- Iklan -
Kolum

Hidup nomad moden dalam Nomadland

Satu dokumentari dan filem cereka yang garisnya dikaburkan sehingga sukar dibezakan.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Ada satu ungkapan dalam perancangan bandar, iaitu “monotown”, yang membawa pengertian sebuah bandar atau pekan yang hayatnya sangat bergantung kepada satu sektor atau industri semata-mata.

Sebagai contoh di Rusia, sebuah bandar mono yang besar ialah Tolyatti, dengan populasi lebih 700,000 orang.

Ia menempatkan kilang AvtoVAZ, yang sehingga  2008 menggajikan 106,000 orang di bandar itu.

Selain itu, semua yang ada di bandar itu sangat berkait dengan kilang tersebut.

Sebaik sahaja kilang itu mengalami masalah dan ditutup, bandar mono ini berdepan dengan zaman kelam.

Kadar pengangguran tinggi dan tba-tiba penghuni bandar itu kehilangan masa hadapan.

Miri dapat dikatakan sebagai monotown di Malaysia, memandangkan ia sangat bergantung kepada industri minyak.

Nomadland, sebuah filem penting tahun lalu yang kini meraih pelbagai anugerah filem mengisahkan nasib penghuni sebuah bandar bernama Empire di Nevada yang menjadi lokasi terletaknya sebuah kilang besar, United States Gypsum Corporation.

Ia menyorot nasib seorang wanita, Fern yang bekerja di kilang itu sepanjang hidupnya.

Dia tidak mempunyai anak.

Sebaik suaminya meninggal dunia, kini sudah tua; kilang itu tiba-tiba ditutup.

Secara realistiknya poskod bandar itu mati.

Ia menjadi bandar yang tidak punya apa lagi.

Fern dihadapkan dengan kenyataan yang sangat mencekau.

Fern tidak ada pilihan lain, melainkan meninggalkan bandar itu.

Akan tetapi ada satu pilihan aneh tetapi sedar yang dilakukan oleh Fern, iaitu menjadi seorang nomad moden.

Gaya hidup nomad seperti mana kita tahu adalah gaya hidup kaum yang berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat, dan di setiap tempat singgahannya, sang nomad akan mencari sesuap nasi untuk beberapa lama; sebelum berangkat pergi lagi.

Di Amerika Syarikat, cara hidup nomad ini sudah kembali.

Jangan sangka nomad ini adalah hippie tahun 1960-an yang hidup mereka hanya bersuka ria di sela unggun api sambil menyanyi. Sebetulnya nomad moden ini mempunyai kesedaran politik yang tinggi, dan setiap kilometer yang mereka tempuhi dalam perjalanan panjang adalah protes yang keras kepada sistem.

Filem ini, Nomadland, adalah arahan, suntingan dan terbitan Chloé Zhao diadaptasi daripada sebuah buku bukan fiksi berjudul “Nomadland: Surviving America in the Twenty-First Century” oleh Jessica Bruder.

Ia seakan-akan dokumentari (tetapi bukan) di mana menyorot cara hidup kaum nomad moden yang berpindah randah dari satu tempat ke tempat lain dan hidup di dalam kenderaan.

Sebahagian besar pelakon adalah nomad sebenar seperti Linda May, Swankie, dan Bob Wells. Juga, adegan dalam filem ini adalah mengenai hidup seharian kaum nomad.

Contohnya apa yang mereka makan, isu keselamatan mereka, masalah kenderaan rosak, gagasan dan fikiran mereka yang anti kapitalisme dan cara pandang terhadap dunia yang realistik, ringkas dan sama sekali aman.

Cuma, ia tidak dapat menjadi dokumentari kerana Chloé Zhao meletakkan watak yang diciptakan, iaitu Fern lakonan Frances McDormand (yang sudah menang Oscar dua kali sebelum ini) sebagai seorang nomad.

Satu lagi watak yang diciptakan ialah David lakonan bintang Hollywood David Strathairn, seorang nomad yang kelihatannya menyenangi Fern.

Justeru garis dokumentari dan filem cereka dikaburkan sehingga sukar dibezakan.

Filem ini merupakan satu protes dalam diam terhadap pembangunan ekonomi Amerika Syarikat yang bandar-bandar industri mono (monotown) sangat terancam dek kemelesetan ekonomi.

Fern, sebaik kematian suami; menjual semua yang ada, dan memulai hidup sederhana, atau dengan keperluan minimal di dalam van.

Untuk menyara sisa hayatnya, Fern bekerja di kafe tepi lebuh raya, menjadi tukang cuci di kawasan tumpuan yang dikhaskan untuk nomad, dan juga menjadi pekerja pembungkus sambilan di Amazon.

Di sela-sela inilah debat, kritikan politik dan ekonomi dinyatakan secara halus.

Di satu adegan yang menyesakkan jiwa, pekerja Amazon terlihat meracik sebatang pisang kecil seraya dikepit dua keping roti.

Kebajikan pekerja ini hampir tiada, kerana mereka adalah pekerja singgahan.

Kita dapat merasai penindasan itu secara senyap, dan kita bagai dibakar oleh kemarahan penganiayaan ekonomi yang tidak adil.

Itu dilakukan dalam diam, sepanjang filem ini.

Fern lama kelamaan menjadi seorang yang percaya dengan kehidupan nomad.

Dia misalnya memberitahu kanak-kanak dari bandar Empire yang ditemuinya semula di jalanan, bahawa seorang gelandangan berbeza dengan seorang nomad.

Gelandangan tidak punya rumah, tetapi nomad tidak pun mahu memiliki rumah dan hidup berhijrah tanpa menyusahkan orang lain.

Apa yang menjadikan Nomadland hebat ialah keutuhan kedalaman dan keberkesanan lakonan Frances McDormand sebagai Fern.

Sukar mencari seorang  pelakon yang dapat membawa watak Fern ini.

Malah saya berpendapat seniwati hebat Hollywood, Meryl Strep sendiri tidak akan mampu menggalas watak Fern.

Sorot mata, cemik mulutnya, lari kecilnya, malah cangkung kencingnya adalah seorang nomad.

Pada detik Fern meniti kesunyian malam sambil melihat foto-foto lamanya ketika dia masih kecil, kita dapat merasai kesayuan yang menyayat hati.

Permainan kamera yang canggih dengan warna malam atau senja yang dimanipulasi pengarahnya, kita merasakan dunia nomad itu satu dunia yang ikhlas.

Pada saat Fern terpaksa memarkir vannya di tempat meletak kenderaan peribadi dan diusir, kita berasa cemas.

Pada resah Fern apabila melawat David yang akhirnya memilih untuk tinggal dengan anak dan menjaga cucunya, kita melihat kerimasan Fern.

Ketika Fern merindui Empire, bandar mono yang sudah tidak berpenghuni itu kita melihat dirinya melawat semula kediamannya yang sudah tiada apa, demi mengenang semula suaminya.

Segala ucapan, gerak geri Fern yang dibangunkan oleh Frances mendekatkannya kepada Oscar ketiga.

Saat dia mempertahankan cara hidup nomad di hadapan adik perempuannya (Fern harus meminjam duit untuk membaiki vannya) kita melihat perubahan cara fikir seorang yang telah hilang segalanya kepada cara fikir seorang nomad.

Frances telah pun meraih pelbagai anugerah lakonan dan kini juga dicalonkan untuk Anugerah Golden Globe dan SAG (persatuan pelakon Amerika Syarikat).

Apa yang lebih mengesankan dalam filem ini ialah kerana Chloé Zhao dengan penuh yakin meletakkan dunia pantai barat Amerika yang indah; gurun sepi dengan matahari naik; salju keras di perjalanan dingin, himpunan batu yang mempesonakan Fern di Grand Canyon, dan satu demi satu jalanan berbekas unggun api yang sentiasa ditunggui orang baik.

Pada satu ketika, terdapat puisi mengiringi perjalanan Fern menjadikan cara hidup nomad itu sungguh romantis, tetapi realistik, sambil membangkitkan puitika baru untuk genre “road movie”.

Justeru sebagai sebuah karya seni, Nomadland sudah mencabar norma iaitu sebahagian dokumentari, sebahagian filem artistik, sebahagian penyataan politik; dan sebahagian lagi filem genre perjalanan yang menyuguhkan latar dan sinematografi yang spektakular.

Nomadland membawa nada pilu dan penuh melankolis tetapi tidak sampai mengheret kita kepada kesedihan.

Ia menyuntik keharuan dalam diam, dan sebaik filem berakhir, ia menghantui kita oleh adegan latar indah, memori lakonan yang berbekas dan ucapan ideologi yang menular dalam benak.

‘Tiada ucapan selamat tinggal, cuma jumpa lagi di pertengahan jalan,’ demikian kata Bob Wells, ketua kaum nomad kepada Fern, bukankah itu kehidupan kita di dunia fana ini?