- Iklan -
Kolum

Hebat cara pendakwah hari ini

Di mana ada orang susah, di situlah mereka muncul, beserta kamera demi liputan di media sosial.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Pada satu hari ketika beratur di dalam kedai serbaneka untuk membuat bayaran, ada seorang pakcik berpakaian sekuriti berada di hadapan saya ingin membeli minuman yang dijual di dalam pek lima.

Ketika juruwang memberitahunya bahawa minuman itu berharga RM4.30, pakcik itu tersipu.

Duit yang ada di tangan cuma RM3.

Pakcik itu bertanya kepada jurujual, bolehkah dia hanya membeli satu?

Jurujual berkata ia tidak dijual berasingan.

Pakcik itu terus meletakkan minuman itu kembali ke peti sejuk lalu meninggalkan kedai itu.

Hati saya tersentak.

Selepas membuat bayaran, saya terus keluar mencari pakcik itu.

Kelihatan pakcik itu berjalan kaki memasuki kawasan perumahan di hadapan kedai.

Saya terus berlari memanggil pakcik itu dan dia berpatah balik mengingatkan seseorang memerlukan pertolongan.

Saya menghulurkan dia RM50.

Kegembiraan di wajahnya dan keriangan di hati saya sampai hari ini saya teringat.

Saya tidak mengambil gambar maupun meletakkan cerita ini di media sosial.

Tiada siapa yang perlu tahu siapa pakcik ini, dan aibnya di kedai kerana tidak mampu membeli air minuman yang dikehendaki anaknya.

Ada pendakwah hari ini tidak tahu mengapa perangainya pelik.

Mereka suka membantu orang yang susah.

Tapi, pada masa sama, mereka nampaknya juga lebih suka orang ramai mengetahui merekalah yang menghulurkan bantuan.

Apakah ini cara mengajak orang melakukan kebaikan?

Di mana ada orang susah, di situlah mereka muncul, beserta kamera demi liputan di media sosial.

Media sosial menjadi tempat hebahan kebaikan yang dilakukan.

Malangnya, ketika meuar-uarkan kebaikan yang dilakukan, aib orang susah yang dibantu dilupakan.

Satu dunia mengetahui mereka hidup susah.

Kadangkala kebaikan yang dibuat mendatangkan fitnah pada orang lain, umpama orang lain tidak reti membuat kebaikan sehingga orang luar terpaksa datang memberikan bantuan.

Bukan itu sahaja, kini ada pendakwah yang membuat kerja polis dan penyiasat.

Segala bukti didedahkan secara umum untuk mendapat liputan media, bagai orang yang hilang sabar ingin menjadi orang pertama yang membongkar cerita, dan bukannya menunggu kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan pendedahan.

Menariknya, pendakwah yang melondehkan pendakwah.

Apa yang dikejar sebenarnya?

Jika kebenaran yang ingin dikejar, maka bantulah mangsa mendapat pengadilan dengan membantu pihak penyiasat.

Mendedahkan perkara ini kepada umum sebelum ada sebarang pendakwaan ini memang cara yang pelik.

Yang hancur, istilah pendakwah itu sendiri.

Yang naik, hanya liputan sensasi yang menghancurkan rasa hormat dan percaya masyarakat umum kepada golongan agama.

Hebat cara pendakwah moden hari ini. Tabik.

Saya sedang memuji ini, mohon jangan kecam saya.