- Iklan -
Kolum

Betina memilih jantan

Tiba-tiba Janina meletakkan sembilan keping surat itu dan dia mengetuk dengan jarinya satu per satu.

Hishamuddin Rais
9 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Makan tengah hari di Restoran Garuda tidak meriah. Jarang warga London datang makan tengah hari. Satu dua meja sahaja yang digunakan.

Budaya makan warga London ialah makan malam kecuali pada bulan Disember. Ini apabila Hari Raya Krismas bakal datang dan ramai Pakcik Santa menebeng di merata persimpangan jalan memberi sedekah atau mengiklankan barangan.

Ketika musim pesta-pestaan ini Restoran Garuda akan dihujani oleh “jamuan pejabat”. Siang dan malam restoran penuh. Bulan Disember dan Januari poket aku penuh dengan duit tip.

Dari hasil ini, aku berupaya membayar yuran sekolah bila kampus dibuka lepas tahun baru.

Pada hari Rabu musim panas tahun 1990 itu, aku seorang diri bekerja sebagai pelayan pada waktu makan tengah hari di Restoran Garuda. Hampir jam 1.00 dua wanita yang sudah putus haid masuk ke restoran.

Dari pakaian kasut Nike, seluar panjang luas, jaket dan topi, aku yakin makcik berdua ini pasti pelancong dari Amerika Syarikat.

Mereka sedang menapak dan merayau-rayau menziarahi kota London. Aku menyantuni mereka dengan penuh hormat.

Bukan aku nak mengayat. Tidak. Ini bukan agendanya. Aku tahu pelancong dari Amerika Syarikat tidak akan gagal meninggalkan duit tip.

Di Amerika aku difahamkan memberi tip ini menjadi satu kemestian, “obligatoire” kata orang Belgium. Telefon berdering. Aku menjawab.

“Aku masih ada dua makcik Amerika, restoran tutup lepas jam dua. Ok…aku datang.”

Mata aku memandang kepada meja besar di mana dua pelanggan sedang menikmati bergedil dan sate.

Janina meminta aku datang ke tempat biasa, kedai kopi di China Town di Charing Cross Road. Aku juga tak sabar nak tahu apa perkembangan dari iklan Janina “menjual diri” dalam majalah Time Out.

Makcik Amerika selesai makan. Mereka meninggalkan Restoran Garuda. Aku mengemas meja. Bersepah duit syiling, kecil dan besar di atas meja.

Aku menjadi lima pound lebih kaya tengah hari itu. Jam 2.30 petang dengan pantas aku memasang nota “CLOSED” di tepi pintu.

Aku menapak ke Charing Cross Road. Dari jauh aku nampak Janina sudah mengambil meja di kaki lima kafe.

“Apa cerita.. berjaya ke?” Dengan cepat aku bertanya.

“Sue… tuan rumah aku hairan…. ha ha ha.” Janina ketawa kuat tapi tak sekuat ketawa aku.

“Surat banyak dalam peti surat… aku kata pada Sue aku sedang melamar nak cari kerja baru…. entah dia percaya entah tidak.”

“Berapa banyak surat jawapan sampai.” Dengan gelojoh aku bertanya.

“Semalam tiga.. sebelum itu ada lima keping… hari ni ini ada satu lagi.”

Janina menunjukan pada aku sembilan keping sampul surat.

Semua surat dari jantan Mat Salleh ingin mencari betina “oriental”.

“Baca la.” Janina mencapai beg tangan kemudian melambakkan surat ke atas meja.

Amoi pelayan datang. Aku meminta kopi hitam dan kuih pau. Janina meminta air teh limau panas.

Aku membuka surat pertama. Jantan bernama Erick. Surat tulisan tangan besar dan jelas. Erick berumur 30-an dari Kent.

Ada gambar poskad Erick berdiri di tepi kereta. Jantan ini tidak menyatakan dia bujang atau duda.

“Mamat ini dari Kent, jauh la…kampung dia di luar London.” Aku memberi komen.

“Muka ok… badan ok… jauh macam mana Sham?” Janina inginkan pencerahan.

“Ini dekat Dover, pelabuhan kapal. Aku turun naik di sana dari Belgium atau Perancis. Mamat ni nak bergaya..eksyen…laaa…tunjuk dia ada kereta..boring laaaa.”

Aku memberi pandangan berasakan ilmu semiotik yang baru aku belajar dari kuliah Ian Green cikgu kelas teori filem.

“Wow .. tempat jauh …… tolak…tolak.” Janina buat keputusan.

Amoi pelayan kedai kopi membawa pesanan kami. Aku cukup suka makan kuih pau yang dihangatkan sambil menghirup kopi pahit hitam.

Aku buka surat kedua dari jantan bernama Nigel, juga berumur 30-an.

Lelaki bujang ini menulis: “friendship and seeking long term relationship.”

Maknanya jantan Nigel ini amat serius dan sedang mencari teman hidup.

Nigel menuliskan yang dia juga suka masakan Asia.

Tinggal di E7, Stratford East London. Muka kacak bergaya.

“Woit… Mamat ni tinggal kat Stratford… aku tahu tempat ini… dulu aku pernah tinggal di sana. Tumpang rumah kawan aku Yunus, awal dulu… mula-mula aku sampai ke London. Emak dan abah aku pun pernah datang ke sana.”

“Okay ke kampung Stratford ni?” Janina ingin tahu daerah Stratford.

Inilah perkara yang celaka tentang London. Kalau kita sepintas lalu datang ke London sebagai pelancong, kita lihat semua indah.

Taman bunga, pengangkutan awam, tempat hiburan, kafe, restoran dari seluruh dunia, panggung wayang, panggung teater, semuanya menarik.

Dalam keindahan ini ada cilaka yang maha cilaka. Sistem kelas di United Kingdom ini memang cilaka.

Sistem kelas Inggeris, “the English class system”, ini lebih tebal dari sistem kasta di India.

Pakaian boleh diubah untuk tidak menunjukkan kelas. Mungkin duit boleh membeli baju terbaru dari Chanel atau Hermes.

Duit boleh menutup badan tapi bila buka mulut kelas akan terbuka luas.

Loghat warga London yang miskin berbeza dari bunyi pengucapan warga London dari kelas atasan atau elit.

Kelas atasan berbahasa dengan bunyi pengucapan sama seperti suara penyampai berita di British Broadcasting Corporation (BBC).

Dari sini muncul istilah loghat BBC atau yang lebih tinggi darjatnya loghat Queen’s English, bahasa pengucapan Baginda Queen dan kerabat diraja.

Hakikatnya memiliki gaya penampilan, elegan dan kelas tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Ini samalah seperti cuba mengubah Pantai Dalam untuk menjadi Bangsar South.

Adalah mustahil asal usul kad pengenalan 03 akan berubah jadi 14. Loghat 03 akan terkeluar juga sekali sekala.

Paling cilaka juga sekolah tempat belajar dan universiti juga menunjukkan kelas. Bukan keputusan atau pencapaian akademik.

Begitu juga akhbar dan buku yang dibaca juga akan menunjukkan kelas. Filem apa yang ditonton, jenis filem apa yang diminati, genre teater apa yang dianggap ada kelas.

Justeru muzikal di West End dianggap teater lekeh.

Teater muzikal ini dianggap hiburan untuk penternak ayam dari Belanda yang kini berduit selepas menjual telur, lalu datang ke London untuk melihat teater.

Tentang teater muzikal ini aku tak akan lupakan apa yang terjadi kepada diri aku.

Tahun 1986 aku sedang hangat bercinta dengan Carmen, gadis Basque dari Sepanyol.

Tahun itu juga aku menonton teater muzikal “La Cage aux Follies” di West End.

Aku budak kampung dari Jelebu merasa amat berbangga dapat menonton teater di West End.

Bila Carmen datang melawat aku di London aku dengan bangga konon bercerita tentang teater yang baru aku tonton.

“That’s a musical…. we don’t watch that kind of theatre, too simple.”

Carmen menembak jatuh kebanggaan aku. Aku senyap tak bersuara.

Semenjak dari tarikh itu, aku tidak lagi menonton apa-apa teater muzikal di West End.

Budak kampung dari Jelebu merasa malu. Paling cilaka ialah alamat rumah.

Kawasan kediaman ini benar-benar menunjukan kelas.

Kelas bukan berasaskan rumah banglo atau flat, tetapi di mana tertulisnya alamat tempat tinggal. Duduk di Hamstead dengan serta merta dianggap kelas intelektual.

Islington North London, wilayah kampung seniman, pemuzik atau pereka fesyen.

Surrey untuk kelas orang berduit, pemain dan penjaga pasaran saham di City of London.

Jika di Tower Hamlets, ini di East End wilayah miskin yang pada satu masa dahulu didiami oleh imgiran Yahudi.

Selepas Perang Dunia Kedua, Tower Hamlets menjadi kampung imigran Bangladesh sama seperti Brixton jadi kampung orang hitam dan Southall dipanggil Little India.

“Stratford ni, di East End.” Aku menerangkan kepada Janinah.

