- Iklan -
Rencana

Pemberi maklumat dilindungi jika ikut saluran betul sahaja

Benarkah aktivis Lalitha Kunaratnam seorang 'whistleblower' atau pemberi maklumat mengikut akta dan perlu dilindungi?

Anuar Manan
3 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Chocrane, Cheras. Agensi antirasuah itu kini menjadi perbahasan berikutan dakwaan yang dilemparkan kepada ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.
Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Chocrane, Cheras. Agensi antirasuah itu kini menjadi perbahasan berikutan dakwaan yang dilemparkan kepada ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

Perhatian umum kini rata-rata tertumpu kepada isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang berlaku enam tahun lalu.

Pada 5 Januari lalu, Azam tampil memberi penjelasan dalam satu sidang media.

Ringkasnya, beliau jelaskan bahawa akaunnya digunakan oleh adiknya dan ada pihak yang cuba menyerangnya menggunakan isu tersebut.

Susulan itu beliau juga telah mengambil tindakan undang-undang dengan mengemukan surat tuntutan (LOD) menerusi peguam terhadap bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam yang dikatakan mendedahkan isu tersebut.

Sekarang, tolak tepi dahulu soal isu saham Azam melanggar undang-undang atau sebaliknya, dan tolak tepi juga apa niat Lalitha mendedahkan isu ini.

Persoalannya, benarkah Lalitha ini “whistleblower” atau pemberi maklumat mengikut akta dan perlu dilindungi?

Di negara kita ini, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) diwujudkan sejak kira-kira 11 tahun lalu bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat.

Antara objektifnya, untuk menggalakkan dan memudahkan pendedahan kelakuan tidak wajar dalam sektor awam dan swasta.

Kewujudan akta ini dapat meningkatkan keyakinan masyarakat untuk mendedahkan sebarang salah laku yang terjadi sama ada berlaku dalam sektor awam atau swasta.

Ia sebagai mekanisme saluran bagi membolehkan masyarakat membuat pendedahan tanpa rasa takut atau khuatir dalam erti kata lain “no wrong door policy.”

Pemberi maklumat ini boleh mendapat perlindungan daripada mana-mana agensi penguatkuasa di bawah Akta 711 mengikut keselesaan dan tahap keyakinan masing-masing.

Perlindungan kepada pemberi maklumat hanya diberikan oleh agensi penguat kuasa yang menerima pendedahan tersebut sahaja.

Menjadi tanggungjawab agensi penguat kuasa itu untuk menguruskan maklumat sulit tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang dan kuasa yang diperuntukkan kepada sesebuah agensi penguatkuasaan.

Perlindungan kepada pemberi maklumat diberikan oleh agensi penguat kuasa meliputi perlindungan maklumat sulit termasuklah identiti pemberi maklumat serta maklumat yang didedahkan tersebut, kekebalan daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah dan perlindungan daripada sebarang tindakan yang memudaratkan sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 8, 9 dan 10 Akta 711.

Sekiranya seseorang itu mendedahkan sebarang kelakuan tidak wajar melibatkan mana-mana individu itu kepada agensi bukan penguat kuasa, maka perlindungan tidak diberikan.

Malah sekiranya suatu permohonan perlindungan dikemukakan selepas itu, maka ia tertakluk kepada pembatalan kepada perlindungan menurut peruntukan Seksyen 11(1)(f) Akta 711.

Maksudnya, jelas bahawa pemberi maklumat ini adalah yang memberi maklumat kepada agensi penguat kuasa sahaja bukan selain daripada itu.

Agensi penguatkuasaan ini ialah mana-mana kementerian, jabatan atau agensi di peringkat persekutuan dan negeri yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan di bawah mana-mana undang-undang sedia ada.

Sebagai contoh Polis Diraja Malaysa (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Di Raja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.

Akibat daripada pendedahan tidak mengikut saluran dan undang-undang yang betul, maka berlakukah pelbagai implikasi negatif yang amat membimbangkan.

Lihatlah ketika ini, imej SPRM tercalar teruk dan rakyat menjadi kurang yakin terhadap agensi tersebut, sedangkan isu ini lebih kepada isu peribadi ketua pesuruhjayanya.

Malah Lalitha juga ketika ini terdedah untuk disaman.

Selain itu, orang ramai mula membuat andaian masing-masing dan kes ini diadili di media sosial. Bukan tidak adil pada Azam sahaja, tapi tidak adil kepada SPRM malah Lalitha juga.

Kesan-kesan inilah sepatutnya boleh dielak daripada berlaku jika maklumat disalur mengikut peraturannya.

Janganlah salahkan undang-undang itu kononnya menyekat usaha pemberi maklumat yang berkesan.

Selagi undang-undang tidak dipinda, maka perlulah undang-undang sedia ada digunakan.

Tidak masuk akal bila kita langgar undang-undang yang sedang berkuatkuasa dengan alasan bahawa undang-undang itu tidak betul dan perlu dipinda.

Soal pindaan untuk penambahbaikan akta itu boleh dilakukan dengan cara dan kaedah lain iaitu menerusi Parlimen, bukan boleh terus langgar sahaja.

Anuar Manan adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow