- Iklan -
Kolum

Antara nostalgia, ilusi dan harapan dalam politik

Tetapi apa yang lebih nostalgia adalah ideologi yang dibawa parti itu, iaitu Marhaenisme.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pada Ahad minggu lalu, Parti Kuasa Rakyat dilancarkan dengan barisan ahli jawatankuasa penaja mengadakan sidang media.

Ia diketuai oleh seorang berusia 70 tahun bernama Kamarazaman Yacob.

Parti ini amat kecil dan tidak akan memberi kesan kepada politik negara.

Umumnya orang tidak mengenali Kamarazaman.

Tetapi sebaik saja Ismail Sabri Yaakob diumumkan menjadi perdana menteri, saya terus teringat pada Kamarazaman kerana beliau adalah abangnya.

Kamarazaman adalah sebahagian daripada komuniti kecil pembangkang atau anti-establishment yang sering berkunjung ke kedai buku Gerakbudaya atau menghadiri acara-acara diskusi di situ.

Saya mula mengetahui nama Kamarazaman ketika berlakunya demonstrasi pelajar tahun 1974.

Beliau pernah menjadi pemimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Namanya sebaris dengan Hishamuddin Rais, Hassan Karim, Anwar Ibrahim dan lain-lain aktivis generasi itu.

Tetapi saya bukan dari generasi itu. Saya adalah generasi Ismail.

Namun saya hanya mengetahui mengenai Ismail ketika beliau mula menjadi menteri belia dan sukan pada tahun 2008.

Ada seseorang memberitahu saya bahawa beliau adalah adik kepada Kamarazaman.

Sebagai seorang yang cenderung pada aliran kiri, tentulah Kamarazaman lebih selesa dengan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an.

Parti ini kemudian berubah nama menjadi Parti Rakyat Malaysia (PRM) sahaja mengikut peredaran zaman yang mana istilah sosialisme sudah menjadi asing.

Pertama kali saya jumpa Kamarazaman ialah ketika Tengku Razaleigh Hamzah di bawah dua pakatan iaitu Angkatan Perpaduan Ummah ( Angkatan) dan Gagasan Rakyat  (Gagasan) pada tahun 1990.

Pada masa itu PAS menyertai Angkatan dan PRM bersama Gagasan.

Maka beberapa aktivis Semangat 46 seringlah berkunjung ke pejabat Harakah yang ketika itu saya menjadi editor.

Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yacob.

Dua minggu lalu tersiarlah satu berita bahawa Kamarazaman akan menubuhkan satu parti baru yang bernama Parti Kuasa Rakyat.

Apa yang menarik ialah parti ini akan memperjuangkan isu-isu rakyat tetapi mesra kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sedang saya terpinga-pinga tentang apa motif Kamarazaman itu, seorang anak muda yang mempunyai kumpulan kecil beraliran kiri meminta pandangan mengenai parti baru itu.

Anak-anak muda ini berusia sekitar 20 dan 30 tahun.

Mereka tidak melalui zaman gerakan reformasi Anwar atau kebangkitan Gerakan Islam.

Kecenderongan mereka terhadap aliran kiri adalah atas usaha sendiri dan tidak berkait dengan PSRM, PRM atau PSM.

Berita awal mengenai parti itu adalah bercelaru.

Saya percaya Kamarazaman mempunyai fahaman yang jelas tentang apa yang hendak dilakukan.

Tetapi pemberita atau editornya tidak jelas apa yang mereka dengar.

Maka dalam berita itu ditulis mengenai usaha pembangunan bekas perdana menteri, Abdul Razak Hussein yang disifatkan sebagai program demokrasi sosial.

Juga ditulis mengenai sejarah yang mana Temerloh merupakan tempat lahirnya Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya.

Maka apakah kaitannya dengan Parti Kuasa Rakyat?

Beberapa hari kemudian, seorang Youtuber yang merupakan aktivis PKR mengulas mengenai parti baru itu.

Beliau beranggapan tujuan ia dinamakan Parti Kuasa Rakyat ialah untuk mengambil akronim PKR bagi mengelirukan pengundi.

Jadi ia adalah soal penjenamaan dan pemasaran politik.

Namun apabila Kamarazaman mengadakan sidang akhbar, beliau menyebut bahawa Parti Kuasa Rakyat akan menggunakan perkataan Kuasa untuk menamakan dirinya, dan bukan PKR.

Pada poster menjelang pelancaran itu, parti itu menggunakan lambang genggaman tangan di kelilingi dengan beberapa bunga raya dan bunga ros.

Ia pula dilatar belakangkan dengan warna merah putih.

Jalur merah putih ini adalah warna tradisi perjuangan politik di Nusantara.