“Tak nak laaa, jantan East End tak cool. Entah-entah Mat Bangla menyamar jadi Mat Salleh…ha ha ha.” Janina terbarai ketawa sambil menolak Nigel.

Aku selesai membaca tiga helai surat jantan mencari betina.

Semua surat yang aku baca menarik. Gambar yang aku lihat semua kelihatan kacak.

Gambar dipotret khas untuk mengiklan diri. Semua jantan dalam lingkungan umur 30-an.

Semua jantan sedang gian nak mencari betina dari Asia.

Betina “oriental” dianggap manja, tak banyak songel dan amat baik untuk dijadikan bini.

Ini terpahat dalam mitos jantan Mat Salleh.

“Kau nak yang macam mana?” Aku bertanya kepada tuan punya badan.

“Aku pun tak tahu… semua okay… susah nak pilih… aku rasa kena jumpa satu satu.” Janina menjawab.

“Ni macam nak beli seluar…. masuk kedai seluar… nampak banyak seluar…. rambang mata… semua cantik… semua nak.” Aku buat bandingan.

“Aku nak buat macam Sang Kancil … satu dua tiga lekuk, surat jantan aku ketuk… mana kena … aku rasuk… ha ha haa.” Janina berseloka sambil ketawa.

Wow… sekarang pasal nak cari jantan Melayu kau datang…kau ingat pada Sang Kancil… jantan Melayu kau tak ingat.” Aku juga turut ketawa.

Tiba-tiba Janina meletakkan sembilan keping surat itu dan dia mengetuk dengan jarinya satu per satu.

“Nah ini yang dulu… buka dan baca.” Janina menghulurkan surat itu pada aku.

Aku menyambut dan membaca surat itu. Surat ini dari jantan bernama Christopher Kelly dari Chelsea. Arkitek berumur 32 tahun.

Isi surat: “I am looking for LTR not ONS with loads good SOH.”

“Ehhh… aku tak faham apa bendanya LTR.. ONS.. dan SOH ini… ini cakap apa ni?” Asal usul kampung aku muncul bila bertembung dengan akronim moden.

“Laaa….kau tak tahu? LTR… long term relationship… ni nak ajak se hidup semati… ONS ini one night stand …. bukan nak tidur semalam saja… SOH ni…. sense of humor… pandai berjenaka… ini bahasa iklan.. tulis panjang-panjang orang muak nak baca.”

Janina memberi pencerahan pada budak kampung dari Jelebu.

Janina membuat keputusan untuk berjumpa dengan Christopher Kelly.

“Aku nak ajak jumpa di Soho.”

“Garuda laa… boleh aku tengok sama…aku layan special kau berdua nanti.”

Cadangan dari pelayan Restoran Garuda.

“Nak makan Italian… mana ok?”

“Amalfi di Old Compton Street.. tak jauh dari Restoran Desaru tempat aku kerja dulu.”

“Ujung minggu ni ke….. kau tak sabar nak jumpa Kelly.”

“Kau nak gi salon.. pasang rambut.” Aku melawak.

“Bukan saja salon… aku nak beli Wonderbra, nak naikkan buah dada. Ha ha ha.”

Kami sesama terbarai ketawa.

Aku mengangkat tangan untuk memanggil Amoi pelayan. Amoi sampai aku membayar.

“Wow… banyak duit.” Janina berseloroh.

“Tadi Mak Cik Amerikan sedekah pada aku tadi….nak tanya hotel mana mereka duduk…tapi dua-dua dah kering haid…ha ha.” Aku terbarai ketawa.

“Eh.. kau ni tak takut ke … jumpa orang yang tak kau kenali?”

Aku masih was was dengan projek cari jantan ini.

“Kau pernah ada blind date kan? Sama je… jumpa minah dalam Garuda… macam aku nak jumpa Kelly dalam restoran Itali. Garuda makanan Melayu… Amalfi makanan Itali.”

Bila Janina bertanya tentang blind date, temu janji dengan sosok yang tak dikenali ini aku teringat kisah aku pada tahun 1972.

Ini ketika aku tinggal di Kolej Kelima, Universiti Malaya.

Kawan satu kolej dan satu fakulti, si Zainal ini ada kekasih yang dia dipanggil Jija.

Nama penuh aku tak tahu.

Zainal ini selalu bersurah tentang Jija.

Mereka berkenalan semenjak dari zaman sekolah menengah lagi.

Bila Zainal masuk universiti saham Zainal melonjak naik.

Emak bapak Jija tak melarang Jija keluar bersama Zainal.

