- Iklan -
Kolum

Yang pelik bukan Najib atau Zahid

Ahli politik hanya boleh mempergunakan kelemahan rakyat.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Pada Julai 2020, Najib Razak didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Pada bulan Disember 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau.

Kes beliau kini dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

Apabila seseorang dihukum hukuman jenayah yang sebegitu berat, barangkali hanya di Malaysia, Najib tetap bebas bergerak ke sana ke sini dan disambut seperti seorang bos sejajar dengan tema “bossku’.

Kes 1MDB yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) sememangnya pernah menyengat sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) dijatuhkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Baru-baru ini, kes 1MDB dihangatkan semula dengan perbicaraan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.

Isunya sekadar sensasi. Ia tidak dapat menyentuh naluri rakyat.

Mengulang-ulang menggelar Najib sebagai penyamun dan perompak, dan sekarang penjenayah barangkali menyebabkan rakyat lali dengan berita-berita 1MDB meskipun ada ledakan baru.

Tema “Malu apa bossku?” amat sesuai dengan sentimen ini.

Najib berkempen tanpa malu di setiap penjuru Johor.

BN, termasuklah MCA dan MIC bertaruh nasib kepada populariti Najib yang sudah dijatuhkan hukuman kerana pecah amanah. Mereka juga tidak segan silu membawa Najib ke mana-mana.

Bukan itu sahaja, mereka juga bertaruh harapan pada kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk membawa kemenangan BN di Johor.

Zahid juga tidak kurang hebatnya berbanding Najib.

Januari lalu, beliau baru diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Meskipun berlatar belakangkan begitu, Najib dan Zahid berjaya membawa BN kepada kemenangan besar di Melaka.

Dan nampaknya kedua-dua mereka yakin untuk mengulangi perkara yang sama di Johor.

Zahid juga bertegas menguburkan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS yang berjasa membawa Umno bangkit dari kubur.

Dr Mahathir Mohamad, meskipun uzur, bangkit dan turun ke Johor untuk berkempen bagi partinya Pejuang.

Tanpa melengahkan masa, beliau terus menyerang Najib, dengan berkata bekas perdana menteri itu seorang manusia yang tidak reti malu meskipun telah dihukum.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin turut “menyimbah air sejuk” berhubung sambutan terhadap Najib.

“Mereka hanya nak tengok dengan dekat, inikah ‘perompak’. Jangan andaikan ramai datang kerana suka, mereka hanya nak lihat ‘inikah orang yang nak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta, inikah yang berulang alik turun ke mahkamah,” sindir Muhyiddin.

Walaupun tidak merujuk kepada sesiapa, mesej Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut bernada sama.

Beliau menggesa pengundi Johor “merehatkan” Umno.

Kata beliau, ini adalah demi mengelakkan berlaku salah laku, penyelewengan dan rasuah.

Yang pelik bukan Najib atau Zahid.

Tidak salah untuk Najib dan Zahid berusaha untuk kekal popular, kerana itu sememangnya kerja mereka sebagai ahli politik.

Yang pelik ialah sikap dan moral kompas rakyat Malaysia terhadap ahli-ahli politik.

Sikap dan moral kompas rakyat Malaysia yang membolehkan Najib dan Zahid kekal popular.

Antara hiburan dan agama, rakyat Malaysia nampaknya tetap akan memilih hiburan yang membakar lubang di poket sendiri berbanding agama yang membosankan.

Ahli politik hanya boleh mempergunakan kelemahan rakyat.

Jika rakyat mudah diperdaya, itu bukan salah ahli politik.

Ini menjawab soalan mengapa fenomena “scammers” semakin berleluasa saban hari.

Boleh scam duit, dan boleh juga scam undi kerana “suburnya” sikap dan moral kompas rakyat untuk aktiviti-aktiviti sedemikian.