Asalnya ia adalah Sang Saka Merah Putih yang merupakan bendera kebangsaan Indonesia.

Ia juga menjadi latar bendera Singapura, Melaka dan ada satu masa Sarawak.

Parti-parti politik sebelum merdeka yang menggunakan merah putih sebagai warna benderanya adalah Umno, PAS, PRM, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak dan Usno.

Sementara logo genggaman tangan adalah lambang golongan kiri zaman ini.

PSM turut menggunakan lambang ini.

Kalau dahulu, kepala kerbau, cangkul dan roda gerigi adalah lambang kiri sepertii yang digunakan oleh PRM.

Parti Buruh dan Parti Pekerja-pekerja Malaysia.

Lambang bunga raya itu melambangkan nasionalisme Malaysia, iaitu sama seperti yang digunakan oleh Bersatu.

Sementara bunga ros banyak digunakan oleh parti-parti kiri sederhana Eropah yang berpegang pada fahaman demokrasi sosial dan sosialisme demokratik.

Dari segi perlambangan itu, terserlah nada nostalgianya.

Tetapi apa yang lebih nostalgia adalah ideologi yang dibawa parti itu, iaitu Marhaenisme.

Perkataan marhaen yang bermaksud golongan berpendapatan rendah, yang khususnya merupakan para petani.

Fahaman ini mengutarakan pembelaan golongan marhaen.

Ia merupakan gagasan yang dikemukakan oleh Sukarno dan merupakan ciri-ciri bagi sosialisme Indonesia.

Di Malaysia, ia diikuti oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan dilanjutkan oleh PRM di bawah Ahmad Boestamam.

Namun apabila Kassim Ahmad memimpin PRM, ia tinggalkan dasar Marhaenisme untuk beralih kepada Sosialisme Saintifik.

Ekoran itu, Boestamam keluar parti dan menubuhkan Parti Marhaen. Parti itu tidak dapat bertahan. Di Indonesia selepas Sukarno, tidak timbul lagi Marhaenisme.

Dalam poster pelancaran itu, Kamarazaman menyebut dirinya Bung Zaman.

Perkataan Bung menjadi popular semasa awal kemerdekaan Indonesia.

Ia membawa semangat kesamarataan manusia ketika perjuangan kemerdekaan negara itu.

Kalau istilah seperti tuan, bapak dan encik menunjukkan hierarki, maka “bung” meletakkan semua orang setaraf walaupun bagi pemimpin.

Maka Sukarno dipanggil Bung Karno.

Pengaruhnya juga sampai ke Malaya dan ia digunakan oleh kalangan aktivis PKMM dan PRM pada awal kemerdekaan.

Tetapi kini ia tinggal dalam sejarah.

Maka dari segi perlambangan, Parti Kuasa Rakyat memiliki ciri-ciri nostalgia kiri.

Tetapi dari segi perjuangan membela golongan M40 dan B40, ia sememangnya satu harapan bagi rakyat.

Ini termasuklah pendidikan percuma sehingga ke peringkat tinggi, kesihatan percuma, perumahan, peluang pekerjaan, petani, kelestarian alam sekitar dan “membebaskan rakyat daripada cengkaman ‘orang tengah dan kaum modal’.”

Kesemua itu adalah harapan rakyat walaupun bagaimana ia hendak dilaksanakan adalah satu cabaran besar.

BN tidak dapat melaksanakan dengan sepenuhnya walaupun memerintah dari tahun 1974 hingga 2018.

Apatah lagi Pakatan Harapan (PH) yang hanya memerintah selama 22 bulan.

Tetapi bagaimanakah Parti Kuasa Rakyat mahu mencapainya?

Realitinya ialah pada masa ini, jajaran politik adalah tiga penjuru iaitu BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH.

Parti ini mengisytiharkan bahawa ia adalah mesra BN.

Jadi bagaimana strategi pilihan rayanya?

Adakah BN akan memberi kawasan untuknya bertanding kelak?

Maka akhirnya apa yang dilihat ialah Parti Kuasa Rakyat ini akan bertanding melawan ketiga-tiga BN, PH dan PN.

Ia akan tarik undi dari mereka yang menolak ketiga-tiga pakatan itu.

Dalam kalangan anak-anak muda, ia akan bertembung dengan Parti Muda.

Dengan segala nostalgia dan harapan bercitra kiri, Parti Kuasa Rakyat ini merupakan suatu ilusi politik di mana akhirnya ia hanya mampu memecah undi anak-anak muda bagi menafikan kemenangan PH.

Maka akhirnya pertarungan adalah lebih kepada antara PN dan BN. Itulah realiti politik.