- Iklan -
Rencana

Bolehkah wakil rakyat merasai keperitan pengundi?

Bencana banjir memperlihatkan sikap sebahagian pemimpin yang tidak sensitif dan kelemahan pengurusan bencana dalam negara.

Khairuddin Othman
4 minit bacaan
Kongsi
Beberapa anggota tentera dari 25 RAMD, Bentong Pahang membantu penduduk Taman Sri Nanding membersihkan longkang yang tersumbat akibat kesan banjir yang melanda Hulu Langat.
Beberapa anggota tentera dari 25 RAMD, Bentong Pahang membantu penduduk Taman Sri Nanding membersihkan longkang yang tersumbat akibat kesan banjir yang melanda Hulu Langat.

Seorang warga emas meninggal dunia setelah diserang sakit jantung ketika cuba menyelamatkan haiwan ternakannya dengan meredah air banjir di Taman Pinggiran Felda, Gemas. Beratus keluarga dengan anak-anak kecil kesejukan, kelaparan dan bermalam di atas bumbung rumah apabila banjir melanda Taman Sri Muda.

Bolehkah perdana menteri, wakil-wakil rakyat dan pengarah-pengarah di agensi membantu merasai kesedihan kehilangan orang tersayang, harta yang menjadi penyambung hidup sekeluarga, dan tangisan isteri dan anak mengenangkan keharuan masa depan?

Hampir tiga hari tiada bantuan dari agensi kerajaan kepada mangsa banjir. Tanpa pertolongan teratur dari agensi-agensi kerajaan dengan kakitangan terlatih dan perlatan canggih, 47 nyawa melayang dan lima orang masih dilaporkan hilang. Bolehkah pengarah dan pemimpin di agensi-agensi kerajaan ini merasai kesedihan dan kemurungan ahli keluarga yang menimpa tragedi ini?

Tahukah anda laporan berita yang diterima banyak menunjukkan betapa lembab tindakan dibuat, kecelaruan komunikasi antara agensi-agensi mengetuai bantuan kemanusiaan dan bencana, dan kesilapan meletak keutamaan. Amat memalukan apabila bantuan adalah dari rakyat yang perihatin, NGO, kumpulan amal dari rumah Sikh dan ahli-ahli masjid.

Berhenti dengan alasan tragedi ini tidak dijangka. Ia boleh dijangka kerana Malaysia dilanda banjir hampir setiap tahun dan ia semakin teruk. Masalahnya ialah kelemahan pemimpin di agensi-agensi membantu, sehingga ada didakwa tidak berguna langsung.  Mari kita buat analisis agensi-agensi berkaitan.

  • Jabatan Meteorologi – Inilah agensi pembantu barisan paling depan. Tetapi mengapa ia terlalu lewat membuat ramalan dan mengeluarkan arahan siap siaga kedatangan banjir?  Tahukah mereka yang bertugas di agensi ini bahawa rakyat menganggap peralatan dan pembiayaan jabatan bernilai jutaan ringgit setahun memiliki sistem amaran awal yang berkesan?  

Alasan kononnya di saat akhir masih membuat “model” ramalan cuaca bagi menentukan potensi buruk cuaca akan berlaku atau tidak adalah lemah.  Apalah gunanya jabatan ini mempunyai gambar-gambar satelit global menjejak ribut, hujan, mengukur tekanan atmosfera dan gabungan dengan agensi-agensi cuaca di peringkat dunia dan serantau untuk meramal risiko dan bencana yang mendatang itu, tetapi gagal bertindak awal?  

Di negara maju seperti Amerika, ramalan cuaca hampir tepat boleh ditentukan lima hari ke hadapan dengan bila salji akan turun, jumlahnya, dan suhu agar rakyatnya bersedia awal.  Adakah Jabatan Meteorologi Malaysia tidak cukup ilmu, peralatan, atau tidak berani menjadi pembawa berita buruk kepada Majlis Keselamatan Negara, Nadma, menteri-menteri besar negeri yang akan dilanda banjir, perdana menteri dan saluran media?  

  • Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (Nadma) – Ia ditubuhkan pada 2015 berikutan pengalaman buruk banjir besar di negeri Kelantan, Terengganu dan Johor.  Ketika itu, banjir tersebut dikatakan yang paling buruk pernah dialami dalam 50 tahun, mengakibatkan 25 nyawa rakyat melayang dan 136,447 keluarga dipindahkan ke tempat selamat.  Nilai kehilangan harta benda ialah RM2.9 bilion.

Apa yang memeranjatkan ialah pengalaman lalu tidak membuat Nadma lebih matang dan bijak. Persoalannya ialah bagaimanakah struktur agensi ini bertindak, talian pelaporan dan apakah prosedur operasi standardnya? Apa yang diketahui ialah Nadma mengambil masa terlalu lama berdolak-dalik.

Reaksi awalnya ialah menyatakan ia tidak terlibat dengan bencana di peringkat negeri dan kelihatan enggan melibatkan angkatan bersenjata dalam bantuan tanpa sebab yang jelas.  Anehnya, peranan Nadma meliputi meneraju pengurusan bencana, dari perancangan, kawalan, dan menyelaras pengurusan malapetaka.   

Apabila Nadma dipertikaikan lembab menggerakkan usaha membantu rakyat ditimpa banjir, menteri yang memimpin agensi ini Latiff Ahmad menyatakan:  “Saya boleh letak jawatan. Nadma boleh dibubar. Tetapi apakah penyelesaiannya?” Jawapan ini tidak sepatutnya  keluar daripada pemimpin Nadma.  

  • Agensi-agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan – Ini bermula dengan pejabat daerah yang menjadi barisan kedua menentukan keadaan di kawasan sebelum dan sedang dilanda bencana. Di Taman Sri Muda, mengapa pam yang telah rosak untuk mengalirkan air keluar dari kawasan banjir tidak diganti sementara peruntukannya telah lama diluluskan?  Mana peranan pegawai di pejabat daerah untuk bersedia segera membuat laporan ke menteri besar dan menuntut bantuan apabila bencana awal berlaku?

Di dalam sebarang bencana atau krisis, ketegasan dan keberanian luar biasa perlu ada pada seseorang wakil rakyat, menteri dan pemimpin. Malangnya, apa yang rakyat lihat amat memualkan. Terdapat beberapa menteri bagaikan badut main wayang untuk mencari publisiti ketika rakyat dilanda bencana.  

Ada mengesahkan jangkaan rakyat, seperti kenyataan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu kepada Utusan Malaysia:  Orang ramai tidak mahu berurusan dengan kementerian belia dan sukan (KBS), KBS tidak mahu berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), JKM tidak mahu berurusan dengan Nadma, Nadma tidak mahu berurusan dengan polis, polis tidak mahu berurusan dengan angkatan tentera.  

Jika ini benar belaku, ia hanya mencerminkan betapa kelam-kabut persediaan agensi-agensi kerajaan menghadapi bencana banjir baru-baru ini. Ada pula ramai menteri, seperti kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, memegang jawatan kerana hendakkan wang, bukan berkhidmat untuk rakyat.  

Inilah yang berlaku mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2019 pada September lalu yang mencatatkan enam dari 15 kolam takungan banjir di Kuala Lumpur telah ditukar untuk membangunkan projek rumah mampu milik, pusat penjaja dan taman rekreasi dari tahun 2015 hingga 2020.  

Amat memeranjatkan ialah pertukaran pembangunan ini terus berlaku walaupun ketua pengarah jabatan pengairan dan saliran didakwa menegaskan kolam-kolam itu sepatutnya kekal, tidak ditukar dan beralih kepada orang ketiga.  Tidakkah mereka sedar kolam takungan banjir dibina di kawasan rendah supaya air mudah mengalih dan ditakung.  Apabila monsun melanda setiap tahun, inilah kawasan perumahan yang paling teruk dilanda banjir.  

Jika dibina rumah mampu milik, pembeli paling ramai ialah Melayu kerana mereka kaum terbesar berpendapatan rendah. Persoalannya, berapa ramai lagi nyawa perlu dikorbankan?  Berapa banyak lagi harta benda rakyat miskin perlu dimusnahkan, ribuan keluarga serta anak-anak mengalir airmata sebelum pemimpin di agensi kerajaan ini boleh berpuas hati?  

Nampaknya kita melangkah ke 2022 dengan membawa suasana ngeri dari tahun lalu.  Langit akan terus mendung dan hujan terlalu kerap menyebat bumi, penderitaan rakyat tetap tidak terbela.  

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan Berita Harian.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow