Zulfikar Ali Bhutto
Dalam hidup ini ada konsep 'kena pada masa, kena pada tempat'.
Hishamuddin Rais
Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.
Dalam hidup kita ini ada tarikh-tarikh yang mustahil akan dilupakan. Aku tidak tahu bagaimana detik-detik pada tarikh itu menjadi penting.
Padahal ianya bermula sebagai hari-hari biasa yang tiada apa yang istimewa.
Ianya bukan Hari Valentine di mana aku mendapat kekasih baru. Juga bukan Hari Krismas atau Hari Raya. Ianya hari biasa seperti hari-hari lain.
Hari Rabu 4 April, 1979 adalah satu-satu tarikh yang aku maksudkan.
Pada hari Rabu itu aku masih lagi menumpang di No 4, WUS International House, University of Karachi di Pakistan.
Aku tinggal bersama pelajar dari Patani. Kami berkongsi perbelanjaan harian.
Kadang-kadang aku makan di warung dan kantin tapi biasanya kami berkongsi masak untuk merasa makanan sendiri. Jauh dari tanah air tetapi selera tak berubah.
Kami perlu ke pasar untuk membeli bahan makanan. Pasar besar membeli-belah bahan dapur di Karachi ialah di Empress Market.
Jauhnya 13 Kilometer dari universiti. Setengah jam naik van atau naik bas.
Van, bas dan “rickshaw” atau motorsikal tayar tiga adalah sistem pengangkutan awam yang paling popular di Karachi.
Empress Market terletak dalam wilayah Saddar.
Ianya bangunan bersejarah, tempat tanda dalam kota Karachi.
Pada tahun 1857 beberapa orang “sepoi”, tentera anak watan bangun memberontak melawan kuasa kolonial Inggeris. Pertempuran berlaku. Sepoi ditewaskan.
Kuasa kolonial Inggeris merasa takut jika anak watan dengan semangat nasionalisme akan mendirikan tugu peringatan di tempat berlaku pertempuran.
Maka dengan licik kuasa kolonial pada tahun 1884 mendirikan Empress Market di tempat gugurnya para sepoi.
Untuk melunakkan keadaan, bangunan baru ini dijadikan pasar dan mengambil sempena nama Queen Victoria yang menjadi “empress” atau maharani India ketika itu.
Pasar besar ini terbahagi kepada beberapa bahagian.
Ada blok menjual hanya daging. Blok menjual rempah rampai dan bahan kering. Blok menjual sayur. Di tengah bangunan ini ialah pasar ikan.
Di Pakistan pada hari Selasa dan Rabu tidak ada penjualan daging.
Ini dasar kerajaan untuk menggalakkan warga makan sayur, ikan atau ayam.
Di Pakistan sumber utama protein ialah daging kambing. Daging lembu agak kurang. Mungkin ini ada berkait dengan asal usul Pakistan yang satu ketika dahulu menyembah lembu.
Ikan dan makanan laut juga bukan bahan utama. Malah di Pakistan yang majoritinya menganut mazhab Hanafi yang mentakrif ketam dan udang sebagai haram.
Untuk Mazhab Hanafi, sotong dianggap seperti tikus– tikus laut.
Ajaran Islam bentuk ini menjadikan makanan laut agak murah di Karachi.
Justeru ianya melumayankan makanan laut untuk kami dari Nusantara.
Maka pada hari Rabu itu tugas aku ke pasar. Aku pergi bersendirian ke Empress Market. Aku membeli tomato, bawang, bayam dan buah anggur. Kemudian masuk ke pasar ikan. Aku membeli ikan merah.
Keluar dari pasar ikan aku wajib melintasi ke blok rempah rampai dan bahan kering.
“Khatam kogia… khatam kogia.” Aku terdengar laungan. Aku faham laungan bahasa Urdu ini yang bermaksud “semua tamat .. semua habis”.
Tetapi aku tak tahu apa yang tamat dan apa yang habis.
Aku ternampak beberapa pemilik kedai ketawa-ketawa memukul tangan “give me five”.
Aku ternampak ada yang menghadiahkan gula-gula antara satu sama lain.
Pada hemat aku ada tauke kedai yang menyambut hari jadi. Atau ada pemilik bazar yang mendapat cucu.
Melintas jam 11.00 pagi sampai kembali ke Internasional House.
Masih tergambar cerah dalam ingatan aku.
Kawan aku siswa Patani Mat Nor yang memakai seluar pendek duduk mencangkung di tepi kerusi batu di hadapan asrama. Mat Nor kelihatan sugul.
“Apa jadi… duduk menung?” Aku bertanya sambil melawak.
“Kau tak tahu ke? Bhutto dah kena gantung Subuh tadi.” Mat Nor dengan sayu berkata.
Aku terperanjat. Mata aku memerhati muka Mat Nor. Aku tak percaya apa yang aku dengar.
Baru aku sedar kenapa tauke di bazar Empress Market menabur gula-gula. Mereka merayakan Zulfikar Ali Bhutto (1928 -1979) mati di tali gantung.
Kematian Bhutto ini memeranjatkan dunia. Berminggu sebelum ini aku sering membaca banyak negara dan ramai pemimpin dunia dari Presiden Amerika Syarikat (AS) Jimmy Carter, Hafiz Al-Assad dari Syria, Hua Guofeng dari China dan Pope John Paul II termasuk Leonid Brezhnev dari Rusia meminta agar Bhutto tidak digantung.
Setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semua meminta dan merayu kepada Jeneral Zia-ul-Haq agar hukuman mati terhadap Bhutto tidak dilaksanakan.
Mahkamah Pakistan mendapati Bhutto bersalah berkonspirasi membunuh musuh politik pada tahun 1974. Bhutto sendiri tidak menarik picu pistol.
Aku mengikuti perbicaraan Bhutto ini. Bukan aku pergi ke mahkamah tetapi aku membaca “Rejoinder”. Ini hujah Bhutto di mahkamah.
Semua dokumen, hujah pembelaan, ucapan yang tertuduh dalam mahkamah dan afidavit Bhutto dicetak dan difotokopi. Kemudian dijual kepada orang ramai.
Ianya dalam Bahasa Inggeris, maknanya untuk media antarabangsa, para diplomat dan pemerhati politik dunia dan masyarakat antarabangsa.
Aku pendatang haram di Karachi ketika itu amat bersimpati terhadap Zulfikar Ali Bhutto.
Bukan aku kenal sosok ini. Malah ketika aku sampai kali pertama ke Pakistan tahun 1977, sosok ini sudah berada dalam penjara.
Aku bersimpati terhadap garis politik yang diambil oleh Bhutto dan Pakistan People’s Party (PPP).
Dari apa yang aku baca, Zulfikar Ali Bhutto ini orangnya bukan kecik anak.
Dia anak tuan tanah. Jangan silap faham, tanah keluarga beliau bukan hanya berkeluasan 100 hingga 1000 ekar.
Ayah Zulfikar adalah Sir Shah Nawaz Bhutto yang semasa zaman kolonial bertaraf menteri dan berkerajaan sendiri di provinsi Sindh.
Dari apa yang aku baca dan aku dengar, di Larkana pekan dan kampung keluarga Zulfikar, terdapat lebih dari 4000 keluarga yang bergantung hidup mengerjakan tanah ladang tanah milik keluarganya.
Di Pakistan tuan tanah jenis ini dipanggil “wadero”.
Anak tuan tanah ini mendapat pendidikan awal di Bombay.
Ini sebelum Pakistan wujud pada tahun 1947.
Kemudian Zulfikar mengikuti kuliah sains politik di Bekerley, Carlifornia. Sambung ke Oxford dan lulus di Lincoln Inn sebagai peguam.
Pulang ke Pakistan sebagai peguam muda dan terus terlibat dalam politik. Menjadi menteri luar pada tahun 1963.
Menjadi presiden Pakistan dari 1971 hingga 1975.
Menjadi perdana menteri dari tahun 1975 sehingga rampasan kuasa oleh Jeneral Zia pada 5 Julai, 1977.
Zulfikar menubuhkan PPP pada tahun 1967. PPP mengambil garis kiri dan sosialis.
Pada tahun 1972 Zulfikar memiliknegarakan industri besar seperti kilang besi, kilang logam, kilang elektrik berat, kilang petrokimia, kilang simen dan loji janakuasa.
Zulfikar menghadkan pemilikan tanah, 150 ekar tanah yang ada talian air dan 300 ekar tanah ladang tanpa talian air.
Ini berlawanan dengan hukum lampau di mana pemilikan tanah terhad kepada keluasan 500 ekar dan 1000 ekar.
Zulfikar sendiri melakukan rombakan ke atas tanah milik keluarganya di Larkana.
Parti PPP jelas berjuang menyokong kaum tani dan kaum buruh di Pakistan.
Justeru garis kiri ini dimusuhi oleh puak kanan Islam yang bekerjasama dengan junta tentera untuk melakukan rampasan kuasa.
Garis ekonomi Zulfikar ini juga tidak disenangi oleh kaum kapitalis antarabangsa.
Ketika ini zaman Perang Dingin. Pakistan di bawah Bhutto dilihat amat intim dengan China di bawah Mao Zedong.
Tidak cukup dengan semua ini pada tahun 1972, ketika menjadi perdana menteri Zulfikar sebagai nasionalis dan patriot memulakan projek rancangan bom nuklear untuk pertahanan Pakistan.
Zulfikar memberi arahan kepada para saintis Pakistan untuk menyediakan bom nuklear ini pada tahun 1976.
India, musuh Pakistan meledakkan bom nuklear pada tahun 1974.
Semua ini menjadi sebab musabab mengapa Zulfikar wajib dijatuhkan.
Semua ini meyakini aku bahawa Zulfikar digantung kerana dia seorang patriot.
Anak tuan tanah yang belot terhadap kelasnya sendiri.
Maka pada jam 4 pagi awal subuh Rabu 4 April, 1978 Zulfikar digantung sampai mati di Rawalpindi District Jail.
Rabu tengah hari tentera mula bergerak menjaga tempat-tempat strategik.
Di Larkana Sindh, kampung Zulfikar ribuan rakyat berhimpun di jalan raya menyambut jenazahnya dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan.
Hari-hari berikutnya ialah politik jalan raya.
Balu Zulfikar, Begum Nusrat kini menjadi ikon penggantinya.
Ketika ini aku mula terdengar dan terbaca nama Benazir, anak gadis kepada Zulfikar. Benazir juga lulusan sains politik dari Harvard dan Oxford University kini membantu parti PPP.
Protes dan tunjuk perasaan dari penyokong PPP berlaku di sana sini.
Semuanya dibantai keras oleh tentera Jeneral Zia. Ada yang ditangkap dan ada yang ditembak mati. Pilihan raya semakin jauh.
Tiba-tiba terbuka babak baru di Asia Tengah.
Pada petang Hari Krismas 24 Disember, 1979 tentera Union of Soviet Socialist Republics (USSR) atau Rusia masuk ke Afghanistan.
Tujuan Rusia ialah untuk membantu dan memperkukuhkan kerajaan Nur Muhamad Taraki yang kini menjadi negara sahabat USSR.
Keberadaan USSR di Afghanistan menjadikan Pakistan “front-line-state” atau negara barisan hadapan menentang pengaruh Rusia di era Perang Dingin.
Jeneral Zia yang dianggap “kucing kurap” setelah menggantung Bhutto kini berubah.
Pada Oktober 1980, Jeneral Zia datang PBB di New York. Kemudian singgah ke Rumah Putih bertemu dengan Presiden Jimmy Carter.
Walaupun bukan lawatan resmi ke Rumah Putih tetapi peralihan dasar AS terhadap Pakistan ini dapat dibaca dengan jelas.
Dari presiden “kucing kurap“ kini menjadi “pahlawan harimau” penentang Rusia.
Kuasa imperialis AS perlu menjadikan Pakistan pangkalan untuk melancarkan serangan terhadap Rusia di Afghanistan.
Imej junta tentera kini berubah dari pandangan dunia kapitalis Barat.
Pegangan kuasa tentera terhadap orang awam di Pakistan makin ketat.
Islam dijual sebagai candu untuk melalaikan dan mengkhayalkan rakyat bahawa junta tentera sedang membawa Islam yang sebenarnya, Islam yang tulen kepada ummah Pakistan.
Dana gelap dan dana terang mula masuk dari AS. Senjata ke Afghanistan dari AS mula masuk melalui tentera, justeru junta tentera makin diperkukuh.
Hari terus berjalan. Aku dengan hidup aku sebagai orang pelarian dan juga pendatang haram di Pakistan.
Aku memiliki masa. Selain dari membaca aku mendaftar untuk belajar meditasi.
“Transcedental Meditation” dari Cathy anak murid Maharisi Yogi. Aku diajar dan diberi mantra hingga ke hari ini masih aku gunakan bila aku bermeditasi.
Aku juga mengikuti kuliah Yoga dari Luna, guru wanita dari Carlifornia.
Luna singgah di Karachi dalam perjalanan pulang ke AS sesudah belajar Yoga di India. Kelas yoga diatur oleh Cathy guru meditasi aku.
Ketika ini aku sudah memiliki kamera Minolta. Kamera ini ditinggalkan oleh Susan Bear kenalan aku dari Australia. Susan singgah ke Karachi dalam perjalanan pulang ke Sydney setelah setahun lebih di London.
Dengan Minolta ini aku memiliki hobi baru. Aku mula mencuba-cuba bereksperimen dengan seni fotografi.
“Isham… the Pope is coming to Karachi… would you like to see the mass?”
Cathy guru meditasi yang juga seorang Kristian mempelawa aku datang untuk menyaksikan Pope John Paul II mengimamkanpenganut Kristian bersembahyang di Stadium Karachi.
“When?” Aku bertanya.
“Next Monday, I have special invitation for you.” Cathy menghulurkan tiket VIP untuk aku.
Isnin 16 Februari, 1981 jam dua petang aku sudah berada di padang. Aku duduk dalam khemah Jemputan Khas. Minolta tersangkut di leher. Stadium dipenuhi oleh penganut Kristian warga Pakistan.
Aku, Cathy dan ribuan yang lain sedang menunggu kedatangan Pope dari Vatican, Rome di Itali. Pope singgah beberapa jam di Karachi dalam perjalanan ke Manila, Filipina.
“Bom”, bunyi ledakan di belakang khemah VIP. Orang ramai bertempiaran lari. Aku nampak asap naik. Aku meninggalkan kerusi dan berlari ke arah bunyi letupan.
Dalam laluan stadium, aku ternampak mayat seorang lelaki dengan isi perut terburai. Aku merasa loya. Aku lari keluar menuju ke khemah.
Kemudian aku terfikir: “Hishamuddin Rais kamu ada kamera. Rakamkan.”
Aku bergegas kembali ke tempat kejadian. Klik, klik, klik aku mengambil gambar.
Beberapa minit kemudian pasukan keselamatan sampai. Orang ramai kembali berpusu ke tamat kejadian. Mayat diambil keluar.
“Who has the picture? Who has the picture?” Aku ternampak seorang lelaki Mat Saleh menjerit-jerit mencari gambar letupan.
Aku meraba Minolta dan pergi berjumpa Mat Saleh ini.
“I think… I’ve the picture.” Aku menunjukan Minolta aku.
“Barry.. I’m from AP, Associated Press… I will buy your photos.” Barry dari AP hendak membeli gambar dalam kamera aku.
Aku memutar filem dalam kamera dan memberikan segulung filem 35mm kepada Barry.
“Thanks.. this is my card… contact me tonight at my office.. see you there.” Barry memberi kad alamat pejabat AP di Karachi.
Aku macam dalam mimpi.
Tiba-tiba sorak sorai kedengaran. Pope sudah sampai dengan kereta khasnya masuk ke padang dari lapangan terbang Karachi.
Kereta kalis peluru membawa Pope berjalan perlahan-lahan. Dari dalam kereta Pope melambai-lambai kepada pengikut.
Di hadapan aku kereta Pope melintas. Ingatan aku masih membayangkan mayat lelaki yang perutnya terburai keluar. Aku rasa bom itu pasti diikat dan disorokkan dalam badannya.
Pulang dari stadium aku bercerita apa yang terjadi kepada Abdel Kadir kawan serumah aku. Aku mengajak dia sama menemani aku ke pejabat AP.
Aku merasa agak cuak juga kerana aku mengambil gambar letupan di stadium. Pakistan masih lagi di bawah rejim tentera. Apa-apa boleh berlaku.
Bila aku sampai ke Pejabat AP, Barry sudah menunggu.
“Your picture has been used by all TV station in New York for evening news.”
Barry menerangkan bagaimana gambar dari Minolta aku digunakan oleh stesen TV di New York untuk mengiringi laporan berita letupan bom di hadapan Pope.
“That explosion is world news.”
Perasaan aku ketika itu tidak percaya apa yang sudah aku lakukan.
“Please sign here. We pay you 25 dollars for one picture. This is the rest of your negative, thanks.”
Barry memulangkan kembali gulungan filem aku. Dia juga memberi aku borang untuk aku tandatangani. Malam itu aku kaya dengan 250 rupee.
Aku dengan Kader memanggil rickshaw bukan pulang ke rumah tapi mengelencong ke Tariq Road untuk menjamu selera kerana aku merasa kaya selepas berjaya menjual sekeping gambar kepada media antarabangsa. Malam itu kami makan “karai” masakan paling istimewa di Pakistan.
Esoknya berita letupan menjadi induk berita dalam akhbar Dawn. Dilaporkan yang terkorban seorang lelaki ahli parti PPP.
Mungkin sosok malang ini mahu meletupkan bom ketika Pope di atas padang. Ini bertujuan sebagai bantahan terhadap Jeneral Zia yang bukan sahaja menggantung Zulfikar tapi membatalkan sekali lagi pilihan raya.
Epilog 1:
Jeneral Zia-ul-Haq (1924-1988) mati apabila pesawat C-130 Hercules meledak terhempas dari udara pada Rabu 17 Ogos, 1988. Bersama terkorban ialah duta AS ke Pakistan. Hasil kerja sabotaj.
Ketika berita kematian ini keluar, aku sedang bekerja sebagai pelayan di Garuda Restoran di London. Aku berjoget bila aku mendengar berita ini tersiar dalam akhbar petang, Evening Standard.
Seorang kawan Mat Saleh yang berada dalam restoran marah melihat kelakuan tidak menghormati kematian. Tapi Mat Saleh ini tak tahu apa yang aku lalui di Pakistan.
Epilog 2:
Benazir Bhutto (1953-2007) menjadi perdana menteri dua kali. Pertama pada tahun 1988-1990. Kali ke dua pada tahun 1993-1996. Kemudian menjadi ketua pembangkang.
Ketika berkempen di Rawalpindi, Benazir menjadi korban pengebom berani mati pada 27 Disember, 2007. Letupan berlaku tidak jauh dari penjara di mana ayahandanya Zulfikar Ali Bhutto mati digantung.
Epilog 3:
Dalam hidup ini ada konsep “kena pada masa, kena pada tempat”. “At the right time, at the right place”.
Gambar yang aku ambil dalam stadium ketika bom meledak dan dibeli oleh AP kerana aku berada pada masa dan tempat yang tepat.
Terkini
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
