- Iklan -
Kolum

Membaca Marina (Mahathir)

Marina hanya mahu menulis kisah dirinya, cuma dia terheret menulis mengenai ayahnya sekali.

Faisal Tehrani
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Saya selalu mencemburui mereka yang boleh dan berkemampuan menuliskan autobiografi.

Ini kerana idea menulis mengenai diri sendiri – menceritakan semuanya secara terperinci – dan menyinggung nama tertentu, membuatkan saya fikir autobiografi adalah sesuatu yang melemaskan, malah mencemaskan.

Barangkali juga kerana saya adalah seorang pengarang fiksyen, dan saya percaya, membabadkan sebuah ceritera (atau dongeng) lebih canggih dan sulit.

Justeru, tidak banyak autobiografi yang saya benar-benar suka.

Sebagai perbandingan, satu-satunya autobiografi yang saya rasa benar-benar mengesankan adalah tulisan Robert Gottlieb, “Avid Reader” iaitu kisah Gottleib, si editor pengarang-pengarang besar dunia termasuklah Toni Morrison, dan Salman Rushdie.

Saya juga suka “Permanent Record” oleh Edward Snowden, yang sebenarnya adalah pecahan kecil kepada autobiografi iaitu sebuah memoir.

Mungkin juga kerana saya merasakan dunia perisikan dan keberanian Snowden itu sangat luar biasa.

Mengarang autobiografi seperti kata saya di awal tadi sangat luar biasa kerana ia hanya boleh ditulis oleh seseorang yang bukan mediocre (biasa-biasa saja) tetapi oleh seorang yang sudah mencapai sesuatu.

Ia lebih payah kerana yang menulis itu adalah diri kita sendiri.

Oleh sebab ia akan dibaca oleh orang sekeliling, kita tidak boleh berbohong.

Kalau kita mencipta-cipta, ada ramai saksi yang akan menyahut menidak atau membetulkannya.

Oleh sebab saya bukan peminat autobiografi (meskipun banyak juga autobiografi yang saya baca) kerana alasan-alasan di atas (yang bukan pun alasan!), tidak ada buku-buku autobiografi tokoh lokal yang menggiurkan saya.

Hatta, memoir Dr Mahathir Mohamad “A Doctor in the House” pun tidak cukup memancing saya.

Pun demikian, “The Apple and the Tree” oleh Marina, anaknya Mahathir membuka mata dan selera saya kepada autobiografi, sebuah genre yang kata saya merimaskan.

Saya tidak suka kepada idea seseorang memperihalkan kembali kisah hidupnya.

Mengapa misalnya kita mahu mengetahui sudut pandang beliau tentang hidupnya yang tidak berkait pun dengan diri kita?

Pun, The Apple and The Tree cukup mengujakan buat saya, seorang “pembenci autobiografi”.

Mungkin yang mendorong keterujaan itu ialah kerana saya pernah berfikir, apa rasanya menjadi anak Mahathir?

Bagaimana rasanya berdiri sebagai bayang-bayang Mahathir?

Bagaimana menjadi sebiji epal dari sebuah pohon?

Atau apa rasanya kuah pada nasi?

Sebuah autobiografi yang baik akan menjelaskan hal-hal yang menurut saya membosankan.

Misalnya seorang penulis autobiografi itu perlu menulis secara spektakular atau sensasi kisah kampung halamannya, kisah keluarganya, kisah anak beranak dan ipar duainya, mereka yang membentuk dirinya, dan serba sedikit zaman kanak-kanak dan remaja.

Setiap itu akan membantu kita memahami bagaimana kerangka hidup sang autobiografer pada hari ini.

Saya menanti masa (sepuluh halaman pertama) untuk membaling autobiografi karangan Marina ke dinding, akan tetapi, di luar duga saya, Marina mengheret saya membaca sehingga ke lima puluh halaman pertama sehingga lewat malam.

Saya malah menangguhkan kerja sedia ada untuk melahap seratus halaman seterusnya keesokan hari.

Dan jika saya boleh dihela sejauh itu, saya harus katakan The Apple and The Tree cukup bergaya dan memikat.

Paling-paling saya membaca lima puluh halaman pertama “A Promised Land”, memoir bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama kerana saya hanya ingin mengutip perbendaharaan kata dalam bahasa Inggeris yang canggih digunakan oleh beliau.

Jadi autobiografi Marina harus saya katakan, menawan saya dengan pelbagai cara.

Kisah-kisah awal Marina di sekolah, gambaran tentang negeri Kedah, saat remajanya dan yang paling penting ialah hubungannya dengan Mahathir, sebagai seorang bapa, dapat dikatakan melongokan.

Marina menulis tentang dirinya, tetapi dengan penuh waspada dan hati-hati juga ikut menulis tentang bapanya.

Dia tidak begitu memuji, tetapi dia juga amat jujur mengenai perjalanan kerjaya bapanya, seorang yang membentuk Malaysia hari ini (baik dan buruk Malaysia!).

Jadi, meskipun saya merasakan tidak perlu mengetahui kehidupan profesional Marina, tetapi kerana ia ditulis dengan sasterawi, dan disusun dengan kreatif secara naratif, ia memberikan saya ketekunan dan himbauan yang betul.

Marina tidak berlebihan menafikan dia beroleh peluang untuk menjadi dirinya hari ini.

Kata kuncinya dia berpeluang, sedang orang lain tidak punya itu.

Akan tetapi ia juga tidak sampai menjadikan kita jengkel dan mempertikaikan kerana ada ketulusan di sana sini.

