- Iklan -
Rencana

Mengapa BN yakin menang besar di Johor?

Kerjasama antara penentang BN tidak mungkin berlaku kerana masing-masing mempunyai ego, dan ia kini sedang dimanfaatkan kumpulan kluster mahkamah untuk kembali berkuasa.

Kamarul Khairy
3 minit bacaan
Kongsi
Barisan Nasional bertanding secara solo mengenepikan Perikatan Nasional yang memberikan sokongan kepadanya sebelum ini untuk membentuk kerajaan negeri.
Barisan Nasional bertanding secara solo mengenepikan Perikatan Nasional yang memberikan sokongan kepadanya sebelum ini untuk membentuk kerajaan negeri.

Keberanian Barisan Nasional (BN) untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sehingga menyebabkan pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan bersandar keyakinan bahawa mereka akan mengulangi kejayaan seperti di Melaka hujung tahun lalu.

Di Melaka walaupun menang 21 daripada 28 kerusi DUN, sebenarnya pertambahan undi yang diterima BN tidaklah begitu tinggi. Kurang dari 1%.

Berlaku peningkatan sokongan yang amat kecil tetapi hampir sama dengan undi yang diterima gabungan pimpinan Ahmad Zahid Hamidi itu pada pilihan raya umum 2018.

Akan tetapi BN tetap yakin bakal menang besar di Johor disebabkan dua faktor utama.

1. Peratusan keluar mengundi rendah

Peratusan keluar mengundi yang rendah semasa PRN Melaka iaitu sebanyak 64.1%, sudah tentu memberikan kelebihan kepada BN yang mempunyai jentera yang lebih kuat di akar umbi berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Dan situasi ini dijangka akan berulang di Johor.

Apabila jentera kuat, mudah bagi BN untuk memastikan penyokong-penyokong mereka keluar mengundi sehingga ke tahap boleh membawa setiap pengundi ke tempat pembuangan undi.

Jika dilihat pada PRU14 pada 2018, apabila peratusan keluar mengundi tinggi sebanyak 83.4%, BN berjaya ditumbangkan oleh PH walaupun sudah memerintah negeri itu selama lebih 60 tahun.

Ini kerana jentera BN hanya mampu membawa keluar penyokong dan pengundi mereka tetapi tidak mampu menampung gelombang golongan atas pagar yang jumlahnya jauh lebih besar.

Di Johor, dijangka peratusan keluar mengundi akan kekal rendah disebabkan varian Omicron Covid-19 yang menyebabkan angka kes harian kembali mencecah puluhan ribu.

Ini ditambah lagi dengan PRN Johor diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina yang pastinya kurang memberikan motivasi kepada pengundi Cina yang menetap di negeri lain untuk pulang mengundi.

2. Musuh BN berpecah-belah

Semasa PRN Melaka BN hanya dicabar oleh PH dan BN, tetapi di Johor suasana lebih meriah.

PRN Johor bulan depan bakal menyaksikan kemunculan parti-parti baru seperti Pejuang, Muda dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sementara Warisan yang asalnya berpusat di Sabah kini mahu melebarkan sayapnya di semenanjung dan turut bertanding pada PRN Johor.

Kehadiran parti-parti ini tidak akan menyebabkan undi kepada BN berkurang akan tetapi menyebabkan undi terhadap PH dan PN terjejas.

Mari kita lihat keputusan PRN Melaka.

Daripada analisis data keputusan PRN Melaka yang dibuat, dapat dilihat BN hanya memperolehi 39% undi popular.

Sementara PH memperolehi 36% undi popular dan PN memperoleh 25%.

Jika disatukan undi popular PH dan PN, ianya berjumlah 61%.

Di kerusi seperti DUN Tanjung Bidara, Ab Rauf Yusoh tidak akan menang sekiranya undi PN dan PH tidak berpecah.

Keputusan menyaksikan Rauf mendapat 3559 undi, Mas Ermieyati Samsudin (PN) mendapat 3,195 undi dan Zainal Hassan mendapat 489 undi.

Jika dicampurkan undi PN dan PH, Rauf akan kalah.

Di kerusi DUN Duyong yang berlaku pertembungan enam penjuru, calon BN Mohd Noor Helmy Abu Halen tidak akan menang sekiranya PH dan PN berada dalam satu pasukan.

Keputusan menyaksikan Helmy mendapat 4,684 undi, Damian Yeo (PH) mendapat 4,484 undi dan Kamarudin Sedik (PN) mendapat 2,874 undi.

Sementara tiga lagi calon, Gan Tian Soh (Bebas) mendapat 60 undi, Muhamad Hafiz Ishak (Bebas) 57 undi dan Mohd Faizal Amzah (Putra) 52 undi.

Jika dicampurkan undi PH dan PN, BN akan dikalahkan dengan mudah.

Objektif PH dan PN ialah sama iaitu untuk menghalang BN kembali berkuasa dan kumpulan “kluster mahkamah” kembali berkuasa selepas PRU15.

Begitu juga dengan parti-parti baru yang lain.

Seperti dikatakan ramai pemimpin politik dari PH dan PN, PRN Johor ini diadakan sebagai satu strategi kumpulan kluster mahkamah untuk kembali berkuasa.

PRN demi PRN diadakan untuk melonjakkan semangat jentera BN di seluruh negara demi merampas kembali kuasa mutlak di Putrajaya pada PRU15 yang mereka hilang pada 2018.

Akan tetapi kerjasama antara penentang-penentang BN tidak mungkin akan berlaku kerana masing-masing mempunyai ego yang besar.

Dan ego inilah yang sedang dimanfaatkan oleh kumpulan kluster mahkamah untuk kembali berkuasa.

Walaupun tidak begitu lama dahulu pada 2018 sudah terbukti BN yang berkuasa selama lebih 60 tahun dapat dikalahkan apabila terdapat penyatuan dalam kalangan penentang-penentangnya.

Kamarul Khairy merupakan pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow