- Iklan -
Kolum

MCA, MIC perlukan PN lebih daripada BN

Ketika Umno berkuasa, MCA dan MIC tidak berani bersuara meskipun parti Melayu itu melakukan perkara yang mengguris hati para penyokong mereka.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

MCA dan MIC – dua komponen parti yang masih bersama Umno dalam Barisan Nasional (BN) sebenarnya lebih memerlukan Perikatan Nasional (PN) lebih daripada gabungan yang hancur berkecai sejurus selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

MCA dan MIC kedua-duanya menjadi parti nyawa-nyawa ikan sejak PRU13 lagi.

Selama ini mereka hidup di bawah telunjuk Umno.

Ketika Umno berkuasa, MCA dan MIC tidak berani bersuara meskipun parti Melayu itu melakukan perkara yang mengguris hati para penyokong mereka.

Hasilnya kedua-dua parti ini melangkah menuju ke zaman matahari terbenam.

Kegagalan MCA dan MIC untuk bersuara menyebabkan DAP mendapat untung politik yang paling besar.

Umno digambarkan sebagai parti yang ultra dan MCA dan MIC pula didendangkan sebagai parti yang kowtow kepada parti Melayu itu dalam apa juga keadaan.

DAP menggunakan ruang ini, kelemahan MCA dan MIC semaksima mungkin dengan mengeluarkan kenyataan secara bertubi-tubi terhadap apa-apa sahaja isu yang boleh menunjukkan mereka sahajalah yang berani bersuara melawan Umno.

Masa depan MCA dan MIC sememangnya sangat malap sehinggalah mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan PN.

Cadangan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi BN akan bertanding bersendirian di PRU15 akan membawa MCA dan MIC ke jalan maut.

Oleh itu, pada Perhimpunan Agung MIC ke-74, presiden parti S Vigneswaran terus mengumumkan akan terus menyokong dan kekal bersama-sama pentadbiran kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehingga menunggu keputusan muktamad dibuat Majlis Tertinggi BN.

Tindakan Vigneswaran yang turut menjemput Muhyiddin untuk merasmikan perhimpunan agung MIC ibarat memberikan dua tamparan kiri kanan yang hebat terhadap Zahid.

Ini bermakna MIC sudah belajar daripada kesilapan dengan tidak mengikut Umno secara melulu.

Mengikut Umno secara melulu hanya akan membawa MIC ke laut.

MIC juga memahami retorik sebahagian pimpinan Umno yang sudah berhujah untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP sebagai tanda sudah hilang keyakinan kepada mereka, dan juga MCA.

Tindakan Vigneswaran adalah bertepatan dengan realiti politik semasa di mana MIC memilih kedudukan yang boleh menjamin kelangsungan politiknya iaitu terus berada di dalam kerajaan dan bertanding sebagai kerajaan pada PRU15.

Stuasi MCA juga sama.

Mereka tidak mempunyai pilihan lain selain mengikut jejak MIC.

MCA dan MIC belum lupa bagaimana susahnya menjadi pembangkang.

Mereka tidak akan membuang payung ataupun lampu yang membantu mereka terjumpa jalan keluar ketika tersesat di dalam terowong gelap.

Ini amat berbeza dengan Umno yang sudah terasa diri mereka kuat sehingga boleh bertanding diri sendiri.

Jika Umno masih tidak sedar, maka mereka akan bersendirian menghadapi PRU15 sebagai Umno dan bukannya BN kerana MCA dan MIC sudah hampir pasti tidak akan mengikutinya secara melulu ke jalan maut.

Sesungguhnya MCA dan MIC belum lupa siapa di dalam Umno yang membawa mereka ke zaman tercorot dalam sejarah politik parti masing-masing.