Di satu peringkat Marina menuliskan betapa sukarnya dia menjadi puteri seorang pemimpin yang sukar difahami (malah sehingga hari ini).

Marina misalnya menulis bagaimana dia gagal mempertahankan negara daripada kritikan seorang pelajar dari Israel:
“That kitchen incident however made me conscious about my so-called opinions about many things. Were they my own or was I just parroting what I had heard my father say? Every time I offered an opinion in class or in conversations with classmate on almost anything that involved politics or world affairs, a little voice inside me said, Is that really your opinion, Marina? Or did you just regurgitate what you heard Dad say?”

Bahagian itu menurut saya sangat menarik.

Malah sebagai seorang yang lahir di awal tahun 1970-an, dan dapat merasai percik sekularnya Malaysia, serta kemudian terbalut oleh Islamisasi, pengalaman Marina amat mudah dihubungkan dengan diri saya.

Ia juga merupakan satu gugahan yang menarik, bahawa menjadi anak Mahathir tidak mudah.

Marina misalnya dihakimi dengan menggunakan lensa yang orang gunakan terhadap bapanya.

Ia malah meliputi sepanjang hidupnya apabila beliau bertugas di majalah “Her World” memandu Mitsubishi Galant kepunyaan Dr Siti Hasmah.

Atau bagaimana seorang pegawai polis dengan selamba meminta jaringan dengan Proton dan EON setelah menahannya di tubir jalan.

Cabaran autobiografi ialah menuliskan tentang bagaimana penulisnya mengatasi cabaran demi cabaran (dan kita akan bertanya, ahhh apakah cabaran yang dihadapi Marina, anak Mahathir?) tetapi Marina tidak takut menulis tentang kegagalan.

Malah ia memberitahu kita dia wanita biasa yang perlu menjadi luar biasa di tempatnya.

Tentu, saya dapat menghidu betapa masih ada rahsia yang belum dirungkai penuh oleh Marina, seperti kata saya di awal, bahawasanya bahaya autobiografi ialah sejauh mana kita tergamak mendedahkan diri kepada khalayak.

Sudah tentu, untuk segelintir orang, babak-babak Marina menuliskan mengenai hubungan bapanya Mahathir, dengan Anwar Ibrahim menjadi satu sorotan penting.

Atau, bagaimana berlakunya kekeliruan yang mengakibatkan pengkhianatan Langkah Sheraton lantas membawa kepada Malaysia yang mendambakan rasuah dan kekacauan moral seperti hari ini.

Babak-babak itu tentu tersangka mempesonakan untuk sesetengah pembaca yang politikal.

Namun demikian, saya perlu nyatakan di sini, babak-babak tersebut tidaklah begitu penting malah sebaliknya yang jauh lebih mengesankan adalah bagaimana Marina bergulat dengan pelbagai wacana dan debaran untuk memimpin Yayasan AIDS Malaysia, sebuah penyakit yang dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Ia membawa kita kepada pelbagai tujahan aspek manusiawi yang mengejutkan.

Malah disaat orang menemui Islam melalui tudung dan usrah, memadai dihujahkan yang Marina meneguhkan keyakinannya kepada agama apabila menggauli penghidap HIV dan AIDS.

Seratus halaman terakhir autbiografi Marina memang memperihalkan tentang ribut politik, contoh; pemecatan Anwar, sikap Mahathir terhadap Najib, reformasi, demonstrasi Bersih, dan Pilihan Raya Umum ke-14.

Tentu, kerana insiden itu masih baru dalam kamus hidup kita, ia membawa kita kembali ke detik-detik bersejarah itu.

Dalam bab-bab akhir yang begitu terperinci (seperti seharusnya sebuah autobiografi) Marina membawa kita kepada detik-detik kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan.

Di luar sangkaan saya, Marina tidak menulis untuk mempertahankan ayahnya.

Malah dalam banyak keadaan, Marina mengkritik pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin ayahnya.

Ini bukan cerita Mahathir, walaupun banyak tentang Mahathir di dalamnya.

Tentu, ada yang ingin percaya Marina menulis sebuah propaganda, untuk ayahnya, atau kerana ada agenda untuk adiknya, Mukhriz.

Sukar untuk Marina membetulkan tafsiran seseorang pembaca yang membaca dengan aneka latar belakang dan kepercayaan.

Apatah lagi tentu sukar untuk membetulkan tanggapan mereka yang tidak pun membaca dan hanya mengulit fragmen terpilih (yang bukan dipilih Marina) di portal berita tertentu.

Saya juga tidak ada hak untuk menyatakan bahawa Marina menulis yang benar (meskipun demikianlah seharusnya autobiografi yang baik).

Saya juga tiada hak untuk mengatakan bahawa The Apple and The Tree bukanlah satu akaun untuk membersihkan nama Mahathir.

Siapa pun yang membaca autobiografi ini bebas untuk mengadili Marina.

Rasanya seluruh hidupnya diadili (secara tidak adil) dengan neraca Mahathir.

Marina hanya mahu menulis kisah dirinya, cuma dia terheret menulis mengenai ayahnya sekali.

Kerana apalah dapat dikatakan, demikianlah nasib menjadi anak seseorang yang demikian terkenal, berpengaruh dan mencipta bermacam-macam sejarah (anda bebas mengatakan baik atau buruknya).

Akan tetapi saya hanya membaca The Apple and The Tree kerana ternyata ia sebuah autobiografi yang bagus, elok dan tersusun rapi.

Ia cukup ramuan sebagai genre tersebut.

Judul ini kini sewaktu dengan satu dua autobiografi yang saya suka, meskipun ia bukan sebuah genre yang saya suka secara amnya.