selesai mandi kami bertukar pakaian.

Niat ingin melaram. Kami menapak hingga sampai ke jalan Panggung Odeon.

Lalu kami singgah makan nasi campur di kedai India.

Kali ini aku bersedia dengan harga yang akan melintasi satu ringgit.

Di depan kedai makan ini aku nampak sepasang anak muda Mat Salleh.

Yang betina memakai selipar Jepun. Yang jantan berkaki ayam.

Mereka sedang menunggu seorang jantan India yang sedang membancuh secawan teh.

Teh ini dituang dari gelas ke gelas untuk disejukkan.

Bila masuk ke dalam gelas aku nampak teh ini berbuih-buih.

Anak muda tak berkasut tadi pastilah “hippie”.

Tahun 1968 di Pulau Pinang kali pertama aku melihat hippie.

Pada pemahaman aku hippie adalah anak muda Mat Salleh yang merayau ke seluruh dunia berjalan dari negara ke negara.

Pulau Pinang menjadi tempat persinggahan hippie yang sampai dari Madras, India.

Mereka datang dengan kapal laut.

Pulau Pinang menjadi pelabuhan awal sebelum mereka bergerak ke utara ke Siam, atau Selatan ke Singapura.

Aku pernah terbaca tentang hippie dan gaya hidup mereka.

Dari apa yang aku baca mereka berambut panjang sebagai tanda mereka tidak sama dengan orang tua mereka.

Di Amerika Syarikat (AS), hippie adalah anak muda memilih menjadi hippie untuk melarikan diri daripada dipaksa menjadi tentera.

Di AS anak muda lelaki, 18 tahun ke atas, wajib menjadi tentera selama dua tahun.

Ini khidmat negara.

Apa yang aku baca anak-anak muda AS memberontak tidak mahu jadi tentera untuk berperang di Vietnam.

Menjadi hippie berambut panjang berkaki ayam adalah manifestasi daripada pemberontakan ini.

Lee Keong dan aku terus berjalan melintas Panggung Odeon.

Kali ini kami sampai ke kawasan beca.

Banyak beca membawa perempuan.

Juga ramai yang lalu-lalang di jalan ini lelaki Mat Salleh dan juga lelaki Negro.

Inilah kali pertama aku melihat lelaki Negro dari dekat.

Biasanya aku hanya melihat dalam filem seperti Sidney Poitier (1927-2022) dalam “To Sir With Love” ( 1967 ) yang aku tonton di Panggung Cathay di Seremban pada tahun 1967.

Aku mula sedar bahawa jantan-jantan ini adalah GI atau tentera AS yang datang bercuti ke Pulau Pinang.

Aku ada terbaca bahawa Pulau Pinang menjadi tempat R&R untuk tentera AS berehat setelah berkhidmat di Vietnam.

R&R ialah “rest and recreation”, rehat dan santai setelah bertugas di medan perang.

Bangkok, Penang, Tokyo, Hong Kong dan Manila adalah tempat R&R tentera AS pada tahun 1968 di zaman Perang Vietnam.

Di jalan yang sama aku ternampak ramai “Amoi” naik beca entah hendak ke mana.

Perniagaan beca di jalan ini amat rancak.

Tiba-tiba aku ternampak jantan Mat Salleh mengepit dua Amoi.

Seperti “karan” otak aku menangkap bahawa jalan yang aku lalui ini adalah jalan perniagaan “lendir dan daging segar”.

Aku membuka mata memerhati dan merakam dalam ingatan.

“So this is Penang.” Aku bersuara kepada Lee Keong.

Kami dua anak muda dari kampung terbuka mata melihat kali pertama perniagaan “daging segar” secara terbuka di tepi jalan.

Aku kini melihat dunia yang lebih luas. Dunia yang melintasi Bukit Tangga.

“Mari kita pulang. Esok nak bangun pagi, kita nak ke Kangar.” Aku mengajak Lee Keong pulang untuk mengakhiri malam.

Kami menapak pulang ke gereja.

Dalam gelap kepala aku di atas bantal, aku mengulang ingat apa yang berlaku hari ini.

Ular, monyet dan Shah Iran semuanya tergambar kembali.

Ada pelbagai bentuk, pelbagai macam hal yang aku lihat untuk kali pertama.

Yang paling tidak dapat aku lupakan ialah Mat Salleh mengepit dua Amoi dalam beca.

Aku melayan mata untuk lelap. Esok kami akan ke Kangar, Perlis.