Aku jantan solo. Sibuk dengan aktiviti persatuan. Sibuk ke sana ke sini.

Kami duduk di Master House Kolej Kelima, rumah banglo lima bilik yang dijadikan bilik asrama.

Master House ini memang istimewa.

Lelaki dan perempuan tiada larangan keluar masuk ke rumah kami.

Bila Zainal pulang dari berjumpa dengan Jija dia akan bercerita tentang itu dan ini.

Ini bukan lagi kisah cinta monyet. Ini kisah cinta kejantanan jantan yang sedang membara.

“Isham… kau tak ada girl friend ke? Ramai kat fourth college…. tak kan tak ada…. kau duduk kat union house memang tak ada woman?” Zainal menganjing aku.

“Carilah la untuk aku seorang.” Aku melawak.

“Betul ke ni? kawan Jija ada… nak ke?” Zainal jadi serius.

Aku yang awalnya melawak kini beralih pedoman.

Ini satu yang baru. Aku tak perlu menolak.

“Betul ke? Jija ada kawan?”

“Sabtu depan.. Jija datang KL… aku suruh dia ajak Susan, kawan dia datang sama. Susan ni half half.. ada darah Cina, Melayu dan India … dulu ada boy friend… tapi tersangkut dadah.”

Zainal memberi pengenalan agar aku bersedia Sabtu depan.

Aku ingat lagi petang Sabtu itu.

Zainal membonceng motosikal aku, BS2974, Honda 90CC. Kami menuju Taman Tasik, Petaling Jaya.

Jija dan Susan duduk atas kerusi tepi tasik.

Ini kali pertama aku melihat Jija kekasih Zainal.

Susan aku lihat gadis manis yang bukan Melayu, yang bukan India dan bukan Cina – anak jati Malaysia.

Susan pada hemat aku anak gadis manis mimpi basah setiap jantan.

“Ni Isham.”

Zainal kenalkan aku pada Jija dan Susan.

Kami bersalaman. Zainal menarik tangan Jija dan terus berundur menuju ke bawah rumpun buluh.

Aku tinggal dengan Susan. Sebenarnya ketika ini aku tak tahu apa yang sedang aku lakukan.

Aku bergerak jauh dari rumpun buluh di mana Zainal dan Jija sedang memadu kasih.

Susan mengikut aku dari belakang.

Kemudian kami duduk di atas rumput menghadap tasik. Kami duduk seolah-olah dua kekasih yang sedang berasmara.

Demi Zeus aku tak tahu apa yang harus aku lakukan.

Segala kejantanan aku punah. Belum pernah aku merasa diri aku tersesat. Sesat barat di mana aku tak tahu apa yang wajib aku ucapkan.

“Rumah you di mana?” Soalan bodoh dari aku.

Zainal sudah terangkan yang Susan duduk di Puchong.

“Puchong.” Sepatah jawapan dari Susan.

Kepala aku bertanya bagaimana agaknya Usman Awang memadu cinta hingga dia boleh menghasilkan teater “Uda dan Dara”.

Aku yang sedang berhadapan dengan dara ini hilang akal.

Tidak tahu apa yang seharusnya aku tuturkan.

Lidah aku yang petah di Sudut Pidato tiba-tiba kelu di hadapan gadis ayu ini.

Aku memerhatikan Zainal d bawah rumpun buluh.

Jelas mereka dua kekasih yang sedang dilamun cinta berahi.

Antara Zainal dan Jija sehelai rambut tidak akan lurus.

Manakala antara aku dengan Susan, seekor gajah boleh melintas.

Ketika itu aku rasa masa berjalan terlalu lama.

Bila agaknya Zainal akan puas mengucup Jija.

Bila agaknya cumbu mesra mereka akan selesai. Aku terseksa menunggu.

Satu jam pada hari Sabtu itu aku rasakan seperti 10 jam.

Semuanya berjalan lambat.

Aku tidak tahu apa isi perbualan aku dengan Susan. Yang aku ingat hanya Susan tinggal di Puchong.

“I will see you after my date.”

Janina membawa aku kembali ke London dan meninggalkan Zainal, Jija dan Susan di tepi Taman Tasik, Petaling Jaya.

“Ok… all the best with your blind date. Jangan duduk bawah rumpun buluh.”

Aku tak sengaja tersebut rumpun buluh, walhal di London tidak ada buluh.

“Buluh apa?” Janina hairan bertanya.

“Selamat berdating…jangan keras macam buluh…nanti jantan takut.”

Aku mengalih jawapan dan terus menapak meninggalkan Janina menuju ke Restoran Garuda untuk kembali menjadi pelayan.