- Iklan -
Kolum

Tiket 40 sen

Waktu rehat jam 10 hari Rabu aku digoda oleh kuih gulung. Ini kuih yang amat aku minati. Aku hanya berjaya menyimpan 5 sen.

Hishamuddin Rais
10 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Petang Selasa itu aku datang ke Padang Besar, Kuala Klawang untuk melihat perlawanan bola sepak.

Pasukan PWD lawan pasukan mata-mata.

Ini perlawanan biasa bukan merebut Piala Datuk Undang Jelebu.

Menengok perlawanan bola sepak menjadi hiburan utama ketika aku membesar di Jelebu selain dari menonton wayang di Panggung Ruby.

Di tepi padang aku berjumpa dengan Alin.

Dia setahun lebih tua daripada aku.

Aku darjah satu, dia darjah dua.

Kami belajar di Sekolah Melayu Kuala Klawang A. Alin ini dianggap “budak town”.

Lepas menonton perlawanan bola sepak, aku mengekor Alin.

Aku bukan hendak ke rumahnya.

Aku hendak ke Panggung Ruby.

Keluarga Alin menyewa rumah kedai dalam pekan tak jauh dari Panggung Ruby.

Ayah Alin bekas guru.

Kedai Ayah Alin ini satu-satunya kedai Melayu dalam pekan Kuala Klawang.

Ayah Alin menjual buku-buku dan akhbar Melayu.

Menapak ke Panggung Ruby aku wajib melintas di hadapan rumah Alin.

Tiba-tiba Alin membatalkan niat untuk masuk ke rumah.

Alin mahu menapak bersama ke Panggung Ruby.

Sampai di hadapan Panggung Ruby, mata aku liar memerhati poster-poster besar terpampang jelas.

Poster berwarna dengan nama filem dan pelakon untuk filem-filem tukaran yang akan datang.

Mata aku ternampak terpampang poster “The Bridge on The River Kwai”.

Hati aku senang.

Hati aku lega.

Di tepi kabin jual tiket, aku ternampak iklan dalam kotak iklan “Next Change” – The Bridge on The River Kwai.

Sekali lagi aku merenung enam keping gambar-gambar hitam putih yang terpapar.

Entah sudah berapa kali aku melihat gambar yang sama.

Mata aku mencari-cari. Aku sedang mencari.

“Aku dah tengok gazet filem ini.. filem perang… Jepun lawan Orang Putih.” Alin menerangkan pada aku.

Aku faham apa itu gazet filem.

Gazet ialah filem pendek yang mengiklankan babak-babak menarik seperti babak bercium, babak kena tikam atau babak bertumbuk antara hero dengan “Pak Crook”.

Dalam filem perang, gazet filem akan menunjukkan letupan dan tembak-menembak.

Gazet filem ini dimainkan tiga empat hari sebelum filem sebenar ditayangkan.

Semua ini untuk jadi iklan tarikan kepada bakal penonton.

Tentang filem perang yang ini aku sudah hafal.

The Bridge on The River Kwai ialah Next Change, ertinya akan ditayangkan hari Sabtu ini.

“Wayang ni main dua hari… mitnite pun ada.” Alin menerangkan.

Biasanya filem di Panggung Ruby hanya ada dua tayangan.

Satu bermula jam 2.45 petang.

Dan satu lagi jam 7.30 malam.

The Bridge on The River Kwai akan ditayangkan selama dua hari.

Dan ada juga tayangan tengah malam.

Ini hebat.

Untuk Panggung Ruby di Kuala Klawang ini betul-betul hebat.

Aku sendiri belum pernah merasai menonton filem tengah malam.

Aku meraba poket.

Dalam saku aku ada 25 sen.

Duit ini aku ikat dan simpul dalam sapu tangan agar tidak berbunyi dan hilang.

Ini duit yang aku kumpulkan semenjak aku ternampak poster The Bridge on The River Kwai.

Ini hasil duit saku belanja ke sekolah.

Setiap pagi emak aku beri 10 sen.

Sesekali dapat 15 sen.

Amat jarang aku dapat 20 sen duit saku.

Agaknya, jika dapat 20 sen aku tak tahu apa yang hendak dibeli.

Dari 10 sen aku simpan 5 sen.

Sudah lima hari aku mengumpul duit.

Aku simpan untuk The Bridge on The River Kwai.

Tiket paling murah untuk masuk Panggung Ruby ialah 40 sen.

Aku masih kurang 15 sen.

Tapi aku yakin aku akan selesaikan masalah ini.

Aku ada dua hari lagi – Rabu dan Khamis untuk menyimpan duit saku. Jumaat dan Sabtu sekolah Melayu cuti.

“Kau nak negok tak filem ini?” soal Alin.

“Tengok… nak tengok.” Dengan gembira aku menjawab.

Alin tidak tahu ada cerita belakang cerita.

Ada kisah di belakang kisah.

Alin tidak tahu filem ini tentang Pak Tunggal aku yang sama-sama membuat jalan kereta api ini.

Alin juga tidak tahu Pak Tunggal aku ditangkap Jepun sebaik saja keluar dari Panggung Ruby ini.

Aku malu dan takut untuk bercerita tentang Pak Tunggal aku.

Mungkin ramai kawan-kawan tak percaya.

Mungkin kawan-kawan yang mendengar surah aku akan ketawa.

Malah jika aku buka kisah Pak Tunggal aku di hadapan poster The Bridge on The River Kwai, pasti mereka akan menuduh aku ini mengada-ngada.

Atau nak tunjuk hebat memandai-mandai tahu hal wayang.

Aku ambil sikap senyap.

Hari Rabu aku wajib simpan 10 sen.

Hari Khamis aku wajib simpan 10 sen.

Jika berjaya jumlah dalam poket aku ada 45 sen.

Harga tiket 40 sen.

Ada lebih 5 sen aku boleh beli gula-gula atau kuci.

Ini rancangan yang tersusun molek bila dirancang.

Tapi gagal aku lakukan.

Waktu rehat jam 10 hari Rabu aku digoda oleh kuih gulung.

Ini kuih yang amat aku minati. Aku hanya berjaya menyimpan 5 sen.

Hari akhir hari Khamis bila loceng rehat berbunyi, aku tidak ke kedai.

Pengalaman menunjukan jika aku ke kedai aku akan digoda oleh kuih gulung.

Lalu aku ke paip air dan minum air sejuk.

Aku berjaya menyelamatkan 10 sen. Cukup untuk tiket 40 sen.

Petang Jumaat nasib aku bertambah baik.

“Tolong poiee boli wan sirih kek kaman koling.” Wan Rahmah aku kehabisan sirih.

Biasanya aku akan disuruh pergi ke Kaman Keling untuk membeli sirih.

Ada seorang Achi India yang memiliki tiga jinjang sirih yang ditanam di tepi kawasan lapang di tepi rumah.

Wan… upah laa sikit.” Aku merayu.

“Nah.” Wan membuka bujamnya, mengeluarkan gobek buluhnya , meraba-raba dalam bujamnya dan berjaya mengeluarkan 20 sen. Harga sirih hanya 10 sen untuk 50 helai.

“Lebih ni… upah ya.” Aku sekali lagi merayu.

“Eeeemmm.” Wah Rahmah aku membuat keputusan yang tidak menolak permintaan aku.

Ini bermakna aku ada 50 sen untuk menonton The Bridge on the River Kwai di Panggung Ruby pada tahun 1957.

Hari Sabtu yang aku tunggu itu sampai.

Tengah hari lepas makan aku bergegas menapak ke Panggung Ruby.

Aku sampai sebelum jam 1 tengah hari.

Aku wajib datang awal sebelum pintu tiket dibuka.

Ini untuk mengelakkan tiket termurah 40 sen habis terjual.

Tiket 40 sen ini tiket rebutan anak muda dan anak sekolah – tiket budak-budak.

Sesampai aku di sana aku ternampak Alin dan Zainal. Mereka datang lebih awal.

Aku rasa Zainal yang bekerja di PWD akan membeli tiket 65 sen.

Alin pasti seangkatan dengan aku, kumpulan tiket 40 sen.

Petang itu tayangan pertama jam 2.45 petang agak ramai yang menonton.

Tapi Panggung Ruby tak penuh.

Semua penonton lelaki dan anak-anak muda.

Muka mereka pernah ternampak tapi aku tak kenal siapa mereka.

Yang pasti semua warga Jelebu.

The Bridge on The River Kwai wayang cerita perang.

Tak ada orang perempuan yang aku ternampak petang itu.

Kalau wayang Hindustan lain cerita. Ramai minah, kakak dan makcik datang menengok.

Amoi penjual tiket datang.

Aku nampak dia dari jauh.

Aku kenal Amoi ini.

Dia anak Ah Fook tuan punya kedai kopi dan roti bakar yang amat popular dalam pekan Kuala Klawang.

“Mai duit…aku beli kan.” Alin menawar diri untuk beratur.

Aku menghulur duit.

Zainal juga menghulur sama.

Aku tak sangka Zainal pun membeli tiket 40 sen.

Nampaknya kami bertiga akan duduk satu baris.

Dalam poket aku ada lagi 10 sen.

Lalu aku ke kedai roda tolak tepi panggung untuk membeli kuaci dan gula-gula susu.

Kuaci cap burung merak 5 sen dapat dua bungkus.

Gula-gula susu 5 sen dapat tiga butir.

Semua beres.

Kami menapak ke pintu masuk.

Aku memberi gula-gula kepada Alin dan Zainal.

Kuaci hanya dibuka apabila filem bermula.

Mengunyah kuaci ketika mata memandang layar perak.

Ini nikmat nengok wayang.

Panggung masih terang.

Suara R Azmi berkumandang dengan lagu Hitam Manis.

Diikuti oleh Jangan Bermain Mata nyanyian Momo Latiff.

Aku ingat lagu-lagu ini kerana setiap kali aku masuk ke Panggung Ruby suara mereka akan berkumandang.

Pada ketika itu aku rasa lagu ini dimainkan dari piring hitam.

Seperti yang dijanjikan lampu panggung padam.

Keluar iklan tidak bergerak.

Gambar sabun buku berjenama X.

Seorang kakak berkemban membasuh dengan susah sekali. Kemudian diikuti oleh gambar sabun buku Cap Kapak.

Kakak membasuh dengan buih yang banyak.

Kemudian muncul gambar cacing dalam perut manusia.

Ini untuk iklan ubat cacing dalam kotak.

Imej sabun dan cacing sama seperti suara R Azmi dan Momo Latiff tidak mungkin akan aku lupakan sampai bila-bila.

Akhirnya muncul iklan bergerak.

Seorang lelaki Cina yang sado berseluar panjang dengan baju terbuka untuk menampakkan otot yang tegang.

Dia membawa gergaji panjang untuk memotong kayu balak.

Kayu ini tumbang.

Lelaki ini menyapu muka membersihkan peluh.

Kemudian dia berjalan dan mengambil sebotol beer cap anjing.

Dengan badan sado dan dada terbuka lelaki ini menuang ke dalam gelas air hitam yang berbuih.

Kemudian lelaki ini menghirup air hitam ini.

Muncul tulisan: Guinness is good for you.

Dua filem gazet wayang Cina akan datang dimainkan.

Satu cerita Cina moden pakai tali leher dan satu wayang Cina rambut panjang main pedang.

Dua-dua aku tak minat.

Panggung gelap beberapa saat.

Filem The Bridge on The River Kwai ditayang.

Aku masih ingat lagi filem ini bermula dengan tahanan perang berkawat sambil bersiul.

Siulan para tahanan perang ini tidak akan aku lupakan sampai bila-bila.

Aku kenal, aku ingat dan aku selalu mendengar lagu ini bemain di Juke Box di Kedai Kopi No 10 dalam Pekan Kuala Klawang sebelum dan sesudah filem The Bridge on The River Kwai ditayangkan di Panggung Ruby.

Tahanan perang yang berkawat sambil bersiul ini dijaga rapi oleh tentera Jepun.

Tentera Jepun bersenjata lengkap.

Pakaian orang tahanan ini compang camping.

Baju mereka bekas baju askar koyak rabak.

Ramai tidak berbaju dan menampakkan badan mereka yang kurus.

Ada yang memakai kasut askar.

Ada yang berkaki ayam.

Kasut mereka kelihatan lunyai dan berlumpur. Ada kasut tidak bertali.

Mata aku mencari-cari.

Aku mencari-cari.

Mata aku memerhati.

Mata aku memandang ke muka setiap orang tahanan perang.

Putih. Putih. Putih.

Semua Orang Putih.

Semua tahanan Jepun hadapan mata aku Orang Putih.

Yang tidak putih hanya tentera Jepun.

Aku kecewa.

Mana Pak Tunggal aku?

Tidak ada muka hitam.

Tidak ada muka sawo matang.

Tidak ada muka yang yang tidak putih untuk mewakili Pak Tunggal aku.

Aku bertanya apakah jalan kereta api maut ini hanya dibuat oleh Orang Putih.

Di mana Pak Tunggal aku dibawa dari Panggung Ruby ke rumah pasung ke Seremban ke Kuala Lumpur?

Kemudian naik kereta api melintas sempadan Siam – Burma.

Aku kecewa.

Hampir terlupa aku dengan kuaci cap burung merak.

Dalam gelap itu aku beri sebungkus kepada Alin.

Aku mengoyak dan mula mengunyah.

Alin memberi sedikit kuaci kepada Zainal.

Mereka sedang khyusuk memandang imej di hadapan mata.

Aku bukan sahaja kecewa.

Malah aku tidak tahu buah butir yang berlaku.

Ini filem Inggeris.

Tahun 1957 tidak ada sari kata.

Aku betul-betul melihat dan memahami filem ini melalui gambar bayang bergerak.

Ada “yes” dan ada “no” dalam perbualan ketua Jepun dengan pegawai Orang Putih.

Yes dan No sahaja yang aku faham, yang lain aku tak faham.

Aku mahu melihat filem perang yang ada tembak menembak.

Ada askar kena bom.

Ada meriam.

Wayang depan aku ini banyak bercakap.

Memang layar besar – muka muka hero dan orang jahat jelas besar.

Ini skrin baru untuk Panggung Ruby.

Akhirnya dalam babak akhir The Bridge on The River Kwai baru ada adegan aksi.

Jambatan laluan kereta api yang dibuat oleh para tahanan perang itu diledakkan.

Dum! Runtuh.

Filem ini agak panjang, lebih dua jam.

Sesudah filem selesai kami menapak menuju ke padang bola.

“Kau nampak muka Kapten dalam reban ayam itu tu? Muka pucat… hebat make up dalam bilik kecil itu.”

Ini kata-kata Zainal yang aku rasa dia faham Bahasa Inggeris ketika itu.

Kata-kata Zainal ini aku dengar pada tahun 1957 hingga ke tahun 2021, aku masih ingat lagi.

Imej Kapten Orang Putih itu juga terus melekat dalam ingatan aku.

Epilog:

Musim panas tahun 1990 aku di London.

Ketika itu belajar filem di Polytechnic of Central London.

Petang Ahad yang indah itu aku bersama Anthony Grant, kawan dari Brixton College sedang meleser di National Film Theatre (NFT), tepi Sungai Thames.

NFT ini samalah saperti bursa saham di Wall Street.

Jika sesiapa dilihat merayau-rayau di Wall Street pasti ada yang menyangka sosok ini berduit meniaga saham.

Aku dan Tony bersiar-siar di sekitar NFT dengan harapan akan dilihat sebagai “artist-intellectual”.

Berjalan sambil memasang jala.

Mana tahu kalau kalau tersangkut anak dara dari Sweden.

Nak ke cafe kami tak berduit.

Nak menonton kami wajib menunggu tiket murah, setengah harga untuk pelajar dan penggangur.

Musim panas musim pelancong tiket murah tidak wujud.

Ketika itu filem-filem arahan Divid Lean akan ditayangkan

Aku ternampak poster The Bridge on The River Kwai.

“I’ve seen that film.” Aku berbangga di hadapan Tony.

“When Isham… are you sure?” Tony memangkah.

“A very long time ago…. 1957 .. in my town.” Aku menjawab.

“Good Lord… A long time ago.” Tony terperanjat dan terbarai ketawa dengan kuat

Dua Minah Salleh memerhati ke arah kami.

Pasti mereka hairan melihat kelakuan kurang sopan dua jantan kulit hitam di wilayah seniman dan intelektual.

“Yes… when I was in standard one.. 1957… how old are you now?”

Aku merasa bangga dalam umur 7 tahun aku menonton The Bridge on The River Kwai.

Aku tahu Tony baru melintas ke umur 20-an.

“Did you like the film?”

“My Uncle was in it.”

“What.. .. you uncle acted with David Lean?.. but that film made in Ceylon not Malaysia.”

“My Uncle was a Japanese prisoner of war.. that fucking film did not show any other prisoners except white prisoners.”

Aku meraih simpati dari Tony, jantan berkulit hitam yang tahu akan perasaan aku ketika itu.

“Isham… fucking anger is not the right response..You should make a film about your uncle.” Tony melemahkan kemarahan aku.

Tony sebenarnya tidak marah apabila aku menggunakan perkataan “fucking”.

Ini kerana guru sastera kami dalam satu kuliahnya menerangkan perkataan fucking ini bukan lucah lagi tapi sebagai kata sifat.

Malah akhbar The London Guardian – akhbar harian berhaluan kiri liberal, bacaan pemikir dan intelektual United Kingdom menggunakan berkali-kali perkataan fucking.

Epilog 2021

Tahun 2021 aku bukan sahaja kerap menggunakan perkataan fucking.

Malah aku boleh bertutur, menulis, mendengar dan berceramah dalam Bahasa Inggeris.

Malah selepas empat tahun dalam sekolah filem dan setelah menonton beribu filem dari pelbagai genre yang menggunakan pelbagai jenis bahasa dari pelbagai negara, mata aku terlatih untuk membaca filem dari sudut ilmuan.

Untuk membuka kembali surah Panggung Ruby dan Pak Tunggal aku sekali lagi menonton filem The Bridge on The River Kwai.

Kali ini bukan dalam Panggung Ruby dengan skrin layar cinemascope.

Tapi dalam Panggung Youtube.

Dalam tahun 2021, aku faham makna dan tanda filem ini dari sudut semiotik.

Filem The Bridge on The River Kwai ini berasal dari buku Perancis yang ditulis oleh Piere Boulle pada tahun 1952.

Skripnya ditulis oleh Carl Foreman dan Micheal Wilson.

Pada tahun 1957 ketika aku melihat filem ini di Panggung Ruby nama dua sosok ini tidak muncul.

Penulis skrip dinamakan Pierre Boule walau pun Pierre tidak fasih bahasa Inggeris.

Ini berlaku kerana Foreman dan Wilson dianggap kiri “orang komunis” dan disenarai hitamkan di Holywood.

Mereka melarikan diri dari Amerika untuk mendapat perlindungan politik di United Kingdom.

Hanya pada tahun 1984 dua sosok ini diumumkan sebagai penulis sebenar skrip The Bridge on The River Kwai.

Dua arwah ini akhirnya menerima hadiah akademi atas kerja seni mereka.

Pada tahun 1958 filem ini mendapat tujuh Hadiah Academy.

Filem ini menjadi filem terbaik pada tahun itu.

Pada tahun 1997 American Film Institute menobatkan filem ini sebagai salah satu dari filem terbaik dalam dunia.

Pada Tahun 1999 British Film Institute menobatkan filem ini sebagai salah satu dari 11 filem British yang terbaik dalam kurun ke 20.

Pengarahnya David Lean ialah warga British.

Epilog akhir

Menonton The Bridge on The River Kawai tahun 2021 muncul satu babak lagi yang tidak mungkin akan aku lupakan.

Dalam babak ini Kapten Inggeris Lieutenant Colonel Nichloson yang dikeluarkan dari reban ayam dibawa bertemu Komandan kem tahanan Colonel Saito.

Komandan Jepun ini cuba berbuat baik dengan Kapten Inggeris ini.

Babak ini berlaku dalam bilik Colonel Saito.

Pengawal Jepun semua diarah keluar.

Colonel Saito cuba memujuk dan mempelawa Colonel Nicholson untuk menjamah makanan.

Bayangkan makanan yang terhidang bukan makan penjara.

“English corn beef.” Saito bersuara sambil memotong daging dengan pisau.

“No Thank you.” Nicholson secara bersopan menolak.

Saito mengangkat sebotol wiski. Menunjukan pada Nicholson.

“Product of Scotland… I prefer it from sake.” Saito menuangkan wiski ke dalam gelas.

Nicholson menolak pelawaan.

“I study three years London. You know… I study at London Polytechnic.” Saitio memberi pencerahan.

Bila dialog ini keluar dan didengar oleh Hishamuddin Rais pada tahun 2021, dia terbarai ketawa.

“Fuck. Mamat Jepun yang bunuh Pak Tunggal aku rupa-rupanya dia belajar di London Polytechnic… sama macam aku.. ciiis.”

Maka ijazah yang aku terima dari London Polytechnic itu aku hadiahkan untuk Pak Tunggal aku.

Itu sahaja sumbangan aku